Amin Ahmad

Lebih kurang 10 tahun lalu ketika seruan Reformasi mula masuk ke ruang awam di Malaysia, usia saya tinggal beberapa bulan untuk mencecah 17 tahun. Meskipun didedahkan dengan dunia politik oleh kedua ibu-bapa lebih awal daripadanya, hanya waktu itu saya merasakan kesedaran politik berada di tahap yang tinggi.

Ya, saya fikir manusia sering perlu disedarkan oleh peristiwa yang bercanggah dengan naluri kemanusiaan dan ideal pandang alam kita.

Ketika Reformasi 1998 itulah saya mula betul mendengar kisah seorang tokoh besar dunia, Nelson Mandela. Buku beliau Long Walk to Freedom (Jalan Panjang untuk Kebebasan) diterjemah dan dimuatkan dalam internet. Saya juga sempat menonton filem berkisar perjuangan menentang dasar apartheid di Afrika Selatan, dan tentunya saya menemukan kisah Mandela bersamanya.

11 Februari 2010, masyarakat dunia khususnya di Afrika Selatan menyambut ulang tahun ke-20 sejak Mandela dibebaskan. 27 tahun di dalam penjara tentunya bukan satu waktu yang singkat dan ternyata ungkapan Mandela dalam bukunya tepat: “any man that tries to rob my dignity will lose”.

Ya, kita wajar berasa kagum dengan kesabaran beliau dan saya tidak pasti berapa ramai teman seperjuangan beliau telah pergi sebelum sempat melihat beliau muncul sebagai Presiden Afrika Selatan pertama yang dipilih secara demokratik, meskipun untuk satu penggal yang singkat (dari 1994-1999).

Kata Mandela: “you may succeed in delaying, but never in preventing the transition of South Africa to a democracy”

Mandela dalam usahanya menentang dasar apartheid telah mengambil pendekatan Mahatma Gandhi di India dengan pendekatan satyagraha – perjuangan tanpa menggunakan kekerasan. Untuk Mandela, kekerasan adalah jalan akhir sekiranya semua cara lain menemui kegagalan.

Menarik untuk diketahui bahawa dalam tempoh beliau dipenjarakan di Pulau Robben dengan segala kekurangan – beliau dikelaskan di bahagian D iaitu bahagian paling rendah, dengan catuan makan dan kemudahan berbeza, hanya boleh menerima surat yang telah ditapis (misalnya ada ayat-ayat yang dihitamkan hingga tidak boleh dibaca) dan dilawati oleh seorang setiap 6 bulan – beliau masih sempat menghabiskan pengajiannya dalam bidang Undang-Undang melalui program luar University of London.

Mandela ditempatkan di pelbagai penjara selain Pulau Robben. Sebagaimana pengalaman saya di Filipina melihat tempat Jose Rizal terpenjara dan dibawa berjalan dengan tangan terikat ke kawasan lapang (yang kini dijadikan Taman Rizal) sebelum ditembak, di Penjara Drankenstein kini juga telah mula diletak monumen Mandela misalnya saat beliau berjalan keluar dari penjara, menumbuk ke udara dan sebagainya.

Sokongan dan dokongan terhadap Mandela kemudian kian memuncak di kalangan masyarakat antarabangsa. Ia akhirnya membawa kepada pembebasan dan rundingan untuk membolehkan Afrika Selatan melaksanakan pilihan raya rentas kaum pertama kemudiannya.

Mandela menyifatkan demokrasi di Afrika Selatan sebagai kejayaan besar yang umum dalam hal ehwal kemanusiaan. Beliau menyifatkan keberanian bukanlah kerana tidak wujud rasa takut, tetapi bagaimana rasa takut ini dikawal.

Dalam sejarah panjang kemanusiaan, memang ada fasa di mana berlaku semangat perjuangan kelompok. Dari sana semangat berpuak digarap dan kehidupan diterima sebagai sebahagian proses “yang kuat berkuasa”. Maka berlakulah tragedi kemanusiaan sama ada berskala kecil atau besar.

Dalam kes di Afrika Selatan, ternyata ia satu peristiwa malang apabila sikap tidak bertamadun ini dilegitimasikan oleh Perlembagaan dan Undang-Undang. Mandela tegas menyatakan kebencian beliau kepada perkauman kerana beliau menganggap itu sebagai satu kezaliman, sama ada ia dilakukan oleh orang berkulit putih atau selainnya.

Bagi masyarakat Afrika Selatan, tentu saja Mandela membawa pengertian besar kepada mereka. Dari segregasi masyarakat berasaskan warna kulit, mereka kini dapat bercampur dan hidup bersama dengan segala kemungkinan. Berbeza dengan Amerika yang mengambil ratusan tahun untuk berdepan dengan isu perkauman, Afrika Selatan ternyata lekas memulihkan diri. Pada hemat saya, dengan dorongan faktor zaman juga sangat membantu untuk memahami persoalan ini.

Masalah perkauman bukanlah masalah baru, bahkan kehadiran Islam sendiri antara lain adalah untuk membersihkan faham manusia yang berlebihan berasaskan ciri luaran yang bukan bersifat pilihan ini.

Selepas melalui tempoh getir perjuangannya, Mandela kembali ke pangkuan rakyat sebelum diangkat menjadi Presiden. Beliau ternyata lebih memahami tuntutan perjuangan sebenar di depan matanya. Peringatan beliau: “Never, never and never again shall it be that this beautiful land will again experience the oppression of one by another”.

Beliau juga seorang yang realistik dalam memahami perjuangan bila mengungkapkan “It always seems impossible until it’s done”.

Dan beliau menuntut semangat patriotik yang sebenar dengan pertanyaan: “Does anybody really think that they didn’t get what they had because they didn’t have the talent or the strength or the endurance or the commitment?”

Amin Ahmad, mendapat pendidikan di Universiti Putra Malaysia. Beliau adalah mantan Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPM dan pernah memegang beberapa jawatan lain di peringkat Kolej, Fakulti Pengajian dan Universiti. Pernah mewakili delegasi Malaysia dalam Program Pembangunan Kepimpinan Belia ASEAN. Alumni Kepimpinan Muda Nahdah Asia, sebuah projek kerjasama Institut Kajian Dasar dan Yayasan Aman Sasakawa (SPF) dan alumni Cato University.

Amin Ahmad Long Walk To Freedom Nelson Mandela Reformasi

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan