Pinjamkan Kami Telinga

Pinjamkan sekejap telinga
kerana kami ingin
kau mendengar kami berkeluh
melepaskan hati yang rusuh
dari segala rongrong luka derita
mengenai sombong dan lupa
siapa mereka yang berumah di langit
di atas sana

Tolong dan kami pinta
Jangan kau lupa segala dan betapa
Kami tidak meminta lain
kecuali telinga yang sedia
dan selalu rela terbuka
mendengar segala keluh
setiap kami bernama jelata

Ketika telah rela kami serah
dengan percaya seluruh jiwa
usah dibelit sesat
oleh cabang lidah
dan palsu tindak

Kerana kami hanya rakyat
yang tidak meminta
sesuatu yang bukan hak.

Setelah kau
Kami beri hak untuk bersuara
Atas nama rakyat
Dan jelata

Jangan sekali kau perdaya.

Oktober 23, 2009

Apakah Kau Sudah Mendengar

Apakah kau sudah mendengar
Gerak dan suara membara
Hanya meminta dan meminta
Tetapi kau anggap ada agenda

Walau bergerak
Tapi kami tidak bertindak
Kerana kami tahu batas kehendak
Kepadamu tempat hasrat meletak

Walau suara kami seperti meledak
Tetapi kami tetap menjaga jarak
Di antara ganas dan biadap
Dan tidak ingin menjadi bidak

Apakah kau sudah mendengar
Kami menyata pinta dan harap
Tetapi kenapa kami didesak
Dengan air dan pemedih asap
Dan kau tetap memilih pekak?

Mac 7, 2009

Di Negeri Pemilu

Inilah harinya kau menjadi saksi
Untuk segala bujuk yang diucap
Dan bangga menjadi seorang rakyat

Ketika atas nama daulat
Warga dan bangsa
Kembali dinobat
Di tanah yang selalu kaucinta
Dengan seluruh raga jiwa

Kerana darimu
Hari ini dipinta
Pilihan yang tepat

Membeza antara si palsu dan penjilat
Atau pelahap pangkat
Dengan si luhur jiwa
Yang tidak pernah meminta
Untuk segala keringat dan khidmat
Atas nama rakyat.

Julai 22, 2009 – Februari 8, 2010

19772_1322747275281_1428811341_888075_1542539_n-1

Marsli N.O, 53, penulis kreatif dan penulis lepas berupa berita, rencana budaya serta naskhah teater. Marsli juga berteater dan turut berblog di marslino.blogspot.com.

Marsli N.O Sajak

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan