[singlepic id=3 w=255 h=88 float=]

Awal Mei lalu saya balik ke kampung di Perlis dan mengambil peluang berkunjung ke Taman Negeri Perlis. Saya sempat berbual dengan seorang pelancong muda dari United Kingdom, David. Beliau datang ke Malaysia berwisata selama tiga bulan.

“Saya tidak suka orang Inggeris. Mereka suka bersendiri dan bersikap individualistik. Saya suka orang Malaysia yang peramah dan mudah mesra. Mereka boleh datang bertanya itu dan ini kepada saya meskipun kami tidak pernah kenal sebelumnya.” kata David.

Saya fikir pandangan David ada benarnya. Orang Malaysia, khususnya masyarakat luar atau pinggir bandar memang selalunya peramah dan mesra. Isu individualistik di kalangan masyarakat bandar juga ada dibualkan dalam masyarakat Malaysia. Memang sering disebut bahawa sebahagian masyarakat bandar “tidak kenal pun jiran terdekatnya”. Ya, ini mungkin satu ciri yang menjadikan kehidupan bandar itu sesuatu yang tidak begitu menarik.

Saya tidak tahu kenapa ia berlaku. Ia mungkin faktor anak muda yang baru berhijrah atau tamat universiti dan terus bekerja dari pagi sampai ke malam (kerana tersekat dalam sesak jalan raya), maka tidak sempat berkenal mesra dengan jiran tetangga. Umumnya, masyarakat Malaysia berpendapat sikap individualistik adalah negatif. Hasilnya, ia dimusuhi sebagai satu masalah dalam masyarakat.

Yang menjadi masalah ialah apabila sesuatu hal itu dianggap negatif, masyarakat tidak begitu membincangkannya dengan lebih teliti. Ia perlu dibincangkan secara tuntas dalam masyarakat Malaysia kerana ia menyentuh struktur kerukunan hidup bermasyarakat yang kompleks. Sebahagian daripada kompleksiti persoalan ini boleh dikaitkan dengan apa yang telah ditulis dalam isu Politik Moral sebelum ini.

Saya bersetuju bahawa individualistik adalah satu sikap yang cenderung negatif tetapi saya berpendapat individualistik dan individualisme adalah dua hal yang berbeza. Individualistik sebagaimana yang ternampak dalam pandangan masyarakat ialah “Satu keadaan tidak peduli oleh individu-individu dalam masyarakat terhadap persekitarannya”. Sikap tidak peduli ini diambil kira daripada sudut penyertaan kerana daripada sudut ambil tahu itu sukar untuk ditentukan.

Individualisme pula ringkasnya adalah “Penyertaan individu dalam masyarakat untuk memanjangkan kemahuannya.” Para individu ringkasnya mempunyai kehendak yang berbeza dan ada yang saling tindih. Untuk hal yang saling tindih, mereka akan membentuk satu kehendak bersama atau kehendak kolektif. Ya, memang pertentangan kehendak individu dan kehendak kolektif itu menjadi sebahagian wacana penting politik idea. Pada kedua-duanya, penghujahan harus diteliti kerana individu dan kolektif bukan syarat bahawa hujah mereka tepat.

Mungkin disebabkan itu, Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut menyentuh sedikit persoalan individualisme ini di dalam buku Gelombang Kebangkitan Asia (versi bahasa Melayu bagi the Asian Renaissance), buku yang diterbitkan semasa beliau masih menjawat kedudukan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Saya fikir Institut Kajian Dasar (IKD) telah membuat tepat ketika memilih untuk menerbitkan terjemahan pandangan Friedrich August von Hayek (1899-1992) beberapa tahun lalu berkaitan Individualisme: Yang Hak dan Yang Batil (Individualism: True and False).

Hayek dalam kenyataannya mengatakan bahawa individualisme yang hak ialah “Satu teori kemasyarakatan, iaitu usaha untuk memahami segala kuasa yang menentukan kehidupan sosial manusia, dan kemudiannya ialah satu prinsip politik yang berasaskan kepada pandangan tentang masyarakat ini. Fakta ini sepatutnya dengan sendirinya menyangkal kejengkalan salah faham umum: kepercayaan bahawa individualisme itu mendakwa (atau mengasaskan hujah dengan andaian) kewujudan mereka itu terasing atau tunggal yang sempurna berbanding permulaan sebagai lelaki yang seluruh sifat dan persekitarannya ditentukan oleh kewujudan mereka dalam masyarakat. Jika ia benar, ia sebenarnya tidak menyumbang apa-apa kepada masyarakat.”

Ya, jika kita belajar hal ehwal pembangunan masyarakat, individu itu dikenal sebagai unit paling asas dalam masyarakat. Jadi, bicara soal individu sebagai satu keterasingan daripada sistem sosial yang ada sebenarnya, meminjam istilah Immanuel Kant, “ketidakmatangan yang ditempa sendiri”.

Hayek kemudian menambah hujah bahawa individualisme yang hak memerlukan sistem  berprinsip di mana: “penggunaan prinsip umum yang diterima sejagat sebagai cara memastikan keteraturan dalam hal ehwal sosial. Ia berbeza dengan penentuan prinsip oleh kerajaan apabila, contohnya, satu pelan induk kawalan ekonomi dicadangkan sebagai “prinsip asas organisasi….yang dalam apa juga keadaan cara terbaik menguruskan masyarakat ialah melalui kerajaan yang ada”. Ia satu kekeliruan yang serius untuk mengatakan soal prinsip itu ialah tidak ada prinsip selain apa yang diperintah oleh kerajaan; bila segalanya bergantung kepada apa yang dikatakan kekuasaan ini sebagai “kepentingan masyarakat”.

Hayek juga pada masa yang sama mengkritik kebatilan individualisme yang didorong oleh Revolusi Perancis dan pemikir seperti Jean Jacques Rousseau. Jika kita teliti perkembangan pasca Revolusi Perancis, ternyata negara tersebut menghadapi kitaran kezaliman yang berpunca daripada apa yang disifatkan Lord Acton sebagai “kebinasaan yang bermula daripada teori persamaan yang salah”.

Hayek menamakan kesilapan Revolusi Perancis ini sebagai equalitarian atau apa yang boleh disebut sebagai usaha menyamakan semua individu. Hayek menjelaskan bahawa “…terdapat perbezaan ketara dalam melayan semua orang secara saksama (treat people equally) dengan menjadikan semua orang sama (to make them equal)”.

Sebenarnya antara kritik paling besar kepada aliran libertarian (dan apa saja aliran yang mendokong individualisme) ialah kerana kecenderungan menjadikan individu lebih utama daripada masyarakat. Ia tidak terhad kepada sosialisme sahaja, bahkan ada masanya kumpulan aktivis Muslim juga (ringkasnya, mereka yang menolak individualisme). Saya tidak menganggap faham ini bukan satu kesalahan, begitu juga dengan kritik tersebut.

Kita tahu bahawa dalam menjadikan kehendak teramai itu lebih utama daripada individu, berlaku apa yang diistilahkan sebagai “kezaliman majoriti” (tyranny of majority). Maka, individu sebagai mereka yang paling lemah dalam sistem demokrasi mesti dilindungi. Kita harus sedar bahawa kelemahan utama demokrasi ialah kuasa yang ada pada majoriti itu boleh saja disalahgunakan. Demokrasi pada tingkat unggulnya sentiasa berpegang kepada prinsip majoriti memerintah dengan menegakkan hak minoriti (majority rules, minority rights).

Kritik tidak salah kerana dengan kehadirannya dapat mengimbangi aksi individualisme yang batil dan juga menegakkan individualisme yang hak. Kritik mesti dilindungi sebagaimana kata bijaksana dari Voltaire: “Saya mungkin tidak bersetuju dengan anda tetapi saya akan mempertahankan hak anda untuk bersuara”. Andai kata kritik yang ada benar, ia tidak harus dijadikan sebab untuk memaksa aliran majoriti menentukan segalanya.

Dalam bidang pembangunan masyarakat sendiri jelas menunjukkan sinonimnya apa yang disebut individualisme yang hak ini dengan teori perkembangannya. Ringkasnya, masyarakat bergerak daripada hidup bergantung (dependent) kepada bebas (independent) dan yang pada tingkat unggulnya saling bergantung (interdependent). Dalam kata lain, realiti terbaik yang mampu dicapai oleh masyarakat ialah nilai individu itu masih kekal dihargai dengan terus menyertai proses bermasyarakat. Masyarakat tidak ‘beku’ dipaksakan oleh penguasa tetapi hidup dengan penuh dinamika potensi.

Mungkin elok kita merenung ungkapan Alexis de Tocqueville :“Demokrasi dan Sosialisme tidak mempunyai apa juga persamaan melainkan sepatah perkataan iaitu persamaan (equality). Tetapi perhatikan perbezaannya; Demokrasi mencari persamaan dalam kebebasan sementara Sosialisme pula mencari persamaan dalam halangan”.

Sempena mengingati kejadian hitam 13 Mei 1969, marilah kita runtuhkan perkauman dan penindasan dengan merayakan kemerdekaan individu daripada menjadi mangsa kelompok. Semoga globalisasi meruntuhkan tembok-tembok yang menghalang manusia dinilai secara individu – baik atau buruknya mereka. Pada waktu itu, saya akan menemui lebih ramai lagi manusia seperti David, yang gembira dan sangat menghargai keramahan dan kemesraan orang ramai tanpa prasangka dan prejudis.

Amin Ahmad, mendapat pendidikan di Universiti Putra Malaysia. Beliau adalah mantan Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPM dan pernah memegang beberapa jawatan lain di peringkat Kolej, Fakulti Pengajian dan Universiti. Pernah mewakili delegasi Malaysia dalam Program Pembangunan Kepimpinan Belia ASEAN. Alumni Kepimpinan Muda Nahdah Asia, sebuah projek kerjasama Institut Kajian Dasar dan Yayasan Aman Sasakawa (SPF) dan alumni Cato University.