[singlepic id=24 w=255 h=88 float=left]Hasmi bin Hashim

Sungguhlah enak si mangga udang,
Pohonnya tinggi… pohonnya tinggi buahnya jarang;
Sungguhlah enak si orang bujang-lah sayang,
Ke mana pergi… ke mana pergi tiada yang larang
.

Sahih! Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah membakar buku Anwar Ibrahim, “Gelombang Kebangkitan Asia”, kira-kira sedekad lalu. Iaitu pada Mac, 1999.

Tapi, apa kaitannya dengan “sungguhlah enak si orang bujang”?

Mungkin ada. Iaitu dari sudut apa yang disebut sebagai “besar jiwa”. Dan besar jiwa ~ atau dalam istilah yang lebih religius disebut “berlapang dada” ~ hanya terperolehi di kalangan yang merdeka jiwanya. Tidak ‘terikat’ dengan sebarang tekanan, apatah jua ketakutan.

Di DBP, hari demi hari memang tak akan pernah “enak” berbuat apa sahaja yang sewajarnya dan betul. Ada hambatan. Ada big brother.

Badan bahasa itu, dalam maksud yang lebih genting tentu sahaja bukan harapan untuk isu seperti isu bahasa menjadi kepercayaan dan perjuangan. Buktinya, ahhh… apakah yang telah dilakukan DBP tatkala bahasa Melayu dicemar sekian lama di bawah sistem pengajaran matematik dan sains di dalam bahasa Inggeris? Nol. Kosong. Nehi. Tak ada.

Tugas DBP yang jelas nyata pertama-tamanya adalah berkhidmat kepada pemerintah; dan bukan kepada yang lain selain itu, termasuklah apa yang diharap-harap jadi jejari perjuangan bahasa. Barangkali, hal inilah yang masih tak jelas di kalangan segelintir penulis yang merengek apabila tidak dilayan DBP… sampai bergesel-geselan.

Menurut menteri yang menjawab soalan parlimen yang dikemuka oleh YB Amran Abd Ghani (Tanah Merah), 6 Disember lalu, jumlah buku Anwar yang dibakar ialah sebanyak 3 ribu naskhah iaitu yang pada ketika itu baki yang masih berada di dalam simpanan DBP. Cerita ini sebelumnya hanya saya dengari daripada bisik sahabat-sahabat yang bertugas di sana.

Menurut rekod, pada Januari 1998 (kira-kira 8 bulan sebelum Anwar disingkirkan), DBP mencetak sebanyak 9 ribu naskhah berkulit keras, yang dijual pada harga RM49.90. Pada penghujung 1997 pula, telah dicetak 5 ribu naskhah; iaitu 3 ribu kulit keras dan, 2 ribu kulit lembut. Maknanya, keseluruhan yang telah dicetak ialah 14 ribu naskhah.

Tidak munasabah sama sekali apabila DBP memerlukan lebih setahun [dan hanya selepas Anwar disingkirkan] bagi menyedari bahawa ada “kesilapan” di dalam terjemahan Bahasa Melayu sepertimana yang menjadi alasan Menteri. Itupun selepas buku itu bolehlah dikatakan berada di toko-toko buku sebanyak 11 ribu naskhah ~ manakala sejak itu, DBP tak pernah menerbitkan kembali buku berkenaan.

Kendati sehingga kini, DBP memegang hak penerbitan Bahasa Melayu, yang diambil daripada penerbit asal, Times Edition Pte. Ltd., Singapura yang pertama kali menerbitkannya dalam bahasa Inggeris dengan judul “The Asian Renaissance“. Tak akan ada pihak lain yang berhak menerbitkan buku berkenaan… ia, persis terus terpenjara di DBP.

Haruskah ditanya-tanya lagi, mengapa DBP tidak membuat pembetulan di atas ‘kesalahan’ yang didakwa wujud dalam buku terbitan asal dengan niat menerbitkannya semula? Saya pun tahu, rasanya tak perlu; tak perlu bagi sebuah rejim, yang menjadikan buku sebagai musuh. Sebuah rejim yang kecil jiwanya.

Pengharaman buku, terutama buku-buku dari luar biasa kita dengar, dan setiap tahun ada sahaja jumlah judul yang diharamkan atas sebab itu dan ini. Namun, membakar buku adalah kes yang unik dan jarang-jarang sekali berlaku.

Meski ia terjadi yang terakhir kalinya kita dengar ialah, misalnya di zaman penjajahan, di zaman Orla dan Orba di Indonesia. Tatkala orang komunis naik, akan dibakar buku yang bukan untuk tujuan atau berlainan arah daripada maksud Revolusi; sepertimana buku mereka juga pernah dibungkam dan dibumi-hangusi sebelumnya kerana membangkitkan kesadaran perlawanan terhadap penjajah.

Penentang penjajahan, mirip atau menjadi penjajah yang baharu… maka, yang terdengar selepas itu adalah pengharaman pula Manikebu (“Manifesto Kebudayaan”) oleh kaum pendukung Lembaga Kebudayaan Rakyat, atau “Lekra”. Soal siapa betul; siapa salah, bukan soalnya. Soal yang ketara salah ialah membungkam suara dan pandangan lain, yang gagal didepani secara politik matang, jauh lagi secara hujah.

Begitu kita ingat peristiwa majalah Tempo pada 1997 menerbitkan dan membuat pendedahan skandal pembelian kapal selam; dengan serta merta majalah itu dibredel. Mujur sebahagian penulisnya tak mati akal. Dan, suara… memang tak pernah bisa dibungkam.

Diterbitkan pula untuk edaran “bawah tanah” makalah dengan tajuk Independen, yang sebahagian daripada penerbitannya sempat saya tatap dan baca. Selepas Reformasi 1998 itu, Tempo kembali mendapat hak untuk terbit; hak yang sesungguhnya tak bisa diganggu-gugat oleh Negara. Bebas, mandiri dan indipenden adalah setitis sifat ‘anarkis’ yang perlu terus wujud dalam diri penulis.

Dalam konteks ini, saya kira, pergantungan sesetengah sasterawan terhadap DBP juga agak keterlaluan, sehingga agensi pemerintah itu dilihat seolah-olah satu-satunya pihak yang boleh menerbitkan karya mereka. Sungguhpun di belakang dinding DBP yang usang terlakar sejarah perjuangan bangsa dan bahasa kalangan tokoh yang tak kurang hebat, tetapi walaubagaimana bebas sekalipun ia, DBP tetap sebuah aparat pemerintah; yang, saban tahun tetap memerlukan peruntukan biaya daripada kerajaan bagi membolehkan ia bernyawa.

Kita mengerti, bagaimana DBP juga dijadikan lorong “politik-sasterawan” untuk mendapat gelar Sasterawan Negara sebagai status tertinggi penulis di negara ini. Namun, apalah ertinya bergelar segala daripada rejim yang tak pernah hormat buku, apatah lagi keilmuan?

Atas landasan ini, tak akan mungkin, misalnya, buku yang menggugah kekuasaan dibenarkan terbit dengan ongkos pemerintah ~ walaupun wang itu sebenarnya adalah wang pembayar cukai. Bukan wang peribadi bapak menteri. Walaupun buku itu dengan kebenaran yang terang-terang nyata.

Saya sering mengkhayalkan, bagaimanakah nantinya kalau peralihan kuasa berlaku, dengan Pakatan Rakyat, misalnya berjaya sampai ke Putrajaya? Harap-harap satu-persatu laci dan fail-fail lama dapat dilihat isinya. Umpama sedikit sebanyak apa yang sedang berlaku di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang ~ persis apabila runtuhnya rejim Komunis Jerman Timur, 2 dekad lalu.

Suasana kemenangan itu barangkali tak ubah seperti malam 8 Mac tahun lalu, apabila orang ramai mula mengepung Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor manakala mulai diketahui Umno-BN tumbang. Keadaan seumpama itu jugalah yang pernah terjadi apabila rejim Komunis Jerman Timur tumbang apabila orang ramai bukan sahaja segera mengepung pejabat Polis Rahsia Stasi, tetapi mendesak agar kerajaan baru mendedahkan setiap kandungan fail-fail berkenaan.

Kita berharap ianya terjadi juga di negara kita. Atau, apakah khayalan ini semata-mata khayalan cuma? Apapun, sudah sampai waktunya kita perlu pemerintah yang besar jiwanya.

Sungguhlah enak si orang bujang la sayang,
Ke mana saja… ke mana saja tiada yang larang
.

Tak lain, anak-anak zaman harus berjuang menuju ke suatu waktu di mana tak ada lagi ketakutan di tanahair kita sendiri.


Hasmi bin Hashim, seorang penulis yang berpolitik dan juga seorang politikus yang menulis.

Anwar Ibrahim DBP Glombang Kebangkitan Asia Hasmi bin Hashim The Asian Renaissance

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan

  1. Nahdah Asia. Bagi saya, ini Kitab-Wajib-Baca bagi semua anggota, khususnya Orang Muda. Kepentingan buku ini boleh diibaratkan seperti kepentingan karangan-karangan Syed Muhammad Naquib al-Attas kepada pembentukan semangat ABIM. Dengan mula membaca Nahdah Asia, pemikiran anggota akan bergerak lebih jauh memperkukuh pemahaman maksud perjuangan Ketua Umumnya.

  2. Saudara Yazir — harap anggota AMK dapat menghadamnya segera.

    Sahabat lama, Masli N.O — terima kaseh kerana memburu saya. Maklumlah, saya langsung tak punya ruang lagi di media perdana, dan mencari ruang sendiri, meski kecil. Harap dapat menghubungi dan ketemu saudara kelak, inshaallah.