Abah, suatu waktu dulu (masa mudanya) seorang pengumpul piring hitam artis-artis Malaya. Bukan itu saja, malah ada dalam arkibnya koleksi majalah Pop hiburan Malaya, aku tidak ingat tajuknya, majalah Pop itu bertulisan jawi, ilustrasi depannya ada seniwati/seniman yang ranggi , penuh dengan warna-warna terang – sangat ranggi buat pemuda-pemudi tahun-tahun 50an.

Tiada yang aneh bila berkebaya (bagi seniwati) seksi dan hot dengan dilatari font-font jawi dalam majalah itu. Sayang, semua koleksi itu telah lenyap. Sebahagiannya abah ‘sedekah’kan pada arkib Negara – katanya, ada sebahagian lagi dikirim pada Pustaka Peringatan P.Ramlee. Namun, masih juga ada tersisa disimpannya, sekadar 2-3 salinan asal, barangkali buat tatapan anak cucunya. Aku sendiri tidak akan sekali-kali menyerahkan salinan ini pada sesiapa pun dan atas berapa ringgit sekalipun. Zaman itu, aku belum wujud – maka tambah lebih, lagi mahal nilainya.

Mengumpul sedikit ingatan lalu, semasa semua koleksi abah masih ada, aku ( yang masih kecil ) sudah tahu melihat hasil kerja seni – seniman. Selepas menonton mana-mana filem Melayu, aku pasti akan membelek/membaca  majalah-majalah lama itu. Dari situ aku mengenal dua perkara. Satu – bahasa jawi, Dua – seni. Budaya kesenimanan pada zaman itu sangat molek. Paling tidak, isinya masih ada harga; bila aku dapat temukan dua titik iaitu antara seni dan hiburan. Hiburan datang selepas seni itu hidup.

Zaman yang aku belum wujud itu bukanlah ‘industri’ sepertimana sekarang. Bolasepak juga belum lagi ‘profesional’. Namun impak kebudayaannya sangat terserlah. Maka kita tidak hairan bila melihat rakyat Malaysia terus dibuai dengan pencapaian lalu. Sejak Negara mula merdeka, perlahan-lahan mutu (standard) kesenian kita merudum hingga ide menjadi korup, tak terubat lagi. Kadangkala terasa seperti dalam enigma.

Bahasa kebudayaan kita ketika ini ada dalam dialektika materialisme. Hukum perubahan, pacuan mencipta kuantiti untuk meneroka dan mencapai kualiti, bukanlah proses yang pendek. Ia perjalanan yang penuh bersejarah. Menganalisa sejarah memerlukan penafsiran yang logik. Namun, kelihatan ironik sekali jika kita bilang kuantiti karya seni sejak merdeka hingga kini. Bukan saja tersasar mencari kualiti, malah menambah sampah sedia ada.

Penciptaan kuantiti kita terpesong dari ide asal kerana berlaku korupsi dalam mengurus pengetahuan teknikal. Bagaimana boleh terjadi, orientasi pendidikan bertukar menjadi satu akta atau undang-undang (dalam bahasa lembut untuk memaksa) ke atas manusia atau golongan lain untuk ‘wajib’ meminati sesuatu atau menolak minat terhadap sesuatu? Ini absurd.

Keruntuhan akal budi dalam memahami perkembangan minda manusia tidak boleh diselesaikan dengan pendekatan secara ‘technical impose’ kepada citarasa kehendak alami manusia. Sebaliknya dengan pendidikan yang luhur, menghormati intelek warganya, meraikan kehendak ramai dan membuka ‘pasaran’ ide secara telus – ia adalah kebebasan ekspresi. Hak semua.

Kutipan jualan tiket bagi pasaran filem kita baru-baru ini dilaporkan di media berpuluh juta. Jadi? Apa? AIM melaporkan jumlah pencalonan yang semakin rendah, bererti penerbitan karya sangat sedikit. Jika banyak sekalipun, apa untungnya? AJL bilang acara berprestij mereka yang lalu melihatkan penguasaan bintang realiti pada peringkat akhir, katanya petanda baik, akan ada artis pelapis. Pelapis untuk apa?

Itu petunjuk aras di arus perdana.

Bagaimana dengan perkembangan arus bawah?

Sejak tahun 80/90an, gigs senantiasa ada hingga kini. Kita bangga kerana kumpulan peminatnya tetap setia, namun tidak juga bertambah, sebaliknya bertukar ganti kerana peminat dahulu telah tua – sama seperti pengkarya itu sendiri. Muzik mereka sangat bertenaga dari segi fizikal.

Kebanyakan ide arus bawah ini adalah protes. Mereka protes terhadap apa saja yang difikirkan ‘mereka’ ditindas atau kumpulan tertentu ditindas. Mereka menyuarakan ‘bantahan’ bagi pihak tertentu. Mereka sangat kritikal. Ia baik dan sangat terpuji sesuai dengan budaya yang bertamadun. Perjuangan mereka juga jelas. Keresahan mereka berasas.

Namun muzik ini hanya betah di kalangan warga muda sahaja, bagi yang sudah berumur, pasti akan kelihatan canggung untuk terus bertandak bersama anak muda. Keterbatasan itu sangat ketara pada muzik ini.

Pernah suatu ketika kita dengar ungkapan “ide kumpulan arus bawah ini tidak akan ke mana-mana”. Tetapi kini, seperti sudah menjadi satu trend baru bila arus bawah ini menjadi platform buat artis underground untuk jadi mainstream a.k.a. popular. Muzik indie–katanya–kini sudah diterima umum (arus perdana). Apakah perkembangan ini merupakan satu kejayaan–pertemuan–di antara ide arus bawah dengan arus perdana? Barangkali tafsir begini terlalu gopoh.

Jika kita ikhlas menilai sejarah – ia tidak akan sekali-kali berbohong pada kita. Ide juga akan semakin jelas kelihatan bila proses perkembangan itu berterusan. Misalnya, bagaimana asalnya seorang underground yang memperjuangankan ide tentang kebebasan akan meleret serong mengungkap ide kosong selepas ia menjadi mainstream? Malah, ia langsung tiada ‘political standing’ dan istiqamah dalam perjuangannya menuntut perubahan. Apakah alasan untuk ini? Ini bukanlah titik temu antara mainstream dengan underground seperti kita sangka awalnya. Ia meleset sama sekali.

Segelintir mereka dari arus bawah ini bukanlah mewakili perjuangan kelas masyarakat yang sebenar. Mereka hanya ‘cukma’–cukup makan: buat diri sendiri.

Punah bicara tentang ide.

Revolusi adalah satu jalan yang tiada pilihan lain. Meminjam kata-kata Isham Rais “pilihanraya atau pilihan jalanraya”. Beliau barangkali secara peribadi sudah tiada pilihan. Apakah kita masih punya pilihan?

1998 – reformasi meledak. 10 tahun selepas itu 2008 – Tsunami pilihanraya. Baru-baru ini, kita manusia yang tidak pekak di Malaysia ‘dipaksa’ mendengar muzik yang tiada kualiti. Akan datang, telinga kita semua mungkin akan menjadi tuli untuk mendengar muzik yang bagus kerana telinga telah madal dengan muzik sampah.

Jadilah kita warga yang tidak tahu membezakan antara yang bagus dengan yang tidak, bunyinya sudah sama! Mengapa begitu bodoh mereka bertindak? Jika mereka(kerajaan) benar-benar ikhlas untuk mengangkat mutu muzik Malaysia, apakah tiada mekanisme lain? Tidak bolehkah memberi lesen untuk lebih banyak radio swasta wujud? Atau semua muzik underground wajib diberi ruang di stesen-stesen radio sedia ada. Dasar korup sebegini tidak akan mampu melahirkan ide bernas – itu pasti.

Apakah tanda-tanda revolusi seni telah lahir?

Jika revolusi oleh satu-satu bangsa akan menjadikan negaranya sebuah Republik, bagaimana pula jika berlaku revolusi dalam konteks kesenian?

Apakah masih wujud AIM? AJL? PAPITA? KARYAWAN? RTM? Atau apakah lembaga-lembaga ini semua akan terbungkus dalam lipatan gelap sejarah seni kebudayaan Malaysia?

Mengungkap sedikit sejarah Revolusi yang pernah lalu dalam perjalanan sejarah dunia kita ini, akan menemukan kita dengan bentuk-bentuk perubahan samaada secara drastik atau pun berperingkat-peringkat. Contohnya revolusi industri, memakan masa puluhan tahun untuk melihat kesan (magnitude) terhadap sistem ekonomi, politik dan masyarakat.

Hakikatnya, revolusi boleh berlaku tanpa dirancang, boleh juga dengan adanya perancangan, namun ukuran cepat atau lambat prosesnya sangatlah relatif. Apa pun ia akan terus memberi kesan langsung pada sesuatu sistem. Dalam hal ini, kita bercakap tentang mutu kesenian kita–pencerahan.

Ide asalnya untuk mengubah keadaan yang buruk kepada satu suasana yang lebih baik, adil dan subur. Namun, dalam gerakan revolusi itu, memang ada risikonya. Ide asal ini boleh saja tersasar bilamana ada golongan yang taksub pada sesuatu ide tanpa sedar kelemahan dirinya. Dan, jangan pula berulang seperti Maximilien Robespierre bila beliau berkata “To punish the oppressors of humanity is clemency; to forgive them is cruelty” . Keadaan ini songsang dengan ide murni yang asal.

Keruntuhan mutu seni dan kebudayaan kita bukan lagi sekadar seperti ‘tanda-tanda di langit’ yang ianya akan berlaku. Tetapi telah nyata berlaku.

Sudah menjadi kebiasaan, Abah tidak akan berdiam diri jika kerjanya tidak selesai, biasalah. Namun kini, kekuatan jiwanya tidak lagi disokong dengan kekuatan fizikalnya. Sungguhpun demikian, usahanya yang ‘sedikit’ itu, masih belum dapat aku tandingi lagi. Kita semua tak mungkin lagi dapat menerima semua ini sebagai satu enigma. Apakah telah ada tanda-tanda revolusi seni itu akan berlaku?

Mazir Ibrahim, seorang komposer dan penggiat MusicForum, sebuah kumpulan yang giat mengangkat isu dan wacana perbincangan musik di Malaysia.