[singlepic id=24 w=255 h=88 float=left]Hasmi bin Hashim

Saya tak dapat pasti, apakah benar Nabi Isa AS itu lahir pada tanggal 25 Disember ~ hampir tak siapa pun pasti dalam debat klasik yang tak kunjung usai.

Yang pasti saban tahun ramai yang meraikan hari Natal, dan “Natal” itu sendiri maknanya “kelahiran”. Konsep memuliakan kelahiran nabi, khususnya Nabi Muhammad SAW, turut diraikan kalangan Muslim, yang disebut sebagai “maulidul-rasul“.

Ada kalangan penganut Kristian, di kalangan teman saya adalah daripada mazhab–misalnya mazhab “Protestant Reformation”–yang menolak untuk menyambut perayaan tersebut, yang dianggap sebagai “penambahan” (atau di dalam Islam disebut “bidaah“) daripada ajaran yang baku atau tulen. Di sekitar kurun ke-16 dan 17, perayaan Krismas pernah diharamkan oleh “Parlimen Keagamaan” di Britain dengan dakwaan “perayaan ajaran [Katolik] itu tidak ada pengesahan secara kekitaban”: a popish festival with no biblical justification.

Saya tidak tahu lebih dari itu; sama sepertimana saya tidak pernah berharap Santa Claus dengan jambang putihnya membawakan hadiah. Tetapi kalau ada, misalnya bertemu di pusat beli belah di Bukit Bintang, mengapa tidak kita ambil!?

Santa, seorang paderi dari kurun ke-4 di Bishop Greek Demre (kini di dalam wilayah Turki) bukan sahaja telah menjadi bahagian daripada lagenda budaya orang Eropah dan Barat, tetapi menjadi salah satu simbol budaya popular moden. Menurut riwayatnya, Santa membahagikan hadiah kepada golongan bawahan dan miskin, agar, antara lain mereka tidak perlulah melacur diri.

Tentunya asas idea tersebut sewajarnya juga menjadi matlamat sistem percukaian, atau amalan zakat. Hanya, pengurusan zakat dan cukai tidaklah teramanah kepada satu orang, melainkan kepada pemerintah yang kemudiannya perlu membahagikannya semula kepada rakyat. Agar, ya… agar rakyat tidak ada yang keterlaluan miskin sehingga melakukan kezaliman terhadap diri sendiri. Agar juga tidaklah kekayaan itu hanya berlegar di kalangan elit sahaja.

Suatu hari, beberapa tahun lalu, saya ke sebuah gereja di Petaling Jaya bersama seorang teman. Dia Cina. Asalnya Ipoh.

Seraya jemaah di gereja tahu kehadiran saya, mereka menyambut dengan mesra, terutama Father yang memimpin acara sembahyang dan doa. Nama saya disebut ketika ucapan penutup ~ meski ada juga yang ketakutan kerana bimbang permit gereja itu dibatalkan sekiranya pihak penguasa tahu ada Muslim yang masuk ke dalam gejera.

Apakah yang bisa dikatakan, dengan undang-undang yang sedemikian rupa?

Tatkala itu, saya sendiri tidak tahu wujudnya peraturan sedemikian. Dan, tentulah bukan niat saya  untuk mewujudkan perasaan takut dan tidak selesa di kalangan jemaah di gereja. Saya hadir atas pelawaan seorang teman. Juga kerana saya menghormatinya, selain agamanya.

Hari yang sama juga kami menyaksikan seorang anak kecil daripada keluarga asal Filipina, di-Kristian-kan (baptis).

Dalam perjalanan pulang, teman bertanya, “kamu tak ada masalah dengan gereja?”

“Tak!” jawab saya.

Memandang mukanya, sekejap, kemudian memandang semula ke kaki langit yang ternampak di luar cermin kereta Kancil, di celah-celah jalan dan bangunan. Soalan berkenaan sebelumnya pernah dia tanyakan sebelum ini.

“Tak ada masalah dengan Kristian?”

“Tak,” lagi jawab saya, dalam… hampir tak terdengar.

“Percaya dengan al-Maseh?” begitu pula.

Sebenarnya dia telah membuatkan saya ketawa besar, kerana semua soalannya sudah terduga. Dia, hanya senyum.

Saya katakan, jauh sebelum saya hadir ke gereja bersamanya pagi itu, juga jauh sebelum [allahyarham] Yasmin Ahmad bikin filem Sepet atau Dina Zaman menuliskan buku “I’m Muslim”, saya pernah punya seorang kekaseh, berketurunan Cina. Dia pengamal ajaran Buddha. Kadang, saya yang mengantarnya ke tokong untuk bersembahyang sambil selalu mengingatkannya agar dia tak lupa untuk berdoa buat mendiang ibunya.

Emak tak pernah menghalang andai saya hendak mengantarnya ke tokong. Suatu ketika itu, masih di hari raya Idul Fitri yang ke-3. Dia berbaju kurung; baju yang dijahit oleh emak. Saya, berbaju Benggali, labuh sampai hampir ke lutut. Dan kami ke Tokong.

Di tokong, macam rusa masuk kampung. Mungkin, tak seorang pun faham apabila banyak mata memandang kami dengan pelik–seorang gadis Cina berbaju kurung Kedah dan seorang lelaki Melayu berbaju Benggali. Saya menunggu di tangga dewan sembahyang yang penuh asap dupa sementara dia di dalam. Di sisi kiri tangga, ada peniaga menjual buku-buku ajaran Buddha ~ persis peniaga kitab-kitab agama pada hari Jumaat, di pinggir mesjid.

Ada yang berbahasa dan tulisan Cina. Ada yang bertulisan Inggeris, tapi tak banyak. Saya belek beberapa buah, dan bertanya, “berapa ringgit yang ini?”

Peniaga itu melihat ke arah muka saya. Dia senyum, tapi, dia tak menjawab apa-apa.

Memang, cinta kami tak sampai ~ dan, itu soal lain.

Hanya, apa yang saya lakukan tak lain kerana saya cuba mengamalkan apa yang diajarkan oleh agama saya sendiri. Dan sudah tentu agama saya meminta saya mempercayai setiap Nabi dan Rasul yang diturunkan Tuhan. Ia menjadi antara rukun iman; atau dalam bahasa lain, antara perkara pokok sebagai seorang Muslim.

Waktu saya menceritakan semua itu, dia diam. Dia memandu. Saya di sebelahnya.

“Kamu…” cakapnya belum habis, saya potong.

“Kebenaran agama kamu saya tidak tahu, sepertimana kamu tidak tahu kebenaran agama saya,” kata saya.

Maksudnya, saya mempercayai kebenaran agama saya, tetapi saya tak bisa memaksakan untuk sesiapapun mempercayainya sepertimana saya mempercayainya. Begitu juga dia, tak akan dapat memaksa saya…

Hanya, saya sebutkan juga kepadanya, di dalam agama saya, di dalam Quran al-Karim ada dinyatakan mengenai agamanya, iaitu Kristian (agama Nasrani). Juga disebut mengenai agama orang-orang Yahudi, dan orang-orang (kaum) sebelum saya.

Islam yang saya faham adalah Islam yang mengajarkan agar saya menerima kewujudan kedua agama langit itu. Soal kebenarannya, kesahihannya, hanya Tuhan yang Maha Mengetahuinya.

“Apakah agama kamu menerima, atau menyebutkan mengenai agama saya, di dalam kitab agama kamu?” tanya saya.

Dia diam seketika.

Kemudian, bersuara, “emmm… kamu,” kali ini saya tidak mencelah atau memotong kata-katanya, “adakah kamu masih sayangkan kekaseh kamu itu?”

Petang itu habis dengan matahari menyapu awan; menyapu dengan warna kapas.

Perayaan agama memang sering terkait demi sambutan erti sebuah kemenangan, yang menggembirakan, baik Idul Fitri, Deepavali mahupun Gong Xi Fa Chai. Ia adalah hari di mana pada setiap 25 Disember disebutkan sebagai “Dies Natalis Solis Invicti“; kelahiran Solis; matahari; atau Sang Pembawa Berita, tetapi yang bukan bertujuan untuk menawan; “unconquered Sun”.

Apatah lagi mengongkong.

Hasmi bin Hashim, seorang penulis yang berpolitik dan juga seorang politikus yang menulis.

Cinta Hari Natal Hasmi bin Hashim Islam Kolum Krismas Kristian Santa Klaus

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan

  1. Islam yang saya faham adalah Islam yang mengajarkan agar saya menerima kewujudan kedua agama langit itu. Soal kebenarannya, kesahihannya, hanya Tuhan yang Maha Mengetahuinya.

    salam kpd saudara..
    bagaimana saudara masih ragu dgn kebenaran agama yg saudara anuti?saudara lupakah kewajipan berdakwah kepada setiap individu muslim?jika kita yakin kebenaran agama yg kita bawa.sudah tentulah kita akan cuba ‘promosikan’ kpd org lain.saya tidak menolak kewujudan pelbagai kepercayaan di dunia ini.tetapi dlm kepelbagaian itu, sudah tentu ada satu kepercayaan yg tulen.bukankah kita umat manusia bermula dgn satu kepercayaan dan kemudian berpecah-pecah mengikut selera pencari tuhan tersebut.kita bkn mahu memaksa mereka menganut agama kita.cukup sekadar bertukar pendapat,berdialog dan sebagainya.selebihnya terpulang pada yang kuasa untuk memberi hidayah.sesungguhnya fitrah seorang manusia itu sentiasa rindukan tuhannya.kepada mereka di luar sana.teruskan mencari tuhan yg hakiki.buka minda,buka hati,kenali diri

  2. Insan,

    Saya sangat fahami maksud saudara yang cuba dipadankan dengan keseluruhan konteks tulisan. Bersetuju agar tidak gopoh bicara perihal iman, dan akui betapa keyakinan diri pertama Muslim antara lain adalah tidak menyembunyikan identiti dan nama sebenar. Sekian. – HASMI HASHIM.

  3. …bukankah kita umat manusia bermula dgn satu kepercayaan dan kemudian berpecah-pecah mengikut selera pencari tuhan tersebut. –insan

    Dalam Sejarah, kumpulan manusia yang kononnya diketahui paling awal berkepercayaan adalah orang Egypt (purba) dan terkenal dengan Fir’aunnya. Orang Egypt boleh dikatakan satu rumpun manusia berasal dari bangsa “Semites” yang juga termasuk orang Arab, Yahudi dan lain-lain.

    Ada teori segelintir pakar Sejarah yang mengatakan asas “monotheisma” atau kepercayaan kepada satu “Yang Maha Agung” bermula daripada seorang daripada raja-raja orang Egypt ini. Dia atau mereka mahu diingati sebagai yang “teragung” dan memaksa semua menyembah dia atau mereka turun-temurun hingga kekal abadi.

    Diperhujungan pemerintahan raja-raja ini, dan apabila mereka meninggal mereka percaya akan pergi ke syurga melalui “pyramid” yang menajam ke langit dan angkasa atau syurga.

    Tamaddun demi tamaddun beralih dan manusia lambat laun percaya “kebenaran” belum lengkap lagi kita fahami melainkan asas yang semua mempunyai “permulaan” dan dari segi “fahaman manusia” tiap-tiap benda dan kehidupan ada “pembuatnya.

    Banyak pemikir-pemikir ulung Islam tidak terasing daripada persoalan ini dan bukanlah “ingkar” jika manusia mencari kebenaran. Lagipun daya dan kuasa berfikir, kalau kita beriman, adalah kurnia “Yang Maha Agung” untuk digunakan.

    Tidak hairanlah kalau di zaman post-modern ini, ada manusia, semacam Fir’aun, mahu menganggap diri mereka “Yang Maha Esa” dan masih membuat bangunan menajam dan menuju ke syurga daripada menggunakan sumbar-sumbar yang sama dan menebus kehormatan manusia dari segala kerumitan hidup – kesengsaraan, kemiskinan dan keda’ifan.

    Dan untuk ini bukankah elok jika kita membuka fikiran dan bersama menghormati manusia lain dan bersama berusaha menebus kerhormatan manusia daripada “penghambaan” pemikiran yang tidak luas?

    Semua tahu Nabi Muhammad (S.A.W) hampir dibunuh oleh kaumnya sendiri semata-mata cuba berusaha meluaskan tamaddun manusia dan nilai-nilai yang universal. Oleh itu bersamalah kita menghayati nilai-nilai ini.

  4. salam,

    your open mindedness and comfort is proof of your belief – what you called that – akidah?

    saya sekolah kebangsaan dari darjah satu hingga enam. saya duduk di dalam kelas agama Islam kerana saya seorang sahaja yang berketurunan cina di dalam kelas, kawan lain-lain semuanya melayu. and i don’t feel tersisih at all. i just felt, that’s just life. and no one sought to convert me! not even the ustaz, mind you, kat sekolah rendah, your mind is easily impressionable, kan?? so, my highest respect to the ustaz who knows what he is doing and do not force his dakwah, just let you decide for yourself, which is much more than can be said for “insan”.

    and i like your confidence in that, just like you are very sure in your own belief, you would not laugh nor be biased for the other’s belief, that my friend (i consider celik people as friend) is really something you ought to be proud of. jangan hidup di-dictated by others. just live as you believed. as long as we don’t hurt another being, life itself will be better, as to whose God is the true God, let the afterlife sort it out…

  5. Salam, Thomas.

    Bersyukur apabila kita sama-sama sudah tiba di titik kesedaran yang sama, iaitu tidak mahu menyalahkan kalangan orang awam samada orang Melayu, Cina, India dan lain-lainnya menyentuh persoalan toleransi antara penganut agama. Kesedaran sedemikian mungkin sedikit berbeza berbanding sesetengah kelompok yang cuba menonjol diri sebagai “liberal” tetapi memperlekeh dan menuding kesalahan kepada orang awam dan masyarakat bawah.

    Saya menonton filem seperti “Sepet” dan “Mohsin” yang jelas menunjukkan peluang berada pada status sosial lebih tinggi serta mendapat pendidikan atau pendedahan lebih luas bukanlah alasan untuk bangga diri, sombong apatah lagi memandang rendah rakyat biasa samada Melayu, Cina, India…

    Tak ada ertinya kisah “cinta” dan “kemanusiaan” andai untuk menghina orang bawahan.

    Tentu kelas menengah yang berpendidikan (educated) dilihat lebih ‘lemah’ dan bias–sepertimana yang saudara sebut dan insafi–andai kelas tersebut gagal melihat betapa antara punca utama masalah ini adalah kedurjanaan politik golongan elit yang berkuasa.

    Pada hemat saya, merekalah yang mengawal “sistem pemikiran” dan terus-terusan membubuhkan api prejudis, kebencian, dan perkauman (termasuk di atas nama agama) kepada umumnya masyarakat dan bangsa kita.

    Hasmi Hashim
    PJ.

  6. Kelip-kelip si kunang-kunang
    Hilang sedar hari dah pagi
    Yang tinggal jgn dikenang
    Kelak hadir dalam mimpi

    hehehe hasmi dan parit kuda nya …

  7. oh sayang, gereja itu di Subang Jaya, bukan PJ
    Pemimpin ibadat itu bukan “Father”, dia tak bergelaran dalam mazhab itu 🙂

    Dan saya tak ingat ada tanyakan soalan terakhir pada masa itu…adakah kau telah kaburkan dgn pertanyaan pada masa lain?

    Dan sekarang, saya bukan lagi dari mazhab itu

    Dan lagenda Santa itu byk…dari Saint Nicholas sampai ke entah siapa lagi…tapi Santa Claus bukan Eropah punya…ia lagenda org US…di Belanda mereka sambut hari natal dua kali…dan kali pertama sblm tarikh rasmi itu…dan sambutan pertama itulah yg lebih penting utk mereka walaupun aku tak ingat sbbnya.

  8. Terlupa yang satu lagi…itu mazhab setelah pergerakan Restoration di Pantai Timur US, bermula di Kentucky (http://en.wikipedia.org/wiki/Restoration_Movement)…tak ada kaitan dengan Reformation di England yang hanya membuangkan kawalan Pope ke atas Raja England dan gantikan kekuasaan yang dipegang Pope sebagai pemimpin agama dengan memartabatkan lagi kuasa raja England (tidak lain bila kerajaan Malaysia sekarang tidak lagi mempraktikkan perpisahan (atau memahami konsep) antara pentadbian dan awam, sipil dan agama)…Reformation yang satu lagi di Jerman dan Belanda lain pula dan tidak sama dengan yg berlaku di England (Lutheran adalah lebih kepada dasar mahu pulang semula kepada kitab).

  9. sahabatku hasmi

    niat tak pernah menghalalkan cara
    adakalanya kita harus beritahu diri ini bahawa ilmu kita tidak setinggi mana .. Masih perlu guru untuk berguru bukan sahaja buku untuk merungkap segala yang terbuku ..

    hati hati hasmi dalam menyusun langkah .. Jerat tak pernah lupa pelanduk tapi pelanduk selalu terperangkap dengan pesona si jerat .

    hanya kerana hormat dan kaseh kepada seorang sahabat …