Legitimasi “Gaji Minima”

oleh
18 Mei, 2010 | kategori Kolum | komen [11] | Cetak | kongsi  

Kebetulan, saya membaca tulisan “Gaji minimum bahaya untuk golongan miskin,” dari Wan Saiful Wan Jan, yang termuat di Utusan Online pada 12 Mei 2010. Beliau merupakan Ketua Eksekutif, Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS).

Saya membacanya dengan hati-hati, dan cuba menangkap pesan-pesan yang cuba disampainya. Barangkali, rangkuman pada baris terakhirnya sudah menepati maksud seluruh tulisan ini: “Gaji minimum ialah satu dasar yang merbahaya kepada golongan berpendapatan rendah.” Tentu, sebelum jatuh pada kesimpulan tersebut, ada sandaran yang dikemukakan. Untuk lebih saksama, hujah-hujahnya itu saya tuangkan kembali, supaya tampak ada susur-galurnya.

Pertama, menerusi pengalaman peribadinya, sama ada di Malaysia manupun di UK, penulis telah membangkitkan keburukan-keburukan dari pelaksanaan gaji minima ini. Ini kerana, dari pengalamannya tersebut—yang pernah bertindak sebagai majikan dan pekerja sekaligus—maka pelaksanaan gaji minima ini akan mendorong lagi kemiskinan. Kesannya akan tampak saat berlakunya pembuangan para pekerja akibat keterbatasan ekonomi dari para majikan.

Kedua, dengan bersandarkan pada sebuah jurnal akademik dari Institute of Economic Affairs (1997), penulis membentangkan bahawa ada kajian yang menilai pelaksanaan idea gaji minima ini merugikan, terutamanya untuk negara yang berdepan dengan kegawatan ekonomi. Lalu, disentuhnya secara umum kesan-kesan empirikalnya. Di sini, sekilas terselit pengakuan bahawa ada lebenswelt (dunia-kehidupan, atau waqi’) yang berbeza menurut negara tertentu, dan dalam keadaan tertentu.

Ketiga, sembari berselindung di sebalek MEB, MPEN, maka tulisannya tersebut mahu mendesak kerajaan untuk menolak gaji minima lantaran langkah tersebut, menurutnya, tidak menepati hasrat dari dasar kerajaan itu sendiri. Sebab, dari dasar kerajaan yang sebelumnya, sudah jelas menyatakan bahawa pelaksanaan gaji minima ini kelak mengurangkan peluang pekerjaan di Malaysia.

Dan, keempat, juga yang terakhir, meskipun tidak menerima aras untuk gaji minima (mungkin juga bermakna, aras gaji maksima), tulisan ini juga—dalam satu dimensi—mengusulkan bahawa jalan terbaik ialah, tidak menetapkan apa-apa pun, selain memberi kebebasan penuh pada majikan. Baginya, sepertinya kerajaan seharusnya tidak melayani kehendak-kehendak lain dalam persoalan untuk menetapkan gaji minima ini.

Baik, itulah yang saya fahami dari tulisan tersebut. Maka, berangkat dari kefahaman ini, saya cuba untuk menyampaikan pandangan yang berbeza. Mungkin tidak berseberangan seluruhnya. Namun, saya pasti ada sisi-sisi lain yang terabai, berbanding dengan sikap lewa tulisan tersebut yang hanya bergantung pada kata ya/tidak tentang permasalahan gaji minima ini. Untuk itu, sebaiknya kita pergi satu demi satu kembali.

Pertama, dengan menggunakan pengalaman peribadi, semata untuk menunjukkan wajah keseluruhan, itu adalah sebuah kesendengan (bias) yang sangat ketara. Ini kerana, tentu saja akan ada juga pengalaman-pengalaman peribadi yang lain, yang boleh menunjukkan bahawa penetapan gaji minima ini baik, dan juga berkesan. Jadi, pengalaman peribadi (atau faham peribadi/kelompok) itu tidak boleh dijadikan sebuah pengitlakan. Tatkala dilakukan, maka itu adalah pemaksaan sesebuah pandangan, demi membolot sebuah warta hukum yang bersifat nasional.

Kedua, dengan mengakui bahawa ada perbezaan antara negara yang berdepan dengan kegawatan dan sebaleknya, maka itu juga sekaligus mengakui bahawa setiap negara memiliki lebenswelt tersendiri. Maksudnya, harus juga diakui bahawa setiap negara ada kekhasan-kekhasan tertentu yang tidak boleh diremehkan. Lagi-lagi di sini, ternyata kekhasan (atau, identiti) industri Malaysia tidak ditelusuri lebih jauh, lalu hanya berdiri di balek sebuah kajian ilmiah yang belum tentu mempertimbangkan kekhasan Malaysia ini.

Ketiga, adalah sangat lemah untuk bergayut pada dasar sebuah kerajaan, apatah lagi dasar kerajaan tersebut belum tentu memperoleh legitimasinya. Sebab, persoalan yang lebih asas adalah: apakah dasar kerajaan tersebut menepati hasrat kebanyakan rakyat Malaysia? Persoalan ini sama sekali tidak ditanggapi, dan tidak dituntaskan. Lalu, dengan memetik mana-mana dasar yang sefaham dengan “aku,” atau dengan “kita”, maka langkah itu bukanlah sebuah penyelesaian terhadap keseluruhan permasalahan antara pekerja-majikan ini.

Dan, keempat, dengan membuka seluruh kebebasan pada majikan, tanpa menimbang telebih dahulu suara-suara dari kelompok masharakat yang lain, termasuk suara dari pekerja itu sendiri, itu adalah mengambarkan betapa konservatif-nya faham ini. Konservatif kerana, bebal bertahan pada pandangan-sepihak. Tampaknya, ada bau-bau Marxisme di sini, yang cuba mengambarkan bahawa hubungan antara pekerja-majikan adalah dalam hubungan-konflik, seolah yang tidak dapat diperdekatkan.

Justeru, dari kritik-kritik awal ini, saya cuba untuk menunjukkan bahawa ada masalah jika kita memiliki suatu faham, atau nilai tertentu, lalu berusaha untuk memaksakan faham/nilai kita tersebut pada seluruhnya, biarpun lewat jalur kekuasaan-kerajaan. Tapi, apakah ada pencerahan dari kritik-kritik ini? Saya tidak punya banyak pilihan, selain mengajak untuk menaakul kembali perspektif dari sebuah tindakan-komunikatif, yang bernuansa dari pemikiran Juergen Habermas, filasuf teori sosial dari Jerman.

Memang, adalah hak untuk mana-mana idealogi, mithalnya, liberalisme, sosialisme, islamisme, dll—kalau saya boleh rumuskan begitu—untuk memperjuangkan idealogi masing-masing. Tapi, harus juga disedari, bahawa sebuah kesepakatan tidak mungkin tercapai tanpa didahului dengan sebuah kaedah yang juga disepakati. Lalu, kita perlu memperhalusi sebuah tindakan-komunikatif sebagai pilihan yang lebih setara, bukan lagi tindakan-instrumental (yang hanya cenderung memihak pada fahamnya saja).

Apa yang boleh kita insafi dari kaitan antara tindakan-instrumental dan gaji minima ini? Yakni sikap yang hanya melihat dimensinya, yang memaksa dimensinya pada yang lain, kemudian bergayut pada kekuasaan-kerajaan, sambil juga mengabaikan lebenswelt negaranya—dan ini akhirnya disumbat dalam rangka membenarkan pandangannya saja. Sebetulnya, zaman berfikir seperti ini sudah berakhir. Dewasa ini, dimensi komunikatif bersifat lebih manusiawi, berbanding dengan memaksa pandangannya (yang kononnya benar) ke atas yang lain.

Lantaran itu, adalah miring jika kita hanya melihat hubungan antara pekerja-majikan itu terhad dalam suasana konflik saja. Pada saya, gejala berfikir tak-intersubjektif seperti ini adalah melambangkan kelemahan fikiran kita sendiri. Kita maseh lagi gagal melampaui kesedaran sendiri, yang akhirnya melihat segala yang lain adalah objek-objek (yang juga manusia) yang mahu kita takluki. Lantas, di sini proses komunikasi memainkan peranan untuk melepasi diri kita dari kemelut kepentingan-kepentingan tersebut, sehingga hujungnya akan menemukan sebuah titik muafakat.

Walau bagaimanapun, tetap saja setiap dari kita berhak untuk bersuara. Perbezaan pandangan ini sama sekali tidak harus diredamkan. Biarkan terbuka, dan biarkan masharakat ditawarkan dengan aneka pandangan. Namun, jangan sama sekali mahu mengambil-jalan pintas dengan memakai wewenang kekuasaan, bagi menundukkan yang lain di bawah warta hukum negara. Jalan pintas seperti ini hanya memercikkan lagi sikap totalitarianisme.

Totalitarianisme bukan saja dalam bentuk kekuasaan negara. Tapi juga dalam bentuk kekuasaan faham. Memang, keduanya, akhirnya saling bersentuhan. Sehubungan dengan itu, apa yang perlu ditukik dengan lebih teliti di sini ialah soal legitimasi untuk pewartaan hukum dari gaji minima tersebut. Perlu ada legitimasinya dari krisis tersebut. Dan, legitimasi itu tidak terletak pada kerajaan, tidak terletak pada parlimen, tidak terletak pada suatu faham tertentu tersebut. Namun, terletak pada proses deliberasi (perbincangan) di kalangan masharakat di negara kita.

Maka, di sinilah peranan semua pihak; masharakat, kerajaan, dan Lembaga Swadaya Masharakat (LSM), media, dll, untuk terlibat aktif dalam mencairkan seluruh pandangan yang ada, dan setelah itu diangkat pilihan yang terbaik. Rencam inilah yang membentuk ruang awam, yang menjadi sendi kepada pembinaan amalan demokrasi deliberatif. Memang, tentu akan mengambil waktu. Tapi, itulah harga yang perlu kita bayar demi sebuah demokrasi? Apakah kita memikirkan demokrasi itu murah?

Justeru, dalam tataran sistem demokrasi deliberatif ini, penekanan yang diberikan bukan lagi idealogi. Sebaleknya, adalah kaedah ke arah mencari sebuah keselarasan antara rakyat dengan pemerintah, antara pekerja dengan majikan, dll. Zaman untuk “gedebe” dengan fikiran sendiri—seolah faham kita adalah segalanya, dan menggesa yang lain mengabstrak-diri, atau melepaskan identiti-jatinya—barangkali adalah sebuah tindakan yang sangat mengarut.

Ringkasnya, sekali lagi, saya sama sekali tidak mempertikai setiap suara yang tumbuh. Beragam suara yang tumbuh ini adalah titik-tolak yang penting. Tapi, sikap yang tidak komunikatif, yang degil dengan kepentingan faham-sendiri, tanpa mengendahkan yang lain, itu adalah benih-benih baru bagi sebuah ketaasuban. Maka, kembalikan legitimasi hukum negara (termasuk legitimasi gaji minima) ini pada rakyat itu sendiri—menerusi proses deliberasi kalangan mereka. Bukannya hanya menanti dari keputusan di parlimen/kerajaan. Bukannya hanya berpangku pada pandangan-sepihak.

Jika tidak, kata “keangkuhan,” juga kata “kedangkalan,” tidak pernah surut. Tidak pernah sama sekali. Tidak pernah kerana, dalam sejarah membuktikan bahawa “keangkuhan” dan “kedangkalan” ini selalu bersandingan dengan fanatisme idealogi. Meskipun, idealogi tersebut bernama liberalisme.

Aqil Fithri adalah editor Ummahonline.com, juga zamil Cendikiawan Awam Asia 2009/2010, tajaan Nippon Foundation, Jepun. Ia dapat dihubungi menerusi aqilfithri@gmail.com.

Sambungan Bahagian II


Tags: Aqil Fithri, gaji minima, Institute for Democracy and Economic Affairs, Institute of Economic Affairs, Juergen Habermas, Liberalisme, Marxisme, Sosialisme, Wan Saiful Wan Jan
 

 

11 komen-komen
Tinggalkan komen »

  1. I have no idea what he’s on about. His whole article is about why it would be wrong to impose one’s opinion on others. Minimum wage is completely secondary, and, in fact, he did not say yes or no at all to minimum wage.

    Using his argument that no one should impose their opinion on others, I therefore say that he should try to impose his own ideas on others. It sounds like his article, just like our articles, is an attempt for him to push his own ideas on readers. Using logic, no one should write.

    He suggests that the decision should be made based on deliberations. That was exactly what we want to do. And I oppose legally imposed minimum wage because that is not deliberation. It is law.

    He said, unless we allow deliberations, kata “keangkuhan,” juga kata “kedangkalan,” tidak pernah surut. Yeah. I agree. We are deliberating. What is his point on minimum wage???

  2. Juga, saya juga hilang di dalam artikel ini. Tulisan Wan Saiful lebih jelas tentang gaji minima di utusan tempoh hari.Artikel ini pula tidak tahu di mana hujungnya, walaupun saya secara jelas amat menyokong gaji minima ini dilaksanakan.Tersangat menyokong.

  3. Wan Saiful dan myself,

    1. Apa yang Aqil tulis adalah tentang kaedah-kaedah mencapai kesimpulan yang dibawa oleh Wan Saiful dalam tulisannya. Ini adalah kaedah normal dalam dunia akademik iaitu pergi kepada kaedah.

    2. Saya mungkin kurang bersetuju pada hujahan pertama Aqil bahawa pandangan peribadi yang dibawa Wan Saiful adalah sebuah pengitlakan. Ya, tentu saja ada pengalaman peribadi orang lain yang berjaya. Biar saya tunjukkan.

    Bila misalnya gaji minima itu RM1,500. Ia tak bicara soal mereka yang bergaji RM1,501 dan ke atas tetapi untuk mereka yang bergaji RM1,500 dan ke bawah. Saya pernah tulis, jika peruntukan yang ada katakan RM30 ribu, 30 pekerja akan mendapat gaji RM1000 seorang. Bila dinaikkan RM1,500, hanya 20 orang pekerja mampu ditampung. 10 orang tentu hilang kerja. Ya, 20 orang ini akan ceritakan pengalaman peribadi bahawa ia bagus. 20 orang dalam petunjuk peratusan tentu lebih dari 10 orang. Tapi kita harus bertanya, 10 orang ini siapa? Tentunya mereka yang paling kurang produktif. Demografi yang biasa ialah latar pendidikan kurang dan kemahiran rendah. Ia biasanya merujuk kepada siapa?

    Personal atau tidak bagi saya itu hanya contoh. Lebih penting untuk kita tengok Wan Saiful hujahkan di sana bahawa dia bekerja sebagai pekerja kurang mahir pada waktu itu untuk menampung keperluan hidupnya. Memberi fokus kepada dirinya tidak membantu.

    3. Saya setuju tentang aspek khas yang Aqil bawa. Di Malaysia ini ekonominya dikaut oleh aparat negara yang didokong oleh kelompok politik tertentu. Tapi, adakah Aqil mahu cadangkan bahawa Gaji Minima ini harus diberikan kepada pekerja organisasi jenis ini sahaja? Bagaimana untuk mereka yang tidak didokong oleh negara?

    4. Hasrat kebanyakan rakyat Malaysia itu mungkin absah untuk sesuatu yang bersifat negara – hasil mahsul dan cukai. Tidak pada pemilikan syarikat yang bersifat peribadi. Ini mungkin ada kena mengena dengan perkara 3. Apa yang saya faham, bila Wan Saiful merujuk kepada apa yang negara telah isytiharkan, beliau memaksudkan kepastian undang-undang. Ini sangat penting untuk pelabur. Bayangkan ketika pelabur datang membeli/sewa tanah dan membangun bangunan misalnya, tiba2 kepastian undang-undang tidak ada, ini bahaya untuk mereka. Dan bila penegasan kepada sebuah dasar yang diisytihar oleh kerajaan, ia sebenarnya menuntut sebuah kerajaan yang konsisten kepada dasar yang ingin dibawa, bukan populis iaitu mengikut apa saja yang rakyat mahu meskipun meskipun akhirnya sampai menzalimi yang lain (rujuk hak pemilikan persendirian yang saya cuba maksudkan dalam perkara 3).

    5. Hubungan konflik itu datang daripada tuntutan pekerja bahawa majikan memanipulasi mereka. Saya boleh setuju jika majikan yang dirujuk itu seperti perkara 3 (berlindung di balik aparat kekuasaan). Tapi memahami latar belakang IDEAS, saya kira Wan Saiful tidak bercakap bagi kelompok itu tetapi kelompok yang percaya kepada keperluan persaingan, iaitu mereka yang tak berlindung di balik aparat kekuasaan. Jelas sekali pengertian pasaran bebas itu adalah tidak ada campur tangan kecuali penegasan pemilikan dan kontrak.

    Saya tidak melihat Wan Saiful tidak berkomunikasi untuk menegaskan pandangannya. Ada 2 pilihan, gubal Akta Gaji Minima atau tidak. Wan Saiful menyatakan secara jelas pendiriannya iaitu tidak. Dia datang membawa hujah-hujah sokongan. Tetapi ternampak jika misalnya soalan itu ditujukan kepada Aqil, beliau menjawab “bukan tidak”. Tetapi Aqil tidak menjawab dengan jelas “ya pada Akta Gaji Minima”. Jawapan “bukan tidak” ini boleh jadi “ya pada Akta Gaji Minima” atau tidak ada sikap sama sekali. Penolakan kepada hujah-hujah Wan Saiful belum jadi tiang sebenar jika “bukan tidak” tadi bermaksud “ya pada Akta Gaji Minima”.

    Wan Saiful harus diiktiraf sebagai ‘pelbagai pihak’ yang Aqil maksudkan. Menafikan beliau sebenarnya adalah satu totalitarianisme dalam bentuk fahaman yang Aqil maksudkan. Saya akan katakan aneh jika Aqil menganggap Wan Saiful mahu menggunakan kekuasaan untuk memaksa pandangan beliau. Ini satu ciri yang tidak menepati hasrat besar pasaran bebas itu sendiri (mengambil kira latar belakang kecenderungan pandangan Wan Saiful).

    Akhirnya, saya fikir, Aqil perlu jelas bahawa yang dikatakan “hanya menanti dari keputusan di parlimen/kerajaan.” ialah mereka yang mahu mewujudkan Akta. Jika penghujahan masyarakat mahu diusul, maka Aqil perlu desak penangguhan penggubalan Akta, bukan mengatakan bahawa apa yang Wan Saiful buat adalah satu paksaan pandangan sepihak. Berpihak itu tidak salah, dalam ruang awam ia sentiasa boleh dicabar, tetapi apabila diwujudkan Akta, di mana lagi ruang itu?

    Saya mungkin salah dalam mencerap sudut pandang yang Aqil mahu bawa. Maka, proses deliberasi bermula…

  4. Saya baru pulang dari diskusi anjuran IDEAS tentang isu gaji minima di KLSCAH. Dalam perjalanan pulang yang panjang pada hujung minggu, saya memikirkan beberapa butir buah fikiran dari para panel dan audiens. Maka, sepanjang perjalanan pulang saya bertanya dan berfikir sendiri – mengapa, kenapa dan apa solusi untuk isu ini dan isu-isu yang berngakit olehnya? Berikut adalah rumusan yang tidak seberapa untuk tatapan/ pengetahuan diri saya sendiri dan untuk tatapan mereka yang mahu:

    1. Pada hemat saya masalah-masalah yang berbangkit seputar isu gaji minima ini seperti pembasmian kemiskinan, jurang pendapatan di kalangan masyarakat yang semakin membesar, masalah brain drain, produktiviti (antara sebahagian yang penting yang disebutkan di sini) adalah berpunca daripada kegagalan pertumbuhan ekonomi negara kita yang semakin hari semakin membarah jika langkah-langkah baikpulih tidak diambil segera.

    Kegagalan ekonomi negara kita telah tidak tumbuh secara stabil, dinamik dan progresif selama lebih kurang 20 tahun, telah menyebabkan these hue and cries dalam masyarakat kita. Ini menyebabkan kita tidak mampu untuk menyediakan kemakmuran ekonomi kepada rakyat jelata, jauh sekali untuk menyediakan kemakmuran yang lebih manusiawi (pinjam term menarik dari Pak Khalid yang baru sekali ini saya berpeluang jumpa secara in person).

    Ini pada hemat saya, ‘ibu’ kepada masalah-masalah seperti gaji minima ini dan lain-lain masalah yang timbul daripadanya. Kegagalan ekonomi negara untuk berfungsi dengan baik telah menyebabkan impak yang tidak kurang sedikit kepada kepada keadaan sosial dan ekonomi rakyat jelata.

    Maka, siapa harus yang kita salahkah? Tidak lain dan tidak bukan, banyak beban kesalahan ini perlu ditanggung oleh pihak kerajaan Malaysia jua. Untuk kita memperbaiki keadaan ini, mahu atau tidak, perubahan besar (gradual changes) dan bermakna perlu dimulakan oleh pihak kerajaan. Walaupun, grup seperti IDEAS tidak menggalakkan/ menghadkan campur tangan kerajaan, diberi situasi negara kita dari segi sosio-ekonomi-politik, campur tangan kerajaan adalah satu keperluan pada peringkat awal untuk apa-apa perubahan besar yang berkemungkinan akan diambil nanti. Bila masanya sudah cukup, kerajaan harus bersedia melepaskan tangan tanpa berkepentingan.

    Tetapi, persoalan dan realiti yang harus kita hadapi adalah, sejauh mana kerajaan Malaysia mahu berubah?

    Pada hemat saya, tanggungjawab memberikan momentum kepada pertumbuhan ekonomi negara, adalah tugas dan tanggungjawab kerajaan dan ia tidak boleh dilepaskan kepada pasaran semata-mata. Melepaskan segala-galanya kepada pasaran, mungkin bukan langkah yang baik (diperingkat permulaan). Sekali lagi saya tegaskan, keadaan ini perlu buat negara kita memandangkan kepada keadaan sosio-ekonomi-politik nya.

    2. Isu yang tidak kurang menariknya adalah, persoalan pertembungan di antara kelas (war between social classes). Mahu atau tidak, inilah masalah yang telah ditinggalkan sejak kita merdeka dan ketiadaan keikhlasan serta sifat bersungguh di kalangan pemimipin-pemimpin negara sama di blok pemerintah mahupun pembangakang untuk menanganinya. Anjuran ini bukan baru terutamanya di kalangan pengkritik-pengkritik ilmiah diawal-awal tahun 50-70an seperti Allahyarham Syed Hussein Alatas.
    Masalah yang tidak ditangani secara hikmah ini telah membawa tidak kurang sedikit impak kepada masalah sosial, ekonomi dan politik tanah air kita pada hari ini. Dengan mengatakan, masalah ini adalah tinggalan zaman perang semata-mata adalah tidak wajar sama sekali. Apa sekarang dunia telah sepi secara total dari peperangan?

    Namun, saya tidak mahu melihat kepada perbedaan ideologi di kalangan kita semata-mata. Sesiapa sahaja berhak untuk menganuti faham ideologi yang mereka senangi. Namun, saya suka menganjurkan, juga untuk mengingatkan diri saya sendiri – jalan tengah eloklah diambil dan digalakkan untuk melaksanakan langkah-langkah/ polisi-polisi yang praktikal untuk masyarakat selain hanya melihat kepada perbedaan idelogi semata-mata di kalangan kita. Misalnya, ada perkara baik seorang libertarian boleh pelajari dari seorang sosialis dan begitu jualah sebaliknya.

    Perbedaan di kalangan kita ini telah terlalu banyak diberikan ‘nama’. Janganlah pula ‘nama’ tersebut terus membedakan kita. Ini jika tidak ditangani dengan baik di peringkat tertinggi dan semasa perlaksaan satu-satu polisi, masyarakat kebanyakan akan lebih keliru.

    Saya kira ini cabaran yang tidak kurang hebat dalam masyarakat kita hari ini. Dan, ini antara cabaran yang paling mencabar dalam kita melaksanakan polisi-polisi yang berkesan untuk kemaslahatan negara dan rakyat jelata kita.

    3. Peranan pertubuhan masyarakat sivil serta kesatuan sekerja tidak kurang penting dalam isu ini malah, tidak dinafikan. Malang sekali, kebebasan pertubuhan-pertubuhan ini telah dirantai sama ada kita sedari atau tidak. Tidak guna juga kita menggalakkan kesatuan sekerja misalnya untuk lebih teratur, mandiri serta berpartisipasi dengan segmen-segmen yang kontra seperti pertubuhan-pertubuhan yang memayungi majikan, sedangkan di satu sudut lain ‘tangan’ dan ‘kaki’ mereka telah digari terlebih dahulu.

    Kerana itu, saya berpegang kepada masalah akar isu ini iatu kerajaan. Jika ada kesediaan oleh kerajaan untuk berubah demi kepentingan negara yang lebih bermakna dan bermaruah, pertubuhan-pertubuhan ini akan dapat melaksanakan peranan mereka dalam membangunkan kesedaran masyaraka serta menyumbang kepada pembentukan masyarakat Malaysia yang lebih matang serta kritikal dengan pembangunan ibu pertiwi.

    Nota: Saya menyebut ‘kerajaan/kerajaan Malaysia’ yang saya tujukan khas buat kedua-dua blok – pemerintah dan pembangkang. Boleh jadi, satu hari nanti pembangkang akan jadi kepala negara. Atau, pemerintah yang sedia ada akan terus diberikan mandat untuk menjadi kepala negara. Jadi, ‘kerajaan/ kerajaan Malaysia’ dalam nota saya ini haruslah dirujuk kepada kedua-duanya. Saya juga bimbang melihat perkembangan politik pihak pembangkang yang kononnya mahu memberi harapan baru kepada rakyat jelata tetapi, tingkah laku/ perbuatan mereka seolah-olah sama nada dengan apa yang telah sedia ada. Kalau ini berterusan, apa harapan baru untuk rakyat sebenarnya?

  5. Saya tidak ingin menyibuk di sini dan membuang masa saya menulis terlalu panjang. Saya hanya ingin mengemukakan beberapa pandangan saya dari sisi yang lain dan memberi pandangan berbeza dengan hujah yang dikemukakan oleh saudara Amin Ahmad. Pertama saudara Amin Ahmad membuat ‘analogi’ tentang kesan/impak/bahaya gaji minima sekiranya ia dilaksanakan.

    Hujahnya:

    Bila misalnya gaji minima itu RM1,500. Ia tak bicara soal mereka yang bergaji RM1,501 dan ke atas tetapi untuk mereka yang bergaji RM1,500 dan ke bawah. Saya pernah tulis, jika peruntukan yang ada katakan RM30 ribu, 30 pekerja akan mendapat gaji RM1000 seorang. Bila dinaikkan RM1,500, hanya 20 orang pekerja mampu ditampung. 10 orang tentu hilang kerja. Ya, 20 orang ini akan ceritakan pengalaman peribadi bahawa ia bagus. 20 orang dalam petunjuk peratusan tentu lebih dari 10 orang. Tapi kita harus bertanya, 10 orang ini siapa? Tentunya mereka yang paling kurang produktif.

    Pandangan saya:

    Saya fikir saudara Amin, membuat perkiraan yang begitu mudah tanpa melihat ruang lingkup ekonomi yang lebih luas. Memanglah, saya faham mana-mana perniagaan pun sebenarnya ada perkiraan kos dan untung rugi syarikat. Itu dapat difahami. Tetapi Amin tidak menyatakan dalam konteks yang lebih menyeluruh.

    Amin memberi contoh hanya 20 orang akan mendapat pekerjaan sekiranya gaji minima dilaksanakan bagi peruntukan RM30 ribu untuk sebuah syarikat yang mengakibatkan pengangguran 10 pekerja. Baik, perkiraannya mudah, saya juga membuat perkiraan mudah. Mengapa Amin tidak melihat bagaimana untuk menambahkan syarikat dan penghasilan peluang pekerjaan ?

    Contohnya kos buruh yang ditanggung bagi 10 buah syarikat dengan kos yang sama diberi Amin (RM30000) bagi setiap syarikat di mana setiap syarikat menggaji 30 orang pekerja. Baik, saya terima hujah Amin sekiranyanya gaji dinaikkan dari RM1000 kepada RM1500, bermakna 100 orang akan hilang pekerjaan dalam 10 syarikat.

    Hujah saya ialah kenapa Amin tidak melihat bagaimana sebuah kawasan itu tadi boleh mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dengan meningkatkan keupayaannya kepada 40 buah syarikat? Yang bermakna bukan sahaja dapat menampung 100 peluang pekerjaan tadi, tetapi juga terdapat lebihan kekosongan 200 peluang pekerjaan, malah mencipta 10 ahli perniagaan baru??

    Kedua saya juga tertanya-tanya tentang falsafah Ideas mengenai pasaran bebas dan saya cuba kaitkan dengan hujah di atas dan produktiviti. Sefaham saya dalam idea asas dalam pasaran bebas ialah bermatlamatkan keuntungan? Kenapa ambil peduli dengan 10 orang tadi? Bukankah ada kontradiksi di situ?

    Sebab itu saya rasa perjuangan yang dibawa Ideas tidak jelas meskipun saya difahamkan mereka yang berada di belakang pertubuhan ini terdiri dari kalangan cerdik pandai, golongan terpelajar dan intelektual yang sering membicarakan mengenai idea dan falsafah liberal.

    Saya juga hadir dalam forum anjuran Ideas tempoh hari. Tak apalah, saya tidak mahu menuduh Ideas sebagai pengecut kerana tidak bersedia berdebat secara terbuka tetapi hanya menganjurkan sebuah forum dengan menampilkan panelis yang mempunyai pandangan yang serupa. Lupakan tentang itu.

    Tetapi apa yang tidak disebut (atau saya yang tidak dengar) ialah mengenai kuasa membeli atau ‘purchasing power’. Bukankah kuasa membeli juga sebenarnya baik untuk pasaran sekiranya gaji minima dilaksanakan?

    Sebagai mengambil contoh kawan saya bernama A. Dulu pendapatan A ialah RM800 sebulan, tetapi kemudiannya meningkat kepada RM1500 sebulan. Dari RM700 itu dia dapat membeli pelbagai benda, seperti dapat makan MC Donald dan KFC lebih kerap berbanding pendapatannya dahulu. Bukah kah ia juga baik untuk pasaran bebas? Jadi apa sebenarnya perjuangan Ideas ini yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘kelompok pendokong pasaran bebas dalam dasar awam?’ Saya tak faham, keliru atau memang saya yang bodoh?

    Saya tidak nampak, dalam konteks isu gaji minima ini, apakah solusi atau kaedah yang mahu dicadangkan Ideas? Sebagai contoh pembasmian kemiskinan melalui perjuangan gaji minima yang diperjuangkan oleh mereka yang pro kepada sistem itu.

    Dengan pendapatan RM400 sebulan bagi peladang estate, apakah yang mereka mampu lakukan? Ok lah, katakan A berkerja di ladang dan isterinya menjual nasi lemak dan pendapatan bersama mereka ialah RM800 sebulan. Bagaimana mereka dapat meningkatkan kualiti hidup? Bagaimana mahu mendapatkan pendidikan yang lebih baik kepada anak-anak mereka supaya anak mereka dapat menjadi peniaga berjaya dan membebaskan keluarganya dari kepompong kemiskinan?

    Saya tidak ada masalah dengan konsep pasaran bebas/ atau kerajaan minima seperti yang diperjuangkan Ideas. Tetapi kita kena bersikap realistik bahawa ekonomi kita hari ini disandarkan kepada sistem ekonomi campuran iaitu campurtangan kerajaan dan peranan pihak swasta. Jadi kita perlu berbicara dalam konteks sistem ekonomi yang ada sekarang, sebelum kita memaksa orang ramai menolak gaji minima.

    Oleh sebab itu saya sangat bersetuju dengan pandangan Azeera Ariffin yang mengatakan:

    “Pada hemat saya, tanggungjawab memberikan momentum kepada pertumbuhan ekonomi negara, adalah tugas dan tanggungjawab kerajaan dan ia tidak boleh dilepaskan kepada pasaran semata-mata.”

    Oleh sebab itu juga kerajaan sekurang-kurangnya perlu mencari kaedah bagaimana untuk memberi inisiatif dan galakan bagi membantu swasta, misalnya dengan pemberian pinjaman mudah dengan pihak bank mengurangkan kadar faedah pinjaman dan insentif lain.

    Saya tidak ada masalah dengan hujah yang mengatakan sekiranya gaji minima tidak mampu dilaksanakan bagi sebuah syarikat kecil bagi menampung kos seperti yang dinyatakan Ideas, tetapi apa yang saya sebutkan kita memerlukan kaedah statistik dan mekanisme gaji minima dan bukannya dengan menolak 100 peratus.

    Bagaimana seorang ahli panelis dalam forum Ideas tempoh hari mengatakan beliau tidak mengetahui data-data atau statistik dalam negara berhubung gaji pekerja tetapi kemudiannya menolak seratus peratus pelaksanaan gaji minima di dalam negara tanpa mengetahui data tersebut?

    Saya juga ingin bertanya tentang kenyataan Ideas mengatakan negara akan bergantung kepada tenaga/buruh dari luar sekiranya gaji minima dilaksanakan. Hahaha. Ini hujah dari MTUC..

    Saya rasa ahli panel dalam forum berkenaan mungkin terlupa menyebut bahawa tanpa gaji minima pun, kita masih bergantung kepada buruh dari luar. Sebabnya apa? Kerana pekerja tempatan mahukan gaji yang lebih munasabah!

    Sebagai contoh, mereka tidak mahu bekerja ladang kerana pendapatan bekerja di kilang lebih tinggi dari itu. Akhirnya ladang diusahakan oleh pekerja luar.

    Selain itu saya juga tidak faham hujah Ideas menyatakan pelaksanaan gaji minima juga akan mengurangkan produktiviti sesebuah syarikat sedangkan secara logiknya, semakin tinggi gaji semakin semangat pekerja dan produktiviti akan bertambah.

    Di sini juga saya berikan contoh berdasarkan pengalaman saya bekerja di sebuah syarikat kecil yang mengeluarkan sebuah produk. Dahulu syarikat kecil ini hanya mempunyai seramai kira-kira 7-8 pekerja. Tetapi oleh sebab keuntungan syarikat semakin bertambah, pihak syarikat dapat menggaji lebih ramai tenaga kerja. Akhirnya kami dapat hasilkan lebih banyak produk kerana kualiti produk yang dihasilkan bertambah baik berbanding dahulu.

    Saya juga mahu menceritakan pengalaman saya dengan syarikat yang menggajikan lebih ramai pekerja sedangkan produk yang dihasilkan boleh ditampung oleh tenaga kerja sedia ada. Tetapi oleh kerana pihak pengurusan yang tidak cekap menyebabkan pengeluaran kos bertambah tetapi kualiti/ jumlah produk yang dihasilkan masih tidak berubah.

    Keadaan ini menyebabkan keuntungan tidak dapat menampung kos pengeluaran (kos buruh). Akhirnya setelah beberapa pekerja berhenti kerana mendapat tawaran gaji yang lebih baik dalam industri yang sama, pihak syarikat membuat keputusan mengekalkan jumlah pekerja
    sedia ada. Di sinilah perlunya kecekapan pihak pengurusan sesebuah syarikat dalam menilai, merancang kos dan keuntungan yang dihasilkan.

  6. Terima kasih MaziN atas komentar balas.

    1. Saya pelik bila anda mengatakan kontradiksi tentang ‘memaksimakan keuntungan’ dan ‘peduli kepada orang yang hilang kerja’. Ia mengingatkan saya kepada pengalaman bermain dgn hujah2 kiri dan menyuapkan kefahaman sendiri ke dalam mulut orang lain.

    2. Saya ada menulis satu artikel lain tentang logik kerajaan boleh menaikkan gaji pekerja sektor swasta ini. Jika benar boleh, kenapa hanya setakat RM1500, kenapa tak naikkan sampai RM5000 dan pakai hujah anda membanyakkan lagi peluang pekerjaan.

    3. Ya, tentu saja peluang pekerjaan itu perlu ditingkatkan. Jika anda hadir ke forum tempoh hari, anda patut meneliti hujah Khalid Jaafar tentang bagaimana gaji boleh ditingkatkan apabila penawaran kerja melebihi permintaan kerja. Ini hukum ekonomi yang asas juga. Sebab itu, idea pasaran bebas tidak berdiri tunggal, tetapi didokong oleh prinsip-prinsip lain seumpama kaki kerusi yang empat itu. Alangkah baiknya jika 1 daripada penambahan 10 syarikat tadi adalah syarikat anda, nanti kita boleh tengok bagaimana ia bergerak.

    4. Kuasa membeli. Ya, saya ingat seorang rakan saya yang dulunya juga kuat berpegang dgn fahaman kiri dan akhirnya kini lebih menyedari sistem yang stabil. Anda jangan ingat kilang2 yang membuat pengeluaran barangan itu tidak mahu produk mereka terjual dan sebahagian pembelinya ialah pekerja kilang dan rakyat yang kita katakan gajinya rendah itu. Dengan memberi gaji rendah ini, bukankah mereka kehilangan potential buyers untuk produk2 mereka? Bayangkan jika pengalaman Kemelesatan Agung berlaku apabila negara2 saling berbalas dasar tertutup.

    5. Saya ternampak jelas bahawa konsep pasaran bebas itu tidak difahami dgn cukup baik oleh sdr dengan hujah beli makanan KFC dan McDonalds itu. Merujuk kepada perkara 2, ya, kenapa RM1500, kenapa tidak RM5000 supaya lebih daripada KFC dan McDonalds boleh dibeli? Hakikatnya, pasaran bebas bukan mendokong pengusaha (kapitalis), tetapi mendokong sebuah sistem yang membenarkan siapa saja berusaha sendiri berteraskan kedaulatan hukum, dan di sinilah tugas kerajaan – membentuk sebuah hukum yang adil dalam hal kepastian jual-beli.

    6. Apabila saya mengatakan anda tidak faham cukup baik, saya tidak memaksudkan anda bodoh, apatah lagi hendak mengaku saya bagus atau lebih baik. Pasaran bebas sendiri melalui banyak proses perdebatan di kalangan pendokongnya.

    7. Tentang pekerja asing, saya fikir pasaran bebas tidak menghalang mereka. Setahu saya, sebuah sistem tertutup, penuh kebencian kepada orang luar yang selalu didakwa mengaut hasil kekayaan negara ialah hujah yang sering dimajukan oleh pendokong kiri. Pekerja asing adalah manusia yang sama seperti kita, menggunakan bakat, pengetahuan, kemahiran dan sebagainya yang mereka ada untuk mencari rezeki. Sudah banyak kita dengar kisah orang luar yang pandai berniaga, hatta di kalangan pekerja Indonesia yang kita sering anggap remeh itu berjaya meskipun hanya dgn menjual nasi di Malaysia. Sebahagian mereka mencari rezeki di negara kita akibat keterbatasan peluang di negara mereka buat masa ini atas faktor yang banyak.

    8. Saya tidak ada masalah dengan kisah gaji tinggi, boleh tambah pekerja dan menambah produktiviti. Tetapi sebagai orang yang juga mempunyai sedikit pengalaman2 bekerja, majikan akan menghitung permintaan pasaran dahulu terhadap produktiviti. Ini adalah bahagian yang mungkin tak difikirkan oleh pekerja. Jika hanya ada 10,000 pembeli, masakan majikan mahu mengeluarkan lebihan pengeluaran yang melampau?

    9. Saya fikir elok juga anda menyatakan rumusan forum tempoh hari yang pada hemat saya adalah sederhana:
    i. Semua panelis mengaku bahawa gaji di Malaysia teruk kerana telah sekitar 20 tahun tidak ada perubahan ketara, dan ini terkait dengan banyak sebab yang memerlukan reformasi segera.
    ii. Sambil mengakui perkara i, tindakan menaikkan gaji melalui akta adalah dasar yang tumpul dalam mencapai apa yang ingin dimaksudkan.

    10. Saya paling terkejut apabila ada hadirin daripada Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) yang mengatakan buat apa peduli dengan 5-10% orang yang kehilangan kerja sedangkan 90-95% orang (majoriti) akan dapat manfat. Mungkin sepatutnya beliau meletakkan diri dalam kedudukan 5-10% orang yang akan kehilangan kerja ini.

    11. Ringkasnya, saya kekal berpendirian bahawa semua isu yang dibangkitkan sama ada pro dan kontra itu ada kemunasabahannya. Cuma sebagai sistem yang dicorakkan dasar, saya fikir akta gaji minima tidak menjawab persoalan masalah gaji dan kualiti hidup rakyat.

  7. [...] Bahagian Kedua: Keabsahan Gaji Minima [...]

  8. saudara Amin,

    1. Apabila wujud terma ‘memaksima keuntungan’, ya kenapa peduli pada faktor-faktor yang boleh menghalang keuntungan maksima?

    2. Kenapa tak naikkan RM1500 kepada RM5000? Pertanyaan apakah ini? Gaji minima yang dituntut ialah RM1500. Berdasarkan situasi ekonomi semasa, garis kemiskinan ialah di bawah RM720. Rujuk kementerian sumber manusia. Titik RM1500 dikira memadai bagi seseorang pekerja memenuhi semua keperluan asasnya dengan kos yang semakin mendadak tinggi.

    3. Tidak menjawab persoalan bagaimana insentif kerajaan dapat meningkatkan peluang pekerjaan.

    4. Jadi anda setuju gaji minima akan meningkatkan kuasa membeli.

    5. Anda perlu membezakan keperluan dan kehendak dalam kuasa membeli.

    6. Tidak ada komen. Kalau ada banyak perdebatan di kalangan pendokongnya, maka sistem itu sendiri tidak atau belum boleh dimuktamadkan.

    7. Itu hujah dari panelis dalam forum tersebut yang menyatakan gaji minima hanya lebih menguntungkan pekerja asing dan bukannya pekerja tempatan.

    8. Jika anda menggunakan hujah itu, maka anda tidak boleh menjadi seorang peniaga yang baik. Produktiviti dan kualiti produk boleh meningkatkan penawaran produk, itu realiti pasaran. Seorang peniaga harus memiliki sifat inovasi keusahawanan . Perlu berani untuk memikirkan peningkatan produk, menembusi pasaran dengan idea-idea perniagaan yang baru. Dari situ akan timbul persaingan untuk merebut pasaran dan mengurangkan monopoli.

    9. Rumusan saya pada hari itu, penekanan lebih kepada no II.

    10. Anda juga perlu meletakkan diri dalam 90-95 peratus orang itu. Agaknya analogi yang sama boleh diajukan, mengapa PR tak boleh perintah negara walaupun tak punya kuasa majoriti?

    Saya juga terkejut dengan komen dari seorang ahli panelis yang, berkata sekiranya kita asyik memiikirkan tentang nasib pekerja, bagaimana pula dengan nasib majikan? Sama lah seperti membandingkan epal dengan durian.

  9. 1. Persaingan adalah perkara yang alamiah (natural) dalam urusan memaksima keuntungan. Antara persaingan dan monopoli misalnya, yang mana anda fikir lebih memaksima keuntungan?

    2. Aduh, apakah saya tidak sedar dan tidak mengakui bahawa tangga gaji itu yang diambil sebagai paras kemiskinan itu rendah? Kritik saya ialah kepada logik bahawa “kerajaan boleh menentukan harga”. Jika benar boleh, pertama sekali yang perlu dibuat oleh kerajaan ialah menghalang gaji pegawai kerajaan yang tinggi termasuk elaun-elaun mereka yang tidak perlu tetapi diambil berasaskan cukai, yang agaknya dibayar oleh siapa?

    3. Peluang kerja boleh muncul dalam banyak bentuk. Saya fikir persoalan insentif adalah jelas. Ia wujud dalam banyak bentuk. Falsafahnya ialah untuk mewujudkan ruang lebih mudah untuk berniaga atau bekerja; dan terpulang kepada manusia, atau pelabur untuk merebut ruang.

    4. Telah jelas dalam forum tersebut, jika benar saudara hadir, bahawa panelis bersetuju kuasa membeli meningkat (untuk mereka yang dapat gaji minima ini), tetapi kajian telah banyak menunjukkan bahawa ia tidak boleh menjamin peluang pekerjaan itu kekal. Jika perniagaan tutup, maka tidak timbul isu gaji minima lagi, yang timbul ialah kehilangan kerja. Tapi ya, memang sebahagian kita tidak peduli pun dengan mereka yang berpotensi hilang kerja ini.

    5. Perdebatan memang wujud. Saya fikir, jika kita memahami sains sosial dengan baik, kita tak akan mengeluarkan komen bahawa ia tidak stabil. Masalah stabil atau tidak akhirnya bergantung kepada manusia. Libertarianisme menekankan bahawa setiap individu lebih tahu dan berkuasa menentukan pilihan mereka berbanding keputusan pusat. Ini dinamikanya. Kerajaan tidak mungkin tahu bila dan di mana setiap individu memilih untuk berurusniaga, dan apa yang mereka mahu beli atau tidak beli. Dengan adanya ruang inilah, mesej moral tentang 7 tahun subur dan 7 tahun kemarau itu dapat berperanan. Saya mengesan, kesilapan ramai ialah menganggap, adanya satu sistem yang tidak memungkinkan ‘kemarau’ itu berlaku. Walhal, kita harus yakin bahawa tiap dari kita yang membentuk sistem itu secara sunnatullah.

    6. Hujah nombor 8 anda sangat teoretikal. Saya tidak menafikannya. Untuk mengatakan saya bukan peniaga yang baik itu juga bukan masalah untuk saya. Pokoknya, saudara setuju bahawa persaingan itu perlu. Itu lebih lestari berbanding monopoli.

    7. Penekanan lebih kepada rumusan ke-2 itu saya melihatnya secara sederhana. Keberanian semua panelis mengakui bahawa tahap gaji di Malaysia masih rendah bagi saya adalah satu sikap sederhana yang wajar dipuji. Kita bercakap tentang sistem yang stabil secara objektif.

    8. Hayek pernah mengatakan sumbangan sosial majikan yang sering tidak disedari ramai ialah kesediaan mereka menanggung risiko hutang untuk mewujudkan peluang pekerjaan. Kita ambil misalnya; si A menyewa kedai setahun dengan harga RM1000 sebulan. Ditambah beban bil sebanyak RM100 sebulan. Gaji, katakan untuk 2 orang pekerja RM1000x2 = RM2000. Jumlah ini saja nilainya (RM2000+RM1000+RM100)x12 = RM3100 x 12 = RM37,200 setahun. Itu belum termasuk stok barang yang diambilnya untuk dijual. Juga, sengaja saya tidak masukkan, gaji untuk dirinya sendiri. Dalam kata lain, risiko hutang ini (tanpa mengambil kira stok dan gaji untuk dirinya sendiri dan juga hal lain seperti pengangkutan misalnya) diambil oleh seorang majikan untuk menggajikan 2 orang pekerjanya. Ramai lupa bahawa belum tentu perniagaan itu berjaya. Gagal atau tidak, pekerja itu mendapat gaji. Sudah tentu kita boleh bawakan contoh majikan yang teruk, menipu pekerja dan sebagainya. Di sanalah ruang peranan kerajaan untuk memastikan wujud kepastian undang-undang serta penguatkuasaan agar kontrak dipatuhi.

    Oleh kerana anda terlanjur menyebut tentang keusahawanan, mungkin elok juga anda teliti benar tentang apa yang disebut titik pulang modal dan aliran tunai perniagaan agar anda jelas perspektif penerangan saya.

    Wallahu’alam.

  10. 1. Saya percaya ekonomi campuran di mana ada campurtangan kerajaan dan swasta. Saya setuju konsep persaingan dalam perniagaan akan memberi lebih banyak kebaikan, tetapi bukan monopoli.

    2. Saya tidak ada masalah sekiranya gaji disektor awam dinaikkan keparas gaji minimum, dengan syarat perlunya penambahbaikan kualiti perkhidmatan. Hal utama yang perlu diberi perhatian kerajaan ialah dari segi aspek pemborosan dan ketirisan projek, bukan dari segi perbelanjaan kerajaan dalam menampung gaji pekerja awam dan pembangunan modal insan.

    Perjuangan menuntut gaji minima dilihat lebih menjurus kepada pekerja di sektor swasta yang diperjuang oleh MTUC dan organisasi lain. Di sektor perbankan misalnya, tidak ada masalah dalam soal gaji minima. Malah NUBE, ialah satu-satunya Union di Malaysia yang terkaya. Gaji kerani bank misalnya melebihi paras gaji minima RM1500 sebulan tidak termasuk elaun, bayaran lebih masa dan bonus. Tapi bayangkan gaji pengawal keselamatan di bank-bank ini yang memiliki gaji kurang dari RM600 sebulan meskipun syarikat kawalan keselamatan mengaut keuntungan jutaan ringgit setahun.

    3. Jika saudara menjadikan kajian sebagai alasan, Australia telah menerima pakai gaji minima sejak 1904, manakala Amerika Syarikat sejak 1938. Hampir 90 peratus negara-negara di dunia termasuk negara dunia ketiga menerima pakai gaji minima seperti Korea Selatan dan Sri Lanka.

    4. Saya tidak nampak apa yang saudara kata sekiranya gaji minima dilaksanakan, peluang pekerjaan menjadi terhad. Bayangkan situasi ekonomi Malaysia sekarang. Mengapa FDI di Malaysia menjunam? Satu sebabnya kos buruh yang lebih rendah di negara serantau seperti di Indonesia, Thailand dan Vietnam. Sedangkan pada masa yang sama negara kita tidak memiliki tenaga kerja mahir/ berpengetahuan yang tinggi. Malah negara kita sendiri bergantung kepada tenaga-tenaga buruh dari luar. Sebabnya apa?Penawaran gaji yang murah. Akhirnya pelaburan dari luar tidak masuk sebab pelabur lebih berminat melabur di negara-negara yang saya katakan tadi.

    3. Terdapat pelbagai kebaikan sekiranya gaji minima dikuatkuasakan. Ia dapat digunakan sebagai kunci bagi menyelesaikan masalah kemiskinan, meningkatkan kualiti dan taraf hidup rakyat, termasuk dalam soal pendidikan berkualiti kepada anak-anak pekerja di sektor rendah.

    Bayangkan seorang anak pekerja kilang, yang bapanya tidak mampu mendapatkan akses perkhidmatan internet ke rumah, berbanding majikannya yang berupaya berbuat demikian bagi memenuhi hasrat pendidikan anak-anak mereka. Maka kesannya jadi lah sesuatu pekerjaan itu diwarisi turun temurun. Sebab itu lah terjadinya ‘yang kaya bertambah kaya dan yang miskin papa kedana’.

    Dasar gaji minimum menjamin seseoang pekerja itu memenuhi semua tuntutan asas, termasuk dalam soal mendapatkan kediaman yang wajar, hak berehat dan berekreasi, kesihatan dan lain-lain yang secara tidak langsung memberi keuntungan kepada sektor-sektor terbabit.

    4. Perkara 23 Perisyitiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) menyatakan, setiap orang tanpa sebarang pembezaan, berhak kepada penggajian yang sama bagi kerja yang sama.
    Saya percaya dasar akta gaji minimum dapat mengelakkan eksploitasi majikan yang memberikan kadar upah yang rendah kepada pekerja.

    5. Saya sangat setuju dengan anda sekiranya gaji minima (atau istilah yang saudara fikir sesuai, gaji munasabah) dipertimbangkan pengecualinnya bagi SME atau perniagaan kecil. Tapi di sini pentingnya bagi saya ialah mekanisme keuntungan dan kos. Bukan semua syarikat kecil tidak untung.

    Juga tidak boleh dinafikan keupayaan majikan itu dalam mengurus perniagaannya sendiri. Sebagai contoh, teman serumah saya bekerja di bidang pemasaran di sebuah syarikat pengiklanan yang kecil yang hanya memiliki tiga orang pekerja , tetapi syarikatnya mampu menjana keuntungan bersih hampir RM30000 sebulan. Sudah tentulah hasil usaha gigih majikan dan staff.

    Gajinya sebelum ini ialah RM2,300 sebulan, tapi bila dia mahu berhenti kerana mendapat offer yang lebih bagus ditempat lain, majikannya menawarkan gaji hampir RM3,000 kerana tidak mahu kehilangan sahabat saya ini. Nah, majikan sebenarnya masih mendapat untung. Masalahnya ialah apabila ada majikan yang cuba mengeksploitasi pekerja bagi mengaut keuntungan yang lebih.

  11. Mazin,

    1. Saya berterima kasih kerana saudara boleh menerima bahawa persaingan lebih baik daripada monopoli.

    2. Tentang hujah ketirisan dan rasuah itu, tentu saja saya boleh bersetuju. Cuma, pada tingkat awal, perlu dihujahkan dulu sumber-sumber kerajaan dalam mendanai kakitangan awam ini. Saya sudah biasa mendengar cukai2 besar di negara2 tertentu. Ya, seperti kata sdr, ia mesti dicerminkan dengan kualiti perkhidmatan. Antara aspek lain yang perlu diteliti di sini ialah, keupayaan mengutip cukai besar ini disandarkan kepada apa? Kita ambil cukai GST yang disifatkan para ahli ekonomi sebagai satu bentuk cukai yang progresif. Namun, selain daripada hujah kewajaran cukai berbanding ketirisan, saya fikir cukai hanya boleh dimunculkan kepada upaya membayarnya. Cukai tinggi di negara2 yang mahu dikutip sebagai contoh itu harus dijelaskan juga dengan bilangan serta upaya mereka membayarnya.

    3. Selain itu, perlu ada hujah perbandingan persoalan kualiti khidmat ini. Di sana baru kita tahu jelas tentang peranan sebenar kerajaan yang saya sifatkan terhad itu (bukan tiada ya!)

    4. Cth yang sdr bawa itu tidak salah. Cuma mungkin penalaran saudara berbeza. Mungkin sdr boleh jelaskan kepada saya tentang orientasi bank dan pengawal keselamatan itu untuk membolehkan mereka keluar daripada belenggu sistem itu sendiri? Nah, bila saya katakan begini, datanglah hujah “manusiawi” dan sebagainya sambil mengabaikan keupayaan melakukannya. Hujah sdr itu jelas menolak sebuah Akta yang bersifat generalisasi tetapi lebih mengkhusus kepada sistem.

    5. Memang saya tahu kebanyakan negara sudah melaksanakan Akta ini dan terakhir, Hong Kong yang dianggap benteng terakhir pasaran bebas juga telah melaksanakannya. Ok, sebagaimana perbezaan pendapat yang saya nyatakan kepada saudara sebelum ini, saya sendiri bahkan berdebat dengan rakan-rakan yang cenderung mendokong pasaran bebas. Hujahnya ialah, pada situasi ekonomi negara yang bagaimanakah ia boleh mengambil tempat? Apa yang mungkin sdr tidak jelas di sini ialah Akta digubal oleh sekelompok manusia yang sering mendabik dada bercakap bagi pihak teramai. Sudah tentu saya boleh menghormati pilihan ramai tanpa saya perlu bersetuju dengan mereka. Memang, untuk popular, sebagaimana di Malaysia, BN dan PR kini sama2 memukul canang perihal gaji minima. Namun, saya sekadar mampu mengingatkan, politikus mungkin boleh mengawal dasar, tetapi tidak pada kesannya. Saya fikir sebelum cth Australia mahu dipanjangkan, eloklah sdr teliti sumber kekuatan ekonominya di mana sehinggakan penganggur boleh mendapat biaya. Jangan lekas hanya melihat penganggur mendapat biaya (aspek menerima) tanpa menghitung sumbernya.

    6. Saya lebih melihat faktor insentif dan juga kepastian hukum serta kestabilan politik dalam mendorong para pelabur. Pelabur bergerak ke negara luar atas faktor buruh murah. Ia memang pernah berlaku di Malaysia dulu, tidak sedarkah kita saat ekonomi melonjak dulu?

    7. Saya fikir, hubungan majikan dan pekerja memang bersifat saling mengeksploitasi. Telah dua artikel saya tulis tentang gaji minima ini, satu dari sisi majikan, satu dari sisi pekerja. Kedua-duanya sebenarnya adalah pengalaman peribadi.

    Dalam kes sahabat sdr misalnya, ya, majikan beliau boleh mendapat lebih…dan saya gembira kerana sahabat sdr menggunakan mekanisme pasaran iaitu mahu memilih tawaran lebih baik (yang tentunya hadir daripada ruang persaingan). Mungkin nanti sdr tanyakan sahabat sdr itu, berapa banyak modal yg sahabat sdr itu keluarkan untuk menyewa kedai, mesin dan sebagainya. Tanyakan juga, agaknya majikan beliau telah beli semua itu atau membayar secara ansuran sehingga titik pulang modal (break-even) tercapai.

    Tanyakan juga, jika beliau berada di kedudukan majikan, berapakah kos yang beliau perlu untuk menggerakkan jenis perniagaan yang sama, berapakah beliau yakin keuntungan boleh dicapai, berapa lamakan beliau mampu mengutip semula kos ini dan mula mencipta keuntungan sebenar. Dalam tempoh itu, katakan 3-5 tahun, tidak ada siapa mahu mengingati ‘peluang kerja’ yang dibuka oleh majikan tadi. Katakan beliau rugi, pekerja hilang kerja (dan mungkin dibayar pampasan), tanpa perlu berfikir tentang hutang majikan tadi.

    Dan katakan padanya, jika beliau dapat menjawab secara terperinci persoalan2 saya tadi, ucapkan syabas kepadanya dan anjurkan beliau memulakan perniagaan sendiri kerana yakinlah, itu lebih baik untuknya. Saya tidak bermaksud sinis, tetapi itulah semangat sebenar yang mahu ditimbulkan oleh libertarianisme iaitu mengambil tanggungjawab sendiri. Tetapi, bukanlah salah untuk dia terus bekerja dengan orang lain, yang penting ialah beliau membuat pilihan merdeka.

    Wallahu’alam.

Tinggalkan Komen

WordPress SEO fine-tune by Meta SEO Pack from Poradnik Webmastera