[singlepic id=96 w=255 h=88 float=left]

Mazir Ibrahim

Penggunaan muzik atau lagu sebagai bahan tujuan politik bukanlah perkara baru dalam kehidupan kita pada hari ini. Sama ada sebagai bahan untuk menarik minat manusia kepada politik atau untuk menjadi alat bagi melicinkan kerja-kerja politik.Sejak dari zaman Jahiliyah Arab dan zaman Kesultanan Melaka sendiri, muzik bernada ‘politik’ ini sedia wujud menerusi ungkapan kritik, sindiran dan nasihat moral menerusi genre opera, syair-syair, seloka, pantun dan pelbagai lagi. Tokoh-tokoh darinya – tidak terbilang banyaknya.

Muzik memang kerjanya untuk menghiburkan, dengan hiburan manusia akan melupakan sementara kesakitan dan kedukaan – dengan kata lain, melupakan apa yang sedang difikirkan. Ia menjadi ubat psikologi paling mujarab, terapi muzik dapat membius ketegangan memori manusia. Ia juga suatu nikmat bila ia dapat menghubungkan citarasa antara jiwa-jiwa manusia. Berkongsi citarasa memang sesuatu yang sangat ideal. Hubungan ini tiada beza dengan komunikasi bahasa percakapan dua hala, antara satu individu kepada satu individu yang lain.

Namun hubungan citarasa seperti muzik ini lebih dalam kesannya dan lebih besar pengaruhnya pada intelek manusia. Lebih kuat dari arak, lebih kuat dari dadah. Intelek inilah yang membina persepsi – negatif atau positif. Pembinaan persepsi adalah pembinaan imej tentang sesuatu perkara, benda dan arah.  Membina persepsi pada sesuatu  imej memerlukan ‘bentuk’ yang dapat diukur dengan ukuran fizikal seperti gincu pada bibir gadis. Rata-ratanya setiap bibir gadis, sememangnya merah, tetapi untuk membina persepsi dengan lebih pasti (solid) bentuknya, maka gincu berwarna merah ditambah untuk memerahkan lagi bibir gadis sunti ini. Terus, persepsi tentang bibir gadis itu – merah, menjadi satu bentuk yang kukuh – solid. Apabila persepsi ini menjadi nyata, maka ini akan menjangkiti pada pandangan insan lain (kolektif) untuk turut sama meyakininya. Akan bertimbunlah gincu merah menjadi satu budaya baru dengan arah yang lebih pasti iaitu keuntungan fizikal – pengaruh dan kuasa.

Kerja propaganda politik dimensinya juga tiada beza dengan urusan menghiburkan manusia menerusi muzik, ia memerlukan pencipta, ‘perfomer’, pendengar/penghayat dan penyokong. Semua ini boleh diciptakan. Propaganda akan menjadi lebih lunak dengan muzik yang enak – yang berat menjadi ringan, yang keras menjadi lembut. Sesuatu yang enak itu akan mudah dapat mengumpul pendengar yang menghasilkan pengikut/penyokong setia.

Tidak hairan jika Siti Nurhaliza setiap tahun mendapat anugerah kerana pada latarnya, beliau adalah projek propaganda kerajaan mencipta imej wanita berbangsa melayu yang penuh gaya dan adat melayu, ayu dan berjaya, ini untuk mengolah persepsi kepada masyarakat agar mereka terus menyokong sistem daulahnya. Ini juga boleh menjadi platform untuk meyakinkan masyarakat bahawa daulah telah membudayakan seni hiburan yang sesuai dengan bangsa Melayu dan Islam. Propaganda ini terus berjalan hingga kini.

Muzik propaganda bukan pada perkataan lirik lagunya yang secara tipikal menyebut ‘pro-kerajaan’ atau ‘1Malaysia’ atau ‘Islam Hadhari’ atau ‘wawasan’ atau mungkin kelak ‘pencerahan’, tetapi pada latar muziknya. Latar inilah yang perlu diungkap sejelas-jelasnya. Kebanyakan lagu di Malaysia sememangnya adalah propaganda kerajaan, sasarannya rakyat – kita.

Kebelakangan ini, propaganda mereka mulai kacau.

Pertandingan seni’ tidak kira muzik atau seni tampak atau filem di Malaysia hari ini merupakan tiket untuk ‘berjaya’ dalam erti kata – kaya. ‘Gula-gula’ menang  pertandingan sebegini memang mendapat restu penuh kerajaan berbanding menganjurkan konsert. Jika kita lihat betul-betul, antara konsert dan pertandingan, mana lebih banyak mendapat bantahan?

Mantra kebendaan menerusi program menang hadiah ‘benda’ ini memang menjadi dasar kerajaan buat umat negaranya. Mereka yang bertanding ini bukan kerana ‘passion’ atau kerana perjuangan muzik mereka. Muzik dalam senario sebegini bukanlah menjadi punca artis kita lahir, tetapi kerana tarikan wang – kebendaan – dan populariti semata-mata. Intelek mana yang dapat menerima keadaan ini? Karya muzik apa yang mampu diharap dapat lahir dari arena sebegini?

Muzik, seperti medium seni yang lain – mampu mencipta ilusi buat manusia yang mendengar/menghayatinya. Itulah kekuatan dan kelebihannya, namun atas kelebihan inilah maka ia digunakan dan disalahgunakan. Tiada benteng hukum atau akta yang dapat menghalalkan atau mengharamkan perbuatan ini. Tiada garis panduan yang cocok untuk menghalang dari ia disalahgunakan. Hanya pada intelek – nilai pertimbangan akal waras sahaja yang mampu menilai dan melihat batasan ini.

Lagu-lagu cinta lara, cinta tiga segi, jatuh cinta berkali-kali bukanlah suatu tema yang salah. Tema ini menunjukkan bahawa pembuatnya, penghayatnya/pendengar hidup dalam suasana yang aman tenteram, tiada perang dan tiada kebuluran – tiada desakan perjuangan. Mereka punya masa untuk bercinta, ada ruang untuk berkongsi cinta bersegi-segi, mudah untuk jatuh cinta berkali-kali. Ini cara hidup masyarakat yang  hidupnya ’leisure’.

Menilai tahap ekonomi masyarakat ini, jelas mereka hidup dalam tahap ekonomi yang selesa dan serba ada – mudah. Punya kereta dan motosikal sebagai status hidup untuk pergi ’dating’ dan nonton wayang. Rutin kerjaya berulang-ulang. Ilusi ini memang diciptakan begitu. Dunia sebegini memang di ‘projek’kan oleh sistem dalam masyarakat itu.

Lagu ketuhanan, ala-ala sufi, ala-ala cinta hakiki azali. Bukan juga menjadi satu kesalahan. Ini menunjukkan tahap lemahnya iman pengkarya dan pendengar atau masyarakat. Menjadi suatu yang sangat tipikal bagi manusia untuk mengkristalkan keyakinannya dalam bentuk-bentuk kebendaan supaya dilihat meyakinkan – dirinya dan sekelilingnya. Namun, realiti adalah sebaliknya.

Muzik-muzik dari sisi bawah tanah a.k.a. indie (fringe), memang lahir dari tekanan arus perdana atau dengan kata lain, sisi kanan. Muzik mereka lahir dari rasa protes terhadap apa yang mengganggu kebebasan dan kreativiti mereka. Protes dan kritikan mereka untuk menolak kongkongan hegemoni arus perdana yang mendominasi pemikiran dan citarasa masyarakat secara total. Kerana itulah muzik mereka kedengaran keras, kasar dan ‘sebarang’.

Ekspresi sebegini adalah betul – kontra kepada lembut – poyo. Namun, dalam pengucapan seni, adakah setiap yang lahir dari sisi kiri (bertentangan) semestinya berbunyi kasar? Keras? Dan ‘sebarang’? Artikulasi muzik(seni) bukanlah hal perlawanan antara keras dan lembut atau panjang dengan pendek. Ia tidak boleh lari dari nilai persuasi.

Hanya artikulasi yang betul sahaja mampu memujuk pendengar dan, persuasi ini nilainya abstrak dan subjektif, tidak semestinya keras, kasar atau ‘sebarang’. Penilaian terhadap hal ini, kini semakin jelas – senario muzik indie kita telah berbeza. Kejujuran itu akan lahir dengan ungkapan yang jelas. Kebohongan juga tidak dapat disembunyikan setiap kali artis mempersembahkan muziknya.

Penggunaan bahasa yang picisan atau puitis bukanlah isu besar atau menjadi satu kesalahan atau menjadi mutlak kebenaran, ia bermula dari aspek artikulasi muzik itu juga. Musuh utama seni adalah klise, ayat klise, gaya klise, pengucapan klise hingga citarasa juga klise – ‘kiri’ tapi klise.

Muzik yang mengkritik juga sedia wujud dalam arus perdana – arus kanan. Namun ungkapan bahasa lirik dan penyebutannya di’sembunyikan’ oleh pengkarya. Ungkapan kritis sebegini menjadi semakin halus dan terlalu abstrak – ayat kritis tidak sama dengan ayat ekspresi yang sememangnya abstrak. Yang jelas, ayat kritis dari karya muzik arus perdana tidak ’bold’. Ia sengaja diperbuat begitu. Atas apa jua alasan pun, ia bermula dari tabiat pengkarya tu sendiri.  Tanpa sedar mereka ’tersasul’ memahami antara bunyi dan penyebutan (artikulasi).

Bunyi boleh lahir dari pelbagai bahan. Tetapi penyebutan hanya dapat lahir dari ucapan suara manusia. Apa yang lahir dari ucapan kata manusia harus jelas dan terang. Menyembunyikan ‘semua’ ungkapan kata yang kritis tiada bezanya dengan menyembunyikan kebodohan diri sendiri – akan terserlah jua akhirnya.

Dari segi sejarahnya, propaganda muncul dari kuasa politik. Politik ini adalah kuasa. Propaganda paling hebat berlaku pada perang dunia I dan II. Mengatakan propaganda ini hanya lahir dari kuasa politik, tidak lagi releven ketika ini kerana, apa saja yang punya pengaruh baik dari segi politik, seni, modal dan imej akan mampu membuat propagandanya sendiri. Dalam muzik, propagandanya ialah ’muzik mampu menghiburkan manusia’.  Ini adalah penipuan terbesar buat kita semua. Hakikatnya, kita hanya akan terhibur dengan apa yang ingin kita nikmati – kebebasan.