Menjelang Malam di Miami

oleh
13 Mei, 2010 | kategori Buku | komen [0] | Cetak | kongsi  

arenas_majorBefore Night Falls
Reinaldo Arenas
Serpent’s Tail
1993

Lewat petang itu, langit biru terbentang luas tanpa awan. Warna-warna ungu dan jingga bertembung, menawan horizon yang terhampar, bertahan sejauh mata memandang. Miami ketika itu bersedia menyambut malam.

Saya duduk menghadap laut bersih sekitar pulau kecil di Brickell Avenue. Tak berapa jauh dari situ kelihatan sebuah pelabuhan komersil yang cukup besar. Saya berseorangan dan bertenang merawat keletihan yang belum reda sambil mengimpikan yang indah-indah di negeri itu; hamparan pantai panjang, wanita-wanita Latin ramping yang berlari-lari bersama anjing kecil serta cuaca tropikal yang jarang-jarang marah.

Selang beberapa waktu, saya menyangkut jasad dan nyawa yang separuh siap itu di sebuah meja makan dan berbual-bual santai. Frank Wood, seorang penterjemah bahasa Jerman-Inggeris untuk acara yang kami hadiri petang itu duduk bertentangan. Dia separuh Amerika dan separuh Jerman. Dalam lingkungan usia 40an, ayahnya seorang veteran perang Vietnam 1970an – yang menurutnya tidak pernah berminat bercerita tentang pengalaman perangnya kepada sesiapa pun – manakala ibunya seorang bangsa Jerman. Awalnya, tak ada apa yang terlalu menarik tentang perbualan kami.

Sehinggalah pada satu peringkat, ketika dia mula berbicara tentang keadaan di negara-negara komunis. “Negara yang diperintah dengan faham komunisme tidak memberi ruang kepada individu masyarakatnya untuk berkembang dengan giat,” dia membuka perbualan. Entah perkara apa yang membuatkan dia mula-mula berminat berbicara topic itu tidak pula diketahui. Saya memanjangkan niatnya untuk berceloteh dengan meminta dihuraikan pandangan berkenaan.

“Maksud saya, cuba lihat China sekarang. Dalam masa yang singkat setelah membuka ‘pintu’ dan mengurangkan dos dan ego pemerintahan komunisme yang dulunya pekat sebati dengan bangsa petani itu, mereka kini tiba-tiba menjadi gergasi baru – terutama dalam daerah ekonomi dunia,” katanya. Sekadar makluman, ketika tulisan ini dibaca, China sedang dalam usaha menyiapkan rangkaian keretapi laju – lebih laju daripada apa yang ditawarkan oleh shinkansen Jepun dan T.G.V Perancis – yang akan merentas semua pelosok daerah-daerah utama negara itu untuk kemudahan semua. Shanghai pula misalnya, serta industri automotifnya, hanya mengambil masa 10 tahun untuk menjadi seperti yang dapat dilihat hari ini.

Frank menyambung lagi, kali ini tentang Cuba. “Rakyat Cuba juga kini terdesak. Tersepit di antara rasa hormat segelintirnya kepada Fidel Castro – yang kini sakit – dan keinginan untuk memeluk kemodenan.” Telahan Frank, rakyat Cuba kini kononnya hanya menanti kemangkatan Castro dan berharap penggantinya nanti – yang kemungkinan besar adiknya sendiri, Raul – agar mambawa visi baru untuk negara itu, dengan mengoptimumkan segala sumber asli yang dimiliki.

Ketika berbual tentang Cuba malam itulah saya teringatkan kembali buku Before Night Falls, sebuah memoir hidup dan politik catatan Reinaldo Arenas, seorang penulis asal Cuba. Berbeza dengan catatan-catatan penulis lain dari Cuba yang sering berbicara tentang kemegahan mereka berselubung di dalam komunisme, Arenas melakukan sebaliknya. Dia berceritakan dengan terang berkaitan penindasan regim Fidel Castro terhadap kelompok-kelompok penentangnya.

Arenas pada satu ketika pernah mengangkat senjata mendukung perjuangan regim itu. Tetapi, agaknya, oleh kerana kecenderungan seksual yang dinilai tidak selari dengan nilai norma-norma biasa, dia kemudian mendapati dirinya menjadi sasaran gangguan dan kekerasan oleh regim yang sama.

Yang memenuhi ruang lembaran buku ini ialah ingatan Arenas terhadap penindasan di Cuba. Sepanjang penglibatannya sebagai penulis – tentunya dengan nada mengkritik pemerintahan Castro – hanya satu judul saja pernah diterbitkan di Cuba, itupun novel pertama tulisannya; Singing From the Well. Selebihnya, tulisan-tulisan Arenas tidak pernah muncul ditengah khalayak sendiri. Oleh kerana darahnya mengalir dengan semangat Cuba, Arenas di dalam buku ini menulis dengan cukup mengesankan dan sarat perasaan yang bercampur-baur tentang tanah airnya.

Dia ketika di awal period menulis merupakan antara penulis muda Cuba yang tidak mahu menulis untuk menyenangkan rejim. Dia berkias dan mengkritik, tetapi tetap dihidu. Dia mengkritik penulis-penulis yang lebih berusia yang hanya pandai menulis untuk memuji-muji pemerintahan Castro dan mengharapkan bantuan pemerintah untuk terus hidup senang.

Di dalam segala macam sekatan yang dihadapi, Arenas bersama beberapa orang teman kerap mencuri-curi berkumpul ditempat tersembunyi, membacakan tulisan-tulisan terbaru mereka. Perkara yang paling tinggi pernah diidamkanya ketika zaman mudanya pula mungkin hanya sepasang seluar jeans, yang dibeli dengan duit yang diperoleh sedikit daripada kerja-kerja terjemahan, yang kemudiannya ditipu oleh teman sendiri yang cuma membalutkan surat khabar lama di dalam plastik dan diserahkan kepadanya.

Arenas juga menyorot kembali bagaimana seorang demi seorang rakan-rakan penulis – yang muda mahu pun yang veteran – ditekan, diugut dan ramai juga yang hilang atau dibunuh oleh regim. Novel-novelnya sendiri ada yang dirampas ketika dalam proses disiapkan oleh ajen-ajen regim yang mengugut ahli keluarganya. Tetapi, Arenas memang bukan penulis yang mudah dipatah-patahkan. Suatu ketika, ketika sebuah novelnya sudah siap dan menunggu untuk diseludup keluar dari Cuba untuk diterbitkan, manuskrip itu dimusnhakan oleh regim. Dia tidak mati semangat. Ceritanya, dia kembali menekuni pen, kertas dan mesin taip untuk menulis semula novel itu berdasarkan ingatannya semata-mata. Menulis itu sendiri adalah satu penyiksaan, bayangkan bagaimana Arenas terpaksa melalui proses yang penuh keperihan itu dengan hati yang terluka dan geram yang memuncak.

Semua manuskrip novel-novelnya selepas yang pertama itu diseludup, kebanyakan oleh teman dan juga penerbitnya yang datang ke Cuba dari Perancis untuk dibawa pulang dan diterbitkan di sana. Dan inilah harga yang perlu dibayar sepanjang sejarah dia menulis.

Kemudian, ketika kemuncak penindasan terhadapnya pada 1980, setelah melepasi debar dan peluru yang bersimpang-siur atas kepada di persisir pantai dan ditangkap dan dipenjara serta melarikan diri ke luar Cuba, Arenas tiba di negeri tempat saya teringatkan semua kisah-kisahnya malam itu; Miami, Florida – Amerika Syarikat. Di tanah itulah dia mula-mula merasa nikmat bebas dan terlepas dari rasa ketakutan yang membayangi sebelum itu. Miami sehingga kini menjadi lubuk kebahagiaan orang-orang Latin, termasuk dari Cuba.

Arenas tidak kembali lagi ke Cuba. Dia meneruskan kerja-kerja penulisannya di Amerika – dalam kemiskinan. Dia akhirnya menetap dan mati di dalam sebuah apartment murah di tengah New York pada 1990, akibat AIDS. Dan, inilah buku terakhir yang sempat ditulis, yang pada mulanya hanya merupakan kertas-kertas berselerak di kamar kusam itu yang kemudian dikumpul dan disusun semula oleh temannya untuk tujuan penerbitan.

Menurut Arenas, catatan memoirnya ini diharap akan menjadi satu bentuk testamen kepada orang-orang muda Cuba untuk terus melawan penindasan regim Fidel Castro dan legasinya. Bagi Arenas, dia sudah berpuas hati dengan apa yang pernah dilakukan, terutama untuk menjadi jurubicara tentang Cuba kepada dunia luar. Baginya, dia sudah menang dalam kapasiti tersendiri menentang apa yang disifatkannya sebagai kebejatan rejim di tanah air. Kini, melalui memoir ini, Arenas menggalas perjalanan Cuba seterusnya dibahu orang-orang muda mereka untuk menentukan masa depan sendiri.

Memoir ini juga sudah difilemkan pada tahun 2000 oleh pengarah Julian Shcnabel dan mendapat sambutan dunia perfileman. Reinaldo Arenas mati pada usia 47 tahun. Dia seorang gay yang menghidap AIDS. Dia membunuh diri dengan mengambil dadah berlebihan kerana tidak mampu lagi menderita sakit itu.

Saya terlelap malam itu dalam pelukan Miami, terbangun jam 3 pagi kerana terbayangkan wajah Arenas yang sedang bersiap mahu berangkat pulang ke Cuba. Tidak ada lena yang panjang lagi selepas itu.

Hafiz Hamzah bukan orang yang sama menulis di Mastika. Dia akan mencari celah-celah antara muzik dan sajak dan menjadikan mereka kembar satu darah.


Tags: Before Night Falls, Cuba, Fidel Castro, Hafiz Hamzah, Miami, Reinaldo Arenas
 

 

Tinggalkan Komen