ERK_major

Hafiz Hamzah

DI BARISAN PALING DEPAN ruang galeri The Annexe, Pasar Seni malam itu, Efek Rumah Kaca (ERK) duduk tenang. Kerusi-kerusi untuk khalayak tidak menunggu lama untuk mula dipenuhi. Dari sudut hujung sebelah kiri mereka, saya menghulurkan tangan kepada Cholil Mahmud. Diperkenalkan dan memperkenalkan diri, yang turut juga disambut oleh Adrian Yunan Faisal dan Akbar Bagus Sudibyo.

Sedikit sibuk ketika itu ialah kru-kru ERK yang bertungkus lumus memastikan semua berada dalam keadaan baik. Buat pertama kali, ERK mengadakan persembahan di luar Indonesia, dalam rangka program Festival Hak Asasi Manusia (FaHAM) pada 26 Februari 2010 yang juga merupakan persembahan live pertama mereka di Malaysia, Konsert Eco-Freedom di Kuala Lumpur pada keesokan harinya.

Berada di atas pentas, bersedia duduk di sofa yang disediakan mereka yang turut ditemani oleh sebuah band indie tempatan, Couple, menyertai sesi yang digelar ‘diskustik’ (diskusi+akustik). Penyertaan khalayak menjadikan diskustik itu luar biasa sambutannya hingga ke akhir. Ini jika mengambil kira kecenderungan khalayak penggemar muzik, yang pada kebanyakan waktu lebih selesa untuk semata-mata menonton aksi utama–yakni akustik– daripada terlibat dengan diskusi seperti itu.

Tetapi, malam itu seperti memberi isyarat baru bahawa orang sudah mula mahu berbicara dan memahami muzik dengan nada dan pandangan yang berbeza berbanding sebelumnya. Forum, sebagai pentas dialog, sejak itu seolah-olah tidak lagi dilihat sebagai sebuah medan yang membosankan.

Mungkin kerana itu disebabkan kehadiran ERK, yang bukan saja lantang menyindir perihal sosial sekeliling mereka, tetapi turut tampil dengan pernyataan-pernyataan yang tegas tentang muzik dan arahtuju yang mereka pilih.

cholil_major
Cholil Mahmud

Ketika itu, ada dua pernyataan yang besar dan penting saya kira dinyatakan oleh band dari Indonesia ini. Pertama, ketika ditanya berkenaan keseriusan mereka dalam menyatakan pandangan-pandangan seputar muzik dan lirik yang dibawa, adakah mereka secara praktisnya akan turut berbuat seperti apa yang dinyanyikan? Di dalam maksud lain, ERK melalui lagu-lagunya yang banyak berbau protes, misalnya akan tetap turun ke jalan raya untuk sama-sama membantah dan mempertahankan hal-hal yang mereka yakini atau tidak?

Soalan ini ditanggapi dengan tenang dan tegas oleh Cholil; “Pastinya, jika suasana waktu itu revolusioner, sudah tentu kami akan turut serta (turun ke jalan). Tetapi, jika isu dan momentumnya biasa-biasa saja, mungkin tidak. Kerana, kami adalah sekelompok pemuzik yang punya kesedaran sosial dan politik. Dan kami mahu kekal sebagai pemuzik serta memain peranan dari sudut itu, dan bukan menjadi aktivis secara langsung.”

Kedua, sebagai sebuah band yang mengabdi diri kepada muzik kerana keindahan muzik itu sendiri, mungkinkah ERK akan menerima kesan secara langsung daripada industri muzik, misalnya? Kerana, waktu ini, nama ERK semakin dikenali dan menjadi tumpuan kelompok pendengar. Yang mahu disampaikan, adakah ERK bergantung harap kepada industri muzik (Indonesia) untuk meneruskan perjalanan muzik mereka, memandangkan jika dilihat satu sudut, band ini seperti telah menerobos masuk ke dalam lingkaran perdana dan menjadi sebahagian daripadanya.

Cholil, sekali lagi dengan penuh yakin menjawab; “Kehancuran industri muzik adalah satu anugerah buat kami. Ini kerana, kami berdiri waktu ini dengan rasa tanggungjawab terhadap muzik itu sendiri, bukan sekadar suka-suka. Kami rasakan, perlu ada penawaran muzik, dengan perhatian dan dimensi yang lebih kukuh berbanding hanya sekadar muncul di kaca tv atau dengan album yang hanya melagukan kisah-kisah remeh dengan nada-nada tipikal.”

Tidak hanya dengan pernyataan-pernyataan jelas sebegini ERK menambat hati mereka yang hadir, dengan kualiti dan kepetahan melontar pandangan yang jarang-jarang dapat dilihat daripada band-band tempatan di Malaysia. Ketika mereka naik ke pentas yang sama, tetapi untuk tujuan lain – membuat persembahan akustik – sekali lagi ERK menunjukkan mengapa mereka berada pada posisi pemuzik dengan kualiti tersendiri.

Setiap persiapan untuk persembahan, walaupun sekadar persembahan minimal akustik seperti malam itu, dipersiap oleh kru-kru band ini. Ketiga-tiga anggota ERK hanya berlenggang, dan semuanya tersedia – dengan cepat dan cekap.

Di sini, mereka mempamerkan sebuah persembahan ringkas tetapi juga luar biasa. Penataan bunyi, baik daripada instrumen, peranti modulator elektronik dan efek kesan bunyi yang penuh seperti yang digunakan untuk gitar Cholil serta imbangan kesemua bunyi yang dihasilkan oleh individu-individu band ini tertangkap dan dilepaskan dengan kemas.

Arif, sang jurutera bunyi ERK yang bertanggung jawab bagi memastikan band ini mampu menawarkan tingkat pengalaman audio yang tinggi dan kemas, walaupun tenang tetap bertungkus lumus. Keberadaan ‘jentera’ seperti ini amat penting kepada mana-mana band, sekiranya mereka membayangkan muzik adalah sebuah perjalanan yang mahu ditempuh buat satu jangka waktu yang panjang.

Beberapa lagu, antaranya Jangan Bakar Buku dan Ballerina menggamit perhatian audiens. Ramai yang terpukau dan terpaku. Bukan kerena ERK mempersembahkan sebuah persembahan muzik rock yang teknikal, tetapi dengan hanya memberi perhatian serius dan teliti terhadap perkara asas sesebuah persembahan; kejelasan dan keringkasan bunyian akhir yang terhasil – untuk dinikmati bersama pendengar.

*****

EFEK RUMAH KACA BERMULA lama sebelum mereka muncul pertama kali membuat persembahan di depan khalayak. Pada 2001, dengan lima anggota waktu itu, mereka mula mengumpul tenaga sebagai sebuah band, dengan menggunakan beberapa nama lain, antaranya Hush dan Superego. “Waktu itu, saya merasakan yang band ini belum siap untuk dipertontonkan kepada orang,” jelas Cholil yang kembali menyorot perjalanan awal band ini.

Menurutnya setelah hampir 250 kali sesi latihan yang memenatkan untuk memperkemas muzik, hala tuju dan permainan anggota-anggotanya, mereka masih menemui jalan buntu. Dua orang ahli meninggalkan band ini.

Bermula tahun 2003, oleh kerana tidak menemukan gitaris yang sesuai, Cholil yang awalnya hanya berperan sebagai vokalis memaksa diri untuk belajar bermain gitar. Dua-tiga tahun itu dia mempersiap diri untuk keyakinannya terhadap perkara yang satu ini – muzik. Band ini turut sama diheret ke dalam fasa dorman berkenaan.

Namun, perlahan-lahan mereka mula bertapak dan melangkah membangun muzik dan keyakinan untuk terus berusaha menghasilkan momentum tersendiri di dalam lapangan berkenaan. Proses mencari itu berterusan sehingga mereka merasa sudah sampai waktu untuk naik ke permukaan.

2005, mereka muncul buat pertama kali dengan nama Efek Rumah Kaca. Album pertama, dengan judul sama dirilis pada tahun berikutnya. Single pertama, Di Udara merupakan ingatan mereka kepada seorang aktivis politik Indonesia yang senang dikenal dengan nama Munir, yang matinya itu kerana diracun dengan arsenik ketika berada dalam penerbangan ke Amsterdam.

Single kedua, Cinta Melulu, menurut ERK merupakan lagu pertama yang membuka jalan sehingga nama mereka disebut-sebut dan dicari untuk membuat persembahan di kaca TV. “Mereka menjemput kami untuk tampil di TV dan itu menyenangkan sekali. Tetapi mereka terlupa – atau tidak tahu – bahawa lagu itu secara langsung menyindir mereka juga,” tambah Cholil.

Lagu berkenaan ditulis sebetulnya sebagai satu sindiran, umumnya kepada industri muzik yang kerap melahirkan dan memutar lagu-lagu cinta klise, yang menurut ERK, amat tidak sihat untuk perkembangan muzik itu sendiri. “Mungkin mereka hanya mendengar beberapa bait lirik dan tertipu dengan kata ‘cinta’ yang digunakan, lantas menjemput kami. Itu saya tidak tahu,” seloroh beliau lagi dengan sinis.

Mungkin, kerana ERK tidak malu-malu merujuk muzik mereka sebagai muzik pop, mereka senang diterima, walaupun sebenarnya hampir semua lagu-lagu yang ditulis membawa pesan dan kritik sosial dan politik yang kuat, walaupun dengan pernyataan melalui lirik yang samar-samar.

Kemudian, pada 2008 mereka merilis album kedua, Kamar Gelap di bawah label Aksara Records. Album ini juga mengumpul dan mempamer kekuatan ERK sebagai sebuah band. Dari banyak sudut, ia lebih kemas dan bertenaga. Agaknya, sebagai sebuah album, Kamar Gelap menggambarkan bunyian dan muzik yang mula matang, hasil kerja ERK dalam rentang waktu hampir lima tahun sejak mereka mula aktif sebagai sebuah band. Mosi Tak Percaya, Hujan Jangan Marah dan Kenakalan Remaja di Era Informatika adalah antara lagu-lagu yang mengundang rasa kagum. Bukan hanya muziknya, tetapi kepada ketelitian dan keprihatinan sebuah band pop/rock terhadap isu-isu dari persekitaran mereka.

*****

PERSEMBAHAN LIVE SET PENUH mereka malam itu ditunggu oleh peminat-peminat. Walaupun muzik mereka belum pernah dimainkan di radio-radio Malaysia, melihat kepada hadirin yang datang, ERK sudah ada tapak peminat dan pengkagumnya di sini. Sebahagian besar daripada ruang One Café, Kuala Lumpur itu dipenuhi audiens.

Seperti malam sebelumnya, ERK tampil lagi dengan persona yang tersendiri. Sistem bunyi masih terkawal, walaupun sesekali terserlah juga kejanggalan yang tidak disengajakan. Apa pun, mereka memberikan 100 peratus kesungguhan ketika mempersembahkan set panjang 17 lagu yang disampaikan.

Di bilik persalinan selepas tamat persembahan, Cholil hanya tersenyum puas. “Mengapa tidak dari dulu kami ke mari manggung di Malaysia?” Dia bertanya, dalam ketidakpercayaan mungkin, terhadap sambutan yang diterima. Atau pun, lebih tepat lagi, terhadap energi persembahan mereka sebagai sebuah band malam itu yang lebih memuaskannya berbanding persembahan akustik pada malam sebelumnya.

Tidak dilupakan juga kepada beberapa band tempatan yang turut berkongsi pentas malam itu, terutama Deepset, yang memacu bunyi-bunyian yang kemas juga, melayar perasaan dengan muzik instrumental mereka – mungkin kerana pegangan mereka terhadap peri pentingnya sesi soundcheck sebelum naik pentas.

Saya hanya sempat meramahi dan berbual panjang dengan dua lagi anggota serta kru-kru sokongan ERK selepas konsert berkenaan. Kerana, keletihan dan tekanan untuk penampilan besar pertama mereka di luar Indonesia terlerai sudah sebaik sahaja tamat persembahan malam itu – dengan lagu Hujan Jangan Marah, selepas encore singkat set mereka.

*****

DI SEBUAH WARUNG di Bangsar Utama selepas persembahan, saya duduk bertentang dengan Adrian, pemain bass ERK yang katanya di diskustik semalam, menggemari Stone Temple Pilots. Tidak sehingga waktu itu, saya mula merasakan ada suatu yang tidak kena dengan beliau. Dia kelihatan lemah, pada kebanyakan waktu, walaupun keadaan panas, dia tetap akan mengenakan sehelai hooded sweater warna biru gelap di bahagian luar – seperti orang demam tak kebah.

adrian_major
Adrian Yunan Faisal

Makannya juga dijaga rapi oleh Yuri, pengurus tour ERK. Sejak persembahan akustik, Adrian pada detik-detik tertentu kelihatan seperti hilang fokus, tetapi tetap memberikan kesungguhan penuh.

Kami kemudiannya melupakan hiruk-pikuk di situ, yang penuh dengan kerumunan teman-teman lain yang mengiringi ERK, untuk mencari momen terasing dan ruang bicara antara kami berdua, yang sampai memagut perasaan saya. Adrian memulakan tentang hal itu; “Saya sebenarnya tidak sihat. Sejak lima tahun dulu saya menghidap masalah saraf belakang mata yang kronik.”

Hal ini menurut doktor, seperti yang diceritakan oleh Adrian sendiri, boleh saja membawa maut. “Doktor memang dari awal menjangkakan saya tidak hidup lama,” ujarnya dengan tona suara parau serak yang rendah. Tetapi, dengan semangatnya,dia melawan takdir. Adrian berusaha berubat secara alternatif dan tradisional sepanjang lima tahun ini sebagai ikhtiar. “Sehingga waktu ini, di Indonesia, belum ada pusat rawatan yang mampu mengubati sakit saya,” tambah beliau.

Saya sejak itu kerap mencuri-curi merenung mata Adrian. Dari balik kaca mata lutsinar itu, matanya kelihatan penat. Mata sebelah kanan seperti sukar untuk dicelikkan. “Dalam maksud lain, saya tidak boleh melihat seperti mana kamu melihat.”

Dari dalam kocek seluarnya, Adrian menyeluk dan mengeluarkan sesuatu. “Ini selalu saya bawa ke mana-mana,” sambil menunjukkan sebuah kanta pembesar yang setia dijinjingnya. Yuri juga mengesahkan, bahawa dia memerlukan perhatian lebih, terutamanya dalam hal makanan. “Kerana ada benda yang dia tidak boleh ambil (makan),” jelasnya. Ada ketikanya, pandangan mata Adrian akan gelap sepenuhnya, seperti orang yang buta penglihatan.

Saya jadi faham tentang sebuah lagu yang mengandung perasaan paling dalam yang dimuatkan di dalam album pertama mereka, berjudul Sebelah Mata. Potongan bait-bait ini agaknya ditulis dari lubuk hati paling dalam seorang teman seangkatan di dalam ERK ini kepada Adrian:

Sebelah mataku yang mempelajari
Gelombang kan mengisi seluruh ruang tubuhku
Terbentuk dari sel akut
Dan diabetes adalah sebuah proses yang alami

Tapi sebelah mataku yang lain menyadari
Gelap adalah teman setia
Dari waktu waktu yang hilang

Disebabkan masalah ini juga, Adrian yang sudah beristeri, terpaksa melepaskan pekerjaan hariannya dan bergantung hidup sepenuhnya kepada pendapatan bermain muzik. Dan dia tidak sedikitpun tampak mengeluh dengan keadaan itu, sekurang-kurangnya kehampaan itu tidak tergambar langsung ketika kami berbual. Saya juga faham mengapa dia kelihatan kadang kala seperti tidak upaya memberi fokus dengan permainan bassnya, yang juga memerlukannya memberi paduan sokongan vokalnya dengan Cholil ketika persembahan.

Sedetik itu juga saya menungkan perkara ini; ERK juga manusia biasa yang punya iltizam untuk terus menyuburkan semangat muzik mereka. Cholil, seorang akauntan dan juga seorang bapa yang baru menimang cahaya mata sulung Januari lalu, sanggup duduk dan belajar gitar sendiri bertahun-tahun lamanya untuk mengecapi mimpi ini. Adrian, yang menghadapi masalah kesihatan serius sejak awal ERK mula timbul di permukaan persada muzik, tetap mahu meneruskan semangat itu dalam keadaan paling memilukan. Akbar, pemain dram mereka pula memilih untuk bermain muzik sepenuh masa juga tanpa banyak soal.

Ini berlawanan sekali dengan pengalaman ramai pemuzik tempatan, yang belum habis mengomel dan mengeluh tentang masalah-masalah band mereka. Pekerjaan, kewangan, waktu, disiplin, komitmen dan lain-lain alasan piawai masih belum boleh ditewaskan oleh semangat dan keinginan yang tinggi untuk menghasilkan muzik yang baik. ERK muncul dan sekaligus menunjukkan bahawa jika kita mahu, buatkan saja. Hadapkan saja apa-apa perkara yang merentangi di hadapan. Dengan pengalaman dan perjalanan ERK itu pasti ada yang boleh dipelajari.

*****

PAGI AHAD SELEPAS PERSEMBAHAN utama malam tadi, saya bertandang lagi menemui mereka. Di bilik atas Rumah Frinjan di TTDI, ERK masih enak bergelimpangan di atas tilam-tilam empuk yang dsusun berjajaran di atas lantai dalam bilik yang luas. Mata mereka melihat ke arah rancangan muzik video di saluran RTM1.

Dengan t-shirt yang dipakai tidur, dengan wajah yang belum siap sepenuhnya selepas penat malam persembahan mereka dan ditemani juga dengan beberapa keping roti tawar dan jus oren, kami berbual-bual santai tentang pelbagai perkara. Dari muzik video penyanyi-penyanyi tempatan yang terpampang di kaca TV (tentunya yang tidak menunjukkan sebarang ciri-ciri sebuah video yang baik), dibawa kepada bercerita tentang hal-hal sastera dan filem, semuanya mendapat tempat.

Tanyakan apa saja soalan kepada mereka, dan mereka akan tetap mengulas dengan bersahaja, tetapi tetap berisi. Perihal muzik video yang tidak berkualiti misalnya, yang tidak didokong oleh plot, naratif, kejutan atau apa saja elemen yang perlu ada, dilihat dengan pandangan sinis sahaja. “Di dalam perkara apa pun, biar seni atau politik misalnya, jika orang yang tidak sepatutnya, berada pada tempat yang tidak sepatutnya, maka perkara-perkara seperti ini tetap akan berlaku,” kata Cholil, merujuk kepada pembikinan video muzik secara umum, yang langsung tidak ada jiwa dan sekadar ‘asal boleh’ yang tak putus-putus ke udara di saluran yang sedang ditonton pagi itu.

Perakam suara dikeluarkan. TV ditutup. Ketiga-tiga anggota band ini seterusnya bangkit dan duduk sebelah menyebelah, semacam mengambil isyarat temubual ‘rasmi’ akan dimulakan. Adrian dengan gitar tong memetik-metik beberapa not sambil merapat. Cholil dari awal nampak bersemangat untuk berkongsi cerita dan Akbar, dengan suara seraknya, kerap juga menanyakan soalan balas tentang situasi di Malaysia. “Jangan serius sangat, kita berbual biasa-biasa saja.” Yang mengiringi selepas itu hanyalah gelak ketawa.

Pagi itu saya turut ditemani oleh editor JalanTelawi, Ammar Gazali bertanyakan beberapa perkara kepada ERK. Sepanjang hampir sejam – mungkin lebih – sesi temuramah itu berlangsung, mereka tidak sedikit pun berganjak, terus menerus memberikan pandangan dan komentar. Dengan hasrat mengekalkan bentuk perbualan seperti yang berlaku, dengan turutan soalan serta jawapan daripada mereka, petikan temuramah berikut adalah antara hal berkait yang dibincangkan pagi itu.

Kelmarin merupakan persembahan pertama ERK di Malaysia dan juga yang pertama yang pernah diadakan di luar Indonesia. Boleh diberi komentar tentang persembahan itu?
Kami senang sekali dapat bermain di Malaysia tentunya. Buat pertama kali juga kami terpaksa membuat pasport untuk ke sini (ketawa). Muzik ERK ini kecil potensinya untuk keluar (dari kelompok pendengar Indonesia) kalau muziknya tidak terlalu istimewa. Ia harus sangat spesial untuk itu. Kerana kami membuka resistensi dari publik melalui bahasa. Walaupun kami yakin bahawa bahasa bukan penghalang, ia sedikit sebanyak ada kesan, kerana kami menyanyikan lagu dalam bahasa Indonesia. Satu-satunya tempat yang dekat dalam lingkungan bahasa yang sama ialah Malaysia. Menurut kami, kami hanya mahu memberikan yang terbaik dan itu lumayan berhasil (berdasarkan persembahan dan sambutan yang diterima di Kuala Lumpur).

Jadi, bagi kalian, apa kelebihan yang ada pada muzik Efek Rumah Kaca secara keseluruhannya?
Muzik seharusnya ada sesuatu yang penting di dalamnya untuk orang tahu. Kemudian, dari situ, pendengar akan mempertimbangkan sama ada mereka mahu terus mendengar atau tidak. Kami (melalui muzik ERK) memberi peringatan kepada orang-orang yang mendengar bahawa ini (perkara yang dibawa dalam muzik) adalah hal yang penting. Bagi pendengar yang tidak menganggap perkara itu penting, maka muzik itu bisa dipinggirkan, Tetapi jika mereka merasakan kandungan muzik itu penting, mereka itu akan tetap fokus untuk terus mendengar muziknya, sambil terus mendalami liriknya itu. Bagi ERK, kami menulis tentang perkara yang kami anggap penting terlebih dahulu, selain tentunya muzik itu nanti perlu untuk dapat menghibur.

Jualan album ERK ketika ini?
Kedua-dua album ERK telah terjual sekitar 7,000 salinan masing-masing setakat ini. Kami merasa sebenarnya tanpa kami sedar, seperti ada strategi yang mungkin selama ini menjadi jalan buat ERK. Kami bermain muzik yang sangat mainstream di Indonesia yang senang disukai oleh orang kebanyakan. Tetapi, dari sisi lain, ERK tetap ada keupayaan lain dari sudut muzik yang sangat ingin bereksplorasi seperti band-band underground dan independen di Indonesia. Kami tidak mahu hanya menjadi sebahagian lagi daripada muzik mainstream yang biasa-biasa itu.

Di awal penglibatan, bagaimana ERK menemui karektor ‘bunyi’nya sebagai sebuah band?
(Cholil) Saya lebih menggemari muzik dan aroma yang gelap. Kalau ditanyakan kenapa, saya tak tahu. Kerana yang gelap itu lebih menimbulkan suasana refleksi mungkin. Kemudian, dari situ kami mencari keseimbangan lain tentang bagaimana untuk menjadikan muzik itu tadi lebih menarik. Misalnya, saya menggunakan barisan efek delay dan reverb. Dan itu yang banyak membentuk bunyi ERK. Sebetulnya, banyak sound effect yang digunakan itu tidak dirancang. Kerana, sewaktu merakam di studio dulu, hanya efek-efek ini yang ada, antaranya Space Echo analog Boss yang lama. Jadi saya gunakan saja. Overdrive saya gunakan Ibanez TS-09 kerana merasakan ia sesuai dengan muzik yang saya bayangkan. Juga saya gunakan chorus dan booster custom dari Revolt Music, buatan juruteknik Indonesia. Phaser dan Tremolo dari Electro Harmonix turut saya gunakan. Gitar saya gunakan dua buah Gibson SG dan sebuah gitar akustik. Amplifier Fender. Yang utama itu saja.

(Akbar) Bagi dram, yang dibawa ke mari ialah sebahagiannya snare 12 inci dari Yamaha, juga satu set symbal, pedal single dan double sekaligus dan sub kick juga daripada Yamaha. Saya menggunakan set yang ringkas-ringkas saja dan tidak cerewet.

(Adrian) Bass saya gunakan Fender Jazzmaster yang dibeli dari orang. Dan, ansurannya juga belum habis dibayar! Head amplifier Ampeg (yang murah, ketawa) dan efek stombox khas yang diletak pada amplifier saja.

akbar_major
Akbar Bagus Sudityo

Di antara dua persembahan di sini, akustik dan juga set penuh, yang mana lebih disukai?
Jika berbicara tentang kejelasan dan ketenangan sewaktu membuat persembahan, tentunya set akustik. Itu kerana persembahannya kurang kompleks (instrumen yang digunakan). Tetapi jika berbicara tentang emosi dan energi, kami memilih persembahan live semalam. Ia lebih panjang dan punya aliran tenaga tersendiri.

Khabarnya ERK sedang giat menyiapkan album ketiga ketika ini. Khabarnya label Aksara Records juga sudah berkubur?
Waktu ini album berkenaan sedang dirakam dan dalam proses disiapkan. Tentang label, ya, Aksara Records sudah tidak ada lagi. Khabarnya berlaku masalah pengurusan dan kehabisan dana. Tapi ERK tak apa-apa. Kami kemungkinan akan merilis sendiri, dengan nama label Jangan Marah Records, yang akan dibantu oleh pasukan kru-kru ERK yang ada kini. Untuk album baru ini, ada dua tiga lagu yang siap dirakam. Satu daripadanya untuk dikirimkan kepada Amnesty International di Barcelona. Dijangkakan album ini akan kami keluarkan tahun ini, sekitar Julai-Ogos harapnya.

Menurut ERK, terdapat apa-apa perbezaan atau transisi idea atau pendekatan muzik antara album pertama dan kedua?
Dari sudut kandungannya, hampir sama. Kami menyentuh tema dan hal-hal yang beragam. Ada tema cintanya, tema sosialnya serta politik. Porsinya dikira sama rata. Cuma, untuk album pertama, kami mula-mula mendapat jati diri kepada band ini, terutama pada lagu Melankolia. Lagu itu adalah yang pertama kami hasilkan, yang benar-benar mengambarkan arah tuju dan bentuk muzik yang kami mahukan diasosiasi dengan muzik besar ERK. Lagu itulah yang pertama kali membuatkan kami berasa percaya diri untuk terus mencipta lagu-lagu lain dengan landasan yang sama, termasuk karektor bunyi dan sebagainya untuk ERK. Jika mahu merujuk kepada muzik Efek Rumah Kaca, maka lagu itulah yang pertama sekali menjadi kayu pengukurnya buat kami. Album pertama itu juga lebih gelap dan gloomy. Juga, album pertama itu lebih banyak muzik yang down beat. Mujur ada Cinta Melulu dan Jalang yang terakhir dimasukkan untuk mengangkat rentak keseluruhan album itu. Tetapi, dengan album kedua, umumnya menjadi lebih rancak dan up tempo. Beza sebenarnya antara dua album itu hanyalah tempo. Ketika menghasilkan album kedua itu, kami sudah menemukan muzik yang dimahukan dan mula berani untuk mencipta lagu-lagu yang lebih bervariasi.

Ketika forum tempoh hari, kalian menyatakan bahawa kehancuran industri muzik itu satu anugerah. Ada penjelasan tentang itu?
Ya, kami misalnya dari awal sudah memutuskan untuk berkorban hidup demi muzik yang diyakini. Kami mengorban waktu dan wang untuk latihan, yang sudah tentu tidak membawa pulangan kewangan kepada kami waktu itu. Jadi, sama sekali tidak ada tujuan untuk mendapatkan wang dari ini. Kami hanya berasa senang bermain muzik dan merakam album. Kemudiannya, daripada respons yang ada, kami sedar bahawa, jika kami serius mahu bermain muzik, pasti akan orang yang akan menghargainya. Selepas itu barulah ada sedikit keuntungan kewangan mungkin. Jadi, kami sampai sekarang tidak pernah membuat muzik untuk menyenangkan orang lain. Kami ada kerana keyakinan kami terhadap muzik. Sekiranya nanti muzik ERK tidak lagi dipedulikan oleh orang, kami rasanya akan tetap bermain muzik juga. Jika tidak ada label, kami tetap akan merakam album juga. Ini tidak akan berlaku sekiranya kami ini merupakan sebuah band yang menunggang kesenangan industri untuk kepentingan kewangan sendiri. Nanti, bila bermain muzik tidak lagi menguntungkan memberikan populariti, mereka akan lenyap begitu saja. Kami tidak ingin begitu. Kami sedar bahawa kami tidak akan punya banyak duit dengan bermain muzik. Kami hanya mahu lakukan perkara yang kami senangi dengan berhemat dan konsisten. Kami akan terus mencari kerana jika muzik ERK kelak menjadi stagnan, kami harus bubar saja. Kerana, buat apa memainkan muzik yang sama di dalam zon selesa setiap hari? Itu bukan kebahagiaan buat kami. Kami akan berasa bahagia sekiranya terus menerus berjalan dan mencari sisi-sisi baru muzik ERK. Kerana kami sayangkan muzik, kami tidak mahu bermain muzik jika tidak ada lagi peningkatan kualiti, baik dari sudut muzik mahupun fikiran.

Cholil memandang Akbar dan Adrian di sebelahnya. “Kalau industri muzik mati kita akan tetap bermain muzik, kan?” Soalan itu diiyakan dengan pantas dan yakin. “Kami hanya menunggangi industri waktu ini. Jika nanti industri mati atau tidak memihak kepada kami lagi, ya kami akan keluar saja. Kapitalis harus disedut,” tambah Cholil, disertai dengan gelak yang bersungguh.

Jelas mereka, ERK punya standard sendiri yang perlu dipenuhi dalam bermuzik. Tidak perlu terlalu bergantung kepada industri, misalnya. Menjadi sebuah band yang mempunyai pandangan atau isi merupakan keperluan baru, setidak-tidaknya ketika mendepani dunia perdana muzik semasa. Berganding bahu di dalam kelompok mainstream tetapi dalam waktu sama menyindir mereka dengan pedas. Dan, ERK telah membuktikan itu.

Mereka mahu melihat diri mereka sebagai pemuzik, bukan sebagai orang politikus atau aktivis-aktivis sosial yang lain. Dengan penampilan muzik serta perhatian khusus terhadap isu-isu serius itu maka ketika Pemilu 2009, ERK diberi mandat untuk mengelola ruangan pojok khas untuk mengutarakan pandangan mereka – ruang yang pernah dikelolakan juga oleh novelis Indonesia, Ayu Utami untuk tempoh Pemilu sebelumnya.

Sempat juga ditanyakan berkenaan pengaruh mereka dalam penulisan, yang diekstrak terus untuk menulis lirik misalnya. “Sisi gelap yang saya suka itu banyak juga diperoleh daripada membaca tulisan-tulisan Iwan Simatupang, Puthut EA dan juga Seno Gumira Ajidarma” jelas Cholil. “Bagi saya, puisi-puisi Sapardi Djoko Damono banyak mempengaruhi pembacaan saya,” celah Adrian.

ERK dalam proses pembentukan sebuah band tidak hanya membangun kemahiran bermuzik, tetapi turut sama membangun pandangan-pandangan yang kritis terhadap pelbagai perkara. Yang dimaksudkan di sini, mereka mendalami setiap aspek yang memerlukan perhatian dalam bermain muzik; seperti sisi lirik, soalan-soalan tentang keterlibatan dengan muzik, keperluan muzik serta spektum penerimaan khalayak dan polar konsumsi pasaran. Yang diperlukan mungkin semangat dan ilmu celik untuk peringkat awal. Berlepas dengan tekad yang bulat, mungkin perkara-perkara lain nanti akan jatuh pada tempat yang sepatutnya, seperti perjalanan panjang yang dilalui oleh Efek Rumah Kaca ini. JT


Hafiz Hamzah bukan orang yang sama menulis di Mastika. Dia akan mencari celah-celah antara muzik dan sajak dan menjadikan mereka kembar satu darah.

Bacaan berkaitan:

Ulasan Album Efek Rumah Kaca, Kamar Gelap.