Selama ini, apakah sains itu benar-benar menemukan hakikat sebuah pengetahuan baru? Menurut Karl Popper (1902-1994), tidak.

Sains hanya bermula saat saintis mula menyangkal (refute) pengetahuan yang sedia ada. Baginya, tanpa pendekatan ini, sains adalah hambatan kepada kemajuan pengetahuan. Lalu, filasuf bergengsi ini menawarkan rasionalisme kritis (critical rationalism) sebagai alternatifnya. Dalam bahasa lain, rasionalisme kritis terhurai menerusi idea pemalsuanisme-nya (falsificationism). Untuk sampai ke takat ini, maka itu amat menuntut sebuah kritik-tajam, tidak mudah belas-ehsan, serta kental-hujahnya. Ternyata, semua sifat ini bukan kebetulan terangkum pada Popper. Melihat dengan rapi semarak zamannya, wajar ada alasan mengapa Popper sedemikian. Waktunya, adalah waktu keghairahan sains, kemuncaknya saintifik, serta tumbuhnya pertautan kembali antara sains dan falsafah. Waktunya, tercetus fizik moden, serta berkembangnya wacana falsafah sains. Lebih genting lagi, pada zaman inilah, berkumandang pula suara Positivisme Logis (Logical Positivism)—sebuah aliran yang amat ditentangnya.

Sejarah hidupnya, filasuf kelahiran Vienna ini pernah berhijrah ke New Zealand, kemudian setelah Perang Dunia ke-II mengajar di London School of Economics (LSE). Yang menarik dari Popper ialah pertemuan ragam-bidang dalam dirinya. Buku The Open Society and Its Enemies, dan The Poverty of Historicism, memaparkan ufuk-ufuk terebut. Walau bagaimanapun, Popper lebih terkenal sebagai filasuf sains, yang gigih mempertahankan rasionalisme kritis-nya. Gagasan ini lahir sebagai sanggahannya terhadap Positivisme Logis yang dikembangkan Lingkaran Vienna (Wiener Kress). Kegigihan, juga kesungguhannya, ini jelas terungkap menerusi Unended Quest: An Intellectual Autobiography (1982). Popper berujar, “sayalah yang membunuh Positivisme Logis.” Tapi, dari manakah rincian kritik-kritiknya ini dapat disoroti? Itu semua tertuang dalam The Logic of Scientific Discovery (1954).

Buku ini asalnya dari Logik der Forschung (1934), sebelum ditulis-semula dalam Bahasa Inggeris. Peter Medawar, saintis British kelahiran Brazil, dalam New Scientist seraya mengakui bahawa karya ini sebagai “salah satu daripada dokumen paling penting pada abad ke-20.” Bahkan, Popper turut mengukuhkan lagi pandangannya menerusi Conjectures and Refutations (1963). Di samping kritiknya langsung pada Positivisme Logis, Popper turut mengupas tentang faham-faham lain yang turut-sama memperkuatkan Lingkaran Vienna ini. Sebab, semuanya ini tampaknya saling bersentuhan, saling memperkukuhkan. Justeru, elok kita tinjau ringkas dahulu latar Positivisme Logis, sebelum larut dalam kritikan serta alternatif darinya.

Positivisme Logis

Positivisme Logis adalah suara dari Lingkaran Vienna—sebuah gerakan yang serius mahu melakarkan kaedah penyelidikan sains yang tuntas. Sambil belajar dari faham-faham sebelumnya, Positivisme Logis sepertinya menjadi hentian akhir, serta sempadan antara fizik dan metafizik. Kata positif ini merujuk kepada ”pengetahuan yang bertambah” sementara kata logis mengarah kepada “pengetahuan yang teramati.” Namun, Positivisme Logis tidak tumbuh begitu saja. Gerakan ini lahir dari sejarah panjang, yang dalam tradisi kepengetahuanan Barat telah lama menuntut sebuah wibawa sains-nya yang tersendiri. Maksudnya, teologi tidak mendapat tempat sebagai sumber kebenaran pengetahuan. Sosok seperti Laplace adalah yang terbaik untuk melihat iltizam ini. Begitu juga tercermin pada Hertz, Frege, Russell, lalu Wittgenstein I—yang mana dari pemikiran mereka ini kemudiannya merangsang Schlick, Carnap, Neurath, dll. Barisan terakhir inilah yang membentuk Lingkaran Vienna. Pada saat yang sama, terdapat juga Lingkaran Berlin, yang diprakasai Reichenbach, Hahn, dll, dengan membawa suara “empirisisme logis.”

Kendati, di tahun-tahun kemudian, nama Positivisme Logis kelihatannya lebih harum. Tentu kerana kejayaan awalnya yang menyusun baik falsafah asas sebelum mereka, dan mewadahi bahasa formal (Wittgenstein I), aruhanisme (Bacon), psikologisme (Gustave Le Bon), naturalisme (Paul de Vries), dll. Shahdan, itu dituntun lagi dengan tanggapan-balas yang bertalu-talu, termasuklah dari Popper. Betapa berpengaruhnya Positivisme Logis, sampai saja falsafah sains yang meriah muncul dewasa ini—sama ada dari Kuhn, Feyerabend, Polanyi, Lakatos—itu tidak harus dinafikan banyak bertitik-tolak kritik-balas terhadap gerakan ini. Jadi, barangkali persoalan latar sudah dibenahi. Namun, apakah rinciannya?

Lingkaran Vienna, memang sebagai sebuah gerakan yang memperjuangkan kaedah penyelidikan. Hasratnya, untuk meraih wibawa pemerolehan pengetahuan. Sebab itu, kata sains menurut konteks mereka adalah merujuk kepada seluruh pengetahuan yang diiktirafnya sebagai sahih. Di sinilah peranan besar dari Wittgenstein I, juga kemudiannya Carnap, yang cuba mengembangkan bahasa yang sepadan (isomorfic) dengan realiti. Soalannya, bagaimanakah peranan bahasa dalam sains ini? Jawapan dari Lingkaran Vienna ini akan kembali pada kalimat sains yang dikemukakan. Pada mereka, setiap kalimat haruslah mematuhi tatabahasa, sintaksis serta kata keterangannya (description). Setelah itu, mestilah disemak pula semantiknya, iaitu hubungan antara kalimat dengan maknanya. Baru kemudian, Lingkaran Vienna menarik perbezaan antara kalimat analitik dengan kalimat sintetik. Maka, untuk kalimat analitik, itu memang dengan sendirinya benar, seperti mana kalimat yang terdapat dalam aturcara matematik. Mithalnya, 1 + 3 = 4. Kalimat ini benar secara a priori, asal saja kita terlebih dahulu memahami konsep dari angka “1,” “3” dan “4”. Begitu juga kalimat, “X = X,” juga secara psikologinya tepat.

Sebaleknya, untuk menentukan kalimat sintetik pula, itu mestilah melepasi prinsip kesahan (principle of verification) terlebih dahulu. Kata verification ini bermuara dari kata latin, verum (benar) dan facere (melakukan): melakukan pembenaran. Jadi, untuk mendapatkan kesahihan sains, maka setiap kalimat mestilah disemak menerusi pencerapan—dan ini tentunya melibatkan peranan indera manusia sebagai subjek pengamatan tersebut. Mithalnya, kalimat “semua gagak berwarna hitam.” Kalimat ini dapat disemak, dan diuji menerusi pencerapan yang berulang-ulang kali. Sekiranya ditemui semua gagak berwarna hitam, maka kalimat ini jelas bersifat sintetik, dan dapat diterima. Ternyata, faham naturalisme turut mengutarakan kesesuaian prinsip kesahan ini dengan teori fizikalisme (theory of physicalism). Lantas, menurut Lingkaran Vienna lagi, hanya dua kalimat inilah (analitik dan sintetik), yang akan menambah pengetahuan manusia, membangun sains manusia serta mendorong makna positif. Tapi, bagaimana dengan kalimat, “Tuhan itu ada.” Pada kalangan ini, kalimat seperti ini sama sekali tidak dapat disemak, tidak dapat diuji, dan seterusnya tidak dapat disahkan. Maka, kalimat itu tidak menambah apa-apa pada pengetahuan manusia, serta tidak punya sebarang makna.

Walau bagaimanapun, perlu dicatatkan juga bahawa Lingkaran Vienna tidaklah mengutarakan soal benar-salah. Itu bukan pendiriannya. Pada kalangan ini, kalimat “Tuhan tidak ada” itu tidak bermakna kerana sarat metafiziknya, serta tidak mampu menawarkan wibawa pemerolehan pengetahuan. Sebab itulah, kalangan ini tegas menyingkirkan segala persoalan-persoalan yang berkaitan metafizika, juga persoalan-persoalan yang berkaitan etika. Baginya, dua jurusan tersebut bukanlah ranah sains—meskipun tidak dinafikan dimensi seperti ini kerap saja menghadhirkan rasa keselesaan pada penerimanya. Mudahnya, Positivisme Logis tekad mahu merumuskan bahawa semua kalimat a priori adalah bersifat analitik, manakala semua kalimat empiris adalah bersifat sintetik. Dengan ungkapan lain, perbezaan antara a priori dan a posteriori, itulah yang memicu kepada perbezaan analitik dan sintetik. Ini sekaligus bererti, bahawa Lingkaran Vienna sama sekali tidak mengakui kalimat a priori dalam makna Kantian. Jadi, apakah sebenarnya tugas sains? Tugasnya adalah merengkuh kalimat realiti dalam lingkup analitik-sintetik ini. Baru demikian, sains itu terbina dan bersifat semesta (universal). Maksudnya, untuk sesiapa pun yang mencerapnya, di mana pun mengamatinya, maka hasilnya tetap saja sama, serta dapat diramalkan.

Kritik Popper

Kita telah mengenal Positvisme Logis. Maka, inilah saat yang baik untuk menelusuri pula kritik Popper terhadap kalangan ini. Popper, tentu arif mengenai Positivisme Logis. Sama seperti Wittgenstein II yang memberi kritik menerusi ranah falsafah bahasa, maka Popper memberikan kritiknya pada ranah falsafah sains. Masing-masing juga amat dekat dengan kalangan ini—yang rata-rata adalah teman wacananya, sekalipun keduanya tidak termasuk dalam kalangan tersebut. Kritik Popper bermula dengan pendiriannya yang memisahkan antara kandungan pengetahuan yang bersifat sains dengan kandungan pengetahuan yang bersifat bukan-sains. Maka, kepedulian Popper tidak lagi pada pemaknaan kalimat. Kecuali, kepeduliannya pada usaha penyangkalan kalimat sains sebelumnya. Inilah yang menjadi perhatian sejati Popper.

Tentu, lebih awal Popper menerima kritik Hume terhadap aruhanisme. Meskipun Hume sendiri adalah seorang empiris, percaya juga pada pengalaman, tapi tekal melihat ada masalah pada pendekatan aruhanisme ini. Ini kerana, aruhanisme yang merupakan sendi Positivisme Logis ini terlalu mudah menerima prinsip kebersebaban (principle of causality), seolah-olah post doc, ergo propter hoc (ini terjadi, kerana itu). Lalu, di tangan Popper, tradisi kritis Hume ini dilanjutkan lagi. Padanya, epistemologi Positivisme Logis sarat andaian. Ini kerana, kalangan ini terlalu mudah mengandaikan kesimpulan umum bahawa ada sebuah hukum yang bersifat sejagat (universal). Kerana itu, Popper sama sekali tidak percaya adanya sebuah penalaran yang menggiring kepada hukum sejagat (universal law). Melainkan, setelah dilakukan seluruh pengamatan. Tapi, tindakan seperti ini tentulah sesuatu yang mustahil. Mithalnya, tidak mungkin kita mampu menyemak, menguji, serta mengesahkan—satu demi satu—seluruh kalimat sintetik tersebut. Jadi, tidak mungkin ada sebuah kalimat yang sahih dan yang bersifat semesta.

Mithalnya, Popper melukiskan sebuah kalimat, “semua angsa berwarna puteh.” Menerusi Positivisme Logis, kalimat ini akan bermakna setelah mengambil beberapa sampel. Kemudian, jika secara berulang dikenalpasti bahawa memang semua angsa berwarna puteh, maka menurut kalangan ini kita telah memperoleh sains. “Beginilah,” kata Popper, “sains menerusi Positivisme Logis terbangun.” Tapi, Popper memerikan bahawa pendekatan sebegini sebenarnya langsung tidak kritis, serta tidak sedetik pun menawarkan jaminan bahawa selamanya memang, “semua angsa berwarna puteh.” Malah, menurut Popper lagi, bukan saja tiada jaminan, bahkan seluruh pencerapan ini lebih lebih bersifat terpilih. Positivisme logis hanya mengambil beberapa sampel, lalu dengan mudah membuat kesimpulan umum bahawa penemuan mereka adalah bersifat semesta. Sekilas pertanyaannya, apakah ada jaminan bahawa memang tiada angsa yang tidak berwarna puteh? Apakah Positivisme Logis sudah menyemak semua angsa yang ada di seluruh pelusuk dunia? Tentu tidak.

Jadi, pada Popper lagi, kesimpulan umum yang dibentuk dari Positivisme Logis ini sangatlah dangkal, seakan mengusung kemutlakan. Padahal, semua sains berkemungkinan untuk salah (fallible). Ini tegas diungkapkannya sewaktu menolak sikap Lukacs dalam History and Class Consciousness (1920)—yang menganggap dialektika Marxisme sebagai kebenaran tentang manusia dan sejarah. Lebih lagi, filasuf liberal ini tidak percaya bahawa adanya sebuah kaedah bitara dan khas dalam sains. Selama Newton, sebelum atau sesudahnya, tidaklah pernah sains memperoleh wibawanya dengan aruhanisme. Katanya, kalangan Positivisme Logis ini ibaratnya mahu mengukuhkan lagi kerangka Newtonian dalam sains, sama seperti ekonomi (Smith), Comte (sosiologi), masharakat (Marx), dll. Hemat Popper, cara sebegini banyak kelemahannya. Pertanyaannya lagi, apakah saintis dapat menunjukkan di mana letaknya elektron? Apakah saintis dapat mencerapnya di dalam makmal? Jadi, sekiranya tidak memenuhi sharat pengamatan, maka apa lagi yang tinggal buat sains? “Inilah sebuah dongeng sains besar,” kata Popper. Sains, pada Popper selamanya tidak pernah membangun atas aruhanisme.

Di sini, Popper turut memberikan contoh Hukum Graviti dari Newton, yang diketahui dari jejaknya, bukan dari pencerapan. Jadi, apakah kita maseh mahu mengatakan Hukum Graviti itu bersifat sejagat, meskipun berulang-kali dibuktikan benar? Lalu, berkaca lagi pada Teori Kenisbian Einstein. Apakah kita ingin mengatakan teori tersebut bermula dengan pencerapan? Walhal, betapa indah sekalipun teori tersebut, ternyata Einstein tidak pernah memulakannya dengan pencerapan. Yang membuktikan bahawa cahaya boleh melengkung—beberapa tahun kemudian—adalah Eddington. Sampai kata Eddington, “jika Einstein menemukan teorinya, maka saya yang menemukan buktinya.” Jadi, tetap saja, sains tidak terbangun dengan pencerapan. Maka, seruan bahawa sains berangkat dari pengamatan adalah sebuah kekeliruan yang ketara.

Sebab itu, sebagai cendikia, juga sebagai manusia, Popper pernah mengutarakan, “apakah saat bom atom dijatuhkan di Hiroshima dan Nagasaki itu, maka kalian (Positivisme Logis) maseh lagi ingin menyatakan bahawa atom itu rekaan? Jadi, setelah melihat ribuan yang mati, yang melarat, yang sengsara kesan dari hentaman tersebut—apakah kita mahu menyatakan lagi bahawa atom itu tidak pernah wujud, kerana tidak pernah dicerap? Apakah atom maseh tidak bermakna? Bertubi-tubi pertanyaan kekesalan inilah yang meredam sanjungan-tinggi pada Lingkaran Vienna. Sebab itu, Popper bukan saja menolak kalangan ini atas dasar falsafah, malahan juga atas dasar etika—sesuatu yang ditolak pemaknaannya dari kalangan Postivisme Logis. Kata Popper lagi, sains konon begitu objektif dengan data-datanya, dengan sampel-sampelnya, tapi seringkali mengabaikan tanggungjawab moralnya.

Memang, ini kritik dalam Popper pada Lingkaran Vienna, hingga tempiasnya merebak pada psikologisme, pada naturalisme, dll. Mithalnya, dalam konteks psikologisme, Popper membezakan persoalan antara, “bagaimana teori dapat diuji” (konteks pembenaran) dengan “bagaimana kita mendapatkan teori baru” (konteks penerokaan). Padanya, perbezaan ini lantaran unsur psikologi yang tertanam di dalamnya. Begitu juga dengan naturalisme, di mana Popper memancing: “Saya menolak pandangan naturalisme, yang sama sekali tidak kritis. Mereka yang mendukung pandangan ini jelas gagal memastikan kekuatan pengetahuan yang diperolehnya. Walhal, mereka hanyalah mengemukakan sebuah kesepakatan semata. Lalu, lebih malang lagi, kesepakatan ini kemudiannya menjadi dogma. Sebab itu, kritik saya pada pandangan naturalistik ini bukan saja kerana garis pemaknaan yang diambilnya. Bahkan, turut melampaui gagasannya tentang sains dan kaedah empirik yang diperjuangkan mereka.”

Walaupun demikian, Popper bukanlah seorang yang anti-skeptisme. Popper maseh yakin bahawa betapa terbatasnya epistemik manusia, tetap saja manusia maseh dapat memahami realiti. Inilah bezanya Popper dengan Hume. Bezanya, skeptisme buat Hume, dan realisme buat Popper. Lantas, Popper pun merunut kepada pemalsuanisme. Baginya, sains sebenarnya bermula dengan masalah, dengan pemecahan masalah, atau dalam bahasa sensasinya, dengan menyangkal.

Pemalsuanisme

Mengapa sains bermula dengan masalah, pemecahan masalah, dan penyangkalan? Di sini, Popper menata seluruhnya dalam gagasan pemalsuanisme. Bagi Popper, memang sains tidak membangun, dengan mengukuhkan apa yang sedia-ada. Sebuah bahaya untuk sains, sekiranya sentiasa pada takat pengetahuan sebelumnya. Sains itu hanya membangun, dengan sebuah sikap kritis yang bersamanya terselit agakan-agakannya (conjectures). Maka, penting untuk mengenalpasti masalah terlebih dahulu, sebelum disusuli pula dengan agakan, dan penyangkalan.

Mithalnya, pada Popper, kalimat “semua angsa berwarna puteh,” adalah sebuah masalah. Justeru, untuk memecahkan masalah ini—sembari terpukau dan terilham dari Teori Kenisbian Einstein—maka Popper menganjurkan cari saja seekor angsa bukan berwarna puteh. Sekiranya ditemukan, maka dari situlah sains akan terbina. Sebab itu, tegasnya, sains itu terbangun dengan penyangkalan. Kuncinya, adalah meragukan sains sebelumnya. Mithalnya lagi, sains takkan bertambah jika kita menyatakan bahawa sistem suria kita mempunyai lapan planet. Hanya saja, carilah planet yang kesembilan. Sekiranya ditemukan, itulah sainsnya. Tidak memadai dengan mithalan sebelumnya, ada lagi sebuah pengalaman klasik yang menarik: kesah bagaimana Kepler menemukan orbit sistem suria adalah elips. Bukan lagi bulatan seperti yang dipercayai semenjak Aristotle. Bahkan, Kopernigk serta Brahe turut berfikiran terkekang dalam kerangka Aristotlian. Kepler tidak.

Bagaimana Kepler menemukannya? Hanya dengan menyangkal. Kepler sebelumnya resah dengan data-data yang yang tergeser lapan minit, setiap kali cuba memadankannya dengan sistem suria dalam bentuk bulatan. Tapi, Kepler tidaklah pula melakukan pseudo-sains dengan melakukan teori ad hoc—iaitu mereka-reka pengecualian atas data-datanya. Jadi, selama lapan tahun Kepler bertungkus-lumus mencari jawapan, dan akhirnya itu dapat diatasi tatkala mengubah bentuk sistem suria kepada elips. Menghimbau peristiwa ini, Poincare mengungkapkan, “untunglah di dunia ini ada mereka yang gila, yang tidak peduli dengan wang, dan yang mahu menghabiskan waktu-waktunya dengan hal yang tidak berguna. Dan, salah satu hal yang tidak berguna adalah memikirkan perbezaan lapan minit selama lapan tahun (oleh Kepler) tersebut.” Alhasil, kita menyaksikan di sini bahawa: tanpa sebuah masalah, tanpa sebuah agakan baru, serta tanpa sebuah sangkalan, maka sains memang takkan bertambah. Justeru, tidak perlulah mencari kandungan empirik sebanyak mungkin. Pakailah kaedah agakan dan penyangkalan. Hanya pendekatan inilah, tegas Popper, sains takkan berhenti. Inilah juga yang harus menjadi tugas saintis.

Maka, inti gagasan Popper menerusi pemalsuanisme ini amat jerneh sekali: mempertahankan sikap kritis. Inilah sebuah epistemologi sains, yang diperkenalkannya sebagai rasionalisme kritis. Mengekalkan sikap rasional, tapi dalam waktu yang sama, terus-menerus kritis.

Khatimah

Pandangan Popper ini memang menggamit perhatian, sembari menggema kritik-balas. Adalah tidak saksama berhenti pada kritik Popper, sambil melalaikan kritik-balasnya. Tentu, nama Kuhn menjadi saingan beratnya. Dua aliran ini, Popperan dan Kuhnan, tidak lelah bertingkah, hatta sampai mutakhir ini. Paling dikenang, di London pada 1965, di mana Popper pernah berdebat Kuhn dan dikendalikan oleh Adorno. Dalam wacana tersebut, Popper ternyata kesal ekoran dirinya banyak disalah-fahamkan. Apakah kritik-balas Kuhn tersebut?

Kuhn menerusi The Structure of Scientific Revolutions (1962) mempersoalkan rasionalisme kritis Popper ini. Baginya, tidak mungkin ada saintis yang selama hidupnya hanya berkerja untuk menyangkal, apatah lagi menyangkal teorinya sendiri. Pertanyaan Kuhn ialah, sekiranya saintis tersebut menemukan sebuah teori, apakah mungkin dirinya akan mencari penyangkal terhadap teorinya? Pasti tidak. Sebaleknya, saintis tersebut pastinya habis-habisan mempertahankan teorinya, ibaratnya memeluk haiwan kasayangan. Jadi, buat Kuhn, sungguh tidak munasabah untuk membangun makmal yang megah, dan mewah, lalu mahu melakukan ujikaji penyangkalan. Jadi, sains mendapat mafhum lain dari Kuhn? Padanya, sains harus kembali pada sejarah sains itu sendiri, yang bersifat nisbi dengan zaman. Maka, kenisbian itulah yang menentukan paradigma kalangan saintis semasa. Padangan Kuhn ini ada kesegarannya, ada pencerahannya. Ternyata, dari kritik-kritiknya ini memberi semangat baru pada teori-teori kebudayaan, juga pada kajian etno-sains, dan religio-sains.

Kebetulan berbicara tentang rasionalisme—yang menjadi inti dari gagasan Popper—barangkali berbangkit juga pertanyaan yang lain lagi: apakah bezanya antara rasionalisme Descartes dengan rasionalisme kritis Popper? Tidak khilaf lagi, Descartes itu seorang skeptis, seorang deduktif, dan amat berbeza dengan Popper, yang seorang realis. Setidaknya, jika Descartes membangun pengetahuannya berdasarkan a priori, manakala Popper tetap mengakui unsur-unsur empiris dalam kaedah penyelidikannya. Memang, menerusi Popperan, falsafah dan sains menemukan semula maknanya, menemukan kembali jalinannya. Barangkali, kerana itu makna tidaklah hanya diperoleh dari status-quo pengetahuan. Jadi, sains sekadar mengirim kita ke birai, sebaleknya falsafah-lah yang melambung pada samudera makna. Sebab itu, sikap realisme Popper tidak sampai melewati garis etikanya, sesuatu yang dinafikan kalangan Positivisme Logis. Tapi, apakah kritik Popper ini menamatkan hayat Positivisme Logis? Ternyata tidak, kerana aliran seumpama ini terus saja bernafas biarpun berselubung di balek kata “kuantitatif.”

Walau bagaimanapun, hujungnya—betapa rentan dan ampuhnya gagasan Popper ini—tetap meninggalkan iktibar buat kita semua; bahawa hakikatnya tidak pernah ada sebuah kebenaran-mutlak.

Aqil Fithri adalah editor Ummahonline.com, juga zamil Cendikiawan Awam Asia 2009/2010, tajaan Nippon Foundation, Jepun. Ia dapat dihubungi menerusi aqilfithri@gmail.com.

Aqil Fithri Bacon Carnap Feyerabend Frege Gustave Le Bon Hahn Hertz Karl Popper Kuhn Lakatos Lingkaran Vienna London School of Economics Neurath Paul de Vries Peter Medawar Polanyi rasionalisme Reichenbach Russell Schlick Wittgenstein

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan