corrie rachel
Rachel Corrie

Fikiran saya selalu cuba memahami maksud hadis Muhammad s.a.w. “Tidaklah sempurna iman kamu sehingga kamu telah mencintai mereka yang lain sebagaimana kamu mencintai diri kamu sendiri”.

Cerita 1

Bagi sesetengah Muslim, isu di Palestin adalah pertembungan Muslim dan Yahudi yang tidak terbantah dalam sejarah. Bukan setakat itu, mesej Muslim dan selainnya dikembang-kukuhkan dengan slogan anti-Amerika. Ya, bagi mereka ini mungkin satu peluang yang perlu dimanfaatkan untuk setidak-tidak mengukuhkan solidariti umat Islam dan jalan pintas mendapatkan sokongan politik untuk membina sebuah daulah dan seterusnya mengembangkan empayar khalifah Islamiyah.

Saya masih ingat ketika menghadiri kursus musim panas di San Diego, California pada pertengahan tahun 2008. Waktu itu saya berpeluang bertukar fikiran dengan seorang rakan, Michael Maimone, anak muda beragama Roman Katolik kelahiran Huntington, New York. Dari atas kerusi rodanya, dia bertanyakan saya “Apakah persepsi sebenar orang Islam kepada Amerika?”.

“Umumnya buruk” jawab saya. “Amerika banyak masuk campur dalam urusan negara majoriti umat Islam dan ia mewujudkan persepsi di kalangan muslim bahawa Amerika cuba masuk campur dan mengawal atau menjajah negara mereka”.

“Bukankah menjadi tanggungjawab semua untuk membantu memberikan keadilan dan melawan kezaliman? Ia adalah satu sikap kemanusiaan” Maimone cuba memberi justifikasi.

“Ya, tentunya. Untuk saya, muslim menghargai sikap menentang kezaliman dan mendokong kemanusiaan serta keadilan yang ditunjukkan oleh warga Amerika; tetapi Amerika dilihat mengamalkan dwi-piawai terhadap isu Israel-Palestin dan saya berpendapat kesangsian muslim kepada Amerika ada asasnya” jawab saya.

Maimone dapat menerima penjelasan saya. Dia tahu saya tidak anti-Israel atau Amerika dalam erti kata kerana mereka berbangsa Yahudi dan mendokong Yahudi, tetapi lebih kepada sikap berprinsip antara adil dan zalim.

Cerita 2

Mac mungkin ada kisahnya tersendiri. Dalam teks klasik diberitakan bahawa Julius Caesar mati ditikam daripada perbuatan khianat Brutus dan sehingga kini Ides of Mac (maksudnya pertengahan Mac) menjadi satu pesan yang sentiasa diulang. Di Malaysia barangkali 8 Mac akan diingati sebagai Hari Rakyat ketika dua tahun lalu, kali pertama sebuah rejim kekuasaan politik Barisan Nasional dinafikan majoriti 2/3 di Parlimen. Hari Wanita Sedunia juga disambut pada 8 Mac.

Ya, adil dan zalim itu sering silih berganti dalam realiti pengalaman kemanusiaan sepanjang sejarah. Wanita serta perjuangan mereka ternyata mempunyai sejarah tersendiri berhubung hal ini.

Kita dikhabarkan bahawa wanita di zaman jahiliyah ditindas, dianggap hanya sebagai pemuas nafsu seks bahkan pembawa sial dalam keluarga. Kemudian muncul zaman mereka tidak dibenarkan bekerja malah mengundi.

Sejarah menjadi saksi bahawa segala bentuk keterbelakangan itu dilawan dengan mesej kebebasan dan keadilan.

Cerita 3

Dia wanita, masih muda dan berasal dari Olympia, Washington, Amerika. Tapi itu tidak menjadikan jiwanya lemah. Dia tidak percaya dengan fikiran bahawa apa yang berlaku di Palestin sepenuhnya berkisar soal Amerika dan Israel menentang muslim meskipun dia tahu kerajaannya juga bertanggungjawab.

Rachel Corrie hadir di tengah medan konflik panjang Israel-Palestin untuk membela mereka yang tertindas. Bukan saja dia, bahkan ramai lagi warga Amerika, malah Yahudi yang berkongsi sikap yang serupa. Corrie tidak pernah kenal patriotisme yang buta.

Dalam suratnya bertarikh 27 Februari 2003, dia menulis kepada ayahnya bahawa kehadirannya di Palestin adalah satu daripada pilihan terbaik yang pernah dibuat, dan dia membayangkan rasa bersalah yang akan muncul selepas beliau balik semula ke Amerika. Dan beliau akhirnya ‘balik’ sebagai sekujur tubuh tanpa nyawa selepas dilanggar pembajak dalam perjuangannya membela masyarakat Palestin yang ditindas.

Ya, Corrie bukan satu-satunya mereka yang mati dalam konflik panjang di Palestin. Mungkin kerana dia seorang rakyat Amerika, maka berita mengenainya cepat masuk ke ruang awam. Namun itu tidak menjadi soal buat saya.

Kehadiran dan kematian Corrie untuk saya membawa beberapa mesej penting bahawa sempadan geografi, agama, bangsa, usia dan gender jangan sampai berupaya memisahkan kita daripada tanggungjawab kemanusiaan.

Dia mungkin bukti hidup-mati apa yang dinyatakan Karl Popper dalam Open Society and Its Enemies bahawa “lelaki dan wanita mempunyai tanggungjawab yang sama, justeru mempunyai hak yang sama”.

Seperti kata arwah W.S. Rendra “perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata”.

Semaraklah cinta. Terima kasih untuk sebuah keberanian sebagai tandanya. Selamat tinggal Corrie.

Amin Ahmad, mendapat pendidikan di Universiti Putra Malaysia. Beliau adalah mantan Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPM dan pernah memegang beberapa jawatan lain di peringkat Kolej, Fakulti Pengajian dan Universiti. Pernah mewakili delegasi Malaysia dalam Program Pembangunan Kepimpinan Belia ASEAN. Alumni Kepimpinan Muda Nahdah Asia, sebuah projek kerjasama Institut Kajian Dasar dan Yayasan Aman Sasakawa (SPF) dan alumni Cato University.

Amin Ahmad Karl Popper Muslim Palestin Rachel Corrie Yahudi

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan