[singlepic id=3 w=255 h=88 float=left]Amin Ahmad

Sejak 1998, kelihatan Malaysia memasuki fasa berbeza dalam proses kematangannya. Pelbagai isu muncul menuntut kita merenung semula makna diri merdeka. Tuntutan patriotik ini mula kedengaran dari Anwar Ibrahim dalam Pidato Kemerdekaannya pada tahun 2004 sebaik beliau pulang dari Munich selepas mengikuti rawatan di sana.

Ya, pada waktu itu saya berusia 22 tahun dan ia kali pertama saya diajak merenung Pemahsyuran Kemerdekaan sebagai dokumen sejarah penting untuk kita mengerti semangat di sebalik kewujudan dokumen tertinggi negara – Perlembagaan.

Pada 5 hingga 7 Februari 2010, saya berpeluang membantu Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) – nama baru bagi Malaysia Think Tank, majikan lama saya – mengendalikan Seminar Akademi Merdeka Februari 2010 buat kali keempat dengan tema Perlembagaan dan Semangat Perlembagaan: Memahami Kedaulatan Undang-Undang.

Sehari kemudian, saya turut serta membantu Peluncuran IDEAS di Memorial Tunku Abdul Rahman di mana selain Pengarah Eksekutifnya, saudara Wan Saiful Wan Jan, Ucaptama diberi oleh Presiden IDEAS yang juga cucu Raja Melayu pertama sebaik Merdeka, Tunku Zain Al-Abidin Tunku Muhriz; cicit Tunku Abdul Rahman, Sharyn Lisa Sufian dan Yang Berhormat Mulia, Tengku Razaleigh Hamzah yang bukan saja pernah berkhidmat dengan Perdana Menteri Pertama itu, tetapi juga menjadi Presiden Parti Semangat 46 dengan dokongan Tunku Abdul Rahman.

Dua acara ini cukup signifikan dalam proses kita merenung masa depan Malaysia. Ini lebih lagi saat kita melihat perkembangan peristiwa sejak Reformasi 1998 menunjukkan landasan kenegaraan kita semakin tersasar dari makna asalnya.

Kebetulan saya baru pulang dari Filipina di mana saya meluangkan banyak masa mengenal sejarah mereka melalui lawatan ke muzium, taman Rizal yang didedikasikan kepada Pahlawan Negara Filipina itu, menonton filem Jose Rizal, membeli dan sedang menghabiskan bacaan berkaitan sebilangan tokoh Negara itu serta berdialog dengan kenalan di Filipina sendiri.

Ada satu kata Jose Rizal yang tertera di Muzium Nasional mereka: “To foretell a destiny of a nation, it is necessary to open the book that tells of her past”. Ya, ia mungkin kata yang biasa kita dengar tapi ia terus relevan dari masa ke masa khususnya untuk generasi muda mengambil semangatnya. Saya berharap dapat menulis tentang pengalaman di Filipina ini khususnya tentang Jose Rizal pada masa akan datang.

Ramai sering mengungkap bahawa sejarah itu berulang. Hamka, tokoh ulama’ nusantara menjelaskan bahawa yang dimaksudkan berulang itu bukan sejarah, tetapi tingkah laku manusia dalam sejarah. Sebab itu, Ali Syariati mungkin sosok yang berjaya membumikan pesan al-Quran melalui kajian sosiologi terhadap-nya. Meskipun beliau seorang Syiah yang kuat mengusung idea kiri, pengaruh beliau terhadap Revolusi Iran tidak dapat dinafikan malah ia mungkin puncak renungan makna diri merdeka bagi rakyat Iran moden, barangkali.

Profesor Abdul Aziz Bari yang mengendalikan seminar Akademi Merdeka menunjukkan bagaimana konstruksi kuasa dalam Perlembagaan dan hubungan-nya dengan sosio-sejarah masyarakat. Terlihat bagaimana kuasa negeri kian luput ditelan Persekutuan. Politik pemusatan kuasa ini adalah tanda awal kediktatoran yang impaknya kian disedari masyarakat. Terlihat bagaimana hak asasi manusia terhakis meskipun Perlembagaan jelas menjamin.

Perlembagaan yang dibicara tanpa semangatnya adalah awal mula sebuah kekontangan erti kemerdekaan.

Wan Saiful mengingatkan prinsip kebebasan dan keadilan yang menjadi nilai tunjang dalam Pemahsyuran Kemerdekaan.

Sharyn melihat generasi beliau (generasi muda hari ini) “…has underestimated how much Tok Tam (nama panggilan beliau kepada Tunku) had sacrified for his country”. Dia mengisahkan bagaimana kritikan Tunku kepada Dr. Mahathir dijawab dengan kehadiran sekumpulan anak muda mengepung Tunku yang duduk di atas kerusi roda. Kumpulan anak muda ini tidak lain dan tidak bukan ialah Pemuda UMNO yang diketuai oleh Najib Tun Razak. Hadirin tertawa mendengar pandangan Sharyn bahawa jika Tunku masih hidup dan sihat, beliau tentu akan jadi blogger! Kata Sharyn, Tok Tam selalu menasihat agar semua berusaha untuk saling memahami dan menerima antara satu sama lain.

Tunku ‘Abidin memetik dari buku Tunku, Challenging Times: “Democracy must not exist in the mind only, but in substance, reality and in fact”. Beliau percaya bahawa Malaysia perlu bergerak melangkaui retorika politik yang hanya manis di bibir dan sedap didengar.

Tengku Razaleigh sambil menyatakan kekesalan bila pada hari pengkebumian Tunku tidak diisytiharkan cuti sebagai tanda penghormatan, sinis meminjam kata Tunku dengan pindaan: “We now have a democracy existing in name, but grievously compromised in substance, reality and facts”. Kata Tengku Razaleigh, Tunku Abdul Rahman telah membawa seluruh rakyat Malaysia bersama “through our own free will and desire in the true spirit of brotherhood and love of freedom”, dan kesatuan ini dibina “by mutual consent by debate and discussion…through friendly argument and compromise and in the spirit of co-operation and concord”.

Biar apapun, bagi mereka yang celik, maruah tidak boleh dibeli. Ia umpama maksud hadis “Jadilah kamu manusia berprinsip, jika orang berlaku adil, kamu berlaku adil; jika orang berlaku zalim, kamu tidak berlaku zalim”.

Di zaman edan ini, Ronggowarsito mengingatkan kita:

Begja-begjane kang lali (sebahagia mereka yang lalai dan lupa)

Luwih begja kang eling lawan waspada (lebih berbahagia yang sedar dan waspada)

Amin Ahmad, mendapat pendidikan di Universiti Putra Malaysia. Beliau adalah mantan Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPM dan pernah memegang beberapa jawatan lain di peringkat Kolej, Fakulti Pengajian dan Universiti. Pernah mewakili delegasi Malaysia dalam Program Pembangunan Kepimpinan Belia ASEAN. Alumni Kepimpinan Muda Nahdah Asia, sebuah projek kerjasama Institut Kajian Dasar dan Yayasan Aman Sasakawa (SPF) dan alumni Cato University.

Ali Syariati Amin Ahmad Hamka Jose Rizal Kolum Perlembagaan politik Profesor Abdul Aziz Bari Ronggowarsito Sharyn Lisa Sufian Tengku Razaleigh Tunku Abdul Rahman Tunku Zain Al-Abidin Tunku Mukhriz

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan