Tarikh 4 Januari 2010, dunia menyaksikan berdirinya sebuah mercu tanda seni bina dan kejuruteraan dalam dekad pertama abad ke-21. Kemampuan kewangan Emiriah Arab Bersatu yang didukung oleh dua bandaraya, Abu Dhabi dan Dubai, diterjemah dalam memajukan hartanah seluas 490 ekar sebagai Pusat Bandar Baru Burj Khalifah di Dubai yang menelan belanja hampir USD 20 bilion. Sebahagiannya, iaitu USD 1.5 bilion adalah khusus untuk pembinaan menara ‘Burj Dubai’ atau ‘Burj Khalifa’ setinggi 828 meter. Ia mempunyai 160 tingkat ruang pejabat dan kediaman yang menyediakan 5 juta kaki persegi keluasan lantai.

burj_major
Pemandangan luas Burj Dubai dan sekitarnya.

Menara ini direkabentuk seni bina dan kejuruteraannya oleh sebuah firma dari Chicago, Amerika Syarikat iaitu Skidmore, Owings and Merrill. Kontraktor utama adalah Samsung C&T dari Korea Selatan. Kontraktor tersebut terlibat dalam pembinaan salah sebuah Menara Kembar Petronas di Kuala Lumpur. Burj Dubai sejak dari itu menjadi bangunan tertinggi di dunia mengatasi Taipei 101 di Taiwan yang memegang takhta tersebut selama 4 tahun setelah merampasnya dari Menara Kembar Petronas pada tahun 2003. Malah, ketinggian Taipei 101 diatasi ketika Burj Dubai masih lagi dalam pembinaan.

Sepertimana perasmian Menara Kembar Petronas pada 1998 ketika keadaan ekonomi dunia yang merudum, begitu jugalah perasmian Burj Dubai yang diadakan selepas kegawatan ekonomi dunia pertengahan 2009. Malah dikatakan kedudukan kewangan Dubai tergugat akibat dari keinginan untuk menyiapkan pembinaan tersebut. Tanpa bantuan kewangan dari Abu Dhabi, jirannya yang ‘kaya’ dengan minyak mentah, Burj Dubai berkemungkinan gagal disiapkan. Menamakan Burj Dubai menjadi Burj Khalifa sempena nama Presiden Emeriyah Arab Bersatu, Khalifa bin Zayed Al Nahyan membuktikan kerjasama tersebut.

Lewat pertengahan kurun ke-20 menyaksikan persaingan antara bandaraya dunia memperagakan binaan tinggi masing masing. Antara bandaraya yang terkenal dengan pencakar langitnya setakat hari ini adalah New York, Chicago, Singapura, Hong Kong, Kuala Lumpur, Taipei, Dubai, Shanghai dan Beijing. Adalah jelas bahawa tidak semua bandaraya ‘mesra’ pencakar langit. Menara tertinggi di London iaitu One Canada Square di Canary Wharf, hanyalah setinggi 235 meter, iaitu lebih kurang separuh ketinggian Menara Kembar Petronas. Syarat-syarat binaan di Kota London sangat ketat kerana mengambilkira kepentingan garis langit binaan bersejarah seperti Parliament House dan St Paul’s Cathedral. Malah menara di Canary Wharf itu juga adalah antara yang tertinggi di Eropah.

Kewujudan binaan pencakar langit boleh dikatakan bertolak dari penemuan cara pemprosesan bijih besi menjadi sejenis aloi yang diberi nama keluli. Aloi ini mengandungi sekitar 0.5 % hingga 1.5 % kandungan karbon yang menjadikan ia lebih keras dan kuat berbanding dengan besi tulen yang lebih lembut. Kadar kekerasan aloi ini bergantung kepada peratusan karbon di dalamnya. Kandungan karbon yang lebih akan menambah kekerasan, begitu juga sebaliknya. Pelbagai kaedah pengeluaran diterokai, tetapi yang paling terkemuka oleh Henry Bessemer yang berasal dari England pada tahun 1856. Keluli semakin luas digunakan dalam pembinaan landasan keretapi, stesen keretapi dan jambatan sewaktu revolusi industri di Eropah terutamanya di England. Penggunaan keluli dalam kejuruteraan dipelopori oleh jurutera Britain ternama berketurunan Perancis iaitu Marc Isambard Brunel dan anaknya Isambard Kingdom Brunel.

paddington_major
Stesen Keretapi Paddington di Kota London, England.
clifton_major
Jambatan keretapi gantung Clifton di Bristol, England.

Bagaimanapun keseluruhan penggunaan besi dan keluli dalam kejuruteraan ketika itu lebih tertumpu kepada binaan rentangan melintang seperti bumbung stesen keretapi, terowong bawah tanah dan jambatan.

eiffel_major
Menara Eiffel, Paris, Perancis.

Sehinggalah pada tahun 1889, Gustave Eiffel, seorang jurutera Perancis  dengan dibantu oleh Maurice Koechlin, Emile Nouguier dan Stephen Sauvestre meneroka dimensi baru merekabentuk sebuah struktur besi ‘puddled iron’ setinggi 300 meter untuk ‘Paris Universal Exhibition 1889’. Ia menggunakan 2.5 juta ketul ribet untuk penyambungan keseluruhan strukturnya. Struktur tersebut yang dikenali dengan nama Menara Eiffel pada asalnya hanya sebuah bahan pameran tetapi dikekalkan sebagai manifestasi kejuruteraan era baru menjelang abad ke 20 dan lambang revolusi industri di Eropah. Ia adalah struktur binaan manusia yang tertinggi di dunia ketika itu. Sewaktu bala tentera Jerman di bawah pemerintahan Adolf Hitler menduduki Kota Paris di era Perang Dunia ke 2 pada tahun 1940, beliau pernah bercadang untuk meruntuhkannya, tetapi mendapat tentangan hebat dari beberapa pihak sehingga cadangan itu dibatalkan. Bagaimanapun, menara tersebut sangat berguna kerana ia sangat efektif sebagai menara pemancar untuk sistem komunikasi tanpa wayar.

hitler_eiffel
Adolf Hitler bersama komrad beliau bergambar di Palais de Royale berlatarbelakangkan Menara Eiffel, Paris, Perancis pada tahun 1940.

Sementara perkembangan di atas berlaku di Eropah, dua buah kotaraya lagi yang diwarnai pencakar langit adalah New York dan Chicago di Amerika Syarikat. Apabila menceritakan tentang pencakar langit di Amerika Syarikat, kita tidak boleh mengenepikan sumbangan Louis Sullivan dan Dankmar Adler. Walaupun mereka bukan satu satunya jurutera dan arkitek yang bertanggungjawab ke atas perkembangan binaan pencakar langit di Amerika Syarikat, tetapi penglibatan dan pengaruh mereka dari awal bermulanya era pencakar langit memahatkan nama mereka sebagai pelopor binaan pencakar langit di New York dan Chicago. Louis Sullivan, seorang arkitek yang dikenali sebagai ‘Bapa Senibina Moden Amerika Syarikat’ berkelulusan dari Ecole des Beaux-Arts di Paris, Perancis. Beliau menyertai firma milik seorang jurutera, Dankmar Adler pada tahun 1879. Jenama ‘Adler and Sullivan’ menjadi signifikan setelah terdirinya Bangunan Auditorium Chicago pada tahun 1889, setinggi 17 tingkat yang menggunakan sistem dinding tanggung beban. Keistimewaan bangunan ini selain ketinggiannya, adalah keupayaan akustiknya, hasil kepakaran Adler dan Sullivan.

auditorium
Bangunan Auditorium Chicago oleh firma Adler dan Sullivan pada tahun 1889.

Bangunan pelbagai fungsi ini menyediakan sebuah teater 3000 tempat duduk, sebuah hotel dan selebihnya adalah ruang pejabat, termasuklah pejabat firma Adler dan Sullivan di tingkat atas sekali. Selepas itu firma mereka yang semakin terkenal dengan binaan bangunan pejabat bertingkat, meneruskan projek dengan Bangunan Wainwright setinggi 10 tingkat di St Louis pada tahun 1891, Bangunan Guaranty New York pada tahun 1894 dan Bangunan Pusat Beli Belah Carson Pirie Scott di Chicago pada tahun 1899.

Wainwright Building
Bangunan Wainwright, St Louis, 1891.

Pada ketika itu, pembinaan bangunan bertingkat hanya menggunakan sistem dinding tanggung beban dimana beban keseluruhan bangunan secara prinsipnya ditanggung oleh dinding, terutama dinding di tingkat bawah. Semakin tinggi bangunan, semakin bertambah ketebalan dinding di tingkat bawah. Ini menghadkan ketinggian bangunan dan mengecilkan lagi ruang dalaman bangunan. Perkembangan industri keluli di Eropah dan merebak ke Amerika Syarikat memberikan jalan penyelesaiannya. Adler dan Sullivan diiktiraf sebagai arkitek dan jurutera yang pertama memikirkan penggunaan keluli dalam memberikan revolusi terhadap bidang kejuruteraan iaitu membina bangunan pencakar langit menggunakan struktur keluli, beberapa tahun selepas Menara Eiffel dibina di Paris, Perancis pada tahun 1889. (perlu diingatkan bahawa Menara Eiffel bukanlah sebuah bangunan).

carson_chicago
Bangunan Pusat Beli Belah Carson Pirie Scott, Chicago, 1899.

Pengeluaran besi keluli yang semakin ligat kerana permintaan yang meningkat terutamanya di Eropah telah menyebabkan harganya merudum. Sebagai contoh, harga gelegar keluli Bessemer jatuh dari USD166 pada tahun 1867 kepada USD32 pada tahun 1895. Selain dari kesan kejatuhan harga keluli dan pengaruh Adler dan Sullivan, ada beberapa lagi faktor yang telah memungkinkan kerancakan pembinaan pencakar langit di New York dan Chicago. Kerancakan aktiviti ekonomi di Chicago dan New York yang ketika itu menuju ke arah menjadi pusat kewangan dunia, menuntut lebih banyak ruang pejabat. Harga hartanah melambung naik dan mendesak para pemaju dan kaum pemodal membina bangunan bertingkat yang nyata lebih menjimatkan dan memberi pulangan menguntungkan dari segi sewaan dan jualan ruang pejabat secara kaki persegi.

Selain dari itu, gelombang revolusi industri di Eropah dan Amerika Utara juga turut menyumbang dimana banyak rekaan baru yang telah dikomersilkan. Alexander Graham Bell yang berasal dari Scotland tetapi berhijrah ke Boston, dengan pembantunya Thomas Watson, telah merekacipta telefon pada tahun 1876. Thomas Alva Edison pula, seorang pereka terkenal dari Ohio telah mencipta beribu rekaan baru berkaitan alatan elektrik sekitar tahun 1868 hingga awal abad ke 20. Antara ciptaan terpenting beliau ialah mentol elektrik, sistem bekalan elektrik, janakuasa, bateri lithium dan phonograf. Elisha Graves Otis dari Vermont pula telah merekacipta sistem lif keselamatan untuk bangunan bertingkat pada tahun 1853.

chrysler_major
Bangunan Chrysler, New York, 1930.
empire_major
Bangunan Empire State, New York, 1931.
wtc_major
Bangunan Pusat Dagangan Dunia, New York, 1972.
sears_major
Bangunan Sears, Chicago, 1973.

Turutan rekaan-rekaan tersebut termasuklah teknologi baru dalam sistem perparitan, perpaipan dan pembentungan sangat menyumbang kepada keupayaan para arkitek dan jurutera untuk membina bangunan-bangunan yang lebih tinggi. Pembinaan Bangunan Chrysler di New York pada tahun 1930 setinggi 318 meter memulakan persaingan bangunan pencakar langit sebelum ditewaskan oleh Bangunan Empire State juga di New York setahun kemudian. Bangunan Empire State yang terkenal dengan visual dalam filem King Kong itu siap dibina pada tahun 1931. Pada ketinggian 381 meter, ia menjadi bangunan tertinggi di dunia yang paling lama bertahan sehingga ditewaskan oleh Bangunan Pusat Dagangan Dunia, New York pada tahun 1972. Ia pula dilepasi oleh Menara Sears di Chicago setahun kemudian pada tahun 1973. Dan akhirnya takhta itu dirampas oleh Menara Kembar Petronas, Kuala Lumpur pada tahun 1998.

Abu Dhabi Adler dan Sullivan Bangunan Chrysler Bangunan Empire State Bangunan Pusat Beli Belah Carson Pirie Scott Bangunan Pusat Dagangan Dunia Bangunan Sears Bangunan Wainwright Dubai Eiffel Tower Emiriah Arab Bersatu Hitler Ismail Shariff Jambatan keretapi gantung Clifton di Bristol Pusat Bandar Baru Burj Khalifah Stesen Keretapi Paddington

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan