“Kata lama mengangkat kepak beratnya, dan terbang.”
(C.M)

Dunia masa kini sudah hampir lupa—dalam suasana rebutan kuasa, penaklukan dan yang penuh komplot—bahawa bumi yang kita kenali sebagai Benua Amerika telah lama wujud dalam landasan pemikiran sastera dan sejarah sebagai ‘alam dunia baru’.

Itulah wasiat penyair-penyair unggul benua itu—Pablo Neruda, Octavio Paz, Herman Melville. Selepas Revolusi Perancis, Revolusi Amerika-lah yang menjadi ilham bagi kewujudan arus pemikiran ‘insan baru’ menurut ungkapan kebebasan, kemerdekaan dan persaudaraan. ‘Yang baru’, bagi penyair, semestinya merangkumi ‘yang lama’ dan kerjaya berpuisi melibatkan usaha tenat menjejak kembali ke segala pusaka bumi, batu dan laut—landasan asas kepada alam, sejarah dan persuratan benua itu.

Kerjaya berpuisi itu, mengikut kata-kata Octavio Paz, adalah suatu pengalaman yang sekali ‘berhubung dan bertentangan’:

“Perhubungan di antara lambang, biar pun kuat atau lemah, adalah perkara yang mengasingkan kita dari haiwan yang lain. Itulah yang menjadikan kita insan yang rumit, menyusahkan dan sukar diramal”

Neruda menggeledah di Macchu Picchu, Paz menari di atas lidah Nahuatl (dan juga di tengah batu-batan Anuradhapura), Melville bersedia belayar dari pelabuhan Nantucket…”pengalaman dunia baru” memeluk sambil meluncur ke dunia.

Tapak-tapak asas keturunan pemuisian Amerika Utara terbenam dalam dunia alam semulajadi. Kata-kata deras penyair berjanggut panjang putih, Walt Whitman,

“Aku merayai diriku
dan segala yang aku andaikan akan juga kau andai,
Kerana setiap atom yang ku miliki dimiliki juga kau,”

yang muncul sebagai kata-kata paling utama dalam keturunan puisi Amerika Utara mempunyai moyangnya tersendiri. Tradisi mengandaikan bumi dan alam sebagai puncak kebebasan dan kemerdekaan “dunia baru” telah dinyatakan sebelum Whitman oleh mereka yang memegang pada falsafah transedental, terutamanya Emerson (Ralph Waldo). Sementara, Henry David Thoreau, pengarang Walden memegang pada bumi sebagai asas pembantahan politiknya.

Semangat panteisme telah menyerap jauh ke dalam semangat persuratan penulis yang datang kemudiannya. Corak, bentuk, susunan dan gaya kata-kata berjaya menimbulkan suatu jiwa persuratan (dan pemuisian) yang boleh dianggap mempunyai cirri-cirinya tersendiri.

Bila pun Ezra Pound memekik dari seberang benua memberang “buatkan yang baru”, beliau masih memegang kepada daya fikiran luas terbentang yang sama, terbukti dalam usahanya menterjemah puisi penyair klasik China, karya Confusius dan lagu-lagu penyair kembara Provencal.

Pound, yang mengalami segala ketegangan duniawi arus Modernisme berjaya mengembangkan sempadan kesusasteraan Amerika. Pengalaman penghijrahan penulis-penulis utama Amerika ke Eropah pada zaman pra-perang dunia kedua mengeratkan lagi perhubungan di antara tradisi persuratan Amerika ‘dunia baru’ dengan revolusi kesusasteraan yang berlaku di benua Eropah.

Kelahiran Christopher Merrill sebagai seorang penyair berlaku di tengah-tengah perdebatan hangat yang berlaku di kalangan penyair-penyair yang muncul selepas perang. Kemunculan Amerika sebagai salah satu kuasa utama (bersama dengan Rusia) pada zaman Perang Dingin mendorong generasi baru yang terdedah kepada falsafah estetik yang baru, untuk menggoncangkan ‘tradisi lama’ dan arahan modernisme.

Dalam suasana begini, muncullah majalah-majalah sastera baru yang melahirkan penyair-penyair eksperimental seperti Frank O’Hara, Kenneth Koch dan John Ashbery. Pengaruh arus Formalisme Perancis ke atas perkembangan puisi di kota-kota masyhur, terutamanya New York dan San Fransico menimbulkan pertarungan di antara ‘arus moden’ dengan ‘arus lama’ (penyair yang setia kepada corak dan gaya pemuisian yang tradisional) yang berterusan sehingga hari ini.

Siapa sebenarnya Christopher Merrill?

Seorang penyair yang merantau ke Sarajevo bila perang persaudaraan di negeri Balkan berlangsung paling sengit, dan berjaya menghasilkan dua karya berasas pengalamannya di rantau itu—The Old Bridge dan karya lucu-pedih Only The Nails Remain; atau wartawan gila bola yang menghasilkan Grass of Another Country—karya liputan pertandingan Piala Dunia tahun 1994 di Amerika Syarikat; ataupun pendeta yang merantau, mendaki Mount Athos dan menulis karya Things of Hidden God.

Ya, kesemuanya; yang bererti, dalam kata-kata asasnya, Christopher Merrill adalah seorang penyair.

Dalam pertelingkahan antara arus baru dan lama yang kian berterusan, Merrill tidak memihak. Penguasaan bentuk, rupa dan corak pemuisian yang terletak pada lengannya tercantum dengan daya fikiran yang pelik. Tambahan pula, berbanding dengan beberapa penyair (juga yang masyhur) dia memiliki satu keistimewaan—pemandangan sastera dan pengalaman membaca yang sangat luas.

Christopher Merrill © Don Usner

Pandangan tersebut diasuh lagi dalam pengalaman sebagai penterjemah. Beliau, yang juga fasih dalam bahasa Perancis dan pernah menterjemahkan pilihan puisi- penyair-penyair Perancis yang terkemuka temasuk René Char dan bapa pergerakan Surrealisme, André Breton, juga bersepakat dengan penyair-penyair Eropah untuk menghasilkan terjemahan karya-karya Ales Debljak dan Tomaz Salamun.

Malahan, setiap langkah adalah usaha menjejaki tapak yang lama. Dan walaupun, ilham dan semangat Merrill mengesahkannya sebagai penyair berkembara, kesetiaan kepada warisan dibayangkan di setiap rangkap dan bentuk karyanya, terutamanya bahasa dan bayangan dari Kitab Injil.

Rujuk kepada kumpulan-kumpulan penyair Amerika yang utama (atau alternatif) dan nama Christopher Merrill jarang ditemui. Walaupun pujian baginya muncul daripada penyair-penyair terkemuka termasuk W.S. Merwin, Jorie Graham dan Tomaz Salamon. Alasannya amat mudah—dalam suasana kesusasteraan yang suka kota-mengotak, dalam pertelingkahan melibatkan ‘arus moden’ dengan ‘arus lama’, unsur-unsur yang terungkap dalam karya dan semangat peribadi Christopher Merrill amat menyinggungkan—seorang yang duniawi dan juga pendeta; seorang penyair alam bertradisi Amerika yang juga menguasai tipu daya dan pemikiran aneh puak Surrealis.

Singkat kata, Christopher Merrill, sebenarnya mengungkapkan jiwa dan semangat yang abadi; jiwa dan semangat yang ‘berhubung dan bertentangan’.

Benar—“Segala yang ku andaikan akan juga kau andai…”

Tulisan ini merupakan kata pengantar kepada koleksi sajak-sajak Christoper Merrill yang diterbitkan oleh PUSAKA pada tahun 2006.

Eddin Khoo, penyair dan penterjemah, telah menterjemah kumpulan sajak Christopher Merrill, seorang penyair dari Amerika Syarikat