Hasmi bin Hashim ketika menyampaikan ceramahnya di Kem Kepimpinan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) anjuran Sekretariat Belia Negeri Selangor (SBNS).
Hasmi bin Hashim ketika menyampaikan ceramahnya di Kem Kepimpinan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) anjuran Sekretariat Belia Negeri Selangor (SBNS).

Hasmi bin Hashim

Ketika manusia di Semenanjung Tanah Melayu masih terpinga-pinga untuk memahami apa sesungguhnya makna sebuah nusa bangsa; ketika laungan “merdeka” barangkali masih pelat dilaungkan; di Sumatera, mati seorang anak muda dalam satu rusuhan “Revolusi Sosial” tatkala Indonesia baru setahun menjadi Indonesia.

Nama anak muda itu, Tengku Amir Hamzah Pengeran Indera Putra, atau di dalam sekian banyak tulisannya, lebih dikenali sebagai Amir Hamzah. Kematiannya, terkorbannya dia pada usia 35—hanya berbeza 2 tahun lebih tua berbanding usia saya sekarang—cukup memberikan dukacita.

Berbanding dengan generasi terdahulu, atuk atau bapa-bapa kita, mereka masih kenal dengan bukan sahaja Amir Hamzah, tetapi puisi-puisinya. Ada yang menghafal, dan tak dianggap karya Amir sama ada yang terhimpun di dalam “Nyanyi Sunyi” mahupun “Buah Rindu” sebagai ‘milik’ Indonesia, meskipun Amir sendiri berasal daripada keluarga bangsawan Melayu Langkat. Paling tinggi pun, Amir akan dibanggakan sebagai “Bujang Melayu” seperti yang diungkapnya sendiri.

Kesetiaannya, rasa cintanya, dan betapa dia sebagai “manusia moden” adalah antara jutaan jiwa Nusantara yang berhendak akan sebuah negeri. Mahu menjadi seperti banyak bangsa lain, terutamanya di Eropah dan Barat, di Timur Tengah dan benua Amerika, yang masing-masing mempunyai negeri; mempunyai ‘rumah’. Paling jelas di dalam hembaran akhir buku koleksi puisi “Buah Rindu” (yang pertama kali dicetak pada 1959 oleh P.T. Dian Pustaka sehingga yang di tangan saya cetakkan ke-5 iaitu pada 1985), Amir mencatatkan kebanggaannya kepada apa yang beliau dendami sebagai nusa-bangsa. Tulis Amir: “Kebawah peduka Indonesia-raya | Kebawah lebu Ibu-ratu | Kebawah kaki Sendari-dewi”.

Dia yang mati muda, barangkali juga dengan semangat itu, ya… tatkala negeri atau ‘rumah’ yang beliau idamkan tak sampai setahun merdeka. Sekaligus, kita sama ada pernah atau belum, pasti di satu saat bertanya, apa ertinya menjadi sebuah bangsa? Soalan yang hampir sama dengan, apa ertinya berada di dalam sebuah negara?

Lebih 50 tahun ini, apabila kita meninggalkan “Zaman Indonesia”, meninggalkan nama Amir Hamzah yang pernah dibanggakan oleh tuk-ayah kita, meninggalkan cerita gelora kemerdekaan Tanah Melayu dan kemudiannya apa yang kita kenal, ‘rumah’ kita sebagai “Malaysia”; seolah-olah tak siapa akan mampu meninggalkan dua soalan tadi. Yang terus-menerus dipertanyakan, sampai hujung dunia. Termasuk oleh generasi selepas kita kelak.

Perhatian saya bukan terkorbannya anak muda, sementara kita tahu, anak-anak muda memang menjadi benteng depan di dalam sekian banyak perjuangan. Amir contohnya. Juga di China, di medan Tiananmen apabila mahasiswa dirempuh oleh pasukan tentera negara China; apabila anak muda dianggap sebagai musuh oleh pemerintahnya sendiri. Dan, tak kurang dianggap, dilabel sebagai “musuh negara”. Kita tidak mudah lupa, bagaimana di Korea Selatan pada detik-detik getir jendela demokrasi hendak dibuka, demokrasi sepertimana yang wujud hari ini, juga terpaksa mengirim nyawa anak-anak muda dan mahasiswa di dalam rusuhan di Gwangju. Belum lama peristiwa itu, pada awal 1980-an.

Yang muakhir adalah kembali di Indonesia, di dalam peristiwa “September 1998” kalamana kebangkitan rakyat menuntut Reformasi, juga sekali lagi kita saksikan ada jiwa anak mahasiswa yang terkorban. Saya sendiri tak mungkin lupa di Palestin beberapa tahun lalu, seorang gadis Yahudi-Amerika, Reachel Corrie digilis mati oleh jentera berat tentera Israel.

Tiap-tiap perjuangan kebebasan dan demokrasi, ternyata cukup mahal harganya. Bukan hanya perlu dibayar dengan korban dan perjuangan yang getir, tetapi sering membaham nyawa anak-anak muda. Hakikat ini seakan-akan membuka kenyataan betapa kekuasan politik selalunya terkait dengan “yang tua” dan penentangan atau pembaharuan selalu diwakili oleh “yang muda”.

Amir, di dalam puisinya “Hanyut Aku”, dia telah merintih. Begini:

Hanyut aku, kekasihku!
Hanyut aku!
Ulurkan tanganmu, tolong aku.
Sunyi sekelilingku!
Tiada suara kasihan, tiada angin men-dingin hati, tiada air menolak ngelak.
Dahagakan kasihmu, hauskan bisikmu, mati aku sebab diammu
.

Saya menduga, Amir seakan-akan berbicara dengan Tuhan… sebuah keluh-resah yang tak akan berpenghujung, melainkan di liang lahad. Namun, saya juga membayangkan dia seakan berdiri di hadapan Negara. Sementara, Negara bukan makhluk, melainkan—seperti falsafah Tuhan di satu sudut tafsirannya—adalah konsep. Atau seperti yang diungkapkan oleh Amir sendiri di dalam puisi “Padamu Jua”, sebagai “tiada rupa”. Maknanya, tidak berjisim, tidak berwajah…

Khayalan Amir memuncak kepada sesuatu yang tidak terlihat oleh mata kasar, kepada sesuatu yang “tiada rupa” apabila di satu saat lain, katanya:

Nanar aku, gila sasar
Sayang berulang padamu jua
Engkau pelik menarik ingin
Serupa dara dibalik tirai
.

Apapun yang dirintihkan oleh seorang penulis, pemuisi bahkan pejuang kemerdekaan seperti Amir, di antara semua keinginan dan semangatnya itu adalah apa yang kita sebut sebagai “idealisme”. Persoalan tatkala berhadapan dengan sosok Negara, seperti soalan yang sering dipertanyakan oleh cikgu di sekolah waktu kecil, “apakah yang kita mahu?”

JATIDIRI WARGANEGARA

Jawapan yang juga daripada cikgu-cikgu kita, adalah, “berbakti kepada agama, bangsa dan negara”. Itu jawapan yang standard. Sekaligus doktrin yang dipaksakan. Nah! Tanyakan sahaja kepada orang politik yang tinggi sehingga perdana menteri atau kepada pemimpin peringkat bawah, di dalam perjuangan ini… apakah yang mereka mahu? Jawabnya, barangkali masih tidak ubah seperti anak-anak murid tadi, “mahu berbakti kepada agama, bangsa dan negara”!

h_sbns-2

Maksud saya, apakah kita tidak pernah berfikir lebih dalam daripada jawapan yang standard itu… mencari dasar-dasar persoalan. Sekurang-kurangnya daripada mana idealisme itu hadir (?)—sementara di sekeliling kita, ramai sekali yang mahu atau telah menjadi pemimpin, telah juga kemelesetan idealisme. Penyertaan di dalam parti politik, misalnya, dengan cita-cita materialisme.

Kalau ini terjadi, kalau ini terjadi dengan meluas pula, ia adalah malapetaka kepada bangsa kita. Kepada negara ini. Dan pada saya, ia memang sebenar-benarnya telah berlaku dan sedang melebar, bukan sahaja di kalangan orang politik, tetapi di pelbagai peringkat dan kita semua tahu, mengumpul pengalaman dan cerita runcit-runcitan saban hari. Kalau dahulu dituduh ia menular di kalangan parti politik, tetapi kini, ia semakin parah termasuk berlaku di kalangan badan-badan bebas dan di luar kekuasaan politik pemerintah.

Agaknya, selain tatkala Kesultanan Melayu Melaka jatuh hampir 500 tahun lalu, malah satu-persatu kerajaan dan kesultanan di Nusantara tumbang kepada kuasa luar akibat korupsi, rasuah, kecura-ngan amanah serta sifat tidak matang raja dan penguasanya, keadaan kita hari ini antara tragedi dan malang paling parah sepanjang wujudnya bangsa kita di dunia ini.

Berebut untuk berkuasa, bererti berebut untuk mendapat peluang membikin kekayaan dengan enteng. Tidak timbul langsung, soal amanah dan tanggungjawab. Tidak seperti, misalnya, Paduka Dewi Airlangga: Sanggrama Wijayatungadewi.

Siapa dia? Dia adalah pewaris takhta sebuah kerajaan kecil di Tanah Jawa: Kerajaan Airlangga. Baginda cantik. Baginda juga dikenang orang kerana menolak untuk dilantik menggantikan tempat ayahanda baginda, sehingga menjadi keributan seketika apabila penolakan itu sampai ke cuping pengetahuan raja. Namun, selepas dijelaskan betapa Wijayatungadewi sangat bimbang memikul tanggungjawab, maka kerana itu ia mengundur tidak mahu merebut kekuasaan tertinggi. Dewi pun mendapat penghormatan tinggi daripada ayahanda baginda dalam pidatonya:

Yang, walau tidak didukung oleh perbuatan—justeru
Hal itu jelas oleh tidak adanya tindakan—adalah
Sesuatu yang patut ditiru
Tentang pandangan yang tinggi mengenai kewajiban-kewajiban sebagai ratu.

Seandainya dia tidak menghormati jabatan sebagai ratu, dia tentu,

Walaupun tidak memenuhi syarat-syarat sebagai ratu,
Menginginkan naik ke singgahsana dan rakyat,
Yang kemudiannya harus menyembah kepadanya,
Kerana dia adalah ratu atas kehendak dewata,

 

Akan runtuh bersama kerana dia tidak kuat
Dengan demikian dia berjasa
.

Tentulah tidak mudah untuk kita mencari seorang yang punya kesedaran sepertimana Wijayatungadewi. Betapa dia tahu, dia lemah. Dia tidak layak. Justeru kalaupun diikut nafsu untuk menjadi yang tertinggi di dalam pemerintahan, kerana “Takdir Tuhan” (atau dalam pidato di atas disebut sebagai “atas kehendak dewata”), mahupun di dalam konsep moden disebut sebagai “natural leader”, maka akibatnya buruk… akan runtuh bersama kerana dia tidak kuat. Maknanya, keruntuhan barangkali kerajaan, barangkali empayar dan tamadun itu seluruhnya.

Kisah di Airlangga itu, adalah teladan, dengan mesej betapa keinsafan (antara sendi penting “idealisme’… bolehlah dianggap begitu) adalah hal pokok bagi seseorang yang menempatkan dirinya di posisi kepimpinan. Selain, saya wajar juga memetik maksud al-Quran dalam suruh Adh-Dhuha (ayat 10) di mana peringatan Tuhan bahawa perlunya sikap pimpinan itu pertama-tama tidak bengis-sombong: wa-ammasaa-ilafala-tanhar: “Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik.”

NILAI KEPIMPINAN

Sepintas “Riwayat Hidup Kongfusius” tulisan Qu Chunli di dalam terjemahan oleh Institut Kajian Dasar (IKD), 4 tahun lalu, antara perenungan baik terhadap kesedaran etika dan akhlak yang harus ada pada pimpinan. Mahaguru besar yang hidup di zaman Chunqiu (770-476 S.M.) itu pada suatu hari mendapati seorang pengawal pejabatnya telah menghalau seorang budak miskin yang mahu bertemu dengannya. Apabila dia mendapat tahu akan sikap pengawalnya itu, maka dia sendiri mencari dan memanggil budak miskin itu untuk ditanyakan tentang masalah yang dihadapi, tentang makan-minum yang khabarnya selalu tidak cukup.

Perbandingan dengan hari ini, sikap pengawal yang angkuh dan mengambil mudah sedemikian tampaknya menjadi sikap pimpinan politik. Sekali lagi, tidak kiralah di peringkat atas, tengah atau bawah. Persoalan yang sukar, adalah di mana dapat kita temukan sikap rendah hati dan penuh kesedaran yang sewajarnya dimiliki sepertimana yang ditunjukan oleh Konfusius.

Peribahasa Melayu “bersultan di mata, beraja di hati” adalah amaran awal bagaimana autoritarian, pemerintahan kuku besi malah kediktatoran wujud. Dek lamanya cengkaman ini, ditambah dengan kepalsuan media, maka rakyat yang hidup di bawah langit mendung pemerintahan kuku besi menjadi alah bisa tegal biasa. Tidak merasakan bahawa mereka terkongkong. Tidak merasakan betapa perlunya demokrasi dan kebebasan, dan memakai nama “kestabilan” seolah-olah lebih tinggi daripada harga diri manusia.

Memang, “kestabilan”—termasuk kestabilan ekonomi—telah menjadi nama molek dan muluk kepada kongkongan. Apa yang disebut oleh seorang Pemenang Anugerah Nobel Ekonomi, Amartya Sen sebagai “Thesis Lee” adalah keanehan atau paradok modeniti. Singapura beliau angkat sebagai contoh di mana rakyatnya dilihat selesa berada di bawah sistem yang penuh cerucuk yang melukai demokrasi. Tak perlu ada demokrasi, apatah lagi kebebasan kerana apa yang penting adalah mereka merasakan ‘selamat’ hidup di bawah sistem autoritarian sedemikian adanya.

Musuh luar diciptakan. Tidak terlalu sukar. Krisis adalah perlu, kerana itu, kita kadang kala menjadi begitu sukar memahami bagaimana hubungan, misalnya Singapura-Malaysia payah sangat untuk dipulihkan. Sering tegang di sana-sini. Sementara, ketegangan ini adalah sangat mustahak kepada kedua pemerintah untuk mewujudkan rasa ketakutan dan ancaman kepada negara, justeru untuk menjadikan rakyatnya bersatu. Menyokong dan berbuat mengikut arahan sepertimana sepanjang masa seakan-akan rakyat berada di dalam keadaan darurat atau perang.

Dunia baru, politik akan datang adalah politik yang perlu bebas daripada sebarang strategi yang mengorbankan hak-hak rakyatnya. Apatah lagi mengorbankan demokrasi dan kebebasan. “Politik intrik” sedemikian hanya merugikan sementara psikologi Perang Dingin masih dieksplotasi untuk menggambarkan seakan-akan di luar sempadan negara sentiasa ada musuh yang menunggu untuk menyusup masuk dan menyerang kita—sementara sejak sekian lama, kita mendengar “penjajahan bentuk baru” berulang kali dilaungkan sebagai alasan untuk mengacip kebebasan dan hak rakyat.

Betapa hari esok, adalah hari untuk anak-anak muda dan perlu turut sama digariskan—tidak dilepaskan hanya kepada “yang lain.” Barangkali begitulah yang pernah diyakini oleh Amir meski beliau sendiri mati muda. Persoalannya sekali lagi, apa ertinya ‘rumah’ atau Negara ini kepada kita? Soalan yang entah bila akan terjawab secara penuh. Tiap anak muda adalah intan, dan bukannya kaca.

Kalau benar bagai dikata,
Kaca ku genggam menjadi intan;
Ribuan pahlawan di depan mata,
Siap siaga mara ke depan.

Andai semua kebobrokan ini disedari dan diambil kira, meninggalkan “politik intrik” ternyata adalah satu keperluan, bilamana politik dan kepimpinan bukan lagi semata-mata gelanggang yang berselirat tipu helah, seperti yang selalu diperkatakan oleh generasi muda apabila memandang jelek terhadap politik.

Politik dan kekuasaan itu juga berakhir, di mana ia bermula: Innamal-a’malu-bilniat. Selepas itu, tidak ada apa lagi yang terselindung dan mampu disembunyikan.

Hasmi bin Hashim, seorang penulis yang berpolitik dan juga seorang politikus yang menulis.

*Tulisan ini asalnya berjudul “Idealisme, Etika dan Gagasan” disediakan untuk Kem Kepimpinan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) anjuran Sekretariat Belia Negeri Selangor (SBNS) bertempat di Hotel Empress Sepang pada Sabtu dan Ahad, 24-25 Oktober 2009.

Amir Hamzah Budaya Hasmi bin Hashim Kolum Nasionalisme

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan