A. Sabri

Filem ini mengisahkan lima wartawan Australia yang dibunuh dan dibakar oleh tentera Indonesia sewaktu tentera republik itu mencerobohi Timor Timur atau kini dikenali sebagai Timor Leste pada tahun 1975. Saya difahamkan filem ini tidak dibenarkan ditayangkan di republik tersebut.

Filem arahan pengarah kelahiran Australia Robert Conolly, membuat saya teruja apabila mengisahkan kembali kisah pembunuhan tiga wartawan Channel 7 dan dua pemberita Channel 9 yang berpusat di Australia – yang saya sendiri tidak mengetahuinya sebelum ini. Robert menggunakan teknik flashback dan flashforward dengan footage ala seventies untuk menghidupkan suasana pada tahun tersebut.

Kelima-lima wartawan itu ialah Grey Shackelton, Gary Cunningham dan Tony Stewart dari Channel 7 manakala Malcolm Rennie dan Brian Peters dari Channel 9. Mereka cuba membuat liputan pendudukan tentera Indonesia di Balibo beberapa hari sebelum pendudukan dan pada pagi 16 Oktober 1975, tarikh mereka dibunuh.

Filem yang memakan masa satu jam 40 minit ini, bermula apabila seorang wartawan cuba menemubual saksi mata Juliana da Costa (Bea Vigas) yang menyaksikan pembunuhan seorang wartawan Roger East (Anthony Lapaglia) – yang berlaku 24 tahun lalu. Pada ketika itu beliau masih lagi kanak-kanak.

Roger adalah seorang koresponden asing yang pernah bertugas di Afrika sewaktu era Apartheid – yang ingin menyingkap dan menyiasat pembunuhan lima wartawan itu.

Filem ini sungguh mengingatkan saya kepada beberapa buah filem yang berkait dengan dunia kewartawanan antaranya A Mighty Heart lakonan Angelina Jolie, Nothing But The Truth lakonan Kate Beckinsale dan State of Play, lakonan Russell Crowe. Kesemua filem ini menceritakan bagaimana liku-liku dunia wartawan melalui saat getir untuk membuat satu-satu liputan atau membongkar sesuatu rahsia.

Tidak terlepas dalam Balibo, apabila filem yang diadaptasi daripada kisah benar dari naskah “Cover Up” hasil tulisan Jill Jolliffe – juga seorang wartawan yang berada di sana sebelum Indonesia menyerang Dili pada 7 Disember 1975 – bahawa kelima-lima wartawan itu bertugas liputan khas tentang pendudukan tentera Indonesia di negara jajahan Portugis itu

Filem bertemakan political thriller yang berbentuk sejarah, mahu tidak mahu Robert Conolly menggunakan teknik flashback dan flashforward untuk mewujudkan kesinambungan babak dan naratif filem ini. Dalam filem ini beliau menggunakan teknik tersebut bagi memudahkan penonton mengetahui latar belakang dan jalan cerita yang hendak disampaikan.

Selepas babak temubual bersama Juliana pada tahun 2009, babak kembali ke tahun 1975, apabila Jose Ramos Horta (Oscar Isaac) – yang sekarang ini presiden di negara itu – berjumpa dengan Roger di Australia bagi memujuk Roger menubuhkan ETNA ( East Timor National Agency) – empat minggu selepas kehilangan lima wartawan tersebut.

ETNA, kata Jose – ditubuhkan sebagai saluran independen untuk menjelaskan kepada seluruh dunia apa yang berlaku di negaranya. Pada mulanya, Roger menolak, tetapi selepas menerima dokumen dan gambar kelima-lima wartawan yang hilang itu daripada Jose, Roger mengubah fikirannya.

Beliau berangkat ke Dili – ibu negara Tiimor Timur untuk menjejaki di mana misteri kehilangan (kemudiannya dibunuh) ‘Balibo Five’, siapa yang bertanggungjawab dan kenapa mereka dibunuh. Di Dili, beliau menginap di sebuah hotel, tempat di mana bapa kepada Juliana bekerja dan di situlah beliau mengenali Juliana.

Filem ini berselang seli dengan footage ‘Balibo Five’ yang sudah tiba di sana bagi membuat liputan tentang tindakan Indonesia yang menggerakkan armada tenteranya untuk memasuki perairan negara tersebut. Mereka terpaksa meminta bantuan daripada Fretilin (Revolutionary Front for an Independent East Timor) untuk sampai ke Balibo. Ximanes antara orang kanan Jose menjadi pembantu dan penterjemah kepada ‘Balibo Five’ yang menemuramah orang awam terhadap tindakan tentera Indonesia itu.

Pada mulanya Ximines membawa wartawan Shackelton dan dua rakannya ke Maubara yang terletak 50 kilometer dari Balibo. Kemudiannya mereka bertolak ke Maliana sebelum ke Balibo. Di Maliana,Grey Shackelton menulis catatan hariannya.

Di sini juga mereka berjumpa dengan dengan wartawan Australia Broadcasting (ABC) Tony Maniaty – yang menjadi perunding kepada filem ini dan masih lagi hidup – yang menasihatkan mereka supaya meninggalkan negera tersebut.

Ini kerana Indonesia tidak senang dengan wartawan asing membuat liputan mengenai tindakan mereka. Bagaimanapun mereka enggan dan berhasrat meneruskan niat mereka untuk ke Balibo. Mereka kemudiannya meneruskan perjalanan dan singgah sebentar di sekolah misionari. Di situ mereka berjumpa dengan paderi Silva. Ketika itu mereka ternampak orang awam berjalan keluar dari rumah mencari tempat perlindungan.

Kemudian, mereka meneruskan perjalan ke Balibo dan berjumpa dengan dua lagi wartawan Channel 7 di Balibo bersama-sama Jose Ramos Horta, beberapa hari sebelum pencerobohan tentera republik itu.

Flashforwards, bagaimana Roger East bersama Jose Ramos Horta meneruskan hasrat mereka ke Maliana dengan berjalan kaki untuk sekolah misionari Kristian, yang memakan masa kira-kira 14 jam – antara tempat yang dilaporkan telah dilawati oleh Shackelton dan rakannya, seperti mana diberitahu oleh Ximines. Di pertengahan jalan mereka di serang dari udara. Nasib baik mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

Scene yang meruntun perasaan Jose, apabila mereka melalui satu kawasan, mayat-mayat orang awam mati bergelimpangan ditembak oleh tentera Indonesia dipaparkan dalam filem tersebut. Lalu mereka mengebumikan mayat-mayat tersebut. Lebih menyayat hati, apabila beberapa waris simati membawa jambakan bunga untuk ditabur di atas pusara itu sambil diringi dengan tangisan.

Ketika sampai di sekolah misionari itu, pergaduhan berlaku antara Roger dan Jose kerana Jose mendesak beliau agar tidak meneruskan hasratnya ke Balibo ekoran keadaan di sana membahayakan sambil menyatakan kelima-lima wartwan itu sudah meninggal dunia. Tetapi Roger berkeras kerana mahu menjejaki mereka sampai jumpa untuk menuntut keadilan kepada mereka dan membongkar siapa dan kenapa mereka ini dibunuh.

Kata Roger sekiranya beliau mendapat maklumat mengenai apa yang terjadi, maka ceritanya itu akan menjadi berita utama di Australia dana menjadi berita front page akhbar di sana. Sekaligus dapat membela nasib rakyat di situ. Bagaimanapun, Jose meninggalkan Roger.

Kemudian Jose meminta Sabika – antara orang kepercayaan Jose – menahan dan membawa seorang pembelot sebagai seorang saksi untuk menjejaki ‘Balibo Five’ kepada Roger. Di situlah tahanan itu disoalsiasat oleh Roger untuk mejejaki kelima-lima wartawan itu. Tahanan itu memberitahu mereka berada di sebuah rumah yang dimiliki oleh penduduk yang berketurunan Cina. Roger menjejaki rumah tersebut.

Sewaktu sampai beliau melihat rumah tersebut, kelihatan dinding dipenuhi percikan darah termasuk kesan tapak tangan berdarah yang melekat di dinding tersebut. Juga didapati kesan pembakaran di lantai rumah tersebut.

Ketika itulah scene pembakaran kelima-lima mayat itu dipaparkan. Pada mulanya mereka ‘Balibo Five’ sempat membuat rakaman tentera Indonesia yang menukarkan pakaian mereka sewaktu memasuki Balibo. Tentera Indonesia membuat tembakan rambang membuatkan mereka lari lintang pukang untuk menyelamatkan diri sambil melaungkan ‘We’re journalist”.

Mereka berlindung di rumah tersebut yang telah dilukis bendera Austalia sebagai tanda mereka berada di dalam kedutaan – kawasan yang tidak boleh dicerobohi dan dicabuli oleh mana-mana pihak.

Namun sewaktu tentera mengepung rumah tersebut, salah seorang ‘Balibo Five’ keluar untuk cuba berbincang dengan seorang tentera Indonesia dengan tangan diangkat tanda menyerah diri. Beliau menyatakan bahawa mereka hanya wartawan, datang ke situ untuk membuat liputan. Malangnya beliau ditembak di kepala. Rakan-rakannya yang lain turut ditikam berkali-kali dan dibunuh kemudiannnya mereka dibakar bersama filem rakaman mereka.

Kesokkan harinya, Sabika dan Roger cuba meloloskan diri daripada tentera Indonesia yang sedar keberadaan mereka. Sabika meninggalkan Roger untuk menarik perhatian tentera Indonesia malangnya beliau dibunuh. Roger menyusuri anak sungai untuk menyelamatkan diri untuk pulang ke hotel di Dili.

7 Disember 1975, Dili, Roger sedang menulis berita dan cuba menghantar berita melalui telefax, malangnya pada waktu itu Indonesia menyerang Dili. Pejabatnya dicerobohi, kerani yang membantunya ditembak dan beliau dibawa ke suatu tempat yang kemudiannya beliau ditembak dan dicampakkan ke dalam laut. Kejadian itu disaksikan oleh Juliana dan memberitahu dalam sidang temubual.

Filem ini bertambah menarik apabila musik tradisional menjadi yang latar kepada filem ini menimbulkan rasa saya dan terkesan dalam jiwa penonton. Antara lagu yang dimainkan ialah O Hele Le, Kole Le Mai, Balibo dan Foho Ramelau yang dinyanyikan oleh koir Timor Leste. Lagu-lagu tersebut disusun oleh Lisa Gerrard membuatkan penonton teruja hingga penghujung cerita ini.

Di penghujung cerita ini, dipaparkan footage Jose Ramos Horta kembali ke negaranya pada 1999 setelah 24 tahun berada dalam buangan. Dalam tempoh buangan itu, beliau melobi ke PBB untuk sehingga akhirnya pada tahun tersebut Timor Timur mendapat kemerdekaan dan sejumlah kira-kira 183,000 rakyat negara itu terbunuh sepanjang pencerobohan tentera Indonesia.

* A.Sabri, 29, penulis dan penggemar filem Eropah dan Amerika Latin. Menulis karya kreatif seperti cerpen, skrip drama pentas, artikel dan rebiu filem.

A. Sabri Australia Balibo Five Brian Petters East Timor Filem/TV Gary Cunnigham Grey Shackelton Indonesia Malcolm Rennie Robert Conolly Tony Stewart

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan

  1. baru nampak dvd filem ini tadi, tapi dek kuota bulan ini sudah cukup, tak daya nak membelinya. tapi lepas membaca rebiu saudara ni, rasa terpanggil untuk menontonnya, pasti dalam list saya bulan depan!