tanjung_major

Malam itu, hujan pun turun dengan lebatnya. Di daerah ini, kalau berlaku hujan lebat lalu ia dengan cepat mengirim bau aroma masam mencuka menusuk ke hidung sampai ke malam. Dari arah mana tiba dan datangnya bau yang misteri ini, hal itu tidak pernah kami peduli. Asalkan, kami akan selamat tiba ke pelabuhan, demikian doa kami penuh pengharapan.

Ya, kami memanggil namanya sebagai Pak Brahim. Lelaki tua dengan susuk tubuh kurus itu menyimpan banyak kenangan lama dalam kamar hatinya.

Dia mengunci lambakan kenangan itu, lalu kuncinya dilemparkannya sejauh-jauh yang mungkin. Maka, hadirnya Rauf dan aku di terataknya malam itu, kami seolah-olah telah menjadi kuncinya yang telah dibuang dulu dan dipungut kembali. Di teratak rumahnya yang serba daif itulah kami tinggal bermalam.

Kami sejak petang tadi, telah tersilap perhitungan. Dengan agak ralit memerhatikan keindahan petang, sambil menunggu saat mentari akan hampir tenggelam, kami tidak sedar air laut sudah mula pasang dan melimpah. Pantai ini sudah pun ditenggelami air laut.

Jadi kami kini buntu mencari jalan pulang. Sedang kami berikhtiar mencari jalan kebenaran di sepanjang pantai yang sedang kami telusuri itu, Pak Brahim menjengah ke luar terataknya lalu menegur kami.

“Singgah sini dulu,” katanya. “Dah malam ni. Air pasang. Kau orang tak boleh patah balik ke hotel.”

Kami terkejut. Ada secebis sinar dari balik semak. Rupanya, di situlah teratak Pak Brahim. Maka, kami pun singgah berborak, lalu terlanjurlah Pak Brahim bercerita mengenai kisah-kisahnya yang lalu.

Pak Brahim asli anak Kedah. Dia merantau ke Terengganu. Simpang-siur selok-belok ceritanya melekakan. Dan, kata Rauf, teman baikku itu, Pak Brahim memiliki sejalur pesona sebagai penglipur lara teragung!

“Kami mengendap nilai sejarah lalu. Tapi, kerajaan tidak pernah mahu beri kami peruntukan wang yang secukupnya untuk kami meneruskan kajian sejarah negara ini.

“Saya kata kepada mereka, kalau peruntukan kecil, maka hasil dapatan pun tak akan seberapa,” kata si lelaki berjambang itu. Rupa-rupanya, dia juga pengkaji sejarah tempatan negara.

Dia menyentuh perihal kedatangan Islam di Tanah Melayu ini seawal zaman Bani Abbasiyyah. Ya, jikalau kajian Pak Brahim sampai ke tahap itu, memang asas kajian itu masuk dalam pengetahuan kajianku juga.

Lelaki tua ini pengkaji sejarah yang tidak banyak digali orang. Kalau lihat sekali imbas, orang menyatakan bahawa dia adalah lelaki tua yang akan hampir diperap atau layak ditanam dalam balang sejarah sahaja.

Dia terlibat dengan penggalian sejarah Islam di Tanah Melayu. Dia pun bercerita tentang berapa banyak kertas kerja yang telah dibentangkan oleh sekian ramai sarjana sejak 1960-an dan 1970-an dahulu.

“Ada sebuah muzium di Singapura, memang kita tidak boleh masuk. Saya tak pasti sekarang dah jadi apa dengan muzium itu. Ah! Masa itu saya berkelana di Singapura. Tinggal di Kampung Taugeh,” katanya lagi sambil membetulkan rokok daunnya.

Aku dan Rauf berselang-seli mencicah biskut kering bersulamkan kopi O yang dihidangkan Pak Brahim di terataknya itu. Kampung Taugeh di Singapura? Wujudkah nama kampung semacam itu?

“Pakcik ingat dah tak ada dah, ia mungkin dah tenggelam oleh kerancakan pembangunan,” tambahnya lagi, ketika aku menyoalnya tentang nama kampung itu.

Ya, khurafat kemajuan dan tahyul pembangunan. Ini bait-bait puisi yang pernah dilafazkan W.S Rendra, lewat sepotong puisinya ketika burung merak dalam lapangan puisi protes itu sudah hampir menuju pulang ke jalan Tuhan. Aku tidak ingat dengan jelas apa tajuk puisinya.

Yang penting, Rendra menyebutkan bahawa faham kemajuan dan kepercayaan ke atas pembangunan itu bagaikan sepotong daging khurafat dan tahyul yang dikelar oleh tangan-tangan penguasa yang tidak pernah bertanggungjawab di atas setiap inci kemusnahan yang mereka timbulkan selama ini.

Malam itu, deburan ombak yang menghempas pantai Tanjung Tuan melahirkan irama pasrah. Mungkin, hati tua Pak Brahim juga sedang berirama, bergelombang mengikut rentak bualannya malam itu.

Kami seperti biasa memasang dan menadah telinga. Anehnya, tiada nyamuk dan gangguan agas. Selepas solat Maghrib berjemaah, suasana malam itu menjadi semakin tenteram apabila hujan mula teduh.

Lelaki tua itu, lantaran kemiskinannya, maka dia tidak beristeri. Dia pernah meminta tanah, tapi kerajaan tidak pernah ingin memberinya tanah untuk dia bangunkan sebuah rumah untuk dirinya sendiri.

“Akhirnya, tinggallah saya di sini,” katanya penuh dendam. “Di sini, tak ada orang ganggu lagi. Kita yang miskin ini, minta tanah tak dapat. Yang kaya, mudah pula dapat tanah.”

Apa nak takut? Katanya lagi. Lagi pun, kita tinggal di dunia ini pun sementara sahaja. Falsafahnya banyak mengajar kami agar hidup jangan menundakan amalan soleh dan jangan pernah takut dengan penguasa.

Ya, orang-orang tertindas sepertinya, rentak percakapannya selalunya keras. Ia lahir bagaikan laut gelora yang membadai di pantai cuping telinga kami. Kilatan api dendamnya kepada kapitalis tidak pernah akan berubah dan tidak akan pernah padam sampai bila-bila barangkali.

Sebenarnya, aku lebih tertarik dengan jiwa sejarah Pak Brahim. Aku tidak pernah gemar jika lelaki tua ini bercakap hal-ehwal politik lama yang banyak meresahkan dan menekan jiwa ini.

Jiwaku bukan seperti Rauf. Jiwaku lebih aman dengan penulisan, penyelidikan dan kewartawanan. Rauf, seperti Tok Kenali, pantang mendengar orang bercakap mengenai politik, lidahnya dengan  tangkas akan memulas dan memangkas kata-kata orang yang tidak sebulu dengan pendiriannya itu.

Kata orang, Tok Kenali kalau bergebang mengenai politik, tubuhnya yang terbaring akan menegak serta semangatnya kembali berkembang untuk mengetahui perkembangan terbaru dalam peta dunia politik yang kerap bergolak itu.

Ibaratnya beginilah. Antara aku dan Rauf, memang telah berlaku perpecahan yang agak parah. Jika aku Muhammad Abduh, maka Rauf adalah Jamaluddin Al-Afghani yang setia dengan idea Pan Islam.

Jadi, dalam hal ini, Rauf akan selalu mendakwa dirinya menang lantaran jiwa Muhammad Abduh yang bertapak kukuh dalam diriku adalah jelmaan kepada anak murid Al-Afghani, iaitu dirinya sendiri.

“Kau Muhammad Abduh, aku Al-Afghani. Kau muridku. Kau mesti taat perintah guru!” katanya megah.

“Piiraah…” aku mengejeknya lagi. “Kau tahu apa kata Plato? Plato kata, kita hormatkan guru, tetapi kita juga mesti hormat kebenaran. Ertinya, jika guru bersalah, tetap saja muridnya berhak menyanggah!”

Begitulah dunia kami sejak di bangku kuliah. Tidak pernah berhenti menyanggah sesama sendiri. Politik bagiku semakin banyak merencatkan kegiatan ilmiah Melayu.

Politik telah terlalu lama membunuh akal intelektual Melayu. Ia menebas ranting-ranting kecerdikan kita kerana orang-orang berjiwa falsafah, orang-orang agamawan tidak mahu menceburi politik kepartian. Di sini silap awal kita apabila pensyarah masih setia di kuliah dan agamawan menyimpan wala’ di pondok.

Rauf memang marah-marah ketika aku berfikir begini. Dia pernah menyindir aku dengan kata-kata yang menyakitkan jiwa. Ditohmahnya fikiran aku sebagai sesat lagi menyesatkan.

“Orang cerdik macam kau tak mahu berkecimpung dalam parti, sebab itu negara kita binasa,” sergahnya lagi. Aku menolak kerana orang parti itu jugalah yang tidak membenarkan insan cerdik memasuki parti.

Jadi, menurut hematku, adalah lebih baik jika orang berpengetahuan seperti Rauf dan aku, meneruskan kerja-kerja dalam bidang penyelidikan, kewartawanan, mengajar sebagai tok guru dan pensyarah.

“Di sini, kita dapat membangunkan kecerdasan umat!” demikian fatwaku lagi. Rauf pun diam mengalah. Dia bukan kalah, dia cuma mengalah.

Lama kuperhatikan mata Pak Brahim yang cengkung itu. Dia sudah tua, kudratnya lama ditelan usia, maka mungkin dengan sebab itu, dia enggan melawan lagi.

“Mungkin orang seperti saya, hanya dapat bercerita agar orang muda tidak boleh dikelirukan, disesatkan lagi dengan kata-kata penguasa,” begitu cermat dan demikian teratur dia menyusun baris kata.

Angin lintang memukul-mukul kain kanvas yang dijadikan atap di terataknya itu. Kami dibalut kedinginan mencengkam. Entah bagaimanalah Pak Brahim bertahan di sini dalam masa yang agak lama ketika tubuh kurusnya berdepan dengan ancaman ribut kesejukan dan melawan arus kegilaan, kedinginan malam itu.

Perang fikiran antara aku dan Rauf kerap berlanjutan sejak zaman berkuliah. Rauf berpendapat, bahawa perubahan itu hanya bisa dicapai jika kita berjaya mendapatkan kuasa untuk merubah suasana.

Sedangkan aku berpendapat bahawa perubahan itu mestilah dimulakan di peringkat bawahan, dengan cara membangunkan kesedaran rakyat bawahan terlebih dahulu.

Entah bagaimana, tajuk bualan itu pula yang mengisi masa-masa gelap kami di teratak Pak Brahim. Dan, lelaki tua itu memiliki sikap halus. Dia suka mendengar isi fikiran kami anak-anak muda.

“Itulah, kau tengok Pak Brahim ni,” kata Rauf. “Dengan sebab orang baik, cerdik macam kau tidak ingin masuk politik kepartaian, maka terhimpitlah orang-orang tertindas.”

“Bukan aku tak nak masuk. Tak ada peluang nak masuk. Kalau masuk politik pun, nanti ada orang yang cantas, cah keting dan macam-macam lagilah.

“Jadi, lebih baik kita usahakan pemulihan dan penjernihan fikiran orang bawahan terlebih dahulu. Kalau engkau dah jadi orang siasah nanti, kau akan takut dengan pengundi pula bila kempen-kempen kau tidak senada dengan kehendak pengundi nanti,” demikian kataku, menyanggah.

“Kalau macam tu Jamal, engkau buatlah apa-apa yang patut. Nasib engkau akan jadi macam Pak Brahim nanti,” keluh Rauf kesal. Dia tidak pernah berjaya mengubah jalan fikiranku yang menebal dengan faham pendidikan sebagai asas utama perubahan umat ini.

“Maaf kalau Pak Brahim nak mencelah sikit,” lelaki tua itu meminta laluan untuk memberi pendapat. Ah! Siapa pula dalam kalangan kami yang berani menolak permintaan tuan rumah tempat kami menumpang teduh dan bermalam ini.

“Silakan pakcik, tolong tegur sikit kawan saya si Jamal ni. Dari dulu, degil, ketegar tak nak masuk politik,” kata Rauf, separa menyindir. Aku hanya tersenyum. Mengerti amat dengan perangai saudaraku itu.

“Sebetulnya agama kita tidak menolak pembaharuan melalui kuasa di pihak tertinggi dan agama juga tak menolak perubahan di pihak bawahan melalui cara pendidikan.

“Tapi perkara yang utama dibangkitkan di sini ialah, mana yang lebih utama-perubahan di peringkat atas melalui kuasa politik atau perubahan di peringkat bawahan melalui cara pendidikan,” katanya teratur.

“Kau orang tahu ada berapa ramai nabi dalam al-Quran?” tiba giliran beliau bertanyakan soalan.

“25 nabi!” cepat Rauf menjawab, sambil mengerling ke arahku. Aku sekadar mencebik, sambil angkat kening.

“Berapa ramai nabi yang jadi raja-raja dan berapa ramai nabi-nabi dalam kalangan orang kebanyakan?”

Aku terpana. Rauf mendongak ke langit, menghitung bintang-bintang. Agak lama. Bagaimana nak jawab soalan Pak Brahim ini? Nabi yang jadi raja-raja? Siapa dia nabi-nabi yang jadi raja-raja ni?

“Ah! Kamu orang berpelajaran tinggi. Takkan soalan mudah seperti ini pun kamu tak boleh nak jawab,” Pak Brahim menyindir lagi. Aku dan Rauf tertekan.

Aku memejamkan mata. Aku hitung nama segala nabi-nabi. Daripada Adam sampai Muhammad, yang mana satu nabi-nabi yang telah diangkat menjadi raja-raja?

Lama-kelamaan, baru aku teringat. Nabi Daud dan anaknya Nabi Sulaiman pernah diangkat sebagai raja bagi Bani Israel. Juga, Nabi Zulkifli yang pernah diangkat sebagai raja setelah raja di negerinya nak turun takhta. Lalu, jawapan pun berhamburan, berpusu-pusu keluar dari lidahku bersama air liur.

Pak Brahim tersenyum, lalu dia bertanya lagi. “Baik, jadi mana lagi ramai nabi raja dan nabi miskin ni?”

“Nabi sosialis lagi ramai berbanding nabi kapitalis,” Rauf mencelah dengan pantas.

Huh! Memandai-mandai Rauf menggunakan istilah dan ungkapan ini. Nabi-nabi pun dia ingin sosialiskan dan kapitaliskan. Melampau betul temanku ini.

Tapi, wajah Pak Brahim masih cerah dan tidak berubah. Dia, malah ketawa mendengarkan jawapan Rauf itu. Lalu, lelaki tua itu berkata, bahawa dia pun tidak asing dengan ungkapan itu.

“Aku pernah hidup zaman sosialis masih kuat. Masa itu, ada Barisan Sosialis, Socialist Front. Jangan risau dengan ungkapan itu. Aku faham,” kata Pak Brahim menenangkan gelora yang berkocak keras di hati ini.

Jadi, kata Pak Brahim, Tuhan sendiri mengirim cuma dua, tiga nabi untuk membuat perubahan sosial ini. Selebihnya, Tuhan kirim nabi-nabi yang miskin, yang tiada kuasa seperti raja-raja yang berkuasa.

“Sampaikan nabi-nabi miskin itu dihina, digelar pendusta, ahli sihir, orang gila dan tiada suatu kuasa pun yang melindungi mereka. Mereka terdedah dengan bahaya ancaman bunuh dan pengusiran.

“Nabi raja-raja tiada masalah itu. Mereka mudah membawa dakwah terhadap umatnya. Jadi, mana yang lebih utama? Perubahan di pihak bawahan atau di pihak atasan?” tanya Pak Brahim setelah memberikan penjelasan dengan panjang lebar.

Kulihat Rauf terdiam. Matanya pejam celik, seolah-olah akalnya baru melangkah dan sedang menjelajah ke sebuah daerah lapangan pengertian baharu yang baru ditemuinya pada malam ini.

“Ha!! Rauf! Betul tak pendirian aku selama ini?” aku tersenyum girang. Fatwa Pak Brahim itu sudah akan memihak kepada pendirian yang bertakhta di hatiku selama ini.

Selama ini, sukar aku pertahankan di depan Rauf, tetapi malam ini ditengah kesejukan, kedinginan yang menggigit tubuh, aku menerima pencerahan baru di Tanjung Tuan dengan berkat petua Pak Brahim.

Bahawa nabi-nabi yang menjadi raja itu sangat sedikit jumlahnya berbanding nabi-nabi miskin yang akan berdakwah setiap hari. Daripada 25 nabi, hanya 3 nabi raja dan selebihnya, 22 nabi adalah orang biasa.

Dan, 22 orang nabi ini tidak menggunakan kuasa, sebaliknya meneruskan dakwah, pendidikan, tarbiyah, dan asuhan sehingga terpaksa menerima pelbagai padah di sepanjang liku-liku dakwah mereka itu.

Kesimpulannya, perubahan ke atas umat itu lebih utama dilakukan di peringkat bawahan berbanding hal perubahan di peringkat atasan yang melibatkan kuasa.

Tetapi, kenyataan ini tidaklah bermaksud bahawa agama menolak secara total perubahan umat dengan menggunakan kuasa.

Pak Brahim bersabda bagaikan sabda nabi-nabi. Dan, jikalau dia berdoa, doa keramatnya menikam tiang Arasy di langit tertinggi, sehinggakan para malaikat pun akan mengaminkan segala permintaannya itu.

Malam itu, saat angin Selat Melaka sedang bertiup di wajah kami, aku dapat rasakan ketenangan setelah bertahun bergelut pada zaman kuliah bersama Rauf.

Aku dapat tidur lena dengan aman malam ini. Tapi aku tidak tahu adakah tidur Rauf itu lena benar? Atau akalnya masih lagi terkial-kial mencari hujah atau helah baru guna memotong landasan fikiranku kelak. JT


Ali Bukhari Amir, seorang wartawan.

Ali Bukhari Amir Cerpen Jamaluddin Al-Afghani Muhammad Abduh Plato W.S Rendra

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan

  1. Abang Ali,

    Lama tak ketemu. Berkesempatan juga saya lepaskan rindu dendam pada Abang Ali melalui tulisan di Jalan Telawi ini! Hahahaha!

    Saya sentiasa punya kepercayaan dan keyakinan bahawa penjernihan/ pemulihan/ pencerahan masyarkat kita perlu dari bawah.

    Tapi, saya tidak pernah menolak bahawa, proses yang panjang ini juga perlu kepada campur tangan kuasa politik. Saya juga akui saya kurang convinced dengan pendekatan politik. Lihatlah perkembangan politik tanah air sekarang. Lihatlah kesan ini ke atas peribadi ahli-ahli politik kita. Apa yang boleh kita banggakan. Bagi saya mereka itu kaya setan semuanya! (baca dengan intosi Indo!)

    Kerana itu, saya sentiasa menyokong kawan-kawan yang masuk politik supaya mereka lebih konsisten melakukan proses penjernihan/ pemulihan/ pencerahan ini. Namun, seperti kata Abang Ali, mereka ini yang dicantas terlebih dahulu. Atau, tiba-tiba mereka ini menjadi ‘manusia baru’!

    Kalau difikirkan ini, seolah-olah tiada harapan untuk masyarakat kita terutamanya, Melayu Muslim. Kita yang akan menentukan jatuh bangun ibu pertiwi ini. Makanya, proses penjernihan/ pemulihan/ pencerahan perlu berlaku dengan agresif sekali dalam masyarakat kita.

    Jadi, keduanya sama penting. Tidak dinafikan. Cumanya, cabaran paling utama adalah bagaimana harus kita menyusun soldadu-soldadu kita untuk menjayakan proses yang panjang ini. Kepintaran akal, ketangkasan gerak kerja dan akhlak perlu jadi pertimbangan.

    Ia proses panjang. Tapi, perlu berterusan tanpa lelah kerana, Roma tidak dibangun dalam masa 1 hari bukan…

  2. Azeera Ariffin yang dihurmati, dengan du’a, semoga sejahtera selamanya … 😉

    Ya, lama juga tidak ketemu. Betul, jangan tolak politik, kepartian, tapi kita kena lebih utamakan ‘grass-root’. Mereka inilah yang menaikkan pucuk pimpinan yang selayaknya memimpin kita nanti. Sekali lagi, ini adalah proses yang sungguh panjang.

    Dalam bahasa matematik dan ilmu hitungan, barangkali boleh dinisbahkan dengan perkataan ini…

    “Bahawa 25 peratus usaha kita (kelompok sedar) bercakap kepada kelas pimpinan, manakala baki 75 peratus lagi mestilah diutamakan kepada kelas rakyat.”

    Yang berlaku hari ini, kita terdengar orang berkata…

    1. Tolak politik, parti, tumpukan ‘grass-root’ —> 100 % ditumpukan usaha penerangan di pihak bawahan, lalu 0 % meninggalkan atau melupakan kepimpinan atasan.

    Atau 75 % ditumpukan kepada ‘grass-root’, manakala baki 25 % ditumpukan kepada orang parti politik.

    2. Tumpukan usaha penerangan politik kepartian, ‘grass-root’ boleh diabaikan—> Bermaksud, 100% digiatkan usaha penerangan kepada parti & politik, sementara usaha penerangan kepada bawahan menjadi 0%.

    Atau, 75% usaha mereka tertumpah kepada kegiatan politik kepartian, sementara baki 25% lagi tercurah kepada kegiatan penerangan kepada akar umbi.

    CONTOH DA’WAH NABI MUSA A.S

    Misalnya, fokus da’wah Nabi Musa (1) Menyeru kepada Fir’aun kembali kepada Tuhan; (2) serta usaha berda’wah kepada kaumnya. Jadi, kedua-duanya Nabi Musa tidak tinggalkan.

    Tetapi, kita kena ingat bahawa usaha dakwah ke atas Bani Israel (grass-root) lebih banyak yang tercurah dan diberitakan dalam Al-Qur’an itu sendiri.

    Contohnya Bani Israel terperangkap lebih 40 tahun di Padang Teh ketika Exodus menuju tanah Palestin selepas mereka berjaya merentasi Laut Merah yang terbelah dua oleh tongkat Musa.

    Jadi, dakwah Musa ke atas Bani Israel (grass-root) berlaku di DUA tempat; pertamanya Mesir, keduanya di Padang Teh selama 40 tahun ketika mereka cuma makan-minum Manna dan Salwa.

    Sedangkan, da’wah ke atas Fir’aun hanya di Mesir sahaja dalam tempoh yang lebih singkat dari itu. Mana yang lebih diutamakan? Sudah tentu ‘grass-root’, tapi tidak juga ditinggalkan da’wah untuk penguasa.

    Antara contoh lain yang tak kalah masyhur adalah – Surah Abasa. Nabi Muhammad dilaporkan bermasam muka dan berpaling daripada Ummu Maktum yang buta kerana sedang berhadapan dengan pembesar Quraisy yang ingin didakwahi baginda.

    Fikir baginda, jika berda’wah kepada pembesar, maka para pengikutnya akan berbondong akan memeluk Islam, (walhal pembesar itu belum tentu akan masuk Islam).

    Hal ini lantas ditegur Tuhan dalam Surah Abasa itu, maka Rasulullah s.a.w terus meninggalkan pembesar tadi lalu terus meminta ma’af dan mendapatkan kembali Ummu Maktum.

    Dan, banyaklah lagi contoh bagaimana sepatutnya kita kelompok yang sedar harus bertindak untuk membuat kerja-kerja pencerdasan ini.

    BAGAIMANA HUBUNGAN KITA DENGAN MEREKA YANG TERJUN KE POLITIK KEPARTIAN?

    Bagaimanapun, jika ada rakan-rakan yang mahu terjebak dan terlibat dengan politik kepartian, biarkan mereka. Kita tak berhak mengukur dan menyukat apa-apa yang terkandung dalam hati (jantung?) orang lain.

    Oleh kerana hati orang yang mahu terjun ke dunia politik kepartian itu urusan Allah, maka Dia yang lebih layak menghukum mereka. Apakah mereka akan kekal, jatuh, lecur dan terus hidup, semua itu tergantung kepada keikhlasan dan niat baik buruk mereka.

    Selebihnya, berdoa agar diri kita dan rakan-rakan kita dalam dunia politik kepartian itu diberi petunjuk oleh Tuhan selama ini kekal setia berada di atas jalan yang benar.

    Wallahu’ Ta’ala ‘Alam…