Saat Fajar Menyinsing © David Astley

Beliau lahir di Baghdad pada 1926; Abdul Wahab al-Bayati yang menulis puisi—aku meminjamnya hari ini—ketika menyertai pergerakan “massa Tafila” antara 1945 hingga 1957. Tajuknya “Ucapanku” ringkas saja:

Tuan dan puan
Ucapanku ringkas saja
Aku bimbang ia memakan masa.
Lidahku
Bukan batang kayu.
Bicaraku, puan, adalah emas,
Bicaraku, tuan, adalah sebuku kemarahan.
Aku tidak mabuk, cuma letih.
Lilin mula meliuk-liuk lalu padam,
Malamku semakin dingin.
Aku bawa jiwaku dalam bekas kosong,
Seperti anak yang sudah mati,
Kerana pengkhianatan dan muslihat murahan.
Ucapanku ringkas saja,
Dan aku tidak mabuk, hanya melayan derita.
Aku tidak punya kuasa:
Rome sudah hancur
Batinku kelemasan,
Kerana berjuta pengkhianatan dan muslihat mereka.
Selamat tinggal
Tuan dan Puan
.

Rome sudah hancur! (Aku tukar maksud kota itu kepada; seni-budaya—barangkali sama saja). Kehancuran adalah tragedi dan sejarah. Mustahil ia kembali—menyamai yang lama, yang sudah hancur itu. Pada zaman Kuala Lumpur dan Malaysia ditiup pembangunan materialisme seperti hari ini; kota yang disebutkan Abdul Wahab, sesungguhnya sebuah Rome yang sudah hancur!

Begitu juga dengan bertempiarannya manusia Melayu seawal 1970-an, mencari serpihan kehancuran abad ke-15 apabila kota Melaka juga hancur! Atau ada yang berkata kegemilangan yang hilang atau disembunyikan (?), atau apa saja. Mudahnya ini juga kehancuran.

Ramai masih ingat pada 1973 berlangsung Kongres Kebudayaan Kebangsaan di Kuala Lumpur. Enam tahun sejurus itu, sekolah seni lukis di Universiti Teknologi Mara (dulunya ITM) membicarakan pula doktrin “Akar-Akar Pribumi.”

Rupa-rupanya inilah `kota’ yang hancur, hilang dan perlu dicari gali, dikutip; manusia Melayu yang tercabut akar budayanya – untuk terkumpul semula agar membangunkan kembali kota yang punya wajah seraut berteraskan seni budaya sendiri. Inilah juga identiti. Tetapi i.d.e.n.t.i.t.i mungkin persis kota Rome yang hancur—juga kota Melaka.

Nama Sulaiman Esa dan Redza Piyadasa pantas mengambil posisi paling progresif dalam urusan kesenian nasional, demi maksud itu, tentunya. Lahirlah pelukis yang tidak dapat tidak dilonggokkan bersama dalam generasi Akar-Akar Pribumi. Sesiapa saja yang hadir sekitar 1980-an adalah generasi itu. Apakah mereka pada hari ini berbangga dengan segala itu? Atau kecewa?

Cuba bayangkan dalam gerembolan itu, terselit nama wanita yang lahir pada 21 April 1879 iaitu Raden Ajeng Kartini; perempuan Jawa yang akhirnya dikenal sebagai pejuang besar kemerdekaan Indonesia. Dia hebat menghalau Belanda, tetapi juga seorang pelukis. Ibu Kartini turut mengenali Barat—barangkali lebih daripada mengenalinya semata-mata—seperti Piyadasa, Sulaiman atau sesiapa saja yang melihat Barat sebagai Barat.

Dengan lukisannya sudah memberi bukti dia cukup kenal dengan Barat yang pada masa sama tegas menjadi musuhnya. Sebuah lukisannya dengan imejan bunga teratai dalam tasik adalah daripada medium pensil. Sebuah lagi lanskap tepi pantai ketika mentari undur diri; mediumnya arang. Paling jelas dengan perbandingan medium adalah lukisan tiga anak kucing, (medium) cat air. Barangkali subjeknya cukup jenaka!

Adakah kerana itu (medium), Ibu Kartini tiba-tiba dituduh pengkhianat, sedang rakyat tahu dia sejak awal turut menentang penjajahan Barat. Berputaran pun dunia menjadi lebih ligat daripada biasa, dia tetap meletakan teras perjuangan yang jelas dalam dirinya; melihat tanah air yang perlu dibangunkan generasi merdeka, juga bermaruah dan ada seni budaya sendiri. Lantas, medium tidak lagi menjadi soal melainkan sengaja dipersoalkan, di sini.

Akar Pribumi; aku ingin bertanya, adakah pernah berlaku sejak penjajah balik, pengertian merdeka dan maruah (bukan hanya imejan) pada arus seni budaya selama ini? Melainkan segala-galanya diusahakan Eropah Barat untuk kita langsung guna pakai dengan terus bangga, tanpa banyak bicara. Tanpa banyak jaringan sempurna.

Dengan sedar, atas hakikat seni budaya yang merdeka dan bermaruah adalah anjakan akal dan jiwa – untuk tidak runtuh seperti kota Rome—maka pemikiran adalah sesuatu yang wajar diutamakan dalam arus perubahan itu. Sebutir falsafah biarpun muda seolah-olah mendirikan kota keunggulan daripada terus berkubu di bawah lubuk lama. Akar tetap akar dan masa yang beredar memerlukan pengisian yang lebih bermakna. Apalah erti akar sekiranya pohon langsung tidak mahu tumbuh.

Setidak-tidaknya Ibu Kartini dikenal sebagai pejuang yang melihat derita rakyat yang tertindas oleh sesiapa saja. Seawalnya dia memang punya pengertian tegas kepada merdeka dan maruah bukan hanya identiti juga kepada apa juga bentuk yang hadir selepas itu, yang dengan sendirinya boleh membina identiti bangsa merdeka.

Di sinilah sebenarnya nurani yang tersimpul dalam akar pribumi yang Belum—atau memang tidak pernah pun—ditegaskan. Pelukis boleh membina nama daripada tindihan, pengkhianatan dan muslihat tanpa memperdulikan matrik atau tanpa menyuara suara rintihan manusia terbawah di dalam karya.

Jika benar Akar-Akar Pribumi yang menjadi tunjang kepada pewujudan pelukis sezaman, massa seni nasional hari ini wajib berdepan dengan kenyataan terbalik, serba aneh. Jarang berlangsungnya perbincangan ilmiah, pada ketika lukisan boleh terjual dengan harga melambung.

Atau, tidak terlihat pelukis bersama anak kampung berbogel di tepi sawah; melainkan anak itu akhirnya berada di dalam lukisan yang terlelong—konon untuk membantu mereka yang malang. Apatah lagi galeri seni lukis yang tiada pernah tegas menyatakan pendirian dan kegelisahan rakyat, juga seni budaya, melainkan menjadi tempat seniman menyombong diri sambil di kafenya minum secawan kopi.

Pergolakan sekitar 1970-an itu seakan-akan berjaya diredakan oleh umpan Akar-Akar Pribumi yang tidak lain cuma untuk menghadirkan matriks yang hegemoni juga. Ini semua tidak ubah seperti panggung opera yang dipalu gong penuh rancak, tetapi apabila orang ramai tiba, sandiwaranya tidak menyatakan realiti manusia yang sedang menonton di bawah ini. Yang dioperakan cuma cerita raja dari kayangan yang suka beristeri ramai.

Rome atau Melaka—kau juga Kuala Lumpur!—tidak boleh hancur hanya kerana dibedil peluru dan senjata. Kota boleh hancur kerana hilang pengisian seni budaya yang terus hidup; sedangkan seni budaya Rome terbeku dulu sebelum runtuh. Rome yang hancur nampaknya tidak lagi mahu belajar secara ikhlas daripada benarnya sejarah.

Seni budaya wajib terus mengalir. Selepas itu suburlah ilmu. Lahirkan harapan dari kehancuran kota lama. Kepada seni budaya yang turut sama hancur bersama kota Rome; bersemadilah dengan aman.

*Tulisan ini pertama kali terbit pada 27 November 2000 di akhbar Berita Harian dengan tajuk, “Kota hancur apabila tiada pengisian budaya”.

Abdul Wahab al-Bayati Akar Pribumi Hasmi bin Hashim Kongres Kebudayaan Kebangsaan Kuala Lumpur Melaka Raden Ajeng Kartini Redza Piyadasa Rome Sulaiman Esa

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan