[singlepic id=94 w=255 h=88 float=left]Mazir Ibrahim

Mula aku mengenal namanya sekitar tahun 1988 ketika usiaku 12 tahun. Sebelum karyanya aku kenal, aku sudah punya beberapa idola. Sudirman dan Stevie Wonder. Untuk budak kampung selekeh seperti aku, meminati Stevie Wonder pada era 80-an–suatu yang agak luar biasa.

Pada masa itu aku belum mengetahui  apa itu komposer, apa itu penggubah lagu. Tetapi, lagunya telah menarik minat aku. Pada usia 15 tahun, aku mula belajar bermain gitar. Gitar yang diberi pinjam kepada aku hanya ada 2 tali. Tali no.5 dan no.6. Dengan 2 tali itulah aku merangkak-rangkak untuk belajar.

Apabila telah pandai memain lagu, aku membeli sebuah gitar terpakai. Gitar ini dalam ukuran keadaannya sepatutnya sudah dibuang. Tetapi aku berjaya memujuk empunya gitar, untuk aku mendapatkannya dengan harga RM20. Kini gitar itu sudah bertukar tuan, tetapi tuan barunya (aku) masih belum dapat memetiknya kerana kepala gitar itu sudah pecah patah. Aku baiki semula gitar ini, daripada tidak berguna menjadi gitar yang dapat melaksanakan fungsi penuhnya sebagai sebuah gitar. Maka bermulalah langkah pertama sebuah pengembaraan muzik dalam hidupku. Dengan gitar inilah lagu pertama aku tulis. Lagu dalam bahasa Inggeris. Tajuknya, Fly Fly. Tapi hari ini, lirik dan melodinya tidak lagi aku ingat.

Selepas 10 tahun – pertengahan 90an.

Budak kampung yang suatu ketika dulu meminati Stevie Wonder, telah menjadi penghuni kota di Lembah Klang. Dan aku masih meminati karya seniman ini, tetapi aku juga terdedah dengan pelbagai lagi muzik baru, jadi  kadangkala karya seniman ini tenggelam timbul di telinga aku.

Seorang teman, memberi aku sebuah album. Pink Floyd. Aku dengar. Kesannya aku jadi benci. Seorang lagi teman meminjamkan aku Cranberries, aku mahu muntah mendengarnya. Seorang lagi teman, menghulurkan album Nirvana. Aku hilang ghairah. Entah kenapa. Lama-kelamaan, aku terkeluar dari trend ramai yang meminati muzik popular pada masa itu. Aku terasing.

Pada masa terasing ini juga aku punya seorang kekasih. Dia telah berikan aku satu set CD berjudul – The Great Composers ( tajuk penuhnya pudar dalam ingatan)–yang merupakan koleksi lagu-lagu klasikal dari zaman baroq, klasik dan romantik. Darinya aku mula kenal Mozart, Chopin, Beethoven, Bach, Vivaldi, Stravinsky dan ramai lagi. Manakala kekasihku pula  yang mengaku seorang atheis, asalnya beragama katholik dan dia peminat muzik death dan black metal. Ironik sungguh.

Muzik klasik sudah mula tertanam dalam minat aku. Tetapi, aku tidak tahu memainkan muzik klasikal. Susah. Muziknya hanya dapat bermain-main dalam fikiran. Kini aku semakin terasing dari teman-teman muzik yang lain. Malah sebahagian besar daripada teman-teman, tidak tahu pun minat aku telah berubah kepada muzik yang tidak popular di telinga mereka.

Dalam kesendirian ini, aku terus menulis lagu. Aku juga mencari-cari muzik tempatan yang setara dengan idealisme muzik-muzik klasik Eropah. Inginkan inspirasi baru. Aku tidak jumpa. Jika dikatakan ada sekalipun, aku tidak mahu menerimanya kerana aku tidak yakin. Aku dibesarkan dalam keluarga yang berbudaya–Zapin dan Ghazal. Jadi, aku sudah tahu dan tidak lagi aku peduli.

Sedang dalam mengangankan bentuk muzik yang bagus, aku teringat kembali pada karya seniman ini. Seingat aku, inilah kali pertama aku membeli kaset album tempatan, lebih bangga bila aku beli dengan duit sendiri (simpan sikit-sikit dari wang pemberian bapa). Aku tersenyum setelah mendengar muziknya. Ya, barangkali inilah dia. Platform untuk melihat identiti muzik tempatan dalam bentuk baru yang ada idealismenya. Aku gembira. Tapi, tiada sesiapa dapat berkongsi ghairahnya hati ini.

Aku ceritakan kegembiraan ini kepada kekasih. Sungguh, dia memang seorang pendengar yang cocok untuk aku. Dia bilang, “ kalau kau betul bersungguh, pergilah jumpa dia (seniman itu) ”. Tiba-tiba aku seperti tersedar dari mimpi. Ada kebenaran kata-kata kekasih aku ini. Tetapi aku, berhadapan dengan mentaliti budak kampung yang ‘takut’ untuk meneroka kemungkinan baru menimbulkan rasa kurang yakin. Namun, aku cuba lawan psikologi itu. Aku harus menemuinya, tetapi aku ingin menunggu masa yang terbaik. Datang bukan untuk memuja-mujanya, berjumpa bukan untuk satu autograf, dan datang bukan untuk menumpang namanya. Jenuh juga aku menunggu saat itu.

Mengapa aku gembira mendengar muzik seniman ini?

Dia ada menyebut, keinginannya untuk mencipta muzik yang transedental. Aku menemui perkataan transedental ketika sedang memahami muzik klasikal. Kerana itu, aku yakin, ada kekayaan idealisme dalam karya seniman ini berbanding karya tempatan lain.

Mengapa aku ingin menemuinya? Kerana thesis aku. Namun lucunya, hingga kini, thesis itu tidak pernah siap!

Dari alamat yang tertulis dengan huruf kecil di penjuru kulit album beliau, aku mengutus sepucuk surat. Mohon bertemu atas tujuan tersebut.

Selang 2 minggu, aku terima surat jawapan. Dalam tempoh 2 hari aku sudah berada di dalam 1 bilik bersama beliau–seniman yang ku kenal namanya sejak 10 tahun lalu. Kini ada di depan aku. Bukan di dalam TV lagi. Awalnya aku agak gugup, maklumlah–lurus bendul. Tetapi, lama-kelamaan, aku mula bosan, tiada apa-apa yang berfaedah aku perolehi di peringkat awal berkenalan dengannya. Terkadang terasa usaha ini sia-sia. Tapi hati aku masih ingin mengenali karya-karyanya. Aku cuba juga bertahan.

Sedikit demi sedikit, aku mula melihat cara dia bekerja–real. Bagaimana dia mengarang lagu, apa disiplinnya dan apa yang mendominasi pemikirannya. Dengan kata lain–aku sudah mulai ‘membacanya’. Sejak itu, aku semakin mendekati muzik dan ideanya. Pernah satu ketika, kerana ingin sangat mengetahui salah satu lirik tulisannya, dalam suram petang, bergaduh pula dengan kekasih kerana niat ini, aku meredah hujan lebat, menunggang motosikal cabuk, tatkala sampai di studionya aku diberitahu dia sudah pulang. Dan, aku pun pulanglah dengan lencun tanpa tertunai hajat di hati.

1 bulan aku tidak datang ke studionya. Tapi langkah ini cukup susah untuk mengelak dari bertemunya selagi aku tidak dapat apa yang aku inginkan.

Satu pagi, aku ponteng kelas. Menunggang lagi ke studionya. Sampai di sana, dia menyapa aku, katanya “ Kau siapa? Aku tak kenal la, tapi macam pernah jumpa, di mana ya?” ( lebih kurang begitulah ayatnya ).

Aku jawab ( lebih kurang begini ) “ Akulah masa silam mu!”

Kami sama ketawa. Terus sambung berbual. Tapi aku yakin, dalam perbualan hari itu, dia memerah memori untuk mengingati siapa aku. Lucu sekali.

Hari ini setelah hampir 20 tahun.

Realitinya, aku sendiri tidak mengenalinya secara peribadi. Ya, boleh saja aku simpul-simpulkan bahasa atau aku ambil dari laman web biodatanya hingga pembaca fikir aku rapat dengannya. Tidak tuan. Aku hanya mengenali sedikit saja dimensi fikir dan karyanya. Tidak lebih. Namun ‘kekurangan’ ini bukan pula batasan untuk aku menikmati ide dan karyanya.

Perjalanan karya beliau punya sejarah tersendiri. Percubaanya sering berhasil. Jangkaannya jarang meleset. Sikapnya pada kerja sangat terpuji. Disiplinnya bagus. Citranya pada muzik bangsa ini sangat besar. Seorang tokoh besar muzik yang seangkatan dengannya pernah, secara lisan menutur kata-kata pada aku, mengangkat beliau sebagai imam dalam muzik. Intepertasinya pada ide muzik sangat tinggi. Dia memuliakan insan dalam karyanya. Dia meletakkan muzik sebagai barang yang mahal dalam harga sebuah karya. Dia dan muzik telah bersatu. Ini hujah apresiasi muzik sejak 20 tahun aku mengenal nama dan karyanya.

Namun sejak kebelakangan ini, gerak karya beliau kelihatan pegun. Bukan lagi garang, terbuka dan kehadapan. Apakah beliau sudah lelah? Ketokohannya kini tidak terungkap dengan keberanian untuk menjadi inspirasi kepada karyawan muda menjawab cabaran zaman kini. Apakah kerana beliau sudah menyelesaikan persoalan zamannya maka dia tidak perlu lagi menjadi ikon penyemai inspirasi baru pada anak muda? Atau, mungkin aku ini yang tidak lagi memahami perjuangan muziknya? Apa aku sudah sesat? Atau dia sudah menemui hakikat hidupnya? Atau, apakah semua ini, selama ini hanya drama tingginya?

Bukankah zaman ini, keberanian seniman dituntut untuk maksud membuka lagi ruang kebebasan berekspresi? Apa ini bukan hak generasi baru?

Ketika ini, karya beliau bukan lagi dalam senarai pilihan aku. Anak muda sudah tidak ingin lagi mengharap inspirasi dari tokoh-tokoh muzik yang ada–tua dan terlalu banyak kepentingan perut hendak dijaga termasuk beliau.

Namun begitu, aku masih tetap menghormatinya sebagai seorang tokoh besar yang telah menjadi sebahagian dari fasa dalam usaha aku memahami muzik dan karya. Untuk itu, aku harus ucap terima kasih padanya.

Dulu,

Ada sepotong ayat yang pernah terbit dari mulutnya.

“ Bunyi itu kau boleh lihat ”

Setelah mendengarnya, aku terus berlalu  tidak datang lagi menemuinya. Kerana, dari kata-kata itu aku mula fahami bahawa harapan itu dapat dizahir dengan kebijaksanaan kita. Muzik adalah satu harapan yang tersembunyi. Dan, aku teruskan hidup ini dengan keyakinan baru. Inspirasi itu masih menyala dari percikan bara seorang seniman. Dialah M.Nasir.

Mazir Ibrahim, seorang komposer dan penggiat MusicForum, sebuah kumpulan yang giat mengangkat isu dan wacana perbincangan musik di Malaysia.