kanehara_majorSnakes & Earrings

Hitomi Kanehara

Vintage Originals (2005)


Hafiz Hamzah

Hitomi Kanehara berhenti daripada mengikuti sistem pendidikan rasmi Jepun pada usia 11 tahun. Tak tahu persis apa yang membuatkannya mengambil keputusan sebegitu. Yang pastinya, itu adalah langkah paling berani yang pernah diambil oleh gadis muda ini… dan ia tidak berakhir di situ.

Dia kemudiannya lari dari rumah. Mungkin hidup bergelandangan di lorong-lorong tengah Tokyo – atau mungkin juga menumpang di mana-mana. Dan dari sini, lahir latar yang mengejutkan, seperti yang dipaparkan melalui novel tunggalnya ini, ‘Hebi ni piasu’ yang kemudian diterjemah oleh David James Karashima ke bahasa Inggeris dengan judul Snakes & Earrings.

Kanehara, dalam diam-diam ketika dalam pelarian dari rumahnya itu tidak lepas dari mencatatkan perkara-perkara yang diingini. Dia juga diam-diam mengirim melalui emel kerja-kerja tulisan itu kepada bapanya, seorang profesor dan penterjemah buku kanak-kanak. Daripada perhubungan ini, bapanya mengumpul dan mengedit tulisan-tulisan Kanehara yang dihantar. Hasilnya, pada 2004, lahirlah novel pertama ini di dalam bahasa Jepun.

Terbitnya novel ini bukan sebagai sebuah lagi novel Jepun yang sekadar menyemakkan rak di toko-toko buku. Ia hadir bersama renjatan, kejutan dan kontroversi yang menggoncang khalayak sastra Jepun, yang sebilangan besar masih lagi dari kelompok konservatif dalam maksud hasil kerja sastra dan penulisan. Ia secara sedar terus diangkat sebagai satu suara generasi baru, yang walau bagaimana sukar pun untuk dipersetujui semua, merupakan sebuah novel yang wajar disertakan ke dalam khazanah sastra Jepun dan Asia. Kemuncak kucar-kacir ini ialah, novel terbabit diangkat sebagai pemenang hadiah sastra tertinggi Jepun, Hadiah Akutagawa pada tahun yang sama.

Daripada pengalaman dan pemerhatiannya hidup di luar tatacara dan kawalan isi rumah di usia semuda itu, Kanehara menyelami satu sub-budaya yang terbit ditengah-tengah segala macam kepesatan budaya yang berlaku di tengah Tokyo waktu itu. Matanya memerhati tajam kelompok ini, tangannya menulis dengan tanpa ragu-ragu apa yang dirasakan perlu dan imajinasinya melayar liar melangkau norma dan pantang-larang yang diwujudkan oleh bayang-bayang yang dimomok sebagai menakutkan oleh masyarakat kebanyakan–ini misalnya, adalah antara ciri penulis yang ingin berkembang menjadi seorang penulis yang baik.

Lui, watak sentral di dalam novel ini, mendepani kehidupan seharian sebagai remaja yang berada di dalam lingkung waktu dan kejadian yang radikal. Ayat pembuka novel ini berbunyi: “Tahu apa itu lidah bercabang?”. Dan, daripada ini Kanehara tidak membayangkan kiasan atau simbolik. Dia sebenarnya memang merujuk kepada sejeliran lidah orang yang dipotong dihujungnya; dengan tindik dan gelung yang semakin lama semakin besar dan akhirnya menceraikan hujung lidah dan menjadi dua. “Ya, seperti yang dimiliki ular atau cicak,” sambung dialog itu.

Kanehara selepas itu menyelami sub-budaya ini, sama seperti apa yang dapat disaksikan kini dari realiti dan cara hidup muda-mudi Tokyo yang mengemari sisi ekstrim gaya dan penampilan yang membawa kepada perubahan cara hidup dan budaya di kalangan mereka. Lui menjerumuskan diri dengan minat terhadap tatu, membayar dengan hubungan seks, bercinta, pil dan sebagainya. Dengan novel ini, Kanehara memang ingin mempotretkan komuniti muda-mudi di sana tanpa segan silu.

Walaupun plot dan naratifnya tidak seberapa mengejutkan, apa yang menjadikan novel ini penting untuk diselidiki ialah keberaniannya membawa kesedaran tentang hakikat semasa kelompok budaya ini di dalam gaya bahasa yang juga baru–dengan diimajinasikan semula oleh Kanehara–sehingga ia berakhir sebagai sebuah pencapaian literatur yang mempunyai gaya dan perhatian yang lain dan menakutkan.

Dan sebagai seorang yang relatif muda; Kanehara berusia 21 tahun ketika menerbitkan novel ini, ia menjadi satu contoh yang perlu dilihat dalam membincangkan kerja-kerja penulis baru, termasuk dari kalangan penulis baru Malaysia. Novel ini adalah satu contoh catatan yang memaparkan perkara yang terkandung di dalam lingkung masa dan ruang penulisnya secara kreatif. Kanehara tidak sekadar mengulang-ulang semangat yang sama seperti yang sudah pernah dilakukan oleh penulis-penulis sebelumnya, yang mungkin berada dalam lingkung sosial yang berbeza daripadanya.

Ini adalah perkara yang dominan terselit di dalam novel berkenaan. Walaupun akan ada yang menyelar nilai-nilai hidup yang dibawakan oleh watak-watak dalam novel ini sebagai keterlaluan dan tidak bermoral, tetapi sebagai sebuah hasil kerja sastra moden oleh penulis baru era milinium, ia tidak boleh dipinggirkan. Suka atau tidak, inilah suara yang tanpa sedar sedang mendengung di telinga.

Kanehara menunjukkan kepada kita bahawa untuk menjadi novelis era ini, lagu dengan rentak dan bahasa baru perlu dinyanyikan. Walaupun tiada apa-apa idea yang cuba disampaikan, novel ini tetap mahu menjerit nyaring meminta perhatian terhadap kelainan yang terkandung. Jika sekadar mahu mengulang-ngulang gaya bahasa dan sudut pandang yang sudah terpampang sekian lama, penulis baru dari rantau mana pun eloklah tidak payah bersusah payah menulis novel.

Dan, di dalam konteks Malaysia, novelis baru sebenarnya harus bekerja dua-tiga kali ganda lebih tekun daripada novelis di tempat lain untuk menghayati semangat ini, sebelum mengambil keputusan untuk menulis novel semula.

Hafiz Hamzah bukan orang yang sama menulis di Mastika. Dia akan mencari celah-celah antara muzik dan sajak dan menjadikan mereka kembar satu darah.

Hafiz Hamzah Hitomi Kanehara Jepun Novel

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan