[singlepic id=3 w=255 h=88 float=left]Amin Ahmad

Sejak agenda Negara Islam muncul, umat Islam seakan dibius dengan pendapat bahawa itulah satu-satunya cara untuk mengembalikan maruah umat Islam. Apabila Revolusi Iran–meskipun atas nama Syiah–beroleh kejayaan, ia telah memberi suntikan moral baru untuk aktivis muslim di seluruh dunia menggiatkan usaha mereka.

Namun tidak lama selepas itu, pelbagai kritikan muncul terhadap projek Republik Islam di Iran, antaranya apabila idea “wilayatul faqih” mahu diimplementasi serta berlaku beberapa penindasan kepada para pejuang reformasi yang bekerjasama merobohkan kekuasaan Shah Iran sebelum itu.

Meskipun agenda Negara Islam itu muncul lebih awal, Revolusi Iran kekal menjadi satu detik penting yang melanjutkan perbincangan persoalan Islam dan negara.  Bukan saja di Iran, beberapa buah negara yang dihuni majoriti umat Islam seperti Arab Saudi, Afghanistan dan Pakistan juga mendakwa mereka telah menegakkan sebuah negara Islam, malah lengkap dengan hududnya, terlepas apa  juga tafsiran.

Pada saya, zeitgeist yang mempengaruhi Revolusi Iran (maksud saya sosialisme-komunis) tidak harus dipandang enteng sebagai satu elemen yang membentuk pandang-kenegaraan pada waktu itu. Ia boleh dilihat dalam banyak hujah misalnya oleh salah seorang ideolog pendorong Revolusi Iran, Ali Syariati.

Ya, orang ramai di mana-mana, malah hingga kini, kekal melihat negara sebagai sumber pelindung nasib mereka. Dalam kata lain, sentiasa ramai yang mahukan kerajaan diberi lebih kuasa untuk ‘menyelamat’. Konsep kerajaan sebagai sumber pelindung tidaklah salah sepenuhnya, tetapi acapkali dengan kuasa berleluasa, kerajaan tidak menjadi pelindung, sebaliknya menjadi tangan pencengkam.

Pun begitu, pada era yang sama, pertembungan ideologi amat rancak. Sayang, idea kerajaan terhad–sebagai tandingan idea kerajaan besar sosialisme-komunis–tidak begitu benar-benar mengambil tempat dalam wacana umat Islam. Mungkin kerana ia dipopularkan Ronald Reagan, maka ia dilihat sebagai satu agenda imperialisme Amerika Syarikat yang tidak perlu dibincang, bahkan wajib ditolak mentah!

Dengan kerajaan mempunyai lebihan kuasa, pandangan bahawa negara Islam sebagai bentuk negara teokrasi agama terus subur. Ia ditandai dengan banyak isu yang muncul bersamanya dan selalu diakhiri dengan kenyataan keras malah sampai kafir-mengkafir.

Kerajaan terhad tentu saja memiliki definisi kerja yang berbeza. Bagaimanapun, secara asasnya, ia bersabit persoalan membataskan kuasa kerajaan untuk tidak campur tangan dalam hal-hal yang tidak diperlukan.

Dalam konteks Islam, malah secara prinsipnya telah menjadi faham kenegaraan yang umum, shariah menghadkan kuasa kerajaan melalui beberapa bentuk misalnya:

1. Konsep kepimpinan sebagai amanah (taklif), bukan kemuliaan (tasyrif)

Kerajaan bukanlah sekelompok manusia yang terpilih dan dipilih di mana orang ramai menyerahkan segalanya kepada mereka dan wajib taat biar apa pun keputusan mereka. Fungsi kerajaan adalah untuk menguruskan keadilan rakyat berteraskan prinsip shariah. Kedaulatan undang-undang teguh dalam negara dan kepentingan awam (maslahah umum) dijaga.

Hakikat bahawa mereka–manusia yang membentuk kerajaan–juga adalah manusia biasa yang diwakilkan, tidak beerti bahawa mereka tahu semuanya dan segala urusan wajib diserahkan kepada mereka sepenuhnya, tanpa disoal apatah lagi menentang.

Apa yang menarik dalam konteks Islam, jika boleh saya pinjam istilah Mustaffa Kamil Ayub dalam tesis sarjana-nya iaitu pembatas bawah dan pembatas atas atau dalam kata lain amanah itu bukan saja dipertanggungjawabkan kepada manusia, malah Allah s.w.t.

Dalam konteks moden misalnya, kita boleh melihat bagaimana teori pemisahan kuasa itu wujud malah mesti dipastikan berfungsi dengan semangatnya, bukan sekadar bentuk yang hampa makna akibat pakatan eksekutif-legislatif-kehakiman misalnya.

Raison d’etre bagi sebuah kerajaan, waima dengan hujah agama sekalipun–adalah untuk merakyatkan keadilan kepada semua–tanpa mengira agama, kaum, jantina dan apa juga ciri yang membezakan manusia.

2. Penghormatan terhadap hak rakyat dan memelihara maruah mereka.

Tidak ada mana-mana agensi kerajaan berhak merosakkan hak asasi rakyat. Kewujudan kerajaan adalah berteraskan perjanjian persamaan di mata hukum termasuk oleh pemimpin). Malah, Islam menguatkannya dengan kepentingan shura (rundingan). Semangat shura harus dihayati berbanding menjustifikasi segala tindakan kerajaan hanya selepas “melalui” satu lagi proses formal shura.

Rakyat mempunyai hak untuk menegur kerajaan, malah tidak taat ketika kerajaan membelakangkan kedaulatan undang-undang. Islam meletakkan “jihad paling utama adalah berkata benar kepada pemimpin yang zalim”.

Hak bagi semua warganegara tanpa mengira agama, kaum, jantina dan apa juga ciri yang membezakan manusia adalah sama berasakan tanggungjawab menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Jenis pandangan ini juga pernah dibincangkan oleh Karl Popper dalam soal hak sama rata lelaki dan wanita.

Juga dalam urusan legislatif, bukan semua perkara agama perlu digubal sebagai undang-undang negara kecuali perkara jenayah. Malah, dalam konteks hukum, kerajaan tidak memainkan peranan banyak tetapi umat Islam untuk sekian waktu berpedoman kepada pandangan-pandangan mazhab di mana tokoh-tokoh pendiri mazhab ini menjarakkan diri daripada kerajaan.

3. Cukai, Harta dan Perniagaan

Kerajaan yang ditubuh ditanggung bersama oleh rakyat melalui cukai di mana ia adalah satu bentuk perjanjian agar kerajaan melindungi rakyat, juga turut bertanggungjawab kepada rakyat. Cukai digunakan untuk membantu pengurusan kerajaan serta fakir-miskin yang ada. Cukai bagaimanapun tidak membebankan, malah mempunyai syarat-syarat yang jelas dalam perlaksanaannya.

Islam juga menggariskan jenis pemilikan harta individu, awam dan kerajaan. Islam juga menggariskan proses pindah milik harta ini dalam pelbagai bentuk yang dikenal Islam sebagai halal. Saya berpendapat bahawa halal dalam erti kata ini bermaksud proses adil berasaskan persetujuan penjual dan pembeli, bukan proses menindas di mana paksaan membeli dikenakan tanpa persetujuan. Hatta, kerajaan sendiri tidak berhak untuk mengambil alih harta individu atas nama kepentingan awam melainkan melalui proses yang dipersetujui.

Kerajaan juga tidak wajar hadir sebagai pesaing dalam perniagaan malah agak mengejutkan bila dalam sebuah hadis saat orang ramai membuat pengaduan kepada Rasulullah s.a.w. tentang harga barang yang melambung, Baginda s.a.w. sekadar menjawab “aku tidak menetapkan harga” sebelum menyerahkannya kepada ketentuan Allah s.w.t. Dalam pandangan ekonomi yang mendokong terhadnya kerajaan, ia cocok dan disebut sebagai Teori Tangan Ghaib (The Invisible Hand) dan Keteraturan Spontan (Spontaneous Order). Pun begitu, perdebatan masih kekal berlangsung di mana sifat pasaran yang tidak sempurna itu dijustifikasikan sebagai satu ancaman kepada usaha mencapai objektif shariah (maqasid syariah).

Saya percaya banyak lagi boleh dibincangkan tentang Islam dan kerajaan terhad, termasuk persoalan hudud yang sentiasa hangat dibicarakan setiap kali isu negara Islam muncul di permukaan.

Meski ramai menganggap kerajaan tanpa batasan kuasa sebagai satu manifestasi perlindungan maksimum, saya kekal menganggap bahawa kerajaan terhad adalah pilihan terbaik rakyat. Seperti kata William Abbey “seorang patriotik harus bersedia mempertahankan negaranya daripada pencabulan kerajaan”.

Ya, anda boleh menjadi seorang patriot tanpa perlu bersetuju dengan kerajaan!

Amin Ahmad, mendapat pendidikan di Universiti Putra Malaysia. Beliau adalah mantan Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPM dan pernah memegang beberapa jawatan lain di peringkat Kolej, Fakulti Pengajian dan Universiti. Pernah mewakili delegasi Malaysia dalam Program Pembangunan Kepimpinan Belia ASEAN. Alumni Kepimpinan Muda Nahdah Asia, sebuah projek kerjasama Institut Kajian Dasar dan Yayasan Aman Sasakawa (SPF) dan alumni Cato University.

Amin Ahmad Cukai Islam Kerajaan Liberalisme

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan