seyta_major

Emak datang KL, kelmarin. Dengan abah. Adik lelaki saya interview untuk masuk universiti. Mereka tidur sini. Satu malam.

Setiap kali emak datang, dia bawa lauk siap-siap. Dia tahu, saya tak pernah masak. Asam pedas, kacang panjang dan udang goreng. Nasi satu mangkuk tepen. Kami makan.

“Ini hadiah apa kau dapat?” emak tanya bila dia lihat, tepi TV, saya letakkan.

Biasanya tak saya bubuh sebarang penghargaan, baik piala atau gantung-gantung sijil pada dinding. Sebab rumah bersepah, belum sempat sorokkan dalam gerobok.

“Ohhh… menang tulis cerpen,” saya jawab.

“Cerpen apa?”

Rambutan dan Lembeng Awang,” jawab saya.

“Siapa kasi?” emak tanya. Dia belek-belek kertas yang berserak tepi kerusi panjang.

Goment!” Saya jawab, agak lambat.

“Goment mana?”

“Selangor.”

“Cerpen kau?”

“A’ahhh!”

Rambutan? Macam cerpen budak darjah satu!”

Emak ketawa. Saya sebenarnya yang ketawa dahulu.

Tentulah, apa erti sebuah kemenangan, tak akan dapat terjawab tanpa sebelum itu disedari, apa erti sebuah lumba karya? Apakah ia seperti acara olah raga, siapa lebih kuat ototnya, maka dia menang?

Saya tak pernah ikut pertandingan tulis menulis, bukan sebab saya tak percaya sebarang pertandingan, tetapi saya tidak percaya kepada pemerintah yang bersemayam di atas piala pertandingan itu. Sedari universiti saya sudah menghidu, karya wajib disesuaikan dengan selera pemerintah andai mahu menang, andai nak diangkat di permukaan arus perdana–sementara sejak sekian lama, karya saya, paling tidak untuk saya merasakannya sendiri–sering tidak cocok dengan kekuasaan-politik perdana.

“Kekuasaan-politik” di sini bukan bermaksud parti politik yang berkuasa sahaja. Bukan juga kepada pimpinan politik. Namun, juga terkait dengan “ideologi” dan “faham politik” yang melakar-corak di belakang kebudayaan kontemporari bangsa ini.

seyta_minorDi penghujung era PM Dr Mahathir Muhammad, misalnya, mustahil penganjur boleh menerima karya yang melawan arus kemahuan dan pemikiran Sang Penguasa. Lalu, semua paras-rupa dan jiwa karya wajar seiring dengan kehendak dan “bahasa” politik semasa–sementara karya itu lazimnya bersifat “mempersoal”.

Yang tak sepadan, harus minggir. Harus ketepi. Dengan sendiri, “yang minggir” dan “ketepi” itu pun merayap ke “arus bawah” kalaupun tidak terus mati kering.

Mudahnya, mungkinkah karangan yang mengecam Umno (sedikit-sebanyak, sama ada sekabur-kabur mana sekalipun) akan memenangi pertandingan cerpen tahunan anjuran Utusan Malaysia? Tentu payah. Sedangkan mahu diterbitkan di akhbar itu pada hari minggu sebagai pra-syaratnya layak ikut bersaing sahaja sudah payah atau mustahil. Biar… ya, biar bagaimana bagus dan elok sekalipun paras rupa (form) estetika karya itu.

Maka, sejak sedekad, apa sahaja yang menjadi Agenda Pemerintah–sama ada yang tersirat atau yang terang-terangan–akan dijulang ke langit nasional sebagai pemenang. Misalnya, menyentuh isu Palestin. Tentulah apabila ditulis cerpen tentang penderitaan orang di Gaza, berkemungkinan besar boleh sangkut. Mainkan sentimen sikit-sikit menyentuh Agama dan kaum, lagi mudah untuk menang puluhan ribu.

“Cerita Palestin” tak dapat dilihat selain daripada perspektif pemerintah. Kalau, yang hendak didorong adalah isu korupsi pemimpin Palestin, maka bakal membingungkan editor, juri dan mungkin bakal mendatangkan masalah antara penganjur-dengan-“tuan mereka”. Iaitu, orang politik yang berkuasa.

Terus terang, saya memang tak pernah mengerti bagaimana ada teman-teman penulis, yang mendakwa diri, atau cuba-cuba berlagak kritis tetapi boleh memenangi sebaris gelar dan anugerah yang dianjur pemerintah sepanjang sedekad lalu? Hampir tiap-tiap tahun pula. Sementara dalam waktu sama, pemerintah yang ada itu adalah jelas dan terkenal zalimnya, serta menindas sekali.

Bagaimana seorang pengkarya dengan segala sifat-sifat kesenimanannya boleh merangkul hadiah daripada penguasa yang otoriter? Tentulah, mudahnya, karya sang seniman itu bisa mendurung sifat otoritarian dan kuku besi pemerintah. Mustahil pemerintah yang otoriter dan kuku besi akan mengangkat karya yang berlapang dada, demokrat dan rencam-majmuk.

Mustahil apabila karya sedemikian, yang mendukung kebebasan, yang diangkat… karya itu nantinya akan “makan tuan”. Maka, sang rasis, dalam contoh yang lain, akan mengakui dan menganugerahkan karya yang rasis juga sebagai model kebangsaan. Ia, memang, hanya semudah itu.

Yang semudah itulah yang disembunyikan tatkala semua badan yang sewajarnya bekerja untuk kebaikan dunia tulis-menulis dan kebudayaan, dikawal pemerintah. Dikawal secara hampir penuh. Tunjukkan satu kepada saya sebuah badan atau “penguasa seni” yang tak dicengkam kuasa politik Putrajaya atau agen-agen mereka? Tak punya. Hampir tak ada.

Di sini, saya bersyukur. Satu kepada barisan juri yang terang mata mengenai “bentuk”-dan-“isi”, yang terpaksa karya-karya saya ditapis seorang demi seorang di kalangan mereka. Kedua, kerana seperti yang emak saya ungkapkan yang karya saya itu adalah “cerpen budak darjah satu”. Hanya sebolehnya saya hendak bercakap apa yang hendak saya cakapkan atas keyakinan ia perlu ‘dicakapkan’ kerana ia benar. Bukan untuk disesuai dengan projek politik-kebudayaan mana-mana rejim.

“Rambutan” dan “Lembeng Awang” ditulis empat tahun dulu; lebih lama daripada usia kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat ini sendiri. Selepas sedekad menulis, tak saya kesal apabila baru diberi sebuah pengiktirafan. Kepada yang memberi, saya ucap terima kasih banyak.

Ada beza, kata seorang kawan, antara seorang “penulis” dengan “seorang tukang taip”. Dalam bahasa seorang guru yang lain, katanya, ada beza besar antara “seniman”, dengan, “tukang”. Wajah keduanya, akan ditentukan oleh masa. Bukan sangat hadiah.


Hasmi bin Hashim, seorang penulis yang berpolitik dan juga seorang politikus yang menulis.

Hasmi Hahim Lembeng Awang Rambutan Selangor Young Talent's Award SEYTA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan