[singlepic id=3 w=255 h=88 float=left]Amin Ahmad

Mungkin itu kata masyhur Ronald Reagan kepada Michael Gorbachev yang paling diingati ramai ketika kunjungan beliau ke gerbang Brandenburg, Berlin pada 12 Jun 1987, sempena sambutan 750 tahun bandar tersebut, lebih 2 tahun sebelum tembok tersebut benar-benar roboh.

Hari ini, 9 November 2009, genap 20 tahun sempena robohnya tembok tersebut yang kini hanya tinggal serpihan sebagai kenangan sejarah.

Tembok Berlin adalah satu tanda penting yang dibangunkan pada 1961 oleh Jerman Timur yang mendokong prinsip ekonomi komunisme, dan ia dibina dalam tempoh hanya 2 hari tanpa pengetahuan rakyat!

“Ich bin Ein Berliner”!

Ya, saya masih ingat ketika seorang sahabat yang baru pulang berkursus di Jerman memakai kemeja-t tersebut. Ucapan John F. Kennedy itu ternyata signifikan dalam membentuk wacana pada zaman lampau, di mana ia hadir selepas Empayar Soviet mendokong Jerman Timur.

Tembok ini dibina pada waktu itu untuk memisahkan blok kuasa German Democratic Republic (GDR) (baca: Jerman Timur) dan Republik Persekutuan Jerman (baca: Jerman Barat). Puncanya ialah apabila 2.6 juta daripada 17 juta rakyat Jerman Timur telah berpindah ke Jerman Barat dari 1949 hingga 1961. Puncanya ialah peluang pekerjaan yang lebih banyak daripada sistem ekonomi pasaran sosial (social market economy) yang diambil berbanding sistem menjadikan hak milik negara yang dijana komunis pada waktu itu.

Selepas berakhir Perang Dunia ke-2, Soviet mahu mengawal ‘jaringannya’ di Eropah. Maka, pengenalan pas antara zon dibuat hatta dalam negara Jerman malah Berlin itu sendiri. Akhirnya, pada 1961, tanggal 13 Ogos pukul 4 petang, mereka memutuskan untuk menutup terus laluan ini.

Di peringkat awal, ramai yang berjaya menyeberang tembok ini. Namun, sejak Günter Litwin menjadi orang pertama ditembak mati oleh Grenzers, unit keselamatan yang mengawal di tembok ini pada 24 Ogos 1961, 171 lagi orang juga menerima nasib yang sama sehingga runtuhnya tembok ini pada 1989. Itu belum dikira lebih 200 orang yang cedera ditembak sepanjang percubaan tersebut di mana 302 menara kawalan disediakan sepanjang tembok sekitar 155 kilometer itu. Peter Fechter yang mati ditembak Grenzers di tembok ini pada usia 18 ternyata telah memanggil kesedaran antarabangsa. Terdapat satu tanda di sebuah memorial di Jerman yang mengabadikan ingatan terhadapnya dengan tulisan “…dia hanya inginkan kebebasan”.

Selain mereka, 75 ribu lagi dipenjara, ratusan lagi mati sama ada di Lautan Baltik atau di tempat lain selain sepanjang tembok Berlin ini. Tidak kurang menarik juga, sebahagian Grenzers ini juga mengambil kesempatan untuk menyeberang!

Mungkin satu hal yang menarik ialah penemuan fail Stasi satu kementerian yang bertugas menjaga keselamatan negara di mana ia memberitakan peranan perisik seramai kira-kira 5500 orang yang bertugas untuk mengintip dan memberitahu sekiranya ada mereka yang berniat untuk menyeberang, termasuk ahli keluarga, rakan-rakan dan siapa saja. Mereka ini mengangkat sumpah setia menghalang siapa juga rakyat Jerman Timur yang mahu menyeberang.

Keajaiban ekonomi yang ditempa oleh Jerman Barat selama 20 tahun bermula 1950-an telah mendorong penduduk Jerman Timur untuk berhijrah akibat peluang ekonomi yang tertutup di wilayah yang bergantung dengan pengaruh Soviet pada waktu itu.

Apa yang menarik boleh kita pelajari ialah, apabila sistem ekonomi yang ada mengongkong dan tidak berasaskan meritokrasi, berlaku apa yang dikatakan brain drain. Ia terbukti apabila sekitar 20% rakyat Jerman Timur yang menyeberang ke Jerman Barat adalah terdiri daripada mereka yang bijak dan berbakat.

Yuri Andropov, Pengarah Hubungan Komunis dan Pekerja Negara Sosialis dari Parti Komunis Soviet Rusia pada waktu itu mengatakan bahawa alasan penyeberangan ini didakwa tidak bersabit hal ekonomi, tetapi politik, berbeza dengan kenyataan pemimpin di Jerman Timur yang mengungkap bahawa faktor ekonomi adalah puncanya.

“Wir wollen raus!”

Ya, akhirnya slogan “kami mahu keluar!” ini muncul pada September 1989.

Pelbagai cara telah diguna pakai sebelum itu termasuk menggunakan kesempatan untuk ke Hungary dan menyelinap ke Austria selepas beberapa perubahan dasar hubungan luar negara berlaku. Paling menarik, tentulah pelatih penerbangan Thomas Krüger yang melarikan pesawat latihan untuk tentera muda Jerman Timur. Selepas mendarat di Jerman Barat, beliau menghantar semula kapal terbang ini ke Jerman Timur melalui jalan darat dan meninggalkan nota “wish you were here” bersamanya.

Reagan tentu akan diingati dengan ucapannya:

“Kami mengalukan perubahan dan keterbukaan. Kami percaya kebebasan dan isu keselamatan harus bergerak seiring dan menjamin kebebasan manusia adalah jalan ke arah keamanan dunia. Ada satu cara yang tidak silap boleh dilakukan Soviet untuk mendorong kebebasan dan keamanan. Maka Gorbachev, jika anda mencari kemakmuran untuk Soviet dan Eropah Timur, datanglah ke pagar ini dan runtuhkan tembok ini!”

Kini, sisa tembok yang telah dipecahkan itu telah diagihkan kepada lebih 50 tempat di pelbagai pelusuk dunia, sebagai tanda ingatan kepada sebuah perang ideologi yang ternyata akhirnya menunjukkan bagaimana komunisme membunuh diri mereka sendiri.

Tahun 2009, Jerman merayakan Festival Kebebasan dengan tema Kebebasan Tanpa Dinding yang menjadi simbolik kepada 20 tahun runtuhnya tembok Berlin.

Ada kewajaran untuk kita mengenang kata Gorbachev bahawa “sejarah menghukum mereka yang lewat hadir”.

Semoga satu hari nanti saya akan sempat hadir dan melihat sendiri sumber sejarah penting ini, di samping mengenali banyak yang unik tentang Jerman, termasuk pemikirnya!

Amin Ahmad, mendapat pendidikan di Universiti Putra Malaysia. Beliau adalah mantan Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPM dan pernah memegang beberapa jawatan lain di peringkat Kolej, Fakulti Pengajian dan Universiti. Pernah mewakili delegasi Malaysia dalam Program Pembangunan Kepimpinan Belia ASEAN. Alumni Kepimpinan Muda Nahdah Asia, sebuah projek kerjasama Institut Kajian Dasar dan Yayasan Aman Sasakawa (SPF) dan alumni Cato University.

Amin Ahmad Jerman Komunisme Michael Gorbachev Ronald Reagan Tembok Berlin

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan