I.

Aku ditanya oleh seorang teman tentang lagu politik. Aku menyedari soalannya ada kaitan langsung dengan politik itu sendiri. Ini persoalan budaya. Dorongannya buat aku berfikir lama, kerana aku tiada latar pengetahuan politik yang mendalam, sekadar bermain muzik ringan-ringan untuk hidup.

Dari halaman buku, artikel dan internet, cuba juga mengingati babak-babak lalu, bertanya pada bapak-bapak dan abang-abang yang telah melintasi semua musim-musim dalam dunia muzik. Sempat lagi bermenung tentang tajuk ini. Sungguhpun kurang arif, dengan ego diri yang masih tebal, selalu saja ingin lari dan berbeza pendapat dari siapa pun, mentor atau pengkritik. Tidak ada pada setiap masa kita betul, dan salah? – tak menjadi hal. Bukan mudah meletakkan apa-apa teori atau rumusan pada satu-satu konsep. Dunia ini luas, muzik dengan dunianya, aku mengecil dalam keluasan dunia-dunia ini.
II.

Jika kita berkesempatan menyusur pengalaman seorang sufi yang berkelana mencari makna bertuhan. Di tengah-tengah perjalanan itu, akan kita jumpa dengan susunan puisi – puji-pujian, ada prosa yang mengungkap kehebatan penciptaan dan keanehan sesuatu hal. Kadang, terdengar ronta manusia yang sesal dirinya menjadi manusia. Ada yang berkhayal ingin jadi binatang burung yang terbang bebas, bermimpi menjadi batu bintang di langit tinggi dan, berangan-angan mahu jadi seperti haiwan ikan yang berenang di laut lepas.

Tidak seperti burung yang asyik menyanyi dan bersiul, tidak juga seperti unggas yang berbisik rindu–adalah satu zikir yang dipanjat kepada Tuhannya–menurut ide Teologis purba. Berbeza dengan lagu-lagu nyanyian bangsa manusia, ia diperagakan dengan unsur satira, sindiran, nasihat, provokasi, pujuk rayu dan membodek, kesemua ini diungkap dengan bahasa pertuturan kata dan simbol-simbol bunyi. Ini adalah gejala-gejala yang datang dari keluhan, luahan dan ungkapan si manusia itu sebagai satu ritual. Mereka ini sedang menyanyi dengan nada dan niat yang ‘politik’. Setelah menjadi manusia politik, maka tema Cinta atau Ketuhanan itu sekadar menjadi tajuk sesebuah lagu. Dan–tema politik, adalah tajuknya.

Di Malaysia, pandangan atau catatan tentang muzik yang seumpamanya belum banyak dan belum subur, dalam apa jua medium. Eksistensinya secara bayang-bayang sahaja, isinya hampa.

Kita yang awam, malah mereka yang profesional dalam muzik sekalipun, belum pernah bicara tentang muzik (absolute music) secara khusus, jika ada, hanya bersifat akademik yang budayanya jauh dari lapangan praktik. Bicaranya berjuzuk-juzuk. Bila dikumpul, rupa-rupanya kita sedang bicara soal hiburan sahaja. Omong tentang ‘edutainment/infotainment’ sangat banyak – dan hiburan tetap hiburan. Hukum hiburan dalam konteks ini adalah populariti ; “jika tidak popular, bererti kau akan tercicir”. Ungkapan umum ini tanpa disedari, kita telah mengimaninya.

Tidak juga dapat dinafikan nilai-nilai positif yang ada pada ‘populariti’ ini, namun ia bukanlah agenda utama bangsa kita sepertimana mempopularkan Kota Kuala Lumpur dengan Menara Petronas, tugu ini sudah cukup ‘popular’ diperkatakan orang. Cukuplah, kita tidak perlu menyindirnya lagi. Bertambah bosan bila mendengar bicara orang politik, yang mahu menyelesai masalah sungai kotor lantaran mereka bercakap tentang penjualan air ke Singapura. Banyak lagi perihal budaya kita yang membosankan dan tidak masuk akal. Berfikir adalah suatu kerja yang amat berat bagi bangsa Malaysia. Ini realiti yang aneh.

III.

Bila berbicara muzik dalam konteks sebuah sarang industri, budaya indipenden wajib menjadi asas kepada rangkaian produksi, dan ia harus menyeluruh. Bukan prasarana yang agam atau hal berpersatuan, tetapi jaringan pasaran, rangkaian logistik dan pengedaran. Malah harus ada lapangan penyelidikan dan pembangunan yang akan membuka wacana-wacana kreatif yang subur untuk semua pihak. Hanya nilai-nilai indipenden sahaja mampu menggerakkan semua elemen budaya ini dalam aktiviti sebuah industri.

Jika isu seperti ini dijamah oleh politikus, besar kemungkinan mereka akan mendirikan institusi yang bersifat fasiliti/infrastruktur sebagai penyelesaian kepada isu ini. Hakikatnya, aktiviti industri harus digerakkan oleh masyarakat bersama pekerja industri itu sendiri. Mereka yang membuat, mereka yang melaksana dasar dan mereka jua yang akan menikmati hasilnya. Ini penyelesaian konkrit. Politik ‘pembangunan‘ tiada tempat di sini.

Melihat industri-industri seni yang telah maju, baik di Amerika atau di Sweden contohnya, industri muzik kita yang wujud hari ini, tidak langsung membiak lebih banyak profesion dalam bidang yang lebih luas. Barangkali hal ini bukan kerana industri seni, muzik atau filem, tetapi tolakkan kemajuan dalam penerokaan ilmu pengetahuan secara menyeluruh, kemajuan ini adalah tahap pencapaian kebudayaan mereka. Dan, kita melihatnya juga dari sudut kebudayaan – disiplin ilmu pengetahuan. Contohnya bidang fizik dan akustik, bidang ini punya kaitan langsung dengan teknologi muzik yang mungkin boleh dibangunkan, mungkin kelak akan lahir seorang anak tempatan yang setanding dengan Clarence Leonidas Fender (Leo Fender). Atau mungkin muncul produk baru dari kita, yang mampu bersaing dengan teknologi jenama tersebut.

Bidang yang berkaitan dengan muzik terapi – perubatan (music therapy) juga boleh kita terokai bersama mereka yang telah mendahului disiplinnya, bukan sahaja menjadi kaedah alternatif perubatan yang baru kepada pesakit tetapi juga kepada penggiat muzik untuk mereka terokai sebagai karier baru. Bidang penulisan berkaitan muzik juga wajib diketengahkan, industri memerlukan khutub khanah yang sempurna sebagai rujukan kepada penyelidik, atau barangkali, lulusan muzik boleh menjadi penulis muzik sebagai profesion mereka, bukan hanya sebagai pengkritik di program realiti. Bidang kajian (ethnomusichologist) juga belum lagi menjadi satu profesion di Malaysia. Kesemua bidang ini, juga memerlukan bakat. Bakat jangan dinilai dalam konteks seni sahaja. Bidaah jadinya.

Penerokaan dalam bidang-bidang ini, berpotensi untuk membuka jaringan industri yang lebih luas, sudah pasti peluang kerjaya juga bertambah. Dan, bermulalah hubungan praktis antara saintis dengan seniman, komposer dengan doktor perubatan, karyawan dengan ekonomis, artis dengan pengkritik, pengkritik dengan sejarahwan dan politikus. Hubungan profesion ini harus berlaku secara profesional dan alami. Ekosistem yang saling melengkapi ini akan memastikan kelangsungan kebudayaan bangsa yang maju.

Namun di sini, realitinya jauh menyimpang dari ideanya. Kesemua bakat yang kita ada, hanya tahu dan berebut untuk mendapatkan satu ‘lauk’ sahaja, iaitu – untuk popular dan menjadi selebriti. Bagi karyawan ini, apa pun bentuk muzik, lagu dan lirik yang mereka buat, hanyalah ‘sudu dan garpu’ untuk memugar ‘lauk’ ini. Sebanyak mana pun program infotainment dan edutainment, juga untuk mencapai maksud ini. Sebanyak mana pun akademi muzik atau sekolah seni yang ditubuh, juga untuk memenuhi kemaruk budaya popular sebegini. Adakah ini Pop Culture yang kita maksudkan? Penyakit ini menular kepada semua, individu,masyarakat dan ia menjadi polisi sosial. Budaya popular harus disadap dengan pengetahuan dan kematangan, bukan dengan hiburan murahan.

Budaya kita semakin suram dan menggelap. Entah apa yang mengepong fikiran kita untuk memahami budaya dan peranannya. Persepsi kita (awam) dibentuk oleh media yang menjadi alat untuk survival tuan-tuan politik mereka. Tidak kira apa jua isu, moral, agama, seni dsb. Pandangan politik ini rata-ratanya prejudis dan mentah, dan meresap masuk ke dalam pemikiran awam. Jelas, urutan proses ini menjadi tanda bahawa perangai bangsa ini culas.

IV.

Antara contoh paling hangat satu ketika dulu, kontroversi tentang lagu Negarakuku. Lagu ini disifatkan sangat politik, ekspresi artis ini dianggap oleh beberapa pihak sebagai provokatif, menghina bangsa dan lagu Kebangsaan, sentimen ini merebak, apatah lagi Namewee seorang Cina yang belajar di Taiwan. Kupasan tentang isu ini hanya datang dari orang politik dan aktivis politik. Politik sememangnya kerja memanipulasi, hujah mereka adalah hujah politik. Itu tidak dipertikai.

Dalam kehangatan suhu politik pada masa tu, pada waktu yang sama, tiada ‘pembedahan’ secara klinikal tentang lagu ini dari kalangan ahli muzik. Sedangkan kita tahu, karyawan kita juga punya pandangan, kritis dan kreatif. Ada Profesor, ada gelaran Doktor Falsafah. Namun, sehingga hari ini, mereka tiada respon, semacam bersembunyi dan menjauh dari isu untuk menyedarkan awam tentang isu lagu tersebut. Bukankah isunya berkaitan muzik yang sewajarnya penghujahan dan diagnosis datang dari pemuzik yang arif dalam bidang tersebut. Sekurang-kurangnya, dari pandangan mereka yang ahli dalam bidang itu, semua pihak akan mendapat justifikasi yang lebih jelas dari sudut ilmu pengetahuan – bukan sekadar pandangan politik, yang akhirnya menjadi trend songsang ikutan masyarakat.

Barangkali, inilah punca berlakunya monopoli/dominasi pandangan politikus ke dalam (persepsi) ruang awam, ia disebabkan dari kelemahan orang muzik itu sendiri. Mereka tidak berfungsi dan tidak memainkan peranan. Barangkali juga, karyawan kite cetek pengetahuan untuk berhujah, berhujah walau dengan segagap manapun, ia masih tetap bererti – tanda kita punya kepercayaan dan keyakinan. Inilah yang releven kepada masyarakat.

Tidaklah mengejutkan bagi kita jika lagu Negarakuku ini dijulang oleh politikus oposisi. Lagu ini memenuhi kehendak propaganda sebelah kiri untuk melawan propaganda arus kanan. Jika boleh dijadikan contoh perbandingan, kualiti lagu Negarakuku ini tidaklah setara pun dengan lagu ’Fear the Boom and Bust’ F.A Hayek vs. Keynes Rap Anthem. Lagu ini dari segi temanya lebih segak bergaya berbanding Negarakuku. Ungkapan lirik tentang teori-teori ekonomi yang tinggi dan serius ini diolah begitu efisyen sekali. Not-not sangat ekonomis! Dengarkan ritmanya, susunan muzik, lirik yang bold dengan freezing yang meransang. Walaupun tidak menggunakan banyak instrumen, tetapi mixing bunyi sangat bagus. Ringkas, padat dan mengesankan. Muzik videonya juga menarik. Inilah yang dikatakan pop culture.

Berbanding dengan lagu Negarakuku, elemen ritmanya sangat lemah, kualiti bunyi juga sangat buruk, seperti rakaman di dalam sebuah almari baju. Yang melayakkan ia sebagai muzik hanyalah kerana adanya tempo, jika dicabut tulang sendi lagu ini – hilanglah roh muziknya, jadilah ia prosa yang merapu-rapu tanpa haluan ritma yang mengesankan. Syncopation antara rap dan Negaraku terlalu biasa, seperti accidental tanpa konstruk ritma antara exit dan entry not. Bunyi synthy juga flat, seperti menggunakan autotune. Juga tiada accent pada mana-mana not atau word (perkataan). Hip-hop tidak sempurna komposisinya, seolah-olah dia sedang bercakap tanpa emosi – nyanyian atonal, attacking phrase tidak nyata, rap tidak ada soul. “Is this modern?“ tanya Emperor dalam filem Amadues.

Lirik lagu ini sekadar gimik – cut and paste. Ia hanyalah kata-kata sinikal yang ‘dilirikkan’ untuk sebuah lagu. Dari segi muzikalnya – tone nyanyian lagu ini tidak synchronize dengan muzik, barangkali ini disebabkan kualiti mixing yang murah kosnya. Susunan muzik pula tidak memenuhi elemen yang diperlukan sebagai lagu hip hop yang hot. Dan, walau setelah mendapat perhatian meluas oleh media dan masyarakat. Lagu ini tidak menjadi siualan ramai termasuk oleh golongan oposisi itu sendiri.

Tidak pula dinafikan inisiatif Namewee untuk mencabar kreativiti dalam memenuhi ide tentang kebebasan berekspresi itu baik. Namun, sekurang-kurangnya, hal-hal teknikal/fundemental tidak boleh dikompromi.

V.

Dekad 80-an dan awal 90-an, zaman kuasa politik menunjukkan pesonanya dengan penggubalan akta yang sombong, yang melumpuhkan peranan seni budaya. Masih kita ingat kes rockers berambut panjang. Jika diamati, rambut panjang atau seluar koyak hanyalah hal permukaan dan bersifat sementara, tetapi di dalam wayang ini, tujuan sebenar adalah untuk memperaga kekuatan politik menterinya.

Di zaman umat Melayu dan Sultannya ‘hidup bersama’, kita ketahui wujudnya sanggar-sanggar seni budaya untuk main bangsawan, wayang dan muzik. Pentas (sanggar) ini merata di ceruk-ceruk kampung dan mukim, ini menjadi tradisi yang molek dalam sebuah tamadun. Tetapi setelah manusia Melayu ‘pandai’, maka sanggar-sanggar untuk persembahan ini diwajibkan mendapat permit dan kelulusan protokol dari tuan politik. Sanggar-sanggar zaman itu – pada masa ini samalah dengan pentas gig anak-anak muda. Tujuan politiknya adalah untuk menghambat, melemah dan seterusnya menyekat kebebasan kreatif anak muda bangsanya sendiri.

Budaya politik korup menyusup masuk jauh ke dalam kreativiti orang muzik, budaya korup ini juga menyemai benih kebodohan ke dalam sistem pendidikan – yang akhirnya kita belajar secara sistematik untuk menjadi bodoh.

Budaya indipenden bukanlah aset yang mudah diperolehi dan dibentuk. Ia datang dari kesedaran individu. Apakah kita sebagai individu atau kelompok awam, tidak berhak memiliki stesen penyiaran seperti stesen radio sendiri?. Adakah terdapat dasar-dasar penyiaran dan penerbitan yang ‘mengalu-alukan’ karyawan indipenden seperti kita ini? Tiada. Mana mungkin pasaran mampu berkembang sekiranya persaingan tidak terbuka. Polisi-polisi politik yang korup inilah yang merosakkan budaya – muzik dan industrinya.

Dalam kekacauan budaya di arus perdana, kita mengharap akan ada budaya baru yang dibawa oleh seniman dari arus oposisi/kiri. Kebelakangan ini, setelah muncul crowd politik yang baru [pasca 8 Mac], karyawan arus kiri sudah berselera menggubah karya-karya yang bersifat politik. Walaupun belum begitu banyak, ia masih merupakan satu perkembangan menarik dan bagus. Tetapi, bila kita perhalusi, karya mereka juga senada dengan retorik politikus oposisi. Ide dalam muzik mereka adalah ide politikus, bukan ide pemikiran seniman. Budaya korup ini rupanya berjangkit dari arus perdana ke arus oposisi, dari politikus kepada karyawan.

Kita sedar, kebanyakan politikus, sama ada yang kanan atau kiri, kualitinya sama sahaja. Karyawan kiri atau kanan, sama ada dengan lagak gaya rugged, rebel atau revolusioner bukanlah perkara penting. Tetapi sikap (attitude), yang kebanyakannya sambil lewa pada mutu kerja. Sebagai seniman kiri – ‘rakyat’, yang menggarap ide, yang menyanyi tentang korup, yang melaung syahdu tentang keadilan, yang menjerit hantu altantuya, kapal selam, liwat, sodom dsb. harus lebih menggugat, bukan tangkap muat. Kita mendengar karyanya seperti tidak siap, lemah teknikalnya, miskin produksinya. Bagi karyawan ini, ungkapan yang klise tidak menjadi hal. Mereka yakin itulah yang dikatakan reform, inilah yang paling trendy. Inilah kualiti karyawan arus kiri yang diharapkan – hanya fatamorgana.

Benar, seniman yang aktif pasca 97/98 [gawat ekonomi dan politik], harus mengambil peluang pasaran di mana-mana pun, termasuk pasaran khalayak politik yang baru ini, crowd ini sanggup membeli dan membayar untuk karya politik yang mengutuk ‘politik pemerintah’. Kutuk-mengutuk ke atas pemerintah (kerajaan) merupakan hiburan popular yang sangat laris ketika ini. Tidak salah seniman oposisi/kiri mengambil sedikit manfaat dari perubahan politik ini. Hambatan ekonomi dan kewangan dalam berkarya bukanlah alasan atau metos, ia sememangnya realiti. Dan, realiti ini sememangnya memerlukan usaha yang praktis. Teringat filem ‘Short Cut to Happiness‘ arahan Alec Baldwin 2004.

Karya yang ‘bermain bahasa politik’, harus ada releven seninya, ada kewajarannya. Praktik mengambil ‘ceramah’ politik dan menampalnya kedalam lagu akan membudaya, dan ini adalah sifat seorang opurtunis – lahirlah budaya sedemikian. Tidak salah, tetapi tidak bagus. Dari dua puluh empat juta rakyat malaysia, dengan nisbah HANYA sekitar, tidak sampai satu peratus darinya adalah karyawan. Dan di dalam satu peratus ini HANYA ada satu dua ketul seniman yang serius, ada passion dan jelas matlamat berkarya. Jika seorang ahli ekonomi menilai situasi ini, industri kita ini layaknya tiada apa-apa, tiada aset. Industri yang tiada aset bermakna industri itu tidak ekonomis, bererti tiada penghidupan di dalamnya. Tidak aneh, kebanyakkan karyawan kita, berkarya sebagai part timer. Ketahuilah, tidak ada legenda sebagai part timer. Tidak akan ada masterpiece yang datang dari part time job.

V.

Tentang harga syiling sebuah album, kita menyamakan harga jualan CD di Amerika dengan harga tempatan. Di Amerika contohnya, purata harga CD album sekitar USD10. Jika ditukar ke dalam ringgit harganya sekitar RM33. Kerajaan kita telah menetapkan harga syiling album seunit sekitar antara RM29 ke RM35. Sedangkan kita sedia maklum, pendapatan perkapita rakyat kita tidak setara berbanding di US mahupun di Eropah. Kuasa beli pendengar kita sudah tentu berbeza dengan pendengar di luar. Telah menjadi fakta sejarah – setelah kerajaan menetap dan mengawal harga syiling album pada awal tahun 90-an, kuantiti dan kualiti album/karya terus merudum. Terbukti, polisi ini sama sekali salah dan gagal. Idea ini, tidak memahami konsep budaya itu sendiri.

Sayuran yang kita tanam tidak perlu mengikut harga pasaran di Amerika atau di Jepun. Hasil tangkapan laut di perairan negara kita tidak wajar mengikut harga sotong di Venezuela. Semua ini bersumber dan dimanfaatkan oleh rakyat tempatan. Apakah dengan meletak harga yang sama dengan harga pasaran di luar maka kualiti karya kita akan setaraf dengan produk antarabangsa?

Hak untuk meletak berapa harga sekalipun tidak perlu ditentukan oleh orang di luar industri – kerajaan. Harga CD adalah hak penerbit dan karyawan. Terpulang kepada individu, kumpulan atau syarikat untuk menjualnya dengan berapa harga sekalipun dan terpulang kepada masyarakat untuk memilih harga yang terbaik. Harga yang ditawar bergantung kepada permintaan. Jika sememangnya karya atau artis itu bagus, berapa harga sekalipun, mereka sanggup membayarnya. Dalam lapangan industri sebegini, tiada tempat untuk cetak rompak bernafas. Tiada istilah monopoli. Dan, tiada lagi hegemoni media. Inilah budaya yang dinamik.

VI.

Kesan terhadapnya cukup besar dan berangkai-rangkai – tetapi tersembunyi (hidden). Kini, dengan harga album yang mahal, dengan kualiti dan kuantiti yang masih rendah, dan dengan budaya apresiasi masyarakat terhadap karya seni yang masih lemah – maka ini menjadi pakej kemusnahan yang total.

Yang dikatakan tentang ‘menikmati muzik’ itu, telah hilang dalam masyarakat kita. Sebaliknya kita sedang melalui zaman kelesuan budaya, ia hanya menjadi hiburan dan jenaka yang tidak serius dan tidak profesional. Adakah orang politik yang menentukan dasar-dasar ‘gelap’ ini terus berjalan? Apakah ada upaya kita untuk mencerah budaya bangsa ini? Frank Zappa, memaafkan kebodohan seseorang tetapi sangat mengecam kejahilan. Dan, industri muzik kita sedang berada dalam dunia kejahilan – kegelapan.

Pandangan peribadi ini tidaklah ‘sepopular’ pandangan-pandangan ‘popular’ yang sudah sedia ada di pasaran. Catatan ini juga bukan bertujuan untuk menghasilkan lagu yang enak-enak atau menghasilkan lagu politik yang ‘popular’ – tidak mungkin. Manusia hanya akan menjadi bagus bila ia hidup dalam ruang tradisi kerja yang bagus, subur dan bertamadun. Kelahiran mereka yang berkualiti inilah yang akan mencipta muzik untuk kita semua nikmati. Mungkin aneh – kita semua mendengar muzik yang sama didengar oleh bangsa dari benua lain. Tetapi, kualiti penghasilan karya kita tak tersaing dengannya.

Lagu sememangnya bersifat politik, ia harus diperdengarkan kepada umum, maka ia lengkap sebagai satu karya. Jika tidak demikian, maka mainkan sahaja lagu-lagu kita di dalam jamban. Jika aku seorang sufi – aku tidak ingin bermimpi menjadi makhluk bernama muzik, aku juga tidak mahu hidup sebagai muzik, lebih-lebih lagi di Malaysia ini.