[singlepic id=24 w=255 h=88 float=left]Hasmi bin Hashim

Saya tengok dengan mata saya sendiri hari ini, saya rasa seperti berada dalam dunia baru… dunia yang sesuai dengan pendirian saya, dengan akidah dan agama saya.~ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Antara unsur penting dalam Dasar Pakatan Rakyat adalah “Muafakat Kebudayaan Baru”.

~ Anwar Ibrahim.

Di celah-celah keriuhan dan pidato dalam Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), 19 Disember 2009 (Sabtu) lalu, Anwar sempat melontarkan kepentingan untuk semua pendukung Agenda Perubahan dan rakyat amnya agar menyedari keperluan dan kepentingan kebudayaan.

Adalah penting–selain asyik dengan ucapan bergegar para pemimpin–keperluan untuk meneliti, menyemak dan mengupas keseluruhan 4 perkara di dalam “Dasar Pakatan Rakyat”. Demi menyahut saranan tersebut, maka perlulah kupasan terhadap apa yang ditandakan sebagai “Muafakat Kebudayaan Baru” dilakukan.

Tiga ikrar yang turut termeterai oleh ketiga pemimpin utama Keadilan, Pas dan DAP adalah menyentuh soal kebudayaan, yang terlakar di bawah teras “Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan”. Ia meliputi:

1. Menjamin kebebasan pengucapan penghasilan karya melalui semua medium.

2. Hak untuk mengadakan persembahan atau pertunjukan seni-budaya tanpa sekatan dengan keyakinan awal bahawa setiap pengkarya ada tanggungjawab diri dan sosial mereka.

3. Pautan utuh terhadap akar kemurnian kebudayaan tradisi sendiri wajar ditambahkuat dengan kesediaan menjadi tidak canggung untuk menerima unsur murni kebudayaan luar yang bersifat sejagat daripada bangsa, benua dan faham kepercayaan manapun.

Secara tidak langsung, ketiga ikrar tersebut adalah kebijakan yang pro-kebebasan, yang sesungguhnya menolak campur tangan politik-kekuasaan yang keterlaluan ke atas lapangan kebudayaan sepertimana yang sering berlaku selama ini.

Saban tahun, kita bukan sahaja mendengar campur tangan keterlaluan seperti dalam kes pengharaman konsert, filem, teater, pengharaman bahkan sehingga wujudnya pembakaran buku atau biblioclasm. Persoalan sensor dan tapisan yang keterlaluan adalah persoalan pertama yang menghalang proses kreativiti dan perkembangan fikrah bangsa kita.

Muafakat Kebudayaan Baru (MKB) nampaknya mempunyai secebis semangat yang berlawanan dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK)–dasar yang tidak pernah disemak sejak dirumuskan pada 1971. Memang aneh bahkan malang apabila tak pernah berlaku proses muhasabah yang serius terhadap DKK walaupun selepas 39 tahun di kalangan budayawan, cendiakawan mahupun ahli akademik. Saya tidak fikir, dengan itu, DKK adalah laksana kitab budaya yang maha sempurna.

Semangat yang menjadi perbezaan besar antara DKK-dengan-MKB ialah menyentuh soal teras falsafah kebebasan lawan kongkongan.

DKK, dengan teras atau gaya utamanya yang memainkan sentimen “kebudayaan Melayu”, “Pribumi” (terbias dalam Kongres Akar-akar Pribumi, 1973) dan “Proses Islamisasi” sejak pertengahan 1980-an secara tidak sedar telah membentuk semacam acuan yang mengongkong kreativiti; yang sesungguhnya berlawanan dengan fitrah kejadian.

Betapa Melayu dan Bumiputra sepertimana setiap bangsa dan kaum manapun di dunia ini tetap berkesempatan mewarisi fitrah keinsanan sebagai resam penciptaan manusia oleh Penciptanya. Kedua; acuan DKK juga andai diamati, amat sukar dipertahan dengan hujah agama sekalipun apabila DKK, misalnya telah berlawanan pula dengan kebenaran agama (khususnya Islam sendiri) yang bersifat inklusif. DKK, dengan hegemoni adi-budaya jelas menjadi sebagai dasar yang cenderung eksklusif.

Memang ada segelintir pengkarya tetap tegar mendakwa kononnya wujud ‘kebebasan’ berkarya dengan mereka ‘beriman’ dengan DKK. Tetapi dengan DKK yang mendukung konsep hegemoni budaya, yang menjadi bahagian daripada Dasar Kerajaan selama ini adalah juga secara tak langsung bertentangan dengan Pemashyuran Kemerdekaan dan Perlembagaan Persekutuan.

Di samping bapa-bapa kemerdekaan–bersama dengan setiap kaum dan bangsa-bangsa–telah berikrar untuk menjamin kedudukan Melayu sebagai pribumi, itu tidak bermakna satu bentuk budaya daripada kaum pribumi berhak menindih atau mendominasi paras rupa kaum lain secara paksaan politik-kekuasaan.

Kita sama sekali tidak boleh mendukung pembinaan bentuk budaya nan satu, tunggal dan assabiyah sehingga meleburkan kemajmukan dan keragaman budaya di Malaysia. Kepelbagaian wajar dilihat sebagai kekuatan, dan bukannya ancaman.

Barangkali kerana menyedari persoalan sedemikian, maka hal kebudayaan di dalam Dasar Pakatan Rakyat telah dimulai dengan penyataan:

Kepelbagaian adalah hakikat sosio-budaya nasional, yang tercerna daripada kemajmukan masyarakat, bermunculan daripada kaum-kaum utama, suku-suku kaum dan wilayah-wilayah.

Oleh itu Pakatan Rakyat mengambil tanggungjawab untuk memupuk dan mengembangkan potensi kepelbagaian ini di samping menolak sebarang bentuk hegemoni adi-budaya kepada mana-mana sosok budaya yang lain.

Saya cuba memahami dan mengenengahkan contoh bagaimana budaya Melayu itu sendiri tidak mempunyai ciri yang tunggal. Misalnya tetap wujud perbezaan antara Melayu Johor dengan Kedah, dengan Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan sampai ke Champa sekalipun; dan adalah mustahil untuk paksaan dilakukan; paksaan yang bertujuan untuk melahirkan apa yang disebut sebagai “hegemoni adi-budaya”.

Dengan konspirasi dan paksaan lembut atau soft oppression politik-kekuasaan, maka kesan negatif daripada acuan DKK bukanlah dengan luputnya amalan budaya kaum-kaum, tetapi ketandusan dan kemuraman kreativiti ke atas bidang kebudayaan itu sendiri. Tidakkah disedari betapa semakin hari, terasa semakin banalnya lapangan seni-budaya nasional?

Kita dapat senaraikan bagaimana bentuk yang sering diangkat sebagai “karya nasional” oleh pemerintah hanyalah kepada bentuk yang bersifat keMelayuan dan keIslaman. Tidak kiralah dalam medium apapun, atau apapun judul karya itu.

“Kemelayuan” dan “keIslaman” yang saya maksudkan adalah “Melayu” dan “Islam” yang secara muthlak dikawal dan ditafsir oleh institusi pemerintah, elit yang berkuasa serta agen-agen mereka; dan bukannya di kalangan alim dalam bidang kebudayaan itu sendiri. Dengan yang demikian, Melayu dan Islam juga lazimnya ditafsir hanya dengan matlamat kepentingan politik-kekuasaan dan bersifat kulitan. Melayu dan Islam “yang lain”, yang lebih kaya daripada hanya Melayu dan Islam ala-pemerintah; akan ditekan, terbiar dan tercecer.

Maka tidak hairanlah bagaimana saban tahun, karya yang memenangi pelbagai genre hanya daripada bentuk-bentuk dominan dan yang bersifat menguasai (hegemoni). Seniman, budayawan dan sasterawan yang sering diberi pengiktirafan adalah di kalangan mereka yang dipercayai akan menjadi agen demi menjaga kepentingan nuansa ‘kebudayaan’ pemerintah.

Dalam waktu yang sama, perlu segera saya sebutkan bahawa tragedi seumpama ini bukan pula salah Melayu dan bukan juga salah Islam. Keterlanjuran kalaupun hendak dituding adalah ke atas kecuaian para penyiap dokumen DKK, 39 tahun lalu, sehingga ia umpama pucuk dicita ulam mendatang kepada pemerintah yang memang mencari dalih daripada aspek kebudayaan sebagai justifikasi sifat otoritarian (kuku besi) mahupun totalitarian (kemuthlakan).

Walhasil, kita yang hidup pasca-DKK akan boleh dianggap lebih berdosa andai terus gagal menyemak dan mempersiap suatu kebijakan dan muafakat baru kebudayaaan, lanjutan dasar yang sudah usang dan semakin ketinggalan zaman.

Dalam waktu yang sama, saya tidak fikir bahawa muafakat baru berkenaan akan mencetuskan ketegangan sepertimana di antara puak pendukung Lembaga Kebudayaan Rakyat (Lekra) dengan seniman Manifesto Kebudayaan (Manikebu) di Indonesia, kira-kira 50 tahun lalu. Kalaupun keduanya itu nanti (DKK dan MKB) bakal menimbulkan sedikit sebanyak polimik, ia tetap sahaja positif andai dapat menjadi medan pertembungan pandangan dan buah fikiran. Proses pembodohan sekian lama di bawah sistem dan dasar sediakala, tak bisa dibenarkan terus.

Mangsa sebenar daripada DKK bukanlah di kalangan pengkarya atau seniman Melayu-bumiputra atau seniman kaum-kaum lain di negara ini. Mangsa sebenar, adalah di kalangan orang Melayu dan Bumiputra keseluruhannya itu sendiri apabila sekian lama kita dipandu oleh karya dan paras rupa kebudayaan nasional yang mengatasnamai nilai tradisi bagi menutup ketidak-yakinan-diri; yang selalu tergambar dengan penolakan apa sahaja nilai budaya luar.

Ketertutupan minda merebak luas, terutama sejak dua atau tiga dekad lalu apabila umumnya orang Malaysia, juga khususnya orang Melayu sering menaruh prejudis antara-kaum di dalam negara. Kedua, prejudis ke arah tamadun dan bangsa-bangsa lain di muka dunia ini juga begitu menebal dan kadang-kala tidak berasas dan hanya dipandu oleh sentimen keterlaluan.

Kuasa kerajaan Umno-BN selama ini juga berdiri di atas prejudis yang dipupuk, terutama selepas 13 Mei 1969. Perlu dinyatakan bahawa sepertimana Dasar Ekonomi Baru (DEB), DKK juga dilahirkan selepas peristiwa rusuhan 13 Mei itu. Ia bolehlah dikatakan semacam pelengkap DEB. DEB bertujuan menjadi senjata ekonomi, dan DKK sebagai senjata kawalan ke atas akal-budi bangsa. Umno-BN bermaharajalela di atas kedua sistem kawalan (kongkongan) utama itu.

Di dalam ucapan pembukaan yang sama, Anwar juga dipetik sebagai berkata: “Bangsa Malaysia yang kita gagaskan bukanlah satu bangsa yang eka dimensi-one dimensional nation. Kita tidak mahu Malaysia menjadi sekadar ‘bangsa-ekonomi’, meskipun ekonomi itu amat penting untuk kesejahteraan. Kita mahu bangsa Malaysia itu satu bangsa yang syumul, bangsa yang mempunyai ketinggian akal budi dan segar lagi kreatif dalam pengucapan kebudayaan.”

Sama ada Anwar–atau pemimpin lain terutamanya di dalam Pakatan Rakyat–mengucapkan kesedaran sedemikian atau tidak, tugas mengepal Muafakat Kebudayaan Baru adalah tugas anak zaman ini. Bukan terbeban atau teramanah kepada yang lain. Kecuali kepada kita dan harus disegerakan demi, dengan memakai kata-kata Nik Abdul Aziz akan wujudnya “sebuah dunia baru” yang sesuai dengan “pengajian” (ilmu) dan “akidah” (iman).

Sekurang-kurangnya dengan kesedaran sedemikian, Pakatan Rakyat harap-harap muncul bukan sekadar “parti politik” tetapi sewajarnya sebagai “gerakan politik”. Bagi semua, ya… bagi kita yang hidup hari ini, untuk sama berperanan dalam proses penciptaan tamadun, kita perlu sisi kebudayaan dan pemikiran. Hanya dengan itu maka akan lahir pula sebuah Gerakan Zaman.

Hasmi bin Hashim, seorang penulis yang berpolitik dan juga seorang politikus yang menulis.

Anwar Ibrahim DAP Hasmi bin Hashim Kebudayaan Manikebu Nik Abdul Aziz Nik Mat PAS PKR

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan

  1. Salam,

    Selain isi yang benar, saya secara peribadi, menggemari cara tulisan saudara, yang mengangkat keindahan, keunikan dan kecantikan Bahasa kita. Sentiasa saya mencemburui tulisan seperti ini. Saya dapati, dengan tulisan-tulisan semacam ini, yang kaya dengan perkataan yang tak terpakai, sememangnya memartabat Bahasa Malaysia itu sendiri. Kagum dan teruja. Terfikir bahawa perlunya karya tulisan sebegini diperbanyakkan. Kagum saya dengan penulisan yang kaya.

    Adalah harapan saya, saudara dapat mencadangkan beberapa karya maupun buku yang boleh dirujuk dan dibaca bagi memperbaiki cara tulisan biasa ke arah cara tulisan yang kaya.

    Ikhlas,
    YASIR TAMIZI

  2. Salam saudara Yasir Tamizi.

    Terima kaseh kerana beri perhatian sebegini rupa.

    Samalah seperti payahnya mendapat seseorang yang cantek beserta budi yang baik! Saya sendiri sering berharap-harap ada sebuah karya tunggal yang mampu menampung kekuatan bahasa beserta pengisian kuat. Wajar diberi perhatian beberapa penulis seperti sasterawan Mohammad Haji Salleh sampai ke Goenawan Mohammad (dalam merata karya-karya mereka), selain tak kalah bagus, tulisan teman-teman lainnya di web ini.

    HASMI HASHIM,
    PJ.

  3. Tuan hasmi,

    sebulan sekali balik le kg…mungkin boleh buka republik anak muda cwgn parit sulung….buat acara puisi di laman rumah parit kuda.
    barule gagasan pencerahan boleh diterima masuk dlm pemikiran anak2 muda parit sulong.