Cinema Sudah Mati

oleh
25 Mei, 2010 | kategori Filem/TV | komen [2] | Cetak | kongsi  

Mengatakan filem sebagai media baru bererti cinema sudah mati? Tulisan ini bertujuan memberi persepsi lebih jelas. Berhubung filem independen dan hubungannya dalam membicarakan hala tuju new cinema di Malaysia. Menilai semula realiti dengan menoleh sejarah. Tanpa pedoman usaha kita jadi sia-sia. Jauh lagi, mungkin sesat. Saya fikir dalam hal ini pendirian kita mesti mantap. Ini bukan balada kehilangan peta.

Seperti media baru. Saya suka mengaitkan filem dengan lukisan. Macam pelukis, pembikin filem yang serius dan personal komited masa dia, kekuatan dia, emosi dia dan duit dia hendak bikin filem. Cukupkah sekadar itu? Tidak. Filem wajib diputarkan, meskipun kepada seorang kawan. SEBUAH FILEM SEMPURNA SETELAH DITAYANGKAN. Bahawa itulah juga fungsinya. Mencipta sebuah filem itu sama ada personal, eksperimental, avant-garde – anda boleh cakap apa saja – begini, hendak bikin filem tidak ikut acuan komersil, bikin sebab hendak memutarnya supaya dapat dibaca orang satu kerja berat. Pembikin media baru suka berat-berat.

Dalam kata lain, pembikin filem telah masuk ke dunia luar secara sedar. Sebab sebuah filem menyentuh semua sudut (baca: sisi) : perihal birokrasi, politik, organisasi dan ekonomi. Tidak habis di situ. Sebelum ditayangkan semua filem dipromosi. Seperti media baru tersedia di ruang maya. Lalu didedahkan kehebatannya supaya penonton maklum. Filem sebagai media baru bergerak. Ikut tradisi, filem baik mesti dapat balik pelaburan kewangan baru dikira maju. Dalam wacana filem bebas (new cinema)–apabila disebut new cinema ia merangkumi semua jenis filem mandiri seperti indie flick, dokumentari dan filem pendek – soal distribusi acapkali tidak diambil berat. Mahupun isinya berat. Mengapa terjadi sedemikian?

Barangkali seperti media massa lain, penerbitan sebuah filem sebahagiannya adalah di bawah kawalan kerajaan. Jika sesebuah produksi filem itu tidak mengikut peraturan, tentulah pengedarannya disekat! Filem berkesan dalam ruang seni yang imansipasi, dan seni guna semua nilai-nilai yang ujud di sekeliling budaya. Masyarakat berbudaya akan lebih diharapkan ketimbang politik. Maksud, apa jua pun perubahan, persoalan dalam nilai-nilai yang ada justru masyarakat itu sendiri mengolahnya. Dalam kebudayaan yang telah dihirarkikan secara paksa, mempersoal atau mencadangkan nilai-nilai baru menjadi satu ancaman! Bagaimanapun ia bukan masalah. Filem personal dan indiependent meneroka jalan sendiri daripada menurut saja corak komersil yang dipakukan. Gaya dan tema pengucapan baru ini berkembang dari satu satu negara ke satu negara lain. Masing-masing membesar dalam persekitaran budaya, ekonomi dan situasi politik yang berbeza.

Saya fikir kita mencari jiwa. Filem sebagai media baru meneroka. Tadi kita bincangkan tentang kewajipan kita sebagai pembikin media baru. Sebagai masyarakat berbudaya kita mengolah nilai-nilai yang ujud di sekitar kita berdasarkan perasaan. Banyak perasaan. Satu yang menarik berlaku di United States of America. Iaitu The Co-Operative atau pembikinan filem secara kolektif. Apa itu? The Co-Operative ialah sebuah grup. Terdiri daripada pembikin filem bebas – sebetulnya, pembikin filem bebas bersifat terbuka. Yakni, ia tidak memerlukan seseorang itu wajib menjadi ahli persatuan sutradara atau syarikat produksi berlesen. Apa mereka buat ialah mengumpulkan filem seperti menyusun puisi di dalam sebuah antologi. Dalam kata lain–jadikan himpunan dan satukan dalam pustaka. Kemudian kerjakan tayangan dan bersekutu mengedarkan filem mereka ke pasaran.

Sedari atau lalai, pembikinan filem secara kolektif adalah sebahagian daripada budaya pembikin filem bebas di sini. Pada masa itu, hujung 90an, industri filem kita yang kecil ini juga lesu. Namun dalam masa itu filem pendek sudah mula diterbitkan. Di luar universiti situasi nyata lebih lain macam. Itu bahasa kami masa itu. Uniti Films, Kino-I, Da Huang, DFX dan Pendita beberapa contoh kolektif yang lahir. Suka saya menyebut, Amir Muhammad dalam Malaysia Indiependent Filmmakers. Sebelum itu, Mansor Puteh sudah bikin filem Seman dalam 16mm. Saya punya idea menubuhkan Konvensyen Filem Kontot dan Koloni Filem Station 2194 diuruskan secara mandiri. Hasil kolektif, dapatlah karya-karya kecil kami dikirim ke pesta filem antarabangsa dan terpilih untuk pemutaran, pertandingan dan apresiasi. Ini terbukti berkesan, filem sebagai media baru tidaklah lagi dipandang sepi peranannya. Tentu di sebalik bayangan ini beralasan. Saya kira rujukan akan memandu kita berbalik kepada sejarah.

mekas_major

Jonas Mekas

Paling ulung, The Co-Operative bermula di New York. Pada awal tahun 60an (sixties) diterajui Jonas Mekas. Bagi pembaca filem sejati, dia seorang patriarch. Namun bagi kebiasaan orang Mekas tidak begitu dirayakan. Budaya masyarakat kita membaca filem Hollywood berhubung dunia hiburan. Filem sebagai media baru sakit. Jim Jarmusch, Martin Scorsese diraikan berdasarkan reputasi mereka. Namun Mekas punya watak yang tidak dimiliki orang lain. Hitam dan putih filem sebagai media baru banyak konotasi.

Dalam pada itu, filem itu apa? Banyak tafsiran. Satu yang mantap, filem ialah pengisian gagasan atau the international free cinema. Berdasarkan tafsiran ini kita membaca banyak pendapat. Bagi satu pendapat, Mekas macam bapa kemerdekaan atau The Godfather of Independent Cinema. Harus diakui Mekas adalah insan yang sangat berpengaruh. Dia adalah nafas kepada new cinema atau filem personal.

Antara filem yang ditalunkan beliau ialah The Circus Notebook (1966/67). Nyata filem ini mengisahkan kehidupannya di zaman kanak-kanak – penuh warna warni, misteri dan impian. Pada tahun 1969, dia menyudahkan sebuah filem otobiografi berjudul Diaries. Ia merupakan bagian dari koleksi beberapa buah filem yang dibuat dengan menjadikan kamera seumpama buku nota peribadi. Tahun 1971, Jonas Mekas bersama abangnya Adolfas ziarah ke tanah kelahiran mereka di Lithuania. Dalam ziarah itu, Adolfas membikin filem berjudul Going Home. Sambil Jonas membikin sebuah filem berjudul Reminiscenes of a Journey to Lithuania. Nanti – dalam kesempatan ini – saya huraikan sedikit latar belakang Jonas Mekas sebagai renungan. Filem sebagai media baru membaca. Filem sebagai media baru melihat.

Dalam hidupnya – bagaikan sinar di kelir putih – Mekas sangat berwarna warni. Berhadapan penahanan, kasus mahkamah dan kekerasan. (Sudah, saya terkenang Seniman Jalanan, Nasir Jani; Dari Jemapoh, Hishamuddin Rais– pada saya sejarah jadi real bila dapat dikaitkan dengan realiti). Sebagai pembikin filem, penyair dan suara dedikasi dia adalah patriarch. Dialah punca kesemua pembikin filem yang bernaung di bawah The Co-Operative dihormati lantaran dipersekutukan. Dalam wacana filem secara umum, jarang ada minat untuk membicarakan dia. Tapi di dalam penulisan ini, menarik untuk memperhatikan beberapa sisi lain mengenai kehidupannya. Umpama kerikil tajam jalan hidupnya berliku. Mekas lahir pada tahun 1922 di Semeniskiai di Lithuania. Masa perang dunia kedua– tatkala Rusia kemudian Jerman menduduki tanahairnya – kerja dia melawan kedua musuh. Dia bekerja penyunting sebuah surat khabar underground. Dua beradik (dengan abangnya), Mekas dan Adolfas hujung perjuangan berakhir di sebuah perkhemahan buruh. Habis perang, mereka dihantar pula ke suatu tempat di khemah orang buangan dan pelarian. Akhir sekali mengaji di Universiti of Mainz. Di sini Mekas menemui sebuah buku berjudul “Dramaturgy of Films” dan kata dia kemudian, “bila saya baca buku itu, saya sedar bahawa, tak kira ke mana kita hanyut, Cinema adalah lidah yang memungkin kita ucapkan salam pada semua orang.” Penting diberitahu – semasa di Universiti of Mainz – Mekas mengambil jurusan psikologi. Sekitar tahun 1970 di New School of Social Research barulah Mekas mengaji filem secara khusus.

Secara umum, buku Dramaturgy of Film membincangkan hubungan-hubungan dramatik dalam satu-satu komposisi. Dramaturgy di dalam filem berhubung dengan pembingkaian. Kehidupan itu punca kepada semua konflik. Sebenarnya istilah dramaturgy sangat berkait rapat dengan realiti di dalam teater atau pementasan. Tapi di dalam filem, dramaturgy melahirkan kesan langsung tatkala filem itu bersuara. Seperti membaca, filem sebagai media baru mendengar. Selanjutnya, pada tahun 1949 organisasi antarabangsa berkaitan pelarian iaitu the International Refuge Organization membawa Mekas dan abangnya ke New York. Lalu, di sela lorong-lorong hamis dan dunia perang usai – di tengah pusat kota dunia tinggal puing-puing – dia membayangkan cinema adalah wasilah kehidupan mahupun perjuangannya. Lantaran itu dia mula menulis.

Pada tahun 1955, Jonas dan Adolfas bikin sebuah majalah filem yang berjudul “Film Culture.” Enam tahun terdahulu dia habiskan hidupnya bekerja sebagai loaders, budak maintenance, pencuci, penghantar surat, ahli fotografi dan budak teknikal di bilik gelap. Hidup ini kusam dan sirna – mula dan berakhir. Sebagai pembikin filem, Mekas bermula dari minat mengumpul keratan-keratan gambar yang kemudiannya dihubungkan. Cara Mekas berfikir tidak sama dengan kehendak industri hiburan. Pada Mekas, filem sebagai media baru bukan imaginasi. Filem sebagai media baru menyelami. Di dalam kreativiti bakat itu satu anugerah. Majalah “Film Culture” menjadi jurnal tunggal anak muda. Bacaan ini digilai oleh seluruh pembikin filem indie yang baru. Terdapat ulasan tentang filem avant-garde. Sesuai kepada sesiapa jua manusia baru dan idea baru dalam sejarah pengucapan filem. Jangan salah baca, kehadiran majalah “Film Culture” sekali-kali tidak mengenepikan orang-orang penting dan aktiviti-aktiviti yang berlaku dalam cinema komersil. Namun tidak hanya yang muluk-muluk, majalah ini menjadi majalah pertama yang mengungkapkan suara real orang-orang personal dalam perfileman independen yang berbentuk kontemporari dan persejarahan. Dalam pada itu penulisannya dibaca menyeluruh ialah di pojok mingguan dalam surat khabar New York terkenal iaitu “Village Voice.” Chronicle – kisah Mekas belum habis di sini.

cooperative

Salah satu poster The Co-Operative

Sumbangan terbesarnya adalah menjadikan filem bertemakan peribadi berpeluang hidup dalam lingkaran kehidupan sengit. Contoh jelas – tentang bagaimana penubuhan The Co-Operative telah mencipta ruang untuk filem bebas mendapatkan tempat tayangan seperti Film-maker’s Cinematheque di New York. Penulisan, kritikan dan tindakannya memberi jiwa baru kepada orang lain. Dan perjuangannya untuk liberalisasi cinema bukan kepalang. Pada saya paling lekat dengan penubuhan The Co-Operative dan kaedah distribusi secara kolektif adalah sangat anak muda. Ia membuatkan gaya perfileman usang semakin kurang bermakna. Manakala filem berbelanja murah atau struktur filem bebas pula menjadi norma. Citarasa underground mula dijadikan method arus perdana. Tahun-tahun berikutnya, minat terhadap filem bertemakan peribadi atau filem personal kian mekar di Amerika. Ratusan anak muda mula membikin filem kerana pengajian perfileman telah bercambah di kebanyakan universiti. Sejak itu, semangat filem independen itu sendiri mula tersebar ke Eropah sekali lagi. Seperti juga di Jepun, Kanada, Australia dan sebahagian Amerika Selatan.

Ada dua rangsangan utama ke arah ini. Pertamanya datang dari 4 buah pesta filem ekspemrimental yang internasional berlangsung di Belgium iaitu pada tahun 1949, 1958, 1963 dan 1967. Yang sangat berpengaruh ialah pada tiga tahun terakhir. Di mana Jacques Ledoux (salah satu dari beberapa individu yang mengerti perasaan sebenar tentang independen, eksperimental dan personal cinema) dan Arkib Filem DiRaja di Belgium sebagai organisirnya. Pesta filem ini bukan saja membawa New American Cinema ke Eropah. Tapi juga bawa bersama buat pertama kali bahagian penting tentang dunia eksperimental iaitu pembikin filem avant-garde. Anjakan kedua datang dari New American Cinema yang dibawa ke Eropah oleh Jonas Mekas pada tahun 1964/65. Berikutnya dalam tahun 1967/68 menerusi program jelajah sepanjang 60 jam yang diorganisir oleh P. Adams Sitney dari New York Co-Operative. Siri jelajah ini bersempena dengan Pesta Filem Eksperimental Internasional ke empat berlangsung di Knokke-le-Zoute pada tahun 1967. (Knokke-le-Zoute mengingatkan kita tentang perjuangan untuk liberalisasi cinema adalah rintih dan air mata. Di mana perjuangan untuk liberalisasi cinema menempatkan Mekas dalam kawah konflik yang terang dengan pihak berkuasa. Dia pernah tinggal di penjara dan dipasung ke mahkamah lebih dari sekali.

Satu cerita, semasa dia seorang dari para juri ketika Pesta Filem Eksperimental Internasional ke tiga berlangsung di Knokke-le-Zoute, Belgium. Sebuah filem talunan Jack Smith berjudul Flaming Creatures telah disekat daripada ditayang. Mekas letak jawatan dan meneruskan tindakannya mengambil alih bilik projeksi. Tatkala dibantah Menteri Undang-undang Belgian, Mekas projeksikan filem itu ke mukanya. Mekas percaya dengan otaknya. Baginya mudah saja – bagi filem yang dia tak gemar – di bawah tajuk utama dia menggariskan – BLAH. JANGAN TENGOK! Dia telah berkata, “kanak-kanak dan manusia jujur tak gaduh fasal cerita. Bagi mereka semuanya jelas. Hanya kita (baca: manusia atas pagar)–mereka semua poyo lebih, keliru dan bagaikan sesat di padang ragut sang pencinta”). Hampir kesemua negara yang Sitney ziarah memperlihatkan pergerakan filem bebas sudah menjadi budaya baru. Bayangkan – di permulaan tahun 1970–pembikinan filem secara kolektif sudah berkembang di Britain, Itali, Jerman, Switzerland, Austria, Belanda, Sweden, Australia, Kanada dan Jepun. Begitu juga di Argentina, Brazil, Belgium, Cuba, Perancis, Portugal, Sepanyol dan India.

Ini hanya selaksa kisah. Tatkala bersendiri saya membaca. Filem sebagai media baru merasa. Dari idea menjadi skrip, dari skrip ke filem. Dari filem kita sampaikan salam pada dunia. Macam dalam blog, pertama sekali katakan hai pada semua orang. Jadi filem sebagai media baru kita sudah faham. Sekarang saya terangkan pula tentang cinema itu lidah dengan gambaran kisah ini. Satu hari di dalam sebuah kereta, seorang lelaki berkumis tebal dengan vest hijau tua yang lusuh dan rambutnya kusut berkata: “di Iran ada tiga jenis filem. Pertama filem dari dana kerajaan. Itu filem propaganda yakni alat kerajaan dalam menyampaikan peringatan dan pengajaran. Kedua filem artistik yang mengutarakan isu-isu sosial. Ini filem intelektual berfahaman seni untuk masyarakat. Ketiga filem kajian dan tafsiran tentang perlambangan. Ini filem paling jujur”.

Di dalam sebuah kereta, seorang lelaki berkumis tebal dengan vest hijau tua yang lusuh dan rambutnya kusut itu ialah Mohsen Makhmalbaf. Amat rugi jika ada orang yang tidak mengenalinya. Dia adalah maestro dalam perfileman Iran. Jonathan Rosernbum, seorang pengkritik filem tersohor di dunia mengatakan perfileman Iran sedang berada di puncak dunia. Maka berbalik kepada Makhmalbaf, selama ini saya juga salah faham. Saya fikir Makhmalbaf akan mengatakan dia buat filem jenis kedua. Tidak. Janganlah jadi poyo bikin filem seperti itu. Sebab pada Makhmalbaf apa yang akan kita lihat pada filem dari jenis ketiga ini – iaitu istilahnya filem lab (laboratory) – dibuat untuk merawat penyakit manusia. Dia menunjukkan beberapa keratan dari filem agung Salaam Cinema. Dialah sutradara filem itu. Filem hebat. Tentang sejarah perfileman di Iran dan mengapa ia berkembang. Dari sentuhan seorang mufassir, semua orang boleh menjadi pelakon. Bahagian penting dalam filem ini ialah temuramah dan babak audition. Makhmalbaf di dalam filem ini menemui anak muda di Iran (sama ada lelaki mahupun wanita)–apakah mereka minat menjadi bintang filem dan apa mereka tahu fasal filem? Nyata, hasilnya menakjubkan. Seorang anak muda dengan petah bercerita tujuannya menjadi pelakon kerana mengenali Orson Welles. Dia kata lelaki itu seorang manusia genius yang berbakat dan gila. Dia (anak muda itu) cuma orang biasa, bukan orang filem atau mahasiswa perfileman. Apakah ini imaginasi? Makhmalbaf kata inilah filem paling jujur dan cerdik. Inilah bukti sebuah masyarakat berbudaya mengolah nilai-nilai yang ada di sekitarnya menjadi penting. Di kampong, saya tidak fikir boleh berjumpa orang biasa di tepi jalan mengenali Orson Welles. Apatah lagi bercakap tentang sutradara besar tersohor dengan filem Citizen Kane. Belum sah jadi pelajar perfileman jika tidak membaca Citizen Kane oleh Welles dan Casablanca oleh Michael Curtiz.

Berkatalah benar meskipun pahit. Jean Luc-Godard mengatakan cinema bermula dengan DW Griffith dan berkesudahan Abbas Kiarostami. Ini tidak lain adalah menifestasi pengembaraan seratus tahun perfileman dunia. Ikut sejarah, filem itu bermula di Amerika Syarikat dan berpenghujung di Iran–dari “Birth of A Nation” arahan Griffith ke “A Taste of Cherry” arahan Kiarostami. Di sebalik cerita itu tersirat makna. Pada saya: filem itu lahir dan kemudian bunuh diri. Sudah itu apa? Peranan utama cinema menyebarkan risalah–menafsir semula pemikiran dengan mengatakan filem sebagai media baru kerana Cinema sudah mati. Saya fikir dengan faham ini, hala tuju new cinema di Malaysia sedang terbuka. Pokoknya, pendirian kita mesti mantap!

Abror Rivai, seorang pembikin filem. Beliau baru-baru ini memenangi Anugerah Bakat Muda Selangor 2010 bagi kategori grafik/media baru seni visual untuk filem pendeknya yang bertajuk ‘Perempuan,  Hujan dan Kematian’.


Tags: Abbas Kiarostami, Abror Rivai, Casablanca, Citizen Kane, Film Culture, Jean Luc-Godard, Jonas Mekas, Michael Curtiz, New School of Social Research, Orson Welles, The Co-Operative
 

 

2 komen-komen
Tinggalkan komen »

  1. Tahniah! ayuh karyawan…

  2. karyawan jalan terus “hidup mesti terus!” atau “kita mesti terus hidup!”

Tinggalkan Komen