Meor-Dari-Rakyat-Untuk-Rakyat-Cover-2-02Mazir Ibrahim

Suatu malam, 4 tahun lampau, aku terjebak dengan seorang teman. Dibawanya aku ke sebuah rumah kedai tiga tingkat yang terletak di pinggir Kuala Lumpur, pinggir Ukay Perdana dan pinggir blok-blok kedai. Sememangnya ia terpinggir. Rumah kedai itu seperti tempat pembuangan sampah, memang bukan tempat yang harus dituju–jika aku diberi pilihan. Kawasannya berbau busuk tengit. Sampah sudah semestinya harus menjadi bersepah-sepah di kawasan seperti itu. Kawasannya sangat suram apatah lagi ketika malam, tiada masa depan.

Tingkat paling atas rupanya sebuah studio rakaman muzik, milik seorang penyanyi. Ketika itu ia begitu, lara, sunyi dan tiada apa-apa. Pemiiknya kini bukan seperti dulu lagi. Aku terjebak melihat proses pra-produksi rakaman sebuah album, diterbitkan oleh teman yang mengheret aku ke situ. Tiada apa yang baru tentang album itu, artis itu dan sesi rakaman itu.

Tiada.

***

4 tahun sudah berlalu. Hari ini.

Jika inilah tempatnya, aku ingin sekali berlaku jujur buat diri dan teman-teman.

Apa sahaja yang telinga ini mampu mendengar, aku sentiasa mencari satu dorongan bunyi dan muzik untuk membawa aku melihat dunia yang bukan datang dari dunia aku. Dunia baru. Harapan baru dan perjanjian baru.

Kata-kata usang seperti, “ Aku cinta pada mu…” yang diucap tanpa ton suara, ekspresi bunyi dan nada yang bersungguh dari si pengucap, hanya akan memiskinkan lagi nilai ayat ini. Bunyi, nada dan ton adalah nilai tambah kepada setiap inci perkataan dalam karya keseluruhannya. Bukan itu sahaja, malah keseluruhan kata-kata dan melodi akan menjadi lebih kuat dan bertenaga dengan adanya gubahan yang radikal dalam komposisi muzik. Radikal ini tidak semestinya dapat diselesaikan dengan penggunaan instrumentasi yang berlebihan, tetapi radikal pada penyusunan muzik.

Dengan kata lain, sajak teman-teman Meor ini sebenarnya sangat mengharap dan bergantung pada kualiti pengucapan (artikulasi) bunyi si pengucap dan susunan komposisi muzik. Seringkas manapun susunan muzik, ia tetap muzik dan di dalam muzik, hukum ini tidak bisa bertindan. Namun, jika Meor sekadar ingin ‘memperalat’ muzik untuk tujuan propagandanya, maka hukum ini tidak lagi terikat ke atas karya tersebut. Lepas sudah ‘seksa’ ke atasnya. Bebas.

Menyanyikan sebuah sajak, puisi atau apa jua bentuk penulisan yang bersifat kreatif sebagai adaptasi baru kepada karya muzik, tidak jauh bezanya dengan adaptasi novel ke layar perak, atau adaptasi cerpen ke dalam teater. Antara cara yang popular (common) dalam muzik adalah dengan kaedah mencipta choral bagi sajak-sajak itu. Sangat ringkas dan mudah. Choral ini memberi nada pada perkataan tertentu dalam rangkaian sajak. Contohnya: Hai !..Hei..! aduhai..mengapa.. yang kesemuanya ada elemen soal,/jawab dan perhatian/penekanan. Reflek kepada perkataan-perkataan tersebut akan melahir ekspresi bunyi/suara yang spontan, bertolak dari proses ini yang seterusnya akan membentuk sebuah karangan lagu yang lengkap sepertimana lagu-lagu lain.

Dalam berkarya, ‘proses’ perkembangan ide adalah rahsia untuk pengkarya menikmati kepuasannya. Kita percaya Meor seorang busker, pasti sudah lama ‘menerima wahyu’ ini.

Dari Rakyat – Seniman Meor sememangnya seorang rakyat.

Untuk Rakyat – Saya juga Rakyat, yang membaca ini juga rakyat.

Yang memungkinkan hubungan antara individu (rakyat) berlaku adalah menerusi komunikasi. Muzik adalah sebahagian darinya. Komunikasi tidak boleh sekerat-sekerat atau separuh-separuh. Komunikasi antara sajak/senikata dengan komposisi muzik dalam DRUR telah ‘berselingkuh’. Komposernya seakan ‘tewas’ dalam memenuhi tuntutan itu. Muzik DRUR telah menjadi muzik latar kepada cerita dari sajak/puisi di dalam albumnya. Muzik DRUR tidak ampuh menyampaikan propaganda DRUR. Dalam DRUR ini, Meor telah bertukar watak menjadi seorang penyajak. Seorang deklamator. Bukan lagi seorang ‘busker’. Ini trajedi seniman rakyat….untuk rakyat !

Namun, jika sememangnya ini yang beliau mahukan, tidaklah menjadi hal bagi kita.

Kontradiksi memang sentiasa terjadi di mana-mana dan dalam apa jua bentuk. Namun, kontradiksi seharusnya menjadi kelebihan dan kekuatan, contohnya, lagu revolusi, garang, gah, bersemangat dan mengerunkan,tetapi disampaikan dengan muzik yang paling mudah dan minimal–nyanyi beramai-ramai tanpa sebarang alat muzik. Kekuatan yang akan timbul dari kontradiksi ini ialah elemen ‘marching’ bergema dengan dominasi suara rakyat. Tak perlu diganggu dengan bunyi gitar yang senget dan ‘tong kosong’ dram sesionis! – sekadar contoh.

Sekali lagi kita bilang, seringkas manapun muzik itu, ia tetap muzik, dan muzik harus bisa merangsang kita–rakyat.

Meor di atas pentas © Amin Iskandar
Meor di atas pentas © Amin Iskandar

Malam itu aku diperkenalkan dengan seorang penyanyi muda. Dia bukanlah artis terhebat pada masanya malah pada bila-bila masa pun. Dia masih mentah dan masih teruna. Dia menyanyi hingga menangis. Dia menangis hingga teresak-esak. Bila keletihan, dia tidur. Dan bangun menyanyi lagi, dan menangis lagi hingga selesai rakaman waktu dinihari. Satu malam yang penuh tangisan–hanya untuk satu lagu dan hanya untuk menyelesaikan rakaman pada tahap pra-produksi. Kesungguhan budak muda itu berbaloi jua akhirnya. Ini sahaja ingatan 4 tahun lalu yang masih dikenang hingga hari ini. Penjiwaan pada nyanyian anak muda inilah yang masih terkesan pada aku. Bukan lagunya, bukan muziknya, tetapi jiwanya.

Penjiwaan watak pada karya akan terzahir dalam hal-hal yang bersifat teknikal. Ia kelihatan sepertimana merasa kepanasan matahari tanpa memandang tepat ke arah silau cahayanya. Kekeringan penjiwaan watak dalam karya DRUR sukar mendorong telinga ini untuk menghayati pengalaman Meor itu sendiri.

Namun masih ada kesungguhan dalam DRUR yang masih dapat kita kongsi iaitu ekspresi ‘kemarahannya’ kepada pergolakan mutakhir ini dan kesungguhan beliau mencari kualiti rakaman yang keras, kering dan terang. Sekurang-kurangnya, hari ini dan esok, rakyat akan dapat menilai ‘kemarahannya’ dalam karya DRUR. Kemarahan ini diharap tidak mendorong kepada sifat kebencian, kerana kebencian, atas apa jua alasan akan bisa menggagalkan idea perubahan.

Barangkali, memang niat Meor hanya untuk merai teman-temannya. Itu saja.

…dari rakyat ia datang, kepada rakyat ia kembali.

Mazir Ibrahim, seorang komposer dan penggiat MusicForum, sebuah kumpulan yang giat mengangkat isu dan wacana perbincangan musik di Malaysia.