Eddin Khoo

Ibrahim Hussein pernah dengan yakin sekali mengatakan, “Saya tidak percaya pada inspirasi”. Kenyataan itu adalah pelik, jika tidak pun sepenuhnya membingungkan, terbit daripada mulut seorang seniman yang sememangnya sentiasa kelihatan diselubungi dan digerakkan oleh dorongan-dorongan inspirasi.

Begitulah adanya, bagi Datuk Ibrahim Hussein, sejenis daya yang obsesif, tercermin bukan sahaja pada catan-catannya yang luas, kuat dan cemerlang yang telah dianggap sebagai semangat zaman, tetapi juga pada timbunan lakaran-lakaran yang dibuat pada kertas, garis-garis yang dilukis pada batuan dan pasu, plat, topi kaledar motorsikal bahkan juga pada papan luncur.

Selain itu, terdapat juga diari-diari yang dipenuhi dengan fikiran-fikiran rambang dan aforisme, poskad, potongan-potongan majalah untuk digunakan sebagai kolaj, dan, melalui proses itu kemudian terhasil lukisan cetaknya. Walaupun umurnya semakin meningkat tetapi karya-karya itu bertambah jumlahnya, skala dan juga keberaniannya.

Beliau pernah berkata, tatkala dengan penuh bersemangat sekali mengeluarkan koleksi terbaru potongan-potongan majalah dan lakaran-lakaran di atas kertas, “Kau tahu, aku tidak boleh duduk diam”.

Dengan rasa agak bingung dan terkesan dalam masa yang sama terhadap koleksi benda-benda terbuang di kelilingnya, terkeluar dari mulut saya,”Kamu pasti tahu untuk semua barang-barang ini, ada satu sentuhan genius”.

Jawapan balasnya sangat jelas dan tajam,”Saya tidak pernah berfikir soal itu; saya siapkan sesuatu karya dan kemudian memulakan karya yang lain pula. Terlalu banyak yang perlu dilakukan, dan saya sentiasa dalam keadaan begegas. Saya tidak faham kenapa ada orang yang mudah berputus asa”.

Bagi beliau, untuk menerima konsep “genius” itu sendiri membawa maksud harus berkompromi dengan cara sebenar keseniannya: disiplin, dedikasi, kebaktian; semua elemen dalam tindakan melukis yang dianggapnya sebagai ibadat.

Boleh dikatakan bahawa bukan Ibrahim Hussein yang memilih seni, tetapi seni yang memilih Ibrahim Hussein.

Lukisan terawalnya yang direkod, bertajuk I Go to School by Trolley Bus, diterbitkan dalam majalah sekolahnya di Pulau Pinang, telah memperlihatkan “seorang yang berbakat”, kata abangnya yang tertua, Sasterawan Negara Abdullah Hussein. Tetapi usaha awalnya dalam mendapatkan pendidikan formal seni adalah sia-sia dan mengecewakan.

Meninggalkan tanah kelahirannya Kedah, setelah mahir berbahasa Inggeris, Ibrahim—atau Ib, nama timangannya di kalangan teman-teman dan peminatnya—mencuba nasib ke Singapura tetapi kemudian mengaku bahawa dia merasa “kehilangan dan kegelisahan”.

“Apa yang saya tahu pada masa itu ialah untuk melakukan sesuatu yang membenarkan saya untuk menzahirkan ekspresi diri saya dengan bebas.” Dia mendaftar di Nanyang Art Academy, tetapi kemudian berhenti separuh jalan.

Siri lukisannya yang pertama sebanyak 18 keping disiapkan oleh beliau setelah melihat iklan yang menawarkan biasiswa belajar ke Byam Shaw School of Art di London. Beliau berjawa mendapatkan biasiswa itu, dan kemudiannya menaiki kapal laut ke England.

Di Byam Shaw, beliau bergelut lagi, sekali lagi dengan penuh jerih susah dalam berhadapan dengan tunjuk ajar yang formal. Beliau memilih untuk melakukan pelbagai kerja—sebagai pelakon tambahan, seorang posman, penyiasat persendirian—“demi meneruskan hidup”.

Oleh kerana merasa tertekan disebabkan perlu menyiapkan satu siri lukisan, beliau membawa diri ke sebuah pameran tentang pencetakan kuno, yang telah memberi inspirasi kepadanya untuk menyiapkan satu siri lukisan yang memenangkan beliau biasiswa ke Royal Academy Art. Pelbagai biasiswa, residensi, anugerah-anugerah yang datang kemudiannya, telah membentuk pencarian dan legasi Ibrahim Hussein. Beliau, bagaimanapun, mengaku bahawa “Saya tidak pernah merancang apa-apa. Banyak perkara hanya berlaku di dalam hidup saya”. Dan dengan selalu menyerahkan diri kepada peristiwa-peristiwa aneh yang dihasilkan oleh tindak-tindak kemungkinan dan peluang, beliau meletakkan kepercayaannya dan “takdir” di celah-celah keingintahuan yang dalam—“sejauh yang saya ingati, saya sentiasa ingin mencapai di sebalik, untuk mengetahui yang tidak terketahui”.

Mengenang kembali zaman kanak-kanaknya, dia menceritakan satu peristiwa:”Saya pernah bermain dengan kawan-kawan di sebuah sawah padi tidak jauh dari rumah saya. Suatu hari, saya masih ingat, saya ternampak cahaya yang begitu terang dari kejauhan, di hujung sawah padi itu. Saya tidak dapat melawan gemerlap cahaya itu dan ingin mengetahui apakah sumber cahaya itu. Saya mengajak kawan-kawan saya untuk mengikut saya tetapi mereka semua menolak. Jadi saya berjalan sendirian ke arah cahaya itu.

“Ketika saya semakin dekat, saya merasa kecewa! Ia adalah cahaya daripada bumbung zink sebuah bangsal tempat menuai yang terbias oleh cahaya matahari. Tetapi itu tidak penting bagi saya; apa yang penting ialah rasa keingintahuan saya itu terjawab.”

Sepanjang perbualan-perbualan yang tak terkira banyaknya, saya tertarik dengan kenyataan bahawa karya-karyanya selalu menyentuh tentang hubungan dengan manusia, berjalan dan merayau, pengalaman-pengalaman yang begitu peribadi sifatnya. Sekalipun pernah berada di London, New York, dan pelbagai tempat lagi, kelihatannya beliau tidak tersentuh dengan sejarah dan bentuk-bentuk zahir bandar tersebut.

Tatkala bercerita tentang hari-harinya di Venice, dia tampak tidak hirau tentang seni dan senibina kota klasik itu. “Apa yang saya paling ingat tentang Venice,” dia membalas sebagai respons terhadap observasinya,”ialah bandar itu diselaputi dengan kabus yang tebal. Saya suka berjalan di dalam persekitaran begini kerana ia mempunyai suatu keadaan yang misteri; saya tidak pernah tahu apa yang akan saya temui di dalam kabus itu.”

Untuk seorang tukang cerita yang sofistikated dan lirikal seperti Ibrahim, agak mengejutkan beliau keberatan untuk bercakap tentang seninya—kaedah dan teori menjadi tidak relevan bagi dirinya. Kegemarannya ditumpukan kepada keterikatan peribadi si pelihat terhadap sesuatu karya itu.

Tentang sikap dan pembawaan seniman, dia berpandangan, “Kebanyakan seniman yang ‘hebat’ melalui hidup yang tragik dan liar. Saya pernah melihat Allen Ginsberg (penyair) membaca sajaknya, dan sebelum dia dapat menghabiskan sajaknya itu, dia rebah kerana mabuk. Saya tidak pernah ingin menjadi begitu.

Bersama isterinya Sim, yang pernah dianggapnya , sebagai “soulmate, sahabat, rakan niaga, dan muse bergabung dalam dirinya” di dalam wawancara dengan Options, majalah tambahan The Edge dan juga anak perempuannya Alia (kedua-duanya ialah bayang-bayang yang sering muncul di dalam lukisan-lukisannya), beliau membentuk hidup yang menyerahkan diri kepada usaha yang satu dan komited demi menghasilkan karya.

Bagi Ibrahim, itulah yang sebenarnya yang dikatakan sebagai “pembawaan seniman”. Ia adalah pembawaan yang mengumpulkan apa yang terbaik yang pernah dihadapinya.

Selepas secara tidak sengaja berkunjung ke pameran Ibrahim Hussein Retrospective di Galeri Seni pada tahun 1986, pengarang terkenal Jerman Ernst Junger, di dalam bukunya, Twice a Hailey’s Comet, menulis tentang Ibrahim: seorang “master…menakjubkan pada pandangan pertama…karyanya keseluruhan menggambarkan peribadinya… Melalui beberapa kenalan, juga pertemuan mesra dengan beberapa orang pelukis, suatu citra unggul telah terbentuk dalam minda saya di mana pertemuan (dengan Ibrahim) kemudian membenarkannya; kepastian yang sederhana. Seseorang tahu kemampuannya, tetapi memilih untuk tidak menunjukkannya. Seorang yang tenang, pandangan yang tajam kepada seorang teman—separuh mengharap, separuh menilai.”

Beberapa bulan yang lalu, seorang pelukis China, Shen Jiawei melahirkan kekaguman yang dalam terhadap kaligrafi yang dilukis sendiri oleh tangan Ibrahim, yang merupakan salah satu daripada karya terkininya yang menumpukan pada “China baru”. Semasa dia meninggalkan rumah Ibrahim, Shen berkata,”Mr Hussein, he is true artist” (sic).

Seperti banyak hal, saya mengenali Ibrahim Hussein sebagai sebuah mitos, tetapi dengan mudah sekali mitos itu terhapus di kala saya bertemu dengan beliau. Sentiasa pemurah, lemah lembut dan ramah, sentuhan genius, “true artist”—itulah Ibrahim Hussein yang saya kenali.

Eddin Khoo adalah seorang penyair, penulis, penterjemah dan jurnalis, dan juga Pengarah-Pengasas organisasi budaya, Pusaka.

Ketika Almarhum Datuk Ibrahim Hussein meninggal dunia, Eddin sedang berkerjasama dalam menulis autobiografinya yang bertajuk, ‘Ib: A Life’.

Tulisan ini telah terbit di The Star dan diterjemahkan oleh Ammar Gazali dengan kebenaran penulis.