Pernah menjadi guru sekolah rendah; pernah menjadi tukang kebun biara; pernah menjadi pengangkut barang hospital; namun dirinya tetaplah seorang filasuf besar. Itulah Ludwig Wittgenstein (1889-1951), filasuf yang sepi, yang sendiri, dan juga yang aneh. Betapa anehnya Wittgenstein ini, lihatlah saja dari kalimat akhir hayatnya: “katakan pada semua, saya memiliki hidup yang meriah.” Walhal, sepanjang hidupnya penuh dengan kemelaratan yang sememangnya sengaja dipilihnya.

Wittgenstein kelahiran Vienna, dari keluarga tradisi Yahudi yang kaya-raya, dan cinta pada musik. Namun, untuk kepuasan diri, segala hak warisan harta keluarga dilepasnya, dengan rela. Hidupnya, adalah keputusannya, dan hanya sekali. Maka, hidupnya, tidak pernah menumpahkan hal sama. Sebab itu, tidak begitu ramai yang memahaminya. Dan, sejarah pula melakarkan, bahawa Wittgenstein adalah antara segelintir filasuf yang mengalami perbezaan intelektual ketara sepanjang hidupnya—sampai-sampai darinya bermuara dua jalur: Wittgenstein I (bahasa ideal) dan Wittgenstein II (bahasa sehari-hari). Ternyata, yang berani adalah mereka yang jujur, dan yang tidak lagi berpaling, biarpun kritiknya itu berhujungnya pada diri sendiri yang silam.

Sebagai filasuf bitara, bagaimanakah untuk kita memahami dua Wittgenstein ini? Tentu, sedikit latarnya yang terdidik dalam kejuruteraan (bidang-langsung dalam mencerap realiti), sambil perlahan-lahan Wittgenstein menaruh minat pada matematik, seterusnya pada falsafah, dan akhirnya pada bahasa, dan merangkumi semua pada realiti. Dari Berlin, sesudahnya ke Manchester, dan berakhir di Cambridge. Bertuah, dari kegiatan akademiknya ini, Wittgenstein berkenalan dengan beberapa filasuf lain, seperti Gottlob Frege, Bertrand Russell, G.E. Moore, dll—serta sebahagian lain yang terlibat dalam Lingkaran Vienna (Wiener Kreis) dan Pergerakan Oxford (Oxford Movement).

Frege, Russell dan Moore

Sebelum mengenali pemikiran Wittgenstein, makanya elok kita terlebih dahulu menembus tiga filasuf yang berjasa besar atas perkembangan intelektualnya: Frege, Russell dan Moore.

Pertama, Frege. Sebenarnya, Wittgenstein mula cenderung pada falsafah, ekoran dari perkenalannya dengan Frege. Filasuf matematik dari Jerman inilah yang mengundang decak kagum Wittgenstein pada “logik sebagai dasar falsafah.” Pada Frege, realiti dan logik, adalah dua hal yang selari, dan ini kemudiannya terwakil dalam matematik. Mithalnya kalimat, “Mehdi adalah filsuf.” Lalu, dalam ungkapan matematik itu terwakil, x = y, di mana, “x” mewakili Mehdi, “y” mewakili filasuf, dan “=” mewakili adalah. Bentuk pemikiran seperti inilah yang kemudiannya merangsang Wittgenstein dalam membangunkan “teori gambar” menerusi Tractatus Logico-Philosophicus. Maksudnya, suatu penyataan (proposition) hanya memiliki makna sekiranya terwakil pada realiti (empirik).

Kedua, Russell. Wittgenstein mengenali Russell menerusi Frege, yang mengusulkan filasuf Inggeris tersebut buat penekunan pasca-siswazahnya. Dari Russell, bakat Witgenstein mula dikesan dan dihargai. Tanpa sebarang khilaf, Russell sendiri memang mengakui kegeligaan Wittgenstein. Dari Russell jugalah, Wittgenstein mendalami atomisme logik, sampai-sampai Tractatus Logico-Philosophicus pun dianggap sebagai atomisme logik bagi bahasa. Seperti apakah atomisme logik ini? Mungkin kita boleh huraikan menerusi kalimat ini: ”Sadra adalah seorang filasuf.” Melalui atomisme logik, kalimat ini dapat dipetakan dengan nama logik iaitu, Sadra (nama diri), adalah (deiktik) dan seorang filasuf (keterangan tunggal). Dalam Tractatus Logico-Philosophicus, kita akan jelas kesamaan mereka—di mana Wittgenstein menyebutnya sebagai “teori gambar,” manakala Russel menyebutnya sebagai “isomorfik.” Beza antara keduanya, barangkali hanyalah pada pengistilahan saja.

wittgenstein_major
Ludwig Wittgenstein

Dan ketiga, Moore. Filasuf analitik ini turut banyak memainkan peranan dalam seluruh perkembangan Wittgenstein. Moore juga adalah gurunya, sama seperti Frege dan Russell. Tapi berbeza dengan Frege dan Russell, Moore lebih menekankan analisa bahasa sehari-hari, bukan bahasa logik (juga bermakna bahasa ideal) seperti yang terunut pada Frege, Russell, dan tentunya pada Wittgenstein I. Yang menarik dari Moore juga, adalah kritikannya pada Idealisme, yang telah disemarakkan F. Bradley dan J. M. E. McTaggart. Dalam The Refutation of Idealism, Moore memaparkan kelemahan falsafah Idealisme lantaran sarat metafiziknya. Anehnya, pada tataran inilah, terdapat kesamaan dengan Wittgenstein I yang tegas menyingkirkan segala yang berbau metafizik.

Tapi, untuk betul-betul mengenali pemikiran Wittgenstein, kita seharusnya meneroka dua sumber asalnya yang termasyhur, Tractatus Logico-Philosophicus (Wittgenstein I) dan Philosophische Untersuchungen (Wittgenstein II).

Wittgenstein I

Terilham dari Tractatus Theologico-Politicus-nya Spinoza, lalu Tractatus Logico-Philosophicus mendapat nama. Sebuah karya yang diabadikan untuk teman baiknya, David Pinsent. Karya ini juga terdiri dari penyataan (proposition) pendek, tapi padat, yang mula ditulisnya semasa mendekam di penjara Monte Cassino, Itali. Hasrat Tractatus Logico-Philosophicus ini adalah untuk menyelesaikan sebuah persoalan pokok: apakah mungkin sesebuah penyataan itu mempunyai makna dan rujukan pada realiti (dunia)? Memang, persoalan Wittgenstein I ini adalah juga persoalan ontologi—iaitu struktur realiti kita ini seperti apa? Ini sekilas persoalan Kant. Walau bagaimanapun, persoalan Kant itu berbentuk epistemologi—iaitu apakah sharat-sharat agar manusia memperoleh kepastian pengetahuan tentang realiti. Dari sana, Kant membezakan antara “fenomena” dan “noumena.”

Pun demikian, berangkat dari pertanyaan inilah, Wittgenstein I cuba meratakan persoalan hubungan antara fikiran, bahasa dan realiti. Kesannya, deretan pertanyaan lain berturutan hadhir, seperti: sejauh manakah batas-batas bahasa? Apakah benar setiap bahasa kita bermakna? Apakah benar bahasa kita ada realitinya? Lantas, Wittgenstein I mula menganalisis bahasa menerusi teori gambarnya. Dalam teori tersebut, Wittgenstein I bertamsil seperti musik—di mana catatan notasi-notasi itu menampilkan sebuah simfoni musik yang harmoni. Padanya, notasi itu adalah bahasa, sebaleknya musik itu adalah realiti. Maka, menerusi perbandingan ini, Wittgenstein I ingin memaparkan bahawa bahasa itu hakikatnya adalah sebuah bentangan dari realiti.

Kalau kita himbau, memang pemikiran Wittgenstein I ini kental dengan logikisme-nya Frege dan isomorfik–nya Russell. Idea yang persis juga mengingatkan kita pada ungkapan Hegel tersohor, “apa yang real itu adalah rasional, dan apa yang rasional itu adalah real.” Justeru, dari “teori gambar” ini, Wittgenstein I mahu membuktikan bahawa, batas realiti kita itulah juga adalah batas bahasa, dan sekaligus batas fikiran. Dalam ungkapan lain, terdapat hubungan makna dengan rujukan. Sebab itu, apa yang terdapat dalam realiti, harus secara tepat tertata dalam penyataan yang diwakilnya.

Dalam menghuraikan teori gambarnya ini, Wittgenstein I meminjam teori mekanik Heinrich Hertz saat memadankan model dinamik yang sesuai dengan sistem mekanik. Ujar Wittgenstein I, setiap bahagian pada model tersebut adalah terwakil dalam matematik, serentak terwakil dalam pengambaran. Ertinya, teori gambar itu itu adalah sebuah usaha untuk menunjukkan keterikatan logik antara realiti (model) dengan bahasa (penyataan = matematik). Ini sekaligus mematuhi sharat-sharat penyataan bermakna tentang objek realiti yang seharusnya bersifat fakta atomik. Sebab itu, terbitnya ungkapan gemilang dari Wittgenstein I, “apa yang memang dapat dikatakan, dapat dikatakan dengan jelas; dan apa yang tidak dapat dikatakan mestilah dilewatkan dengan diam.”

Dari ungkapan tersebut, terhablur dua kemungkinan saja pada Wittgenstein I, iaitu; benar atau salah; positif atau negatif; puteh atau hitam. Maka, “apa yang dapat dikatakan” itu merujuk kepada bahasa, logik dan realiti. Sementara “diam” itu pula merujuk kepada penyataan metafizik yang sama sekali tidak punya sebarang rujukannya. Mudahnya, gambar adalah realiti, dan bersifat pasti.

Betapa kepastiannya? Sejauhnya kita dapat menangkap pertanyaan Napolean pada Laplace, “di mana Tuhan dalam teori fizik anda ini?” Dan, Laplace menukas, “Tuhan tidak masuk dalam hipotesisnya.” Jadi, hipotesis sains dari Laplace itu sama sekali tidak mempertimbangkan Tuhan. Ini kerana, Tuhan bukanlah sebuah kepastian. Maka, kalau dalam teori gambarnya Wittgenstein I tersebut, Tuhan itu langsung tidak bermakna kerana tiada rujukannya.

Sebab itulah, manusia terlibat dalam bahasa, sejauh pengamatannya pada realiti. Manakala, setiap penyataan kita dari realiti itu tertakluk pula pada proses konotasi dan denotasi, iaitu pemenuhan sharat “jika” dan “hanya jika” buat mengesahkan kewujudan objek-objek realiti. Ertinya, konotasi itu adalah di luar realiti, yang tiada rujukannya. Manakala, denotasi itu adalah di dalam realiti, yang ada rujukannya. Mithalnya, “saya membaca buku.” Penyataan ini memang benar kerana ada objek realitinya, ada rujukannya, dan ada maknanya. Inilah yang Wittgenstein I gagaskan lewat bahasa idealnya tersebut.

Alihan Intelektual

Setelah usai Tractatus Logico-Philosophicus, Wittgenstein mula “cuci tangan,” santai-santaian, lantaran merasakan segalanya sudah selesai. Falsafah sudah terungkap. Bahasa sudah terungkap. Realiti sudah terungkap. Semuanya sudah tuntas pada gagasan bahasa idealnya. Lalu, Wittgenstein pun menjalani kehidupan biasa, jauh dari ranah falsafah. Sempat mengungsi sebagai guru sekolah rendah di desa kecil Trattenbach. Tidak betah, kemudian sebagai tukang kebun pula di biara Hütteldorf. Selain itu, Wittgenstein dengan ria sempat membangunkan sebuah rumah buat kakaknya di Vienna.

Tapi, Vienna tetaplah Vienna, apatah lagi dalam pergelutan zaman yang sedemikian. Sebuah zaman yang mengamit kehangatan wacana. Ini semua tempias Lingkaran Vienna (Wiener Kreis), yang terdiri dari Schlick, Waismann, Carnap, dll—biarpun Wittgenstein sendiri bukanlah termasuk dalam lingkaran ini. Menerusi serangkaian wacananya bersama Lingkaran Vienna, rupa-rupanya ada hal yang belum selesai dari Tractatus Logico-Philosophicus. Memang sifat intelektual tulen, Wittgenstein tentu merasa gerah tatkala pemikiran lamanya rupanya penuh dengan kelemahan. Berikutnya, ghairah Wittgenstein pada falsafah kembali membuak.

Bagaimana Lingkaran Vienna—kalau dalam frasa Lonergan—memberi alihan intelektual (intellectual conversion) kepada Wittgenstein ini? Segalanya bermula sewkatu Wittgenstein diperkenalkan dengan konsep kesahan (concept of validity). Pada Lingkaran Vienna—yang mendukung positivisme logik itu—konsep kesahan itu memang sejalan dengan atomisme logik-nya Russell dan logisme-nya Frege. Kerana itu, kalangan ini amat mendukung sikap-mati sains terhadap realiti, setelah sebelumnya terdapat sikap-mati bahasa terhadap realiti (menerusi Wittgenstein I). Shahdan, positivisme logik pun melakukan menyelidikan tentang kesamaan bahasa bagi seluruh sains sebagai asas epistemologi. Kesimpulan mereka: hanya terdapat satu bahasa saja, dan satu pengetahuan saja (Einheitswissenschaft), ekoran kesemuanya hanyalah berurusan dengan satu realiti saja. Menurut mereka, setiap pengetahuan itu termaktub pada kalimat protokol, yang mana dapat disemak kebenaran-kesalahannya secara empirik. Manakala, keadah semakan dapat dilakukan menerusi konsep kesahan.

Apakah itu konsep kesahan? Konsep ini mendukung bahawa setiap kalimat seharusnya dapat disahkan. Mithalnya, “darah manusia bewarna merah.” Apakah kalimat ini dapat disahkan? Tentu, kerana dapat diuji benar-salahnya. Mithal yang lain lagi, “Tuhan itu ada.” Apakah kalimat ini dapat diuji? Tidak, kerana tidak dapat dibuktikan benar-salahnya. Maka, kalimat itu tidak bermakna sama sekali. Lalu, tegas Lingkaran Vienna lagi, seluruh kegiatan sains mestilah memenuhi konsep kesahan ini agar sesuatu pengetahuan dapat diktiraf wibawanya. Bertolak dari sinilah, maka faham sainstisme meraih tapaknya.

Walau bagaimanapun, dari Lingkaran Vienna, apakah persoalannya buat Wittgenstein? Memang, konsep kesahan dari Lingkaran Vienna itu disambutnya. Namun—sama seperti pemalsuanisme (falsificationism) Popper—itu disambutnya dengan nada yang sama sekali bertentangan dengan positivisme logik. Walhal, tumbuhnya positivisme logik itu saling berinspirasi dengan Tractatus Logico-Philosophicus. Arakian, lewat 1920-an, Wittgenstein pun kembali ke lubuknya, Cambridge, dan kembali menyemak kelemahan-kelemahan Tractatus Logico-Philosophicus-nya. Hasilnya, terbitlah Philosophische Untersuchungen, yang mana karya ini seterusnya menyemarakkan lagi agenda falsafah analitik.

Wittgenstein II

Wittgenstein II dinatijahkan dengan Philosophische Untersuchungen, sebuah bendungan pemikiran yang hanya diterbitkan setelah kematiannya. Di sini, terakam peranan penting dari dua muridnya, G. Ascombe dan Rush Rhess. Tapi, apakah yang dimaksudkan Wittgenstein II dengan bahasa sehari-hari (ordinary language), seperti yang termuat dalam magnum opus-nya ini?

Sebelum kita menjengah pengertiannya, elok untuk tinjau dulu kritik Wittgenstein II terhadap Wittgenstein I. Di sini, Wittgensten II mengkritik beberapa tesis lamanya yang berupa sebuah gagasan utopia mengenai bahasa ideal. Ini termasuklah, Wittgenstein II telah, (1) menolak bahawa bahasa hanya boleh digunakan untuk tujuan tunggalnya saja berserta dengan duduk-perkaranya (state of affair) yang khas, (2) menolak setiap bahasa hanya memperoleh maknanya menerusi sebuah pendekatan realiti saja, (3) menolak pandangan bahawa setiap bahasa terumus dalam satu logik.

Sehubungan dengan itu, Wittgenstein II kian menginsafi bahawa pemaknaan bahasa sehari-hari itu sebenarnya lebih bermanfaat (meaning in use), dan tidak memiskinkan bahasa itu sendiri. Ini kerana, Wittgenstein II mencermati terdapat beragam bentuk-kehidupan (forms of life), atau dalam bahasa fenomenologi, dunia-kehidupan (lebenswelt). Bagi Wittgenstein II lagi, pengungkapan bahasa sehari-hari itulah yang sebenarnya mendorong makna yang berbeza—yang segalanya bergantung pada lingkungan-setempat (kelompok). Jadi, tidak hanya terkepung dalam sebuah bahasa ideal semata. Lewat inilah, Wittgenstein II menyakini bahawa, makna sebuah kalimat, atau makna sebuah bahasa, adalah tercitra dalam tindakannya, bukannya berlagak hakim. Justeru, Wittgenstein II memutuskan bahawa setiap bahasa mestilah dianalisis berdasarkan konteks.

Tapi, barangkali ada persoalan lain timbul. Bukankah ini menunjukkan bahawa tiada lagi norma baku pada sesuatu bahasa? Dan, akibat keragaman ini, apakah maseh mungkin sesebuah bahasa dapat dianalisa? Kalau mungkin, apakah kaedahnya? Untuk menanggapi kemelut persoalan-persoalan ini, Wittgenstein II, mengutarakan teori permainan bahasanya (game language).

Permainan bahasa ini adalah konsep paling asas dalam Wittgenstein II, sama seperti teori gambar sebagai konsep paling asas dalam Wittgenstein I. Maka, dalam rangka meleraikan kekusutan ini, Wittgenstein II mula menyiasat bahawa setiap bahasa seharusnya mempunyai permainannya sendiri, aturannya sendiri, dan hukumnya sendiri, serta setiapnya boleh saja berbeza sama sekali. Itu semua terletak pada tatabahasa, struktur serta konteks bahasa dan berbahasa tersebut. Mithalnya, kalimat sumpah, kalimat arahan, kalimah laporan, dll, itu masing-masing punya wadahnya yang tersendiri, meskipun mengusung kalimat yang sama. Dengan kata lain, bahasa sebenarnya adalah penampakan dari permainan bahasa.

Untuk menghayati permainan bahasa Wittgenstein II ini, mari kita bermula dengan dua kesah. Pertama, mithalnya kita tersesat jalan di Terengganu sembari bertanya pada seseorang tentang arah menuju Penarek. Tentu, ada kemungkinan dijawabnya, “tahu.” Nah, apakah jawapan “tahu” itu memang menunjukkan dirinya tahu arah ke Langkap? Dalam konteks masharakat Terengganu, “tahu” sering dimaksudkan sebagai “tidak tahu.”

Mithal yang lain lagi, sekiranya kita mengunjungi Bazaar al-Reza di Mashhad, barangkali ada di kalangan peniaga yang menyapa, “anda tetamuku, dan silalah ambil apa saja yang anda mahukan di sini.” Nah, apakah itu bermakna kita—dengan selamba—boleh mengambil barang-barang jualannya? Tidak. Ungkapan itu hanya sebagai pemanis kata, bukan sebagai kata mutlak. Sebab itulah, pada Wittgenstein II, setiap bahasa ada permainannya. Dalam metafora Wittgenstein II, itu diibaratkan catur, yang permainannya hanya boleh berfungsi apabila aturan-aturannya dipatuhi. Atau, dalam peribaratan yang lain, seperti tukang kayu saja yang memahami kegunaan pekakasannya.

Tapi, bagaimana seandainya dalam bahasa tersebut kita menemui beberapa kesamaan aturan permainannya? Atas pertanyaan ini, Wittgenstein II mengemukakan pula teori “kemiripan keluarga” (family resemblance). Katanya: ”Saya kira tidak ada ungkapan yang lebih sesuai untuk mengungkapkan kesamaan ini selain frasa ’aneka kemiripan keluarga’. Aneka kemiripan di antara anggota keluarga itu tercermin pada bentuk, penampakan, warna mata, sikap, tabiat dan lain sebagainya. Walaupun seimbas nampaknya berserabut, namun itu semua terletak dalam jalur yang sama, dan inilah sebentuk permainan bahasa dalam sebuah keluarga.”

Jadi, ternyata, bahasa sehari-hari itu sifatnya nirbatas, cair, serta membawa kita pada sebuah kekayaan kebudayaan yang sangat luas. Hanya dengan langkah ini, barulah falsafah menemukan kejernehan, ex philosophia claritas. Bukannya, falsafah menemukan kehampaan, ex philosophia absurditas.

Khatimah

Kendati, Wittgenstein mengalami alihan dalam falsafah bahasanya, tetap saja ada beberapa pendekatan yang dipertahankannya. Sikap Wittgenstein yang maseh sibuk dengan persoalan realiti, itu tidak pernah surut. Selain itu, Wittgenstein secara tekal percaya tentang fungsi bahasa sebagai terapeutik, iaitu bersifat merungkai kekusutan dalam berbahasa, dan sentiasa menggesa setiap bahasa digunakan secara benar. Demikian juga ungkapan, “apa yang memang dapat dikatakan, katakan dengan jelas, dan, apa yang tidak dapat dikatakan, sebaiknya diam,” itu kelak menjadi kutipan klasik. Barangkali, seperti kata Langer dalam Philosophy in A New Key, dari kata “diam” tersebutlah, maka simbol tak-diskursif seperti puisi, seni, sastera, dll semakin dimaknai wujudnya.

Setelahnya, wacana bahasa Wittgenstein ini terlimpah dalam banyak bidang, antaranya sosiologi, psikologi, kebudayaan, juga termasuklah dalam falsafah sains. Mithalnya dari Kuhn menerusi The Structure of Scientific Revolutions mengolah “kemiripan keluarga” Wittgenstein dalam konteks kelompok saintis. Pada Kuhn, akhirnya kelompok sains itulah yang menentukan piawai sains itu. Jadi, takrif sains itu disukat benar atau salahnya menerusi paradigma semasa saintis tersebut. Namun, atas semua kelebihan Wittgenstein, tetap saja bertandang kritik-balas. Kritik itu datang dari Bourdieu, pengarang Language & Symbolic Power. Di sini, kritik Bourdieu tertuju pada “permainan bahasa,” yang menurutnya sama sekali tidak memperhitungkan soal menang-kalah bahasa—sesuatu yang memang tersemi dalam sejarah perkembangan mana-mana bahasa sekalipun.

Sungguhpun begitu, satu hakikat yang harus diinsafi—sama ada dari pengkritiknya mahu pun dari pemujanya—masing-masing memberi salut tinggu untuk Wittgensten. Bak kata Bourdieu sendiri dalam In Other Words, saatnya ditanya “kenapa kerap memetik Wittgenstein,” maka diakui Bourdieu, “Wittgenstein itu membantu meredam waktu-waktu kecemasan buat sebuah intelektualisme.


Aqil Fithri adalah editor Ummahonline.com, juga zamil Cendikiawan Awam Asia 2009/2010, tajaan Nippon Foundation, Jepun. Ia dapat dihubungi menerusi aqilfithri@gmail.com.

Aqil Fithri F. Bradley G. Ascombe Gottlob Frege J. M. E. McTaggart Lingkaran Vienna Ludwig Wittgenstein Pergerakan Oxford Philosophische Untersuchungen Rush Rhess Siri Esei Falsafah The Refutation of Idealism Tractatus Logico-Philosophicus

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan