Rachel Weisz memerankan Hyapatia dalam Agora.

Agora–tempat terbuka untuk perkumpulan warga di kebanyakan kota-kota zaman Greek, dari zaman Cycladic hinggalah ke zaman Rom. Letaknya ada banyak merata di antara pinggiran Laut Aegean hinggalah ke Iskandariah di benua Afrika. Agora ini menjadi tempatnya orang bertemu untuk bersosial, berdagang dan melakukan perdebatan terbuka dalam apa jua perkara dan cabang ilmu. Dalam kata lain, Agora adalah tempatnya di mana kehidupan masyarakat Greek berkisar sehari-hari.

Agora, tahun ini menjadi tajuk sebuah filem karangan dan arahan, Alejandro Amenábar, dalam genre drama historikal, memaparkan sebuah kisah yang diriwayatkan telah berlaku sekitar tahun 391 AD di Iskandariah, Mesir. Filem yang mengisahkan akan kehidupan Hypatia di saat genting sejarah kerajaan Rom Mesir berhadapan dengan pertembungan kebangkitan Kristianiti di Mesir dan mengekalkan status quo pemerintah ketika itu dengan masyarakat Iskandariah.

Siapa dia Hypatia? Anak dara kepada Theon al Iskandariah, seorang sarjana dan ahli matematik telah menyunting dan menyusun Elements karangan Euclid dan juga Handy Tables karangan Ptolemy , mengikut catitan ensiklopedia Binzantin abad ke 10, Suda, Hypatia dikatakan lahir di antara 350 AD dan 370 AD di Iskandariah. Mengembara hingga ke Athens dan Itali, Hypatia menimba ilmu matematik, falsafah, astronomi dan sains. Bertahun kembara, Hypatia mengikut jejak langkah bapanya, untuk menjadi seorang guru matematik, falsafah dan astronomi yang terkenal di zamannya. Terbilang di dalam tradisi matematik Akademi Athens yang diwakili Eudoxus dari Cnidus, Hypatia mengikut sekolah pemikiran abad ketiga Plotinus, yang tidak menggalakkan pertanyaan empirik tetapi lebih menggalakkan kepada kajian matematik dan logik.

Alejandro, di dalam filem beliau yang bertaraf epik ini, telah membawa penonton kembali menyorot ke zaman itu, suasana di mana masyarakat hidup di saat pertembungan agama, politik dan intelektualisme. Hypatia yang dilakonkan oleh aktres jelita, Rachel Weisz, mampu menangkap fantasi penonton setiap kali memikirkan mengenai bagaimana rupa Hypatia itu. Hypatia, sebagai guru di sekolah Platonik, di dalam Perpustakaan Iskandariah yang gah–tempat di mana pemimpin masa depan Iskandariah dan Empayar Rom menerima pendidikan; guru kepada anak muda Iskandariah ketika itu, antara murid-muridnya adalah Orestes (lakonan Oscar Isaac) dan Synesius (lakonan Rupert Evans), dan juga sering ditemani hambanya, Davus (lakonan Max Minghella) yang menyimpan perasaan cinta kepada Hypatia. Hypatia menunjukkan keghairahan dan kecintaannya kepada ilmu matematik, sains, falsafah dan astronomi, sehinggakan mengikut sejarah, kekal dara dan tidak berkahwin sehingga ke akhir hayat demi untuk mengekalkan dirinya bebas untuk terus berada dalam dunia akademia. Kehebatan Hypatia digambarkan oleh Socrate Scholasticus di dalam karyanya Ecclessiatical History abad ke 6, sebagai:

Hyapatia menunjukkan seperca kain putih kepada Orestes.

“Ada seorang wanita di Iskandariah bernama Hypatia, anak kepada filasuf Theon, yang telah memiliki pencapaian yang jauh mengatasi filasuf lain sezamannya di dalam bidang sastera dan sains. Dengan tauliah di Sekolah Plato dan Plotinus, dia menerangkan prinsip-prinsip falsafah kepada anak muridnya, yang hadir ramai dari merata pelusuk untuk mendengar ajarannya. Di atas nilai dirinya yang berdikari dan tenang, yang telah dia perolehi hasil dari jiwa yang terdidik, dia tidak jarang tampil di khalayak di hadapan majistret. Tidak dia merasa malu untuk berhadapan dengan himpunan kaum lelaki. Untuk semua lelaki yang tahu akan kehebatan darjat dan kebaikan dirinya akan tetap bertambah kekaguman mereka.”

Walaupun seorang yang atheis, murid Hypatia ketika itu terdiri daripada mereka yang atheis dan juga beragama Kristian. Orestes, telah secara terbuka menyatakan kecintaannya kepada Hypatia, namun sebagai balas, Hypatia menghadiahkan sehelai perca putih dengan kesan darah haidnya ditengah-tengah,

“Orestes, you say you have found harmony in me, Well I am suggesting you look elsewhere because I think there’s little harmony or even beauty in that, don’t you agree?” Hypatia menyindir Orestes.

Di satu sisi pula, masyarakat bawahan; terdiri daripada hamba kebanyakan lebih tertarik kepada ‘roti’. Menggambarkan Kristianiti di saat kebangkitan, penulis filem ini telah memilih untuk menunjukkan bahawa agama itu hadirnya dengan roti. Roti diberi dan dihulur oleh para mubaligh Kristian ini kepada mereka yang fakir dan kelaparan lantas mengangkat khidmat mereka ini sebagai satu tugas kepada Tuhan. Autoriti akan apa itu benar juga dibolot oleh penganut-penganut Kristian tersebut. Mereka yang dipimpin oleh seorang bishop bernama Theophilus (lakonan Manuel Cauchi) dengan dibantu oleh orang kanannya, Ammonius (lakonan Ashraf Bahrom) dan Cyril (lakonan Sami Samir), telah menggerakkan misionari Kristian di Iskandariah dengan mencabar sarjana-sarjana falsafah ketika itu dengan aksi-aksi mukjizat seperti berjalan merentasi bara api dan juga mencuri hati golongan hamba dengan terus-menerus membekalkan roti dan makanan kepada mereka. Mereka menyebarkan ajaran Kristian di agora kepada orang ramai dan terus-menerus mempersoal dan mencemuh serta mencerca patung-patung Tuhan pagan.

Pertembungan hebat ini semakin keras dan deras sehinggakan mereka yang elit dan pagan ini, sudah tidak tertahan lagi dengan ancaman kepercayaan yang dibawa oleh mereka yang Kristian. Bersenjatakan pedang, dengan arahan Olympius (lakonan Richard Durden) mereka telah menyerang penganut Kristian yang sedang berkumpul di Agora. Namun dek kerana sedikitnya bilangan mereka ini, penganut Kristian dengan dibantu poralobanos; askar-askar Kristian, telah kembali menyerang dan memaksa mereka dari sekolah Platonik ini untuk berundur kembali ke Perpustakaan Iskandariah dan menyebabkan mereka terkepung di dalam Perpustakaan ini.

Kepungan terus berlangsung dan yang memisahkan di antara orang Kristian dengan mereka yang tercedera dan kelaparan di kalangan pelajar dan guru di Perpustakaan ini hanyalah, segerombolan askar Rom yang berkawal di luar Perpustakaan. Demi mengakhiri drama pengepungan ini, Maharaja Rom, telah mengisytiharkan pengepungan ini berakhir dan sebagai ganti, perpustakaan ini akan dimasuki orang-orang Kristian di mana semua pelajar dan guru di Perpustakaan Iskandariah dihalau keluar. Maka musnahlah khazanah penting Iskandariah ketika itu, segala macam manuskrip dan teks penting ilmu matematik, astronomi, falsafah dan sains dimusnahkan. Tidak terkecuali patung-patung pagan dan segala skulptur turut diroboh. Di saat ini, Davus, yang sememang amat dalam cintanya pada Hypatia, terpaksa memilih waima untuk terus mengikut Hypatia dan menjadi hamba, atau memilih kemerdekaan dengan bersama orang Kristian yang sedang merusuh. Akhirnya Davus memilih untuk memerdekakan dirinya. Maka terputuslah hubungan Davus dan Hypatia untuk bertahun lamanya.

Filem kemudian membawa penonton beberapa tahun ke hadapan di mana landskap sosio-politik Iskandariah telah berubah. Orestes, anak murid Hypatia, telah dibaptiskan sebagai seorang Kristian dan telah maju di dalam karier politiknya. Dia kini seorang Prefect kerajaan Rom di Iskandariah. Seorang lagi murid Hypatia, Synesius pula telah menjadi Bishop Cyrene. Sementara itu, Bishop Theophillus yang telah uzur, meninggal dunia. Posisi beliau sebagai Bishop Iskandariah diambil alih oleh anak saudaranya, Cyril (lakonan Sami Samir). Davus pula kini seorang porabolanos. Merdeka dan yakin bahawa dia sedang menjalankan amanah Tuhan ke atas dirinya. Beralih dari penghambaan kepada manusia kepada penghambaan kepada Tuhan atau lebih tepat penghambaan kepada mereka yang mendakwa bahawa kata-kata mereka adalah kata-kata Tuhan.

Hypatia kini, walau sudah tidak lagi mengajar, masih lagi meneruskan kajiannya mengenai pergerakan bumi dan bintang serta letak duduknya matahari sebagai pusat sistem solar seperti yang kita kenali hari ini. Kendatipun pengaruh pagan atau Greek kuno telah merosot, namun pertembungan agama masih berlaku. Konflik terus timbul antara orang Yahudi dan Kristian. Tuduh-menuduh, rejam-merejam akhirnya membawa kepada pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi oleh orang Kristian. Hypatia mengecam tindakan ini ketika perhimpunan majlis di hadapan Prefect. Seorang wakil Kristian mempersoal kredibiliti Hypatia kerana dia seorang ateis;

“What do you ever believe in, Hypatia?”
Hypatia menjawab “ I believe in Philospohy”.

Cyril melihat ini dengan tidak senang. Dia merasakan Hypatia terlampau kuat pengaruhnya ke atas Orestes. Untuk itu, Cyril merencana satu majlis keagamaan demi memaksa Orestes untuk menguasai Hypatia. Orestes menolak. Rusuhan berlaku sehinggakan akhirnya Ammonius dihukum bunuh kerana telah mencederakan Orestes. Orestes di dalam dilema. Synesius, sebagai seorang Bishop, bersama Orestes, cuba untuk memujuk Hypatia agar memilih Kristianiti dan membenarkan dirinya dibaptiskan di khalayak umum. Hypatia enggan.

“Synesius, you don’t question what you believe, or cannot.”
“I must.”

Akhirnya Hypatia tidak dapat diselamatkan lagi. Dia ditawan oleh porabolanos. Hypatia telah diheret ke Gereja Caesareum. Dia telah ditelanjangkan dan dicemuh. Mati menjadi pengakhiran. Mati di tengah-tengah konflik kuasa dan agama kerana keenggananya tunduk pada desakan politik dan kerana perbezaan dalam kepercayaannya dengan arus semasa.

Saya tidak mahu ulas babak kematian Hypatia ini kerana mengikut ahli kaji sejarah Kristian, Socrates Scholaticus di dalam karyanya Ecclesiastical History, Hypatia dikatakan telah ditelanjangkan dan diheret ditengah Agora sehingga ke gereja Caesareum. Di gereja ini, kulitnya telah disiat-siat dan akhirnya mayatnya dibakar di hadapan khalayak. Tetapi di dalam filem ini, pengarah telah memilih untuk menggambarkan saat akhir Davus bersama bekas tuannya, Hypatia, sebelum menemui ajal. Davus telah melemaskan Hypatia sehingga ajal dan barulah porabolanos lain merejam Hypatia kerana menyangkakan Hypatia hanya pengsan.

Filem ini, berasaskan sejarah, menunjukkan betapa bagaimana kompleksiti intelektualisme, agama dan politik bersaling kait di antara satu sama lain. Bagaimana permainan kuasa sang pemerintah dengan autoriti agama dan bagaimana mereka yang kononnya mewakili Tuhan, mempergunakan autoriti itu untuk menyatakan yang kebenaran hak milik mutlak mereka. Kuasa politik dipamerkan dalam filem ini sebagai satu entiti yang akan cuba untuk memenuhi kehendak semua pihak tetapi akhirnya yang akan dipuaskan adalah mereka yang teramai dan mampu mengekalkan mereka (baca:pemerintah) di tampuk kuasa. Agama pula pada asalnya hadir dengan belas ihsan terhadap manusia tetapi akhirnya mengekalkan kedudukan mereka dengan mata pedang – jauh dari sifat kasih dan penyayang yang dituntut agama. Kompromi dan toleransi ditolak tepi. Kata-kata Tuhan akhirnya dijadikan tunggangan demi memenuhkan nafsu mereka (baca:pemilik autoriti agama) untuk bermain dengan kuasa dan mengekalkan status yang tinggi dalam masyarakat. Kedua-dua, politik dan agama, memilih untuk tidak menyatakan apa yang benar dan melakukan apa yang betul, demi mengekalkan status mereka sebagai autoriti ke atas masyarakat.

Dr. Afif Bahardin
, seorang pegawai perubatan yang bertugas di utara tanah air. Jika tidak membaca, dia menonton filem. Tapi semua itu dilakukan apabila dia tidak perlu merawat pesakit atau tidak berada diatas panggilan.