Perkembangan Bahasa Melayu Moden

oleh
17 Mei, 2010 | kategori Esei | komen [0] | Cetak | kongsi  

Abdulah terpaksa kita akui sebagai seorang tokoh yang agung di dalam sejarah perkembangan kesusasteraan Melayu. Dia-lah yang mula-mula membayangkan gejala-gejala kemodenan di dalam masyarakat kita sewaktu masyarakat kita seluruhnya masih jauh daripada hakikat kemodenan ini. Dia menggunakan perkataan “aku” bila menceritakan kenangan-kenangan pengalaman-pengalaman hidupnya—yakni “aku” sebagai manusia biasa yang telah pun mencapai martabat kedaulatan yang sama tinggi dan sama rendah dengan manusia lainnya. Dia tidak lagi mengakui hak-hak atau kelebihan-kelebihan istimewa kaum bangsawan dan kaum di-raja di atas segala rakyat jelata. Lantas nasib rakyat jelata adalah penting baginya: kepercayaan mereka, ‘adat resam mereka, cara hidup mereka, tingkat pengetahuan mereka merupakan hal-hal yang yang diperkatakan di dalam buku-bukunya. Ini adalah konsepsi demokratik—konsepsi moden yang sebelumnya tiada di dalam masyarakat kita. Di sinilah justerunya terletak keagungan Abdullah sebagai seorang pengarang dan di sinillah juga terletak sumbangannya terhadap perkembangan kesusasteraan Melayu. Kesusasteraan kita diangkatnya dari darjat kefeudalan Hikayat Hang Tuah-nya dan Sejarah Melayu-nya ke darjat yang lebih tinggi. Dia-lah bapa kesusasteraan Melayu moden.

sastera_minor

Abdullah Munshi

Akan lebih ternyata rol Abdullah yang teristimewa ini bila kita bandingkan-nya dengan beberapa pengarang yang muncul kemudiannya. Raja Ali Haji, tiga belas tahun termuda daripadanya, dan kembali lebih kurang dua puluh tahun selepas kembalinya Abdullah. Buku Tuhfatun Nafis-nya itu dikarang dua puluh tahun selepas Abdullah mengarang hikayat-nya. Tetapi karangan ini serba-serbinya tidak sejenis dengan Hikayat Abdullah, dari segi bahasanya, dari segi bahannya dan lebih-lebih lagi dari segi pandangan pengarangnya. Raja Ali menulis mengikut tradisi Sejarah Melayu. Ia menyambung pekerjaan yang telah dimulakan Tun Seri Lanang dua ratus tahun dahulu. Tidak ia melepaskan dirinya dari lengkongan masyarakat feudal; ia hidup, bergerak dan menulis di dalam dunia yang tidak jauh daripada dunia Hikayat Hang Tuah atau sejarah Melayu.

Barang kali kita tidak harus membandingkan Raja Ali Haji dengan Abdullah kerana keduanya tidak mendapat pendidikan dan pengalaman yang sama. Manakala Abdullah lahir dan besar di Melaka, iaitu sebuah pusat pertumpuan unsur-unsur peradaban moden waktu itu. Raja Ali lahir dan besar di Riau, iaitu sebuah benteng kerajaan Melayu tua. Tetapi perhatikanlah Syed Sheikh Alhadi. Munculnya hampir seratus tahun kemudian daripada Abdullah dan tinggalnya di kota moden juga. Maka mengapakah ia tidak memperlihatkan sifat-sifat kesungguhan terhadap soal-soal hidup bangsanya? Ia seorang ahli ugama yang mendapat pendidikan dan pemberangsang daripada Muhammad Abduh, iaitu seorang pemimpin pergerakan memodenkan Islam di Timur Tengah. Seluruh tulisannya bermaksud mengembangkan ajaran-ajaran Islam moden ini. Di dalam hal tersebut nyatalah kebaktiannya kepada bangsa Melayu dan terhadap pergerakan itu. Tetapi betapakah dengan soal-soal lain yang lebih menyentuhi nasib bangsa Melayu, yang seumpamanya telah diperkatakan Abdullah, seperti soal bahasa, soal pelajaran, soal adat, soal kemunduran bangsa Melayu seluruhnya?

Jumlah karangan Syed Sheikh besar sekali, tetapi sumbangannya yang tersendiri terhadap perkembangan kesusasteraan Melayu ialah bentuk novel. Kepada kita diperkenalkan bentuk sastera yang baharu ini. Hikayat Setia Ashik Kepada Ma’shok-nya atau Faridah Hanum, iaitu novelnya yang pertama dikeluarkan pada tahun 1926. Empat tahun kemudian Harun Aminurrashid mengeluarkan novelnya yang sulung bernama Melor Kuala Lumpur. Kemudian muncullah satu angkatan pengarang-pengarang novel kita yang diwakili oleh Shamsuddin Salleh, Ishak Ahmad Lutfi, Ahmad Bahtiar, Ahmad Bustaman. Tetapi pelopor bentuk ini tidak pula mengarangkan novel-novel yang bersendikan penghidupan bangsa Melayu, seperti pengikut-pengikutnya, Faridah Hanum ialah sebuah kisah percintaan yang berlaku di Mesir.

Dari sini terlihatlah bagaimana dahulu-nya Abdullah Munshi daripada zamannya. Ia betul-betul seorang pengarang yang revolusioner. Hampir seratus tahun kemudian daripadanya orang masih tidak memperkatakan peri keadaan masyarakat bangsa Melayu. Penulis-penulis kita lupakan bahagian ini di antara yang ditinggalnya. Yang diwarisi mereka nampaknya ialah bahasanya. Abdullah jauh sekali dari nama malas atau lalai. Penulisan hikayatnya memakan masa selama tiga tahun, tetapi bahasanya tidaklah begitu sedap dan seni seperti Hikayat Hang Tuah. Ayat-ayatnya memang kemas dan padat, namun ada unsur-unsur bahasa kewartawanan di dalamnya. Unsur-unsur inilah yang telah dipesakai pengarang-pengarang kita daripada Syed Sheikh kepada Kajai kepada Ishak Haji Muhammad.

Haji Abdul Rahim Kajai ialah tokoh yang terkemuka selepas ini. Tetapi ia bukan seorang penulis novel. Ia lebih terkenal dengan cerita-cerita pendeknya. Di Tanah Melayu ini dia-lah pengarang Melayu pertama yang mempergunakan bentuk cerita pendek untuk menggambarkan masyarakatnya. Di sini ia menyelenggarakan dua tugas yang penting. Pertama ia menyumbangkan suatu bentuk yang baharu kepada sastera Melayu. Kedua ia meneruskan semula tradisi memperkatakan hal keadaan masyarakatnya, tradisi gemilang yang diwariskan Abdullah.

Tetapi Kajai tidak sebegitu tajam seperti Abdullah. Pandangannya tidak sedemikian jauh atau revolusioner. Ia menggambarkan setakat yang lahir sahaja. Sungguh pun begitu ia memang pandai merekakan cerita. Plotnya kemas hinggakan sukar hendak dilihat mainnya. Namun ia adalah seorang pengarang yang idealistik. Pendapat-pedapatnya tentang soal-soal baik dan jahat senantiasa diseludupkannya ke dalam ceritanya. Walau bagaimanapun, dengan munculnya, penggubahan cerita-cerita Melayu telah maju setapak pula. Unsur-unsur pengajaran seperti yang terdapat di dalam karangan-karangan Syed Sheikh dan juga Abdullah sudah tiada lagi

Kajai juga seorang wartawan dan menulis secara amat pintar pula. Memang boleh dikatakan dialah bapa kewartawanan Melayu. Dan hal ini menimbulkan kesan ke atas dirinya sebagai sasterawan. Bahasanya “journalistic” (yakni bahasa surat khabar). Sebagai yang telah kita katakan tadinya, mengikut tradisi bahasa inilah juga pengarang-pengarang kita dari angkatan Ishak dan Shamsuddin menulis novel-novel mereka.

sastera_minor2

Raja Ali Haji

Waktu ini mulailah bangkit satu barisan pengarang novel. Muncul Shamsuddin Salleh, Ishak Haji Muhammad, Abdullah Sidek dan kemudiannya Harun Aminurrashid, Abdul Samad Ahmad, Ahmad Lutfi, Ahmad Murad, Ahmad Bustaman dan lain-lain. Sukar hendak dipastikan novel mana-kah yang terdahulu dikeluarkan kerana beberapa buah daripadanya tiada bertarikh. Nampaknya buah tangan Harun yang pertama tadilah novel Melayu yang mula-mula dikeluarkan. Walau bagaimanapun di dalam lapangan penulisan novel kita hari ini satu-satunya tokoh yang agak terkemuka ialah Ishak. Bukunya yang pertama Putera Gunung Tahan dikeluarkan pada tahun 1937. Kemudian muncul Anak Mat Lela Gila pada tahun 1941, iaitu novelnya yang paling terbaik setakat ini. Saya berpendapat Ishak ialah seorang penyindir atau bahasa Inggerisnya “satirist”. Putera Gunung Tahan sebagai satu sindiran, alangkah enak dibaca! Novel-novelnya yang “serious” seperti Judi Karan atau Pengantin Baru tidak realisitik. Ceritanya tipis meski pun buah-buah fikiran yang hendak dimasukkan ke dalamnya menarik sekali.

Tetapi ketidaksanggupan menggubah sesuatu cerita yang realistik adalah kelemahan yang boleh dikatakan umum pada pengarang-pengarang yang seangkatan dengan Ishak. Di dalam hal ini Shamsuddin Salleh menarik perhatian. Seperti Ishak, tema-nya tidak terbatas kepada soal-soal perkahwinan dan percintaan sahaja, tetapi dia nampaknya pandai juga membuat cerita. Lagi pula, di dalam bukunya Pemimpin Sulit yang dikeluarkan pada tahun 1937, dibayangkan satu pergerakan nasional bagi seluruh Indonesia dan Malaya—satu perhitungan yang agak revolusioner! (secara kebetulan, novel ini adalah satu-satunya novel anti Komunis yang kami jumpai). Rasanya pengarang ini memperlihatkan sesuatu yang luar biasa. Pandangannya luas dan “consistent”. Bukunya Perang Cita-cita merangkakan satu rancangan bagi menebus semula nasib bangsa Melayu. Buku ini tidak boleh dinamakan novel: soal pembangunan ekonomi diperlihatkannya secara yang idealistik, tetapi rancangan yang dibayangkan itu jika diperhitungkan sampai ke segala segi perinciannya memerlukan satu sistem syarikat kerjasama di dalam segala aspek penghidupan ekonomi Malaya ini—tegasnya satu sistem ekonomi sosialis.

Nama yang menggemparkan pada satu waktu di sekitar perkembangan sastera ialah Ahmad Lutfi. Bukunya yang pertama Balek Dari Medan Perjuangan menunjukkan kesungguhannya menulis novel. Tetapi dengan buku-bukunya yang lain dia lebih-lebih bersifat propagandis dan dengan terbitnya buku-buku seperti Bilik 69 merosotlah namanya sebagai seorang pengarang yang “serious”.

Penulisan novel Melayu sekarang sebahagian besarnya dikerjakan oleh angkatan pengarang kita yang lama. Kejayaan yang tercapai di dalam masa kurang lebih dua puluh tahun ini tidaklah begitu memuaskan. Soal menggubah cerita, iaitu satu daripada soal-soal yang besar di dalam masalah penciptaan novel, masih belum dipecahkan. Hinggakan “style” pun umumnya belum ada. Ini seperkara yang agak aneh. Apakah pengarang kita lalai, sekali ceritanya tertulis maka tidak biasa lagi mereka menyemak dan menghalusinya kembali? Perlu diingatkan pengarang-pengarang dunia yang agung seperti Tolstoy dan Balzac meminda “draft-draft” mereka sekurang-kurangnya empat lima kali sebelum dihantarkan ke percetakan. Dan penulisan novel-novel mereka bukan memakan masa lima belas hari atau sebulan tetapi bertahun-tahun! Barang kali keadaan di dalam masyarakat kita sepanjang waktu ini tidak sesuai untuk timbulnya pengarang-pengarang yang sekurang-kurangnya tahan ditanding dengan pengarang-pengarang tetangga kita di Indonesia. Mengarang bukanlah suatu pekerjaan sambilan tetapinya suatu “profession”. Kebanyakan pengarang kita datang dari golongan bawahan dan mereka harus membuat ppekerjaan-pekerjaan lain sebagai mata pencarian mereka yang tetap.

Selepas Perang Dunia Kedua timbul pula satu angkatan baru. Yang menjadi pelopor angkatan ini ialah Asas 50. Umumnya penulis-penulis dari barisan ini mengarang cerita-cerita pendek dan sajak. Buah-buah tangan mereka banyak disiarkan di dalam majalah-majalah dan surat-surat khabar. Nama-nama yang terkemuka di dalamnya ialah Keris Mas, Masuri S.N., Tongkat Warrant, Hamzah, A. Samad Said, Wijaya Mala dan lain-lain. Sumbangan mereka yang besar terhadap perkembangan sastera Melayu di dalam tempoh hidup mereka yang belum sampai sepuluh tahun ini ialah mengangkatkan semula bahasa Melayu ke darjat keindahannya. Sebelum ini bahasa Melayu yang baik hanya ditulis di Indonesia. Sekarang Keris Mas atau Tongkat Warrant senang-senang bisa kita letakkan di sisi Pramoedya atau Idrus.

Keris dan Hamzah dari golongan ini juga menulis novel. Dari dua buah hasilnya yang telah dikeluarkan, iaitu Pahlawan Rimba Malaya, dan Korban Kesuchian Keris memperlihatkan bakat menggubah cerita. Temanya juga tidak remeh dan mungkin kita mengharapkan sesuatu yang agak tidak kecil daripadanya. Berlainan pula dengan Hamzah. Plotnya terasa terlalu kemas, terlalu mekanis. Ceritanya sering kali kasar, bengis dan pesimistis. Di dalam Rumah Itu Duniaku atau Anak Gundek, enam daripada sembilan orang para wataknya  mati, dua daripadanya akibat pembunuhan. Zina dan pencabulan pun berlaku juga. Novel-novelnya demikian dipenuhi dengan peristiwa-peristiwa yang dasyat sehingga ceritanya tidak terkawal lagi. Ini menyebabkan hilangnya kesatuan tema.

Sajak adalah bentuk sastera yang paling terbaharu di tangan para sasterawan kita. Sebagai satu alat sastera ia mempunyai kemungkinan-kemungkinan yang khusus. Dengannya haruslah sasterawan kita memberantas dan menembusi kabus-kabus yang meliputi hidup masyarakat kita dan menuju ke batinnya. Masanya masih terlalu singkat untuk kita mengharapkan hal ini tercapai, tetapi sekali-kali, sudah biasa kita lihat Masuri dan Tongkat menangkap kilat ini.

[sebuah ceramah melalui radio. Ceramah ini dipetik dari Majalah BAHASA keluaran Persekutuan Bahasa Melayu Universiti Malaya, Jil. 2 Bil. 1 Mac 1959.]

Tulisan ini diambil dari buku Cheramah Bahasa dan Sastera yang terbitkan oleh Pustaka Aman Press pada Oktober 1964 dan disunting oleh Shahrim Abdullah.


Tags: A. Samad Said, Abdul Samad Ahmad, Abdullah Munshi, Abdullah Sidek, Ahmad Bahtiar, Ahmad Bustaman, Ahmad Lutfi, Ahmad Murad, Balzac, Haji Abdul Rahim Kajai, Hamzah, Harun Aminurrashid, Hikayat Hang Tuah, Idrus, Ishak Ahmad Lutfi, Ishak Haji Muhammad, Keris Mas, Masuri S.N., Pramoedya, Raja Ali Haji, Sejarah Melayu, Shamsuddin Salleh, Syed Sheikh Alhadi, Tolstoy, Tongkat Warrant, Wijaya Mala
 

 

Tinggalkan Komen

WordPress SEO fine-tune by Meta SEO Pack from Poradnik Webmastera