{ Orasi Jumaat Malam }

KAWAN-kawan sekampong dan kekasehku,

Salam,

LEBIH tiga belas tahun dulu, saya tinggalkan halaman ini. Masa itu; pekan-pekan seperti warna kuning senja dan sepia, dan hidup tidak diatur siapa pun. Tidak punya rasa takut kepada kekuasaan, melainkan rasa hormat kepada ‘tradisi’. Aturan yang ada adalah “aturan yang natural,” yang biasa-biasa sahaja; terbangun kerana kita hidup di dalamnya. Tentang balai raya, bangunan dan sekolah kayu dengan kawat mata punai; basah bila hujan; belum tiga tingkat seperti sekarang, dan bersukan petang-petang; main bola sepak, takraw, main galah panjang; yasin malam Jumaat, sabung ayam, baja sawit… saya ingat halaman kampung dengan semua itu. Tiga belas tahun dulu, dan lapan tahun Reformasi tercetus, saya balek ~ kalau “balek” adalah yang dituntut namanya.

Seseorang pernah berkata bahawa saya melupakan pekan Semerah, atau, Bas Station Batu Pahat, panggung wayang, sate tepi sungai, buah berangan depan supermarket ~ katanya saya sudah lupa itu semua. Dalam kata lain, dia menganggap saya melupakan asal diri, dan, barangkali melupakannya juga. Dia belajar di Universiti Malaya ~ masih selalu hendak balek, walau pun bukan waktu cuti. Saya tidak. Barangkali setahun payah sekali…

Nah, malam ini saya berdiri di sini kembali. Siapa sangka? Ikhtiar saya; mengumpul saudara-mara, kawan-kawan. Orang kenal saya; saudara semua tahu rumah saya; rumah pangkal kampong, dan siapa datuk-nenek mahupun darah keturunan saya… Dan, dalam apa juga keadaan, saya bangga dapat berdiri di hadapan ribuan manusia yang datang untuk mendengar. Saya ucap, terima kaseh. Saya terharu.

***

Sejarah adalah sejarah, tuan-tuan. Masa lepas, yang ada di dalam “ingatan,” atau orang di Jalan Telawi, Kuala Lumpur menyebutnya sebagai “romantisme,” barangkali. Kata itu pun selalu terkait maknanya sebagai “melankolik.” Memang, romantis boleh jatoh jadi melankoli; seperti banyak lagu-lagu Melayu klasik;

Tanjong Katon, airnya biru
Tempat mandi ‘nak dara jelita
Sama sa-kampong hai sedang di-rindu
Ini-kan lagi, hai jauh di mata
Tanjong Katon, airnya biru…

Saya mengingati lagu itu oleh emak yang selalu menyanyi. Di dapur. Kadang waktu dia melipat kain, dan di depan pintu rumah dengan angin jauh masok jadi kawan, lepas Asar. Di sana, ada seperti yang saya sebutkan tadi, “melankoli,” dan mungkin sahaja “romantisme.”

Teman-teman dan kekasehku ~ sungguh betolkah kita sepenohnya berpisah? Dengan “saya” yang “meninggalkan” dan “yang ditinggalkan”?

Cerita yang saya tahu ialah kisah “lembeng Awang pulang ke Dayang.” Atok perempuan ceritakan cerita ini satu masa dulu. Ia kisah seorang budak bujang; namanya Awang. Bertunang dia dengan gadis paling cantik dalam kampong; Dayang. Menjadi syarat atas tradisi Melayu, kata atok, untuk anak bujang keluar kampong. Merantau. Timba ilmu. Cari rezeki, dan nanti balek semula ke kampong, dan berumah-tangga dia. Awang keluar kampong selepas dia bertunang dengan Dayang. Betapa keduanya tentu berindu-dendam…

Seri Menanti kampung di hulu,
Hendak ku cari kain pelekat;
Takut nanti menanggung rindu,
Bulan yang jauh ku rasa dekat.

Awang memang balek, akhirnya. Dia tetap balek. Karena itu janji. Kalau lewat ~ lepas tarikh sampai, tapi bukan lewat, lewat sangat. Agaknya seminggu. Agaknya sebulan. Dayang gelisah. Menanti bulan jatuh ke riba. Dan, satu keputusan berat diambil keluarga, ditunangkan dan dikahwinkan dengan orang lain. Entah tua, entah muda, tak disebut. Takut Dayang lepas umur; seperti buah terlajak hari. Manis hilang, rupa pun tidak berseri lagi. Lalu, Dayang pun naik pelamin, entah rela, entah tidak, dia.

Saya tidak faham semua itu sebagai sebuah “bayangan,” karena masih terlalu mentah, waktu tujuh-lapan tahun umur saya masa atuk bercerita.

Hari Awang balek, sama dengan hari kerja di rumah Dayang. Awang yang turun dari pengkalan, terus bertanya, “mana tunangan aku? Mana Dayang?” Kalau saya di sana, saya sendiri belum tentu kuat menjawabnya. Tapi, ada yang berkata, “Dayang, dia di rumahnya. Hari ini ; hari nikahnya…”

Awang menggeletar badan, dada bak disambar petir… terbakar. Peloh titis dari dahi, dan kuyup badan, dan dia yang senyum di kapal, tadi, kini berkurang wajahnya. Awang benar-benar marah.

“Ini lembeng,” katanya, “antara tanda janji keluarga aku dengan keluarga Dayang. Ini lembeng; lembeng Dayang,” kata Awang. “Kalau kata tidak dikota; membujur lalu melintang patah!”

Tuan, tak siapa dapat menahan dia. Dengan lembeng di tangan, dia berlari sehabis tenaga ke rumah Dayang; mempelai di pelamin, tetamu penuh di tanah, daging seekor lembu masih ada yang belum bertanak lauk, orang di dapur masih sibuk. Awang ~ dia datang dengan ‘dendam’, atau barangkali dia juga merasakan maruahnya dicemar. Saya hanya membayangkan tentang apa kata hatinya, sewaktu Awang melangkah, berjalan-berlari-berjalan, ke rumah Dayang.

Agaknya kata Awang begini, “Aku carikan kau emas-perak; Aku buatkan kau masa depan; kalau balas dengan contengkan arang… Kekaseh, ini aku; aku Awang, datang!”

Di hujung tanah, di depan rumah yang riuh oleh kenduri dengan ghazal, Awang segera melontar lembengnya. Nama Dayang dia jeritkan sekuat-kuat batin. Menurut kisahnya, sembilan puloh sembilan nyawa orang kampung mati dimakan sekali terbang lembeng Awang. Lembeng itu berhikmat, sekali lepas, demi sumpah dan janji, akan terus melayang, menusuk, membunuh, menusuk, membunuh tak habisnya sampailah kembali kepada Tuan Ampunya. Lembeng seperti melutut-sembah; sampai ke riba Dayang, tanpa melukakan secalit pun. Pengantin lelaki; suami Dayang ‘yang lain’ itu juga sudah berlumur darah. Dia kemudiannya mati. Emak-abah Dayang turut terkorban. Ya, sembilan puloh sembilan nyawa melayang. Awang ; sebaik sahaja lembeng itu dia lepaskan, dia balek ke pengkalan. Tidak menoleh ke belakang lagi ~ suasana yang dalam. Tapi, apa lagi bisiknya? Yang aku sangkakan dia akan hanya berkata akan sayangnya, barangkali juga rindunya, kepada Dayang.

Teman-teman sekampong dan kekasehku,

Aku ceritakan semua ini kembali, selepas tiga belas tahun, kata orang, aku tinggalkan kampong. Kuala Lumpur, di zaman ini, barangkali tidaklah sejauh pengembaraan dan kepergian Awang dengan tongkang dan kapal ke serata pulau dan pelabuhan. Dan, bayangan atuk, bukan hanya kepada sebuah hikayat sahaja. Sudah bermain di kepalaku, akan setiap yang ada dalam cerita itu sebagai “bayangan,” dan kata “bayangan” kepada kawan-kawan di Jalan Telawi, barangkali disebut sebagai “simbolisme.” Bayangan: simbolisme ~ kita yang berdiri di hadapan masa lalu sesungguhnya tidak berdiri di hadapan masa lalu itu. Kita hanya berdiri, dan barangakali coba merenungi tanda-tanda dan segala bayangan yang mungkin boleh jadi petunjukan perjalanan tiap-tiap di antara kita hari ini, dari waktu ke waktu.

Aku tidak datang sebagai Awang sepenohnya. Barangkali kita masih percaya bahawa setiap kerja politik adalah perjuangan. Tetapi ia juga sesungguhnya adalah “maruah.” Dan, saya tidak menafikan bahawa begitulah asas makna dan kaitan paling dekat bagi keduanya itu; bagi politik-dengan-perjuangan.
onn_jaafar
Di sini, kita selalu bangga dan berbesar hati dengan nama Dato’ Onn Jaafar [allahyarham], atau Panglima Salleh yang kita kenal sebagai “Panglima Salleh selempang merah.” Barangkali juga Mat Indera ~ pejuangan melawan penjajah British; masuk hutan; kemudiannya mendapat bekalan senjata daripada Komunis, lalu, dia dituduh komunis. Kita juga tahu bagaimana ada yang sanggup membuboh buah kecubong di dalam air kopi Mat Indera di suatu malam di Seri Medan. Dia dan orang-orangnya kemabokan. Lantaran kecubong yang hangus bersama kopi, yang diminum, membawa pengsan. Dan kala itulah datang polis British menangkap sang ‘komunis’. Dia diseksa di Balai Polis lama, Batu Pahat, beberapa ketika. Saya hanya merasakan, dia tidak kalah dalam apa juga keadaan. Dan Mat Indera kemudiannya diarah hukum gantong oleh British di negeri Perak.

Yang diberitahu kepada kita ialah, di hari Mat Indera hendak dibawa untuk digantong mati, seluruh orang-orang kampong keluar. Ke Balai Polis. Berhimpun. Beribu-ribu orang, dan kata “komunis” pun sudah tidak menjadi penting lagi ~ orang kenal, atas nama apa pun Mat Indera digelar atau dipanggil, dia tetap Muhammad Indera; lelaki yang tidak miskin; orangnya baik, lemah lembut, bahkan, dialah penghulu kepada setiap orang yang perlu dipayung dari ketakutan akan kekuasaan. Di mata masyarakat kala itu, Mat Indera adalah pahlawan. Adalah pejuang.

Karena itu, saya ingatkan agar jangan senang-senang mentafsir masa lalu; sehingga seolah-olah kita berdiri dalam masa lalu itu. Kita jangan lupa, Dato’ Onn yang selalu dibangga-banggakan oleh segelintir pemimpin Umno; nampaknya tidak lebih hanya menggunakan nama anak emas Batu Pahat itu untuk membakar sentimen di dada kita ~ di sudut lain, kata “hidup Melayu” pun jadi zikir untuk menakut-nakutkan saudara kita daripada bangsa lain. Kalau dalam kes di Batu Pahat, tentunya kepada orang Cina. Inilah cara politik paling keji, dan terhina dalam apa juga ugama dan tamadun sekalipun!

Memang Dato’ Onn pengasas Umno, tetapi kita harus ingat bahawa United Malay National Organization itu, kepada perjuangan menuntut kemerdekaan adalah “parti masyarakat.” Kala itu, anak bumi Malaysia atau warganegara dilabel dengan panggilan “orang Melayu.” Panggilan ini panggilan untuk semua. “Orang Melayu” merujuk semua “warganegara.” Oleh itu, perjuangan Dato’ Onn yang membela dan mahu mengangkat orang Melayu, sesungguhnya perjuangan untuk mengangkat seluruhnya masyarakat negara ini. Membela Warganegara.

Saya mahu sebutkan, di awal period kemerdekaan dahulu, ada debat dan pertembungan orang bijak-bijak untuk menyatakan bahawa semua orang yang lahir di Malaya adalah “orang Melayu.” Tidak kira samaada dia leluhur dan berdarah Jawa, Bugis, atau Cina, atau India… selagi lahirnya itu di bumi Malaya; dia adalah “Orang Melayu.”

Tuan-tuan jangan mudah dibakar api sentimen yang bukan-bukan, yang membuak-buak semata-mata karena nama “Melayu” itu hendak dikaitkan dengan ugama Islam. Ini samalah juga dengan kemustahilan untuk memastikan bahawa setiap bangsa Malaysia hari ini hanya menganut satu ugama sahaja. Propaganda kekuasaan sesungguhnya sudah mencecah ke matlamat yang tidak realistik dan mustahil. Tidak ada satu bangsa pun di muka dunia ini yang menganut satu ugama sahaja. Tidak ada. Oleh itu, mengapa kita mencabar lagi hukum yang begini besar; kalau bukan kata-kata itu hanya untuk memecah-belahkan masyarakat kita ~ berjabat, tapi curiga; antara Melayu-dengan-Cina, dengan-India. Akhirnya dengan sesama kaum sekalipun. Di sinilah tirani bermula…

Saya yakin, tidak dituntut Ugama untuk memaksa setiap masyarakat itu seratus peratus satu ugama ~ kesedaran palsu ini lebih kejam daripada semua ideologi ‘kesatuan’, sama ada dari tangan Hitler sampailah kepada Moa Tze Tung. Yang jauh lebih penting ialah memahami maqasid dan inti Ugama; dengan menunjukkan yang baik, membuka kesedaran demi kesedaran, berbuat amal, tidak berlaku zalim, dan dengan cara itu, diri kita pun baik, nama ibu-bapa kita pun terjaga, nama negeri, nama bangsa, bahkan ugama juga terpelihara. Ugama adalah berasal dari Diri: bukan dari Masyarakat; apatah lagi organiasasi. Yang mengucap syahadah adalah diri…

Nescaya itu, ibu kepada semua kejahatan; kata emak kita, kata cikgu dan guru-guru kita; tidak lain tidak bukan adalah berdusta.

Saya sebutkan tadi ~ tidak menyedari maksud inti perjuangan Mat Indera, atau Panglima Salleh, bahkan tidak memahami maksud perjuangan Dato’ Onn, misalnya ~ akan menjadikan kita juga melakukan bohong, walau, tanpa kita sedar. Tetapi, sesiapa pun boleh lihat, para durjana yang bertenggek atas nama para pejuang tadi, misalnya, sesungguhkah mereka sedar akan inti masa lalu? Nampaknya, saban waktu, dengan jelas dan sengaja, mereka sasarkan masa lalu agar bersesuai dengan diri dan laku mereka hari ini. Agar, kononnya, antara Diri, yakni perakus kekuasaan itu-dengan-sejarah pejuangan masa lalu; adalah seiringan.

Saya kata tidak! Saya kata tidak karena Dato Onn tidak terlibat dengan segala bentuk korupsi mahupun merampas hak rakyat. Allahyarham tidak menjadikan perjuangan atas nama masyarakat untuk menjadi kaya-raya. Itu bukan Dato’ Onn. Itu perangai penjajah. Begitu juga dengan yang lain-lain. Mereka tidak terperangkap dalam permainan politik yang menyebabkan orang Melayu, orang India dan orang Cina menjadi hilang rasa yakin diri, dan takut. Menjadi takut kepada pemimpin tidak lain tidak bukan adalah kerja politik yang jijik. Dato’ Onn, Panglima Salleh, atau Mat Indera bukanlah anak bangsa kita yang, seperti harimau, bikin takut semua orang kepada mereka. Tetapi, pejuang-pejuang itu tetap dihormati. “Takut” dan “hormat” adalah umpama air dengan minyak tanah! Saya ulang dan tegaskan, kerja menakutkan, kerja menudukkan dan meninjak harga diri orang lain adalah kerja penjajah, dan, nampaknya, ada anak bangsa kita hari ini, tidak kurang laku mereka dengan tuan-tuan penjajah dahulu.

Demikian, yang membuboh buah kecubong juga bukan cara pejuang. Yang melempar fitnah dan gosip dan ‘cakap’ sembunyi tangan, bukan cara pejuang. Yang mendekatkan diri dengan nama para pejuang bangsa kita juga belum tentunya seorang pejuang…

Sebelum akhirnya, saya perlu ingatkan, sebagai anak yang pernah tertikam duri dan tajam buloh, yang penoh luka bermain tanah; semua yang di sini, jangan pula kita mudah terpanah dengan gelar-gelar orang besar, yang punya Doktor-PhD, atau pensyarah di universiti, atau Yang Berhormat, atau Intelektual, orang NGO, atau apa-apa juga. Itu bukan matlamat. Jangan terlalu rendah diri… Namun, dalam masa yang sama, bukan pula kesedaran itu bermakna untuk terus menjadikan kita yang di kampong-kampong, di pekan-pekan dan bandar kecil menjadi ‘keras’ kematu dan tidak berkembang daya akal-budi kita.

Lokaliti dan gelar bukan matlamat ~ tak penting samaada Muhammad itu “orang Mekkah” atau “orang Madinah”; Dia bawa Ugama yang membebaskan, dan menyambung risalah Nabi-nabi sebelumnya, tentang wujud Tuhan.

Tidak penting Awang itu orang Sungai Balang, orang Semerah, orang Simpang Lima, atau Peserai atau Parit Sulong, Seri Medan; orang Muar atau Batu Pahat. Tak penting apakah dia Telawi, atau apa. Satu-dua yang berkeras dengan tempat, apakah betol dia bercakap tentang idea dan ilham dan segala pura pemikiran? Walhal, yang penting adalah matlamat. Tuju. Janji. Sumpah. Ikrar. Semua itu. Sedang banyak sekali yang berdusta; seramai itulah juga “awang” yang akan gegas berlari dengan sejuta kata hatinya.

Betapa sungguh; sebatang nyawa adalah dengan masa tidak banyak mana.

Kawan-kawan sekampong dan kekasehku; senang sekali dapat berjumpa dan bercakap di sini, ini malam, di halaman kampong saya sendiri, sehingga penuh terang tanah. Alang-alang bertukang; biar sampai terbuang kayu. Dan, mana mungkin sepenohnya kita terpisah, tentunya.

Dan, tengah hari itu, Dayang menangis. Dia perempuan. Dia menurut. juga, dengan seluruh rasa bersalah, barangkali. Dia mungkin ada memanggil-manggil nama Awang. Dengan rasa paling dalam, di hatinya, dan, barangkali turut mahu meminta maaf, kepada yang jauh. Awang, sejak itu, tidak lagi nampak kelibat bayang. Kapal meninggalkan pelabuhan. Dan masa datang sekali ini, maka, sekali inilah, sebuah tugas yang orang panggilan “perjuangan” perlu ada di antara anak tanah ini untuk dikerjakan.

Yang saya dengar, kata pujangga; setinggi mana terbangnya bangau, hendak dicari belakang kerbau.

Sekian. Terima kaseh.

Hasmi Hashim,

16 Jun 2006 / 19 Jamadil Awal 1427

Batu Pahat, Johor.