seyta_major
Hadirin berada di luar dewan sebelah berakhirnya majlis

Mazir Ibrahim

Dalam sebuah industri muzik yang kecil di Malaysia hari ini, banyak perkara yang aneh-aneh berlaku dan ia berterusan. Contoh terbaru, di Anugerah Industri Muzik (AIM-2010) baru-baru ini. Dalam banyak-banyak kategori, wujud satu kategori yang aku kira amat melucukan iaitu ’Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara’. Tajuknya sahaja sudah letih untuk disebut. Untuk kategori ‘lawak’ ini telah dimenangi oleh Krisdayanti dari Indonesia. Aku tidak mahu membuat andaian tentang niat sebenar penganjur untuk kategori anugerah ini, dan aku serahkan hal kelucuan ini kepada kalian–yang berakal waras untuk menilainya. Ini anugerah muzik, bukan anugerah bahasa! Aneh sungguh.

Masih lagi, ulang–masih lagi wujud kategori-kategori (baca:kuota) untuk bangsa-bangsa lain. Album India Tempatan Terbaik, Album Cina Tempatan Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik. Aku ingin sekali menyimpulkan begini dan barangkali lebih baik ia begini–Lagu-lagu kategori Cina, India dan Inggeris ini tidak perlu dipertandingkan bersama dengan karya bahasa melayu dalam anugerah yang sama. Dan, lebih baik dibuat majlis yang berasingan dari AIM. Maka akan ada anugerah yang dianjurkan oleh orang India, Cina, Inggeris ’tempatan’ untuk bangsa masing-masing–mudah dan jelas.

Dengan pemecahan kategori seperti ini berulang kali, ia bukan lagi bermatlamatkan integrasi budaya bangsa (yang pemerintah mereka promosikan selama ini), malah lebih menjauh lagi dari mendekati konsep 1Malaysia yang juga–dilaung-laungkan oleh mereka itu sendiri. Ini sangat ironik. Hakikatnya, ini adalah satu bentuk penghinaan budaya yang amat menjolok kepada bangsa lain. Semua sudah sedia maklum, budaya dari semua bangsa-bangsa ini telah berakar dan menjadi sebahagian dari budaya negara kita sejak berzaman lagi, atau paling tidak, selama 50 tahun negara merdeka.

Bayangkan, setelah berdekad kita merdeka bersama-sama, hari ini mereka masih terasing dalam satu majlis! Jelas, penganjur tidak mengkiktiraf dan menghormati sumbangan mereka dalam tamadun kebudayaan negara ini, atau mereka (bukan melayu) itu sendiri yang mahu begitu. Trofi anugerah buat mereka hanyalah ibarat piala menang lumba lari dalam karung guni. Siapa pun tidak peduli pada calon dan pemenangnya. Sekalipun di kalangan orang-orang AIM dan artis-artis kita sendiri.

Mengapa perlu dipecah-pecah? Apakah dengan menyatukan semua bahasa dalam satu kategori akan menyebabkan hanya satu bangsa sahaja yang akan menang? Apakah ini anugerah bangsa atau bahasa mana lebih kreatif? Dan, apakah dalam kategori yang sama, maka karya bahasa lain akan tenggelam? Bukankah dengan membuka pencalonan akan memberi lebih banyak saingan dan ia lebih terbuka dan adil, semua pihak mendapat layanan intelek yang setara, hanya karya yang bermutu sahaja yang akan menang, tidak kira bangsa dan bahasa apa sekalipun.

Jika berlaku kemenangan yang berbahasa Tamil, pasti ia akan mencuri perhatian peminat, barangkali peminat akan belajar bahasa Tamil. Secara tidak langsung, bukankah bagus mempelajari dan memahami bahasa lain?. Namun, jika ada karya dari mana-mana bangsa yang mungkin gagal mendapat tempat, maka biarlah karya itu tenggelam jika sememangnya karya itu sampah. Barangkali, bagi mereka sebagai penganjur, dengan pengasingan ini akan dapat memastikan semua pihak (bangsa) akan dapat sama merasa nikmat anugerah AIM. Ini teori bahlul–aneh betul.

Lebih awal dari Anugerah AIM 2010, telah berlangsung satu anugerah seni yang amat sederhana penganjurannya. Anugerah ini adalah yang sulong sekali. Menyatukan empat teras seni yang bakal menjadi ’trend’ industri seni yang baru iaitu Penulisan Kreatif, Seni Visual, Seni Muzik dan Seni Persembahan. Sehingga hari ini, belum ada mana-mana negeri, badan NGO, institusi yang sanggup menggabungkan semua seni teras ini dalam satu acara anugerah yang simbolik. Anugerah Bakat Muda Selangor atau dalam bahasa Inggerisnya SeYTA, akronim dari Selangor Young Talent Awards ini telah melangkah awal. Di belakang penganjuran SeYTA, ia adalah untuk menyediakan cabaran masa depan yang baru, khusus bagi penggiat seni dan pengamal budaya yang muda dan ada ’passion’.

Menyatukan disiplin-disiplin seni yang empat ini bukan kerja yang mudah atau tangkap muat, keperluan setiap disiplin seni ini berbeza-beza. Penilaian juga berbeza mekanismenya termasuk syarat-syarat asas dan tambahan. Kategori penulisan sahaja, akan melibatkan pelbagai genre, begitu juga dengan lain-lain kategori. Malah pencalonan juga terbuka kepada pelbagai bahasa dari seluruh negara. Dan, yang menariknya disini, hanya pengkarya/artis yang berumur 16 hingga 35 tahun sahaja dapat layak untuk dicalonkan. Maka, dalam anugerah SeYTA, tiada langsung kemungkinan bagi orang seperti Siti Nurhaliza akan mendominasi pencalonan dan kemenangan setiap tahun, kerana faktor umur ini. Hakikatnya, SeYTA adalah anugerah untuk ’spot talent’ yang matang. Bukan yang mentah seperti AF, MENTOR, GENG STARZ DLL. Ini real (SeYTA).

seyta_major3
Orkestra semasa sesi latihan.

Namun di sebalik kritikan ini, SeYTA juga tidak terlepas. Ada yang mengkritik bila mana SeYTA juga memecah kategori berasingan bahasa seperti mana anugerah lain. Tuan-tuan, kami berbeza, pertama sekali perlu jelas, kategori yang SeYTA pecahkan hanya melibatkan kategori Penulisan Kreatif. Secara sedar kita semua perlu akui, bahasa-bahasa lain dalam kategori penulisan kreatif, karya-karya penulisan sastera yang berbahasa Tiong Hua, Tamil dan Inggeris adalah amat rendah bilangan dan kurang mutunya. Kita sebagai penganjur telah melihat potensi dalam kesemua bahasa ini untuk dimajukan.

Justru,penganjuran yang kali pertama ini jelas bertujuan untuk meransang kembali produktiviti karya dalam bahasa-bahasa tersebut. Malah, tiada jaminan untuk kategori ini diteruskan sekiranya produktiviti mereka sudah mula menampakkan hasil dan mutunya, setara dengan Bahasa Melayu yang telah menjadi tradisi dalam arena persuratan sastera bangsa Malaysia. Inilah latar sejarah yang menjadi sebab pemecahan kategori bahasa dalam Penulisan Kreatif. Tetapi, jika selepas ini karya dari bahasa-bahasa tersebut masih tidak produktif, maka selamat jalan buat mereka. Ini realiti.

SeYTA dianjurkan dalam keadaan sumber masa dan dana yang amat terhad. Masa persediaan yang diambil sekitar enam bulan, dan mula aktif beroperasi secara rasmi sekitar empat bulan lalu. Oleh kerana terhadnya masa, sedikit sebanyak memberi kesan langsung kepada proses pencalonan. Dalam pada itu juga, jumlah pencalonan masih berjaya melepasi sasaran iaitu 520 karya. Namun kita tidak ingin sesekali berbangga dengan jumlah nombor seperti ini. Nombor-nombor ini bagi kami – bukan undi.

Secara keseluruhannya kita mendapati, karya-karya yang dihantar ke SeYTA sangat dinamik mutu dan bentuknya. Dari segi teknikal,ada yang lengkap data pencalonannya, ada lemah datanya. Semua ini menjadi indikator penting bagi kita untuk menilai kualiti calon dan karya.  Sembilan puluh peratus karya di SeYTA bertemakan kepelbagaian budaya dan kebebasan ide. Mereka langsung tidak terikat dengan kehendak pasaran dan kehendak penganjur.

Kejujuran karya-karya ini sangat jelas bukan hanya faktor tema tetapi bentuk karya itu sendiri yang amat jauh berbeza dari karya-karya besar arus perdana. Bagi para finalis dan pemenang SeYTA, mereka sememangnya bagus. Kita berani mengatakan demikian kerana kita yakin pasaran baru sedang terbuka luas buat karya-karya ini–inilah karya masa depan.

Kumpulan Tilu yang kini sedang hangat di radio, mereka mengungguli kategori muzik di SeYTA kerana bentuk muzik dan idenya, bukan kerana mereka telah mandi bogel di kolam renang. Juri SeYTA memilih Lembing Awang kerana naratif kesahnya sangat bersahaja dengan konsep cerpen baru, yang keluar dari rangka dan gaya kebiasaan seperti yang terhasil dari Sayembara Penulisan Kreatif anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka DBP. Abror Rivai dengan karya ’Perempuan, hujan dan kematian’ memberi gambaran jelas akan lahir satu tokoh dan pengarah filem yang baru dan berkarismatik. Hands Percussion, kumpulan ini menerima pengiktrafan tempatan yang pertama kali, iaitu dari SeYTA, sedangkan mereka ini telah lama menjelajah segenap Eropah, China, Amerika dengan persembahan tradisi Muzik Malaysia. Mereka mengolah kembali seni gendang dari Melayu, Cina India dan Jawa. Siapa tahu kumpulan ini bertapak di Sungai Buloh!. Karya-karya finalis ini semua ini tidak ekstrem ke kiri dan tidak konservatif dan poyo ke kanan. Mereka ada basis fundamental dan konsep seni yang kuat.

Barisan juri merupakan mereka yang sememangnya berdisplin tinggi dan kaya dengan idealisme. Mereka bergelut mencari yang terbaik. Pertarungan antara juri dalam Majlis Juri sememangnya hangat. Proses dan masa penjurian juga sangat terhad dan ketat, selepas saringan, proses penilaian telah berlangsung selama tiga minggu dan untuk Persidangan Juri di peringkat akhir, majlis telah berlangsung selama 14 belas jam – tanpa henti.

Pada malam anugerah, pentas – rekabentuk dan cahaya sangat ringkas dengan warna gelap (hitam) dan warm (merah dan oren). Ini antara rekabentuk paling efisen pernah aku uruskan. Backdrop tanpa kilau-kilau dan font-font yang klise, tiada font terima kasih YB itu, dirasmi oleh YB ini, ditaja oleh itu, diperkuat oleh ini, dihangatkan lagi oleh itu. Semua kata-kata bodek tiada, apa yang ada di arena hanya yang perlu-perlu–pemuzik, artis, juruacara dan kumpulan orkestra.

Susunan penghibur pada malam itu sengaja kita tampilkan yang ‘bukan’ dari kebiasaan. Sesetengah artis tidak pernah bertemu di arena yang sama dan di pentas bersaiz ’L’ ini. Jurutera bunyi mabok dengan keperluan artis yang berbeza-beza alat dan instrumen.

Menarik untuk memperkatakan tentang Mikrobotman dan Sosound. Bagi Sosound, mereka menggunakan alat terbuang, bukan terpakai. Mereka gubah benda-benda seperti TV, spring, botol, kotak, batang besi dan pelbagai lagi menjadi instrumen. Kita tak akan menyangka ke semua benda ini akan dapat menghasilkan bunyi yang menarik. Dari segi kreativiti, Sosound berjaya. Namun dari segi olahan muzik, mereka harus sedia untuk belajar muzik dengan lebih gigih lagi, muzik eksperimental juga ada bentuk dan arahnya. Seorang pemuda yang menggelar diri sebagai Mikrobotman, juga unik. Dengan menggunakan gameboy yang bermacam-macam jenis, dia dapat menggabungkan muzik-muzik dari gameboy itu menjadi bentuk harmonik. Jenis muzik ini, jika diolah dengan betul dan kemas, kelak pasti mampu mencabar DJ spin. Mikrobotman juga sama seperti Sosound, sangat kreatif.

Orkestra – mereka ini merupakan anak muda yang outstanding. Rafi sebagai konduktor muzik berjaya menggubah muzik sebagai pengiring utama persembahan artis-artis pada malam itu sesuai dengan konsep SeYTA yang ringkas dan pelbagai. Tidak terlalu banyak not/line hingga menganggu muzik asal artis dan tidak ’mengada-ada’ hingga menjadi orkestra ’RTM’. Sebagai konduktor yang bagus, Rafi memahami kehendak anugerah. Beliau, boleh aku ’order’ line baru jika aku merasa jelek dengan line string yang sedia ada. Begitulah resam menggubah muzik di saat akhir. Dan untung, anugerah ini tidak meminta yang berlebihan daripadanya. Inilah asas penting dalam kita berurusan dengan muzik secara live. Minta boleh tetapi jangan berlebihan. Penganjur dan produksi muzik wajib saling kenal dan memahami.

seyta_major2
Persembahan Mikrobotman.

Elemen sokongan lain pada malam itu, seperti juga anugerah-anugerah yang lain, ia menjadi ’adat’ pada malam anugerah, iaitu montaj dan penyampai anugerah. Montaj amat sederhana sekali, secara umumnya – hancur. Ke’amaturan’ montaj ini memang aku sedari beberapa hari sebelum acara kemuncak. Namun sebagai penerbit – the show must move on. Penyampai pada malam SeYTA begitu komited dengan tugasan mereka, tiada skrip “apa khabar u..projek apa sekarang” – kesemuanya efisen dan ekonomi.

Satu keadaan yang menarik dan real sedang berlaku di atas dan di belakang pentas ialah, mereka (kru) bekerja tunggang terbalik – kapal pecah. Tiada satu saat pun mereka dapat berehat dan menikmati acara kemuncak. Kecekapan teman-teman kita ini sangat aku kagumi. Perlu juga disedarkan pada umum, acara persembahan/anugerah sebegini tidak jauh bezanya dengan situasi di medan perang, tiada satu pun yang berlaku ketika kejadian sebenar akan sama seperti yang dirancang. Dan, dengan gerak hati serta percaya sesama sendiri, maka ‘ribut’ menjadi bayu yang menyadap lembut kehadapan penonton. Malah, mereka yang dibalik pentas, dengan kekurangan pengalaman, kekurangan dana, kekurangan alat, masih mampu bekerja dengan kerjasama mantap. Tahniah buat mereka semua.

Mengurus acara sebegini tidaklah sukar, namun bukanlah semudah disebut dengan mulut. Melihat contoh-contoh anugerah besar di dunia seperti Academy Award (Oscar), Grammy Award dan Nobel Prize. Tradisi anugerah kepada karya-karya besar sememangnya membangkitkan keinginan kita untuk mencabar mereka. Acara anugerah ini dan karyanya memberi kesan yang sangat politikal kepada kebudayaan dunia tanpa melibatkan tokoh politik (pemimpin politik) hadir di atas pentas anugerah. Adakah ini isu penting? Apakah kita tidak berterima kasih kepada kerajaan selaku penganjur utama? Tidak.

Kebudayaan adalah aset bangsa dan tamadunnya, ia milik semua. Memelihara kebudayaan bukan bermakna  memelihara tradisi bangsa seperti memelihara itik dalam kandang, tetapi memelihara keperluan budaya yang senantiasa berkembang seiring dengan perkembangan ekonomi dan politik sesebuah negara. Perkembangan ini tidak akan mampu difahami oleh politikus parti. Justru, arena seni wajib diisi isinya, dipapar bentuknya, digilap sinarnya oleh warga seni itu sendiri. Senimanlah yang akan mewarnai dunianya. Politikus boleh jadi penonton sepertimana seniman menjadi penonton melihat politikus di Dewan Rakyat. Sikap pura-pura ini aku akui masih wujud dalam penganjuran SeYTA tetapi aku yakin ia tidak akan menjadi tradisi. Kita wajib sedar bahawa golongan seniman, khususnya seniman muda, sangat kaya dengan idealisme, mereka tidak korup ide. Mereka juga adalah mekanisme pembuat dasar dalam masyarakat.

Jika kita lihat Grammy Award atau Academy Award atau anugerah-anugerah seni yang lain dalam industri yang lebih besar. Kesemua anugerah ini memiliki tradisi budaya seni yang tinggi. Bagaimana nama anugerah itu dipilih, bagaimana trofi itu dibentuk, mengapa kategori-kategori ini diangkat. Kesemua ini punya sejarah dan bersebab, ia adalah tradisi yang amat rapat dengan nilai estetik dan intelektual, malah semua elemen-elemen ini sangat bersifat komersial. Mereka menemukan titik antara nilai estetik, kualiti dan komersial.

Pakej lengkap ini boleh dijadikan kajian bagi penganjuran anugerah seni di Malaysia. Bukan soal glamour red carpet yang kita sendiri tidak tahu apa sejarah di sebalik wujudnya red carpet. Bukan soal memperaga busana fesyen atau aksesori ‘pinjam’ untuk melawa semata-mata. Dan, dalam SeYTA juga aku akui, kelemahan ini wujud. Melihat logo dan trofi SeYTA, kita yakin akan ada lagi bentuk trofi yang lebih simbolik dari yang sedia ada. Namun, bentuk yang ada ini telah menjadi sejarah di mana akan kita ukir ianya kembali menjadi arca keagungan idealisme orang muda.

Buat semua pihak yang terlibat, anda bersaksi bahawa ini satu permulaan era baru. Terima kasih atas usaha semua pihak dan tahniah kepada pemerintah yang cuba memahami keperluan orang muda. SeYTA tidak akan mati lagi kerana orang muda sudah sedia dan akan terus memangku tugas ini – RAM.

Mazir Ibrahim, seorang komposer dan penggiat MusicForum, sebuah kumpulan yang giat mengangkat isu dan wacana perbincangan musik di Malaysia.