Akar Pemikiran Hayek

oleh
24 Jun, 2010 | kategori Esei | komen [1] | Cetak | kongsi  

F.A. Hayek di Institute for Humane Studies pada awal 80-an.

Mungkin banyak orang berasa sukar untuk menemukan sebab yang baik untuk ambil pusing tentang sosialisme. Ideologi ini dipercayai telah berkubur, tidak lagi menjadi ancaman. Negara-negara sosialis seperti Cuba dan China telah mula menerima sistem ekonomi pasar, dan begitu juga negara-negara di wilayah  Eropah Timur. Jadi, untuk apa lagi orang-orang liberal, sebagai pendukung utama ekonomi pasar dan musuh utama sosialis bercakap-cakap tentang sosialisme?

Karl Marx, salah seorang perumus terawal gagasan sosialisme moden dan pemacu utamanya, dalam dua buku berasingan menyebutkan dua cara untuk membunuh kapitalisme. Pertama, dengan mengembangkan sosialisme sehingga ia menewaskan kapitalisme, dan, kedua, dengan mengapi-apikan kapitalisme sehingga ia mencapai kemuncak dan setelah itu mati secara tabie. Nama Karl Marx saya sebutkan di sini senafas dengan sosialisme dan bukannya komunisme atas alasan yang pasti, iaitu bahawa sosialisme adalah punca sebenar permasalahan, dan ia adalah asal-muasal bagi komunisme dan, seperti ditunjukkan F. A. Hayek dalam esei-esei yang dimuatkan dalam buku ini, juga fasisme serta nazisme.

Sosialisme belum mati. Gagasan-gagasan sosialistik masih mencengkam banyak orang—ahli politik, pegawai kerajaan, cendekiawan, penggiat lembaga swadaya masyarakat (NGO), dan bahkan juga sebahagian besar warga di banyak negara. Buktinya, kebanyakan orang mengundi parti dan ahli politik tertentu bukan berdasarkan pihak mana dapat menjamin kebebasan rakyat untuk menjalankan usaha dan kerja mereka sendiri untuk mencapai kemajuan diri, sebaliknya parti dan ahli politik mana yang akan melakukan kerja untuk mereka. Beza di antara dua hal ini amat besar, dan esei-esei yang dimuatkan dalam buku “Liberalisme: Esei-esei Terpilih F. A. Hayek” ini berhasil menjelaskan, antara lain, perbezaan tersebut.

Esei-esei dalam buku ini terbahagi sekurang-kurangnya kepada dua jenis. Jenis pertama esei yang menjelaskan pokok permasalahan khusus, manakala esei jenis kedua menjelaskan permasalahan menerusi pengkisahan tentang tokoh Liberal (semua tokoh yang diperikan kisah mereka dalam buku ini merupakan tokoh liberal, kecuali Francis Bacon yang merupakan pendahulu bagi Hegel, Marx, dan Engels).

Sebahagian esei dalam buku ini tidak mudah difahami, bagaimanapun ia tetap dimuatkan di sini kerana antara tujuan buku ini diterbitkan ialah untuk dijadikan teks rujukan bagi mereka yang berminat memperdalam kefahaman tentang Liberalisme. Barangkali munasabah jika digariskan dalam Pengantar ini gagasan-gagasan atau pokok perbincangan buku.

Liberalisme barangkali lebih mudah dihargai menerusi penjelasan tentang sosialisme, akarnya, gagasannya serta bahayanya. Ciri-ciri sosialisme, atau gagasan-gagasan sosialistik, secara ringkas boleh disenaraikan seperti berikut:

(1) Perancangan. Iaitu perancangan ekonomi secara terperinci di peringkat kerajaan pusat untuk menyelenggara kegiatan, usaha, atau pekerjaan warga negara untuk mencapai matlamat kemakmuran atau kemajuan.

(2) Protectionism. Iaitu faham perlindungan, di mana kerajaan memberi perlindungan kepada individu atau kelompok tertentu, misalnya perlindungan untuk kelompok etnik tertentu yang dilihat mundur dari segi ekonomi dan juga perlindungan untuk pengusaha tempatan yang terancam oleh kemasukan barangan dari luar negara. Pemberian subsidi juga boleh digolongkan sebagai satu bentuk perlindungan.

(3) Kolektivisme. Sebagai asas bagi program-program ekonomi sosialisme, termasuk perancangan ekonomi serta pengagihan kekayaan. Atas semangat kolektivisme cukai yang lebih tinggi, misalnya, dikenakan terhadap syarikat-syarikat besar yang banyak meraih untung. Semakin tinggi keuntungannya, semakin tinggi pula cukai yang wajib dibayar.

(4) Interventionism. Bererti campurtangan kerajaan dalam hal-ehwal ekonomi, misalnya untuk menurunkan harga barangan.
Liberalisme dan gagasan-gagasannya merupakan lawan bagi sosialisme dan gagasan-gagasan sosialistik. Sekilas pandang, poin-poin dalam senarai di atas tampak munasabah, bahkan membuatkan sosialisme tampak “mulia”. Malangnya matlamat-matlamat yang ingin dicapai oleh para sosialis tidak mungkin dapat dicapai dengan pendekatan atau langkah-langkah sesederhana itu. Sebagai contoh, dalam soal perlindungan, negara boleh melindungi tuan-tuan kedai runcit tempatan dengan menghalang Tesco dari masuk berniaga di Malaysia, tetapi kesannya orang ramai tidak akan berpeluang membeli beras atau susu pada harga yang lebih rendah.

Boleh dikatakan persoalan utama yang melatari kebimbangan orang-orang liberal ialah kuasa negara (kerajaan) yang bersifat pemaksa. Apabila kerajaan diberikan peranan yang terlalu besar, seperti yang dapat dilihat pada gagasan-gagasan sosialisme, warga yang berada di bawah takluknya tidak lagi akan memiliki kebebasan untuk menentukan nasibnya sendiri. Sosialisme ingin membina syurga di atas dunia, namun sejarah membuktikan bahawa akhir dari usaha itu adalah neraka, seperti Jerman di bawah Hitler, Itali di bawah Mussolini dan China di bawah Mao. Akhir pasti dari sosialisme adalah sebuah kerajaan kuku besi di mana penindasan dan kezaliman merajalela, hak rakyat dijarah dan ekonomi tidak berkembang.

Lebih parah lagi, selain kesan nyata, sosialisme juga menghasilkan bahaya-bahaya yang lebih abstrak. Ia menumpulkan semangat hidup manusia, memiskinkan imaginasi, dan membuatkan manusia secara peribadi lama-kelamaan akan semakin tidak peduli dengan kesengsaraan orang lain, justeru semua masalah diserahkan kepada kerajaan untuk  diselesaikan. Selain itu, sosialisme juga dapat menghilangkan nilai amal baik manusia; dalam masyarakat bebas, manusia berbuat baik secara sukarela tanpa campurtangan atau paksaan kerajaan, menjadikan kebaikan itu bernilai, sedangkan dalam masyarakat sosialis kebajikan dilakukan individu kerana dia dipaksa negara (misalnya, kewajipan membayar cukai)—lalu terhasillah apa yang disebut Frederic Bastiat sebagai “false philanthropy”, kedermawanan palsu.

Liberalisme mempunyai matlamat-matlamat yang sama dengan sosialisme, khususnya kemakmuran dan kemajuan masyarakat. Tetapi, jalan liberal untuk mencapai matlamat-matlamat tersebut sama-sekali berbeza dengan jalan sosialis. Secara umum, sosialis berpegang kepada falsafah positif, manakala liberal negatif. Dalam sebutan mudah, sosialis ingin sampai ke tujuan dengan cara melaksanakan kebaikan, sedangkan liberal dengan cara mencegah kejahatan.

Sosialisme mengandaikan bahawa manusia yang memegang kekuasaan dan membuat perancangan di peringkat pusat adalah golongan malaikat. Sedangkan bagi liberal “setiap manusia harus diandaikan tidak jujur.” (Harus diperhatikan di sini bahawa yang menjadi sasaran liberal ialah manusia yang memegang kekuasaan. Bukan menjadi anjuran liberal untuk manusia secara umum saling mencurigai, walaupun di satu sisi kejujuran adalah nilai baik yang harus diasah oleh setiap individu dalam dirinya, sebagai perjuangan peribadi.) Justeru itulah sosialisme menyerahkan tanggungjawab merancang kepada manusia yang memegang tampuk kuasa, manakala liberal pula menyerahkan tanggungjawab kepada individu manusia.

Esei-esei Hayek yang dipilih untuk dimuatkan dalam buku ini membincangkan gagasan-gagasan asas Liberalisme, antaranya spontaneous order (aturan, atau tatanan spontan), rule of law (aturan hukum), persaingan, kebebasan dan kebertanggungjawaban.

Secara am, “aturan spontan” merupakan kepedulian Hayek, juga banyak liberal lain, yang paling utama. Hal ini boleh dilihat pada hampir kesemua karya Hayek dan bukan hanya di dalam esei-esei yang dimuatkan di sini. Aturan spontan adalah lawan bagi perancangan berpusat (tetapi tidak terhad kepada hal tersebut). Secara gampang, dalam soal ekonomi, aturan spontan bererti manusia akan bertindak mengatur kegiatannya—termasuk jenis barang yang perlu dikeluarkannya serta penyelarasan harga barangan—secara spontan berpandukan isyarat-isyarat di pasar, bukannya mengikut ketentuan atau ketetapan rancangan pusat yang dirumuskan kerajaan. Bagi liberal, aturan spontan adalah pilihan lebih baik dari perancangan kerana kewujudan pelbagai unsur khusus yang tidak mungkin dapat difahami sepenuhnya oleh seorang penguasa (dalam konteks kerajaan lampau, seorang raja) atau sekumpulan “perancang” di peringkat pusat.

Dalam soal aturan hukum pula, yang dipentingkan liberal ialah undang-undang yang umum dan abstrak, misalnya perlembagaan, dan bukannya peraturan khusus dan terperinci. Dalam soal perundangan juga liberal berpegang kepada falsafah perundangan negatif. Bagi liberal, peraturan tidak sepatutnya digubal untuk mengarahkan Ali supaya membina gerai goreng pisang di tanah kosong depan rumahnya agar orang ramai dapat menikmati goreng pisang di waktu petang. Sebaliknya, undang-undang sepatutnya menyebut dengan jelas bahawa tidak ada pihak harus mencegah Ali dari membina gerai goreng pisang itu agar dia mendapat untung dan hasil dari kegiatan menjual goreng pisang itu, secara tidak langsung, orang kampung dapat menikmati goreng pisang. Titik tumpuan aturan hukum di sini ialah, jaminan hak dan kebebasan untuk Ali menggunakan harta bendanya (dalam kes ini tanah di depan rumahnya) untuk kepentingannya. Dalam bahasa liberal yang lebih canggih, seperti disebutkan David Hume, ada tiga hukum alami yang asasi: ketetapan pemilikan (hak milik harta benda), pemindahan hak-milik, dan kepatuhan kepada kontrak. Aturan hukum juga menetapkan bahawa semakin kuat Ali bekerja, untungnya menjadi miliknya—tidak ada sesiapa, termasuk kerajaan, berhak merampas keuntungannya atas alasan hendak diagihkan kepada pihak yang kurang bernasib baik. Dalam ungkapan lain, undang-undang menjamin Ali tidak akan dihukum kerana bekerja keras.

Selain itu menerusi esei-eseinya juga Hayek menjelaskan perkara-perkara yang menyebabkan Liberalisme dipandang “keras”, “tidak bertanggungjawab” dan “tak berhati-perut”, menerusi perbincangan tentang maksud perkataan, antara lain, “sosial” dan “perancangan”, selain penjelasannya tentang fungsi persaingan dalam mencapai matlamat sosial. Perbincangan tersebut adalah seputar istilah yang, menurut Hayek, merupakan “perkataan-perkataan baik” yang diculik dan diubah maknanya oleh para sosialis.

Esei-esei di dalam buku ini dapat menghantar pembaca memasuki gerbang wacana Liberalisme. Bukan sekadar itu, ia juga dapat membuatkan orang merenung permasalahan falsafi yang lebih mendalam, khususnya ketika Hayek membincangkan tentang rasionalisme, batasan akal, keadilan dan asal-usul nilai moral. Berkaitan rasionalisme, epistemologi dan asal-susul “nilai”, misalnya, ia memanggil kita untuk meninjau perbandingan antara sudut pandang Liberalisme dan Islam, khususnya dalam pandangan tasawuf. Dalam soal falsafah perundangan negatif liberal pula, menarik untuk dibandingkan dengan unsur negatif yang seakan sama dengannya dalam falsafah perundangan Islam, seperti yang terbayang pada prinsip-prinsip al-dharar yuzal (kemudaratan harus dihilangkan), dar’ al-mafsadah muqaddam ‘ala jalbi al-manfaah (mencegah kerosakan lebih utama dari meraih manfaat), al-akhzu bi akhaf al-dhararain (memilih mudarat yang lebih ringan di antara dua kemudaratan). Bagaimanapun, sekiranya ada orang yang berminat untuk melakukan perbandingan ini, wajar disampaikan nasihat agar dia tidak mengulang cara yang sama seperti pernah dilakukan oleh pemikir seperti H. O. S. Tjokroaminoto yang menjustifikasikan sosialisme dengan Islam sampai memberi kesan seolah-olah kedua-duanya adalah senafas. Kajian perbandingan harus kekal sebagai kajian perbandingan, khususnya apabila ia melibatkan agama yang pesan-pesannya dirumus dari teks suci yang bersifat jamak tafsir. Dalam ungkapan lain, paling-paling jauh pun kita hanya harus menghujahkan bahawa agama tidak menentang Liberalisme, atau malah Sosialisme, secara terang-terangan dan bukannya agama menyokong hanya salah satu, secara eksklusif, di antara kedua-duanya.

Buku ini merupakan di antara sebilangan kecil karya terjemahan tentang Liberalisme dalam Bahasa Melayu. Diharapkan lebih lebih banyak karya lain akan diterbitkan setelah ini agar terbuka luas pintu ke arah wacana yang lebih berkembang dalam masyarakat, khususnya wacana-wacana yang menumpu kepada gagasan “mengejar kebaikan menerusi pencegahan keburukan”, berbanding wacana “mengejar kebaikan menerusi amal baik” yang telah banyak dilaksanakan dan telah banyak membawa mudarat.

Diubahsuai dari Pengantar buku “Liberalisme: Esei-esei Terpilih F. A. Hayek”, terbitan Oxygen Media dan Pustaka Liberal (Kuala Lumpur, 2010

Al-Mustaqeem Mahmod Radhi, seorang penulis dan penterjemah. Beliau telah menterjemah karya terkemuka Ali Abdul Raziq, Islam wa Usul al-Hukm ke dalam bahasa Melayu. Pada tahun 2007, beliau menyertai program penulisan Iowa diUniversiti Iowa, Amerika Syarikat.


Tags: David Hume, Engels, F.A Hayek, Frederic Bastiat, H. O. S. Tjokroaminoto, Hegel, Interventionism, Karl Marx, Kolektivisme, Liberal, Protectionism, rule of law, Sosialisme, spontaneous order
 

 

Satu komen
Tinggalkan komen »

  1. Perenggan terakhir tulisan saudara Al Mustaqeem adalah intipati keseluruhan perbincangan yang harus dikembangkan khususnya oleh para pemikir Jalan Telawi dan umumnya kepada semua pembaca! Ayuh! For whom the bell tolls!

Tinggalkan Komen

WordPress SEO fine-tune by Meta SEO Pack from Poradnik Webmastera