Mazir Ibrahim

Tidak ada yang tidak kena tempiasnya, tidak ada yang tidak membaca mengenainya. Polemik ‘Allah’ terus berlarutan. Banyak pandangan yang mencerah dan mematangkan kita. Dan, banyak juga pandangan yang hanya menambah sampah informasi yang tidak berkesudahan. Budaya memberi pandangan kini sudah semakin subur, disemai oleh Reformasi 98 dan dibaja lagi selepas Mac 08. Selama 10 tahun ini, masyarakat semakin matang, namun proses kematangan ini barangkali memerlukan proses 10 tahun lagi, itu pun belum tentu matangnya kita. Yang jelas, kini pandangan umum tidak lagi dimonopoli oleh politikus sahaja, persepsi umum juga bukan lagi dibentuk oleh politikus. Ini petanda yang baik. Sekurang-kurangnya, inilah sumbangan penting era reformasi.

Dalam tempoh 10 tahun ini juga aku bergelandangan dengan muzik, ada yang gelap, ada yang terang, merangkak-rangkak dari bilik-bilik kecil, tepi-tepi longkang di jalanan hinggalah ke Chamber Filharmonik. Memerhati, menghayati dan membuat muzik bukanlah satu kerja yang mudah untuk dihabiskan. Terlalu banyak yang masih tidak aku ketahui mengenai muzik – banyak. Memahami sesuatu formula, esoknya ia telah basi. Diri ini mungkin tenggelam dalam ombak pengetahuan yang tiada hujung.

Ada teman-teman muzik yang kini telah established, ada yang masih melata. Semua ini menceritakan banyak perkara, tetapi dalam banyak-banyak perkara itu, ada satu perkara yang menarik perhatian aku iaitu hal – kualiti.

Ada segolongan pemuzik yang gila dengan music gadget. Pengetahuan mereka tentang teknologi dan tools sangat up to date. Kadangkala, aku tak perlu melayari  internet untuk tahu tools dan software apa yang terbaru di pasaran, cukup dengan menghantar pesanan ringkas (sms) kepada mereka yang ‘gila gadget’ ini, sekejap itu juga aku akan mendapat update, siap dengan harganya sekali, jika tidak tepat, paling kurang anggarannya pasti ada.

Golongan ini, apabila berkarya, kita hanya akan mendengar bunyi yang berbeza (lain dari yang semalam) atau kita akan mendengar kesan khas yang pelbagai. Itu sahaja yang ketara. Namun hakikatnya, selera estetik dalam muzik mereka sangat ‘ciput’. Tidak setara dengan teknologi yang sedang berkembang.

Ada satu lagi golongan pemuzik yang kalis kualiti (estetik). Golongan pemuzik yang suka ‘menyampai mesej’ dalam karyanya. Teori mesej yang terlipat, tersirat, tersurat dan ‘terpalit’ ini sudah jadi sangat tipikal adanya. Mesej bukanlah satu hal yang negatif. Namun hakikatnya, muzik itu sendiri sudah ada satu mesej – hiburan. Mengapa perlu ditampal lagi dengan ‘mesej’ artificial ini lagi. Apakah ‘mesej’ mereka ini untuk menampal kelemahan skill muzik mereka? Jangan kelentong.

Ada lagi.

hugoGolongan pemuzik yang gila arrangement yang pelik-pelik. Mereka buat atas nama ‘eksperimental’. Gabungan susunan muzik mereka sudah semacam post- hybrid (istilah sendiri), kod-kod progresif sudah keluar dari alam nyata ke alam fantasi. Mereka ini juga mahu break the tradition. Asas dan halatuju muzik mereka ini jelas, bagus dan kreatif. Tapi realitinya–sampah. Projek melahirkan muzik bentuk baru memang akan melahirkan sampah, ini fakta. Namun, sampah ini ada juga gunanya–untuk kita fahami agar kelak, kita tidak akan mengotorkan lagi muzik. Cukuplah muzik dikotorkan oleh orang-orang yang bodoh dan jahil, jangan kita menambahnya lagi.

Dan jangan lupa.

Ada sejenis lagi golongan pemuzik yang ‘memantul’ dengan kualiti. Pemuzik yang marah. Mereka melahirkan ekspresi kemarahannya menerusi muzik. Membaca ayat ‘marah dalam ekspresi muzik’ ini kedengarannya elok, agak intelektual, baik dan tidak berbahaya kerana ia bukan bersifat fizikal–body contact. Ya, itu betul. Namun, secara alaminya (natural), elemen marah ini memang ‘nadanya’ kurang enak untuk didengar, ia akan membuatkan diri kita dijauhi oleh masyarakat. Majoriti orang ramai (juga ; umumnya) tidak suka mendengar kalimah lirik atau muzik yang ‘marah-marah’ (walau kita memang ikhlas mahu marah), kemarahan ini, sekalipun dalam karya muzik, tetap akan ditolak orang – jadi sampah. Akhirnya, kita akan ketandusan pendengar. Buat show sendirianlah.

Apa kaitan semua ini dengan 10 tahun era reformasi?

Reformasi – selain menumpahkan ide-ide segar yang menyubur intelek khususnya kepada seniman muda, dalam ruang masa ini, memang akan wujud sisi-sisi yang masih gelap. Memahami perubahan, kita akui memang bukan suatu hal yang mudah untuk dihadam. Sistem do it yourself (DIY) bukan bermakna buat mana boleh atau mana yang ada. Konsep DIY matlamatnya ialah proses, sepatah kata Frederic Chopin, “ Simplicity is the final achievement ”. Untuk jadi independen perlu ada sumber. Sumber ini perlu dikuasai. ‘Menguasai’ dalam konteks – proses pengkaryaan, bukan bererti memiliki secara fizikal, tetapi memanipulasi ruang dalam menjayakan proses DIY itu sendiri. Sumber ini adalah ilmu. Memiliki sesuatu aset fizikal belum tentu dapat menjadikan kita berjaya dalam berkarya. Main muzik, bukan instrumen.

027Lorenza Daverio nd
Watak Quasimodo di dalam persembahan musikal terulung, Notre Dame de Paris

Selepas reformasi di Indonesia–paling tidak, band-band Indonesia sudah ‘ganyang’ industri muzik di Malaysia. Namun kebanyakan seniman kita, dengan sedar atau tidak, masih terus membuat sampah yang semakin menyemak telinga kita. Lagak mainstream sudah tiada kesudahannya–biarkanlah. Tetapi, lebih malang apabila mentaliti seniman/boyband aliran alternatif, masih terus terbawa-bawa perangai ‘politik pembangkang’ dalam proses pengkaryaan mereka. Ramai orang memahami perangai majoriti politikus pembangkang yang masih mewarisi garis mentaliti politik lama 80-an–desperate.

Memacu karya bagi menjernihkan lagi matlamat reformasi adalah tanggungjawab dan semangat yang sememangnya ‘terpikul’ pada semua seniman tanpa perlu diminta–hakikatnya; tiada siapa yang berkuasa memberi mandat itu. Karya zaman ini, pasti akan menjadi simbol perjuangan bangsa pada masa hadapan. Pasti.

Dengan longgokan informasi di internet. Aku teringin ‘mencuri’ kata-kata seorang seniman besar –  Music expresses that which cannot be said and on which it is impossible to be silent – Victor Hugo.

Masih terasa keenakan vokal watak Quasimodo dalam pementasan Notre Dame de Paris.

Buat semua – buanglah sampah kedalam tong sampah.