A.Sabri

Dengan mengambil latar perang dunia ke-2, fantasi membalas dendam Quentin Tarantino (QT) kini beralih ke benua Eropah – selepas Amerika dan Asia – sebagai tema utama filem ini. Latar dan plot Inglourious Basterds, ‘very European’, kerana berlaku di Perancis, sewaktu Nazi Jerman menakluki negara itu pada tahun 1941 bagi memburu, mengusir dan membunuh rakyat berketurunan Yahudi di negara terbabit.

Very European’ juga pada saya bermaksud, barisan pelakon dalam filem ini, adalah di kalangan pelakon daripada kedua-dua negara itu, yang menguasai tiga bahasa – English, Jerman dan Perancis antaranya Christopher Waltz, Diane Kruger, Daniel Bruhl, Melanie Laurent, atau Denis Menochet.

Berbanding dengan filem-filem beliau yang lain antaranya Pulp Fiction (1994), hanya menggunakan beberapa perkataan dari Perancis dan Sepanyol, tetapi dalam filem “Angkatan Jahanam” ini, sarat dengan dialog gabungan dari bahasa Jerman dan Perancis. Penggambaran juga dibuat di negara itu.

Walaupun hampir kesemua filem arahannya – yang ada dalam koleksi saya – membawa tema membalas dendam – tetapi dendam tersebut kali ini, diolah dalam gaya dan fantasinya yang tersendiri, unik, brutal dan kejam.

Fantasi QT dapat disaksikan pada pembukaan filem ini, yang menggunakan lafaz ‘fairytale’ – “Once Upon a Time in … Nazi – Occupied France”. Watak dalam filem ini , pada hakikatnya memang tidak wujud dalam sejarah Jerman, dan ia hanyalah fantasi QT semata-mata. Bagaimanapun, ia tidak menafikan fakta sejarah, tindakan Jerman membunuh Yahudi yang terbukti dalam kitab sejarah atau biografi di dunia.

Plot “Angkatan Jahanam”

QT membahagikan filem ini kepada lima bab, yang mana dua plot utama membalas dendam kepada tentera Jerman bertemu dalam satu titik pertemuan. Gaya itu diulanginya seperti dalam filem Pulp Fiction, 15 tahun dahulu.

Bab pertama – yang menggerak naratif plot utama – bermula di sebuah rumah yang terletak dalam ladang tenusu di Perancis. Kolonel Hans Landa (Christopher Waltz) bersama tiga tentera Jerman, membuat siasatan terhadap keluarga Perrier LaPadite – lakonan Denis Menochet – terhadap empat keluarga Yahudi iaitu Loveitt, Dolerec, Rollin dan Dreyfus.

Menurut Hans Landa berdasarkan kertas siasatan, keluarga Dreyfus masih berada di perkampungan tersebut menyebabkan beliau sangsi jawapan LaPadite yang menyatakan desas-desus mereka sudah berpindah ke Sepanyol.

Hans Landa, adalah tentera Nazi yang bijak, licik dan tidak mudah mempercayai cakap sesiapa pun. Beliau berjaya memujuk LaPadite mendedahkan lokasi persembunyian Dreyfus – di bawah lantai rumahnya – dan terus menembak dengan kejam kesemua anggota keluarga itu kecuali Shosanna yang berjaya meloloskan diri. “Au Revoir, Shosanna!” kata Hans Landa sambil mengacukan pistolnya ke arah gadis itu. Shosanna melarikan diri ke Paris.

Lakonan Waltz – yang dikenali The Jew Hunter – menarik dan mantap sepanjang lebih dua jam durasi filem ini. Maka tidak hairanlah beliau dianugerahkan pelakon lelaki terbaik dalam Festival Filem Cannes, pertengahan Mei lalu. Dengan kebolehan menguasai tiga bahasa – Jerman, Perancis dan English – serta kemampuan menyampaikan dialog mengikut ‘bahasa’ QT, turut menjadikan jalan cerita seterusnya bertambah menarik.

Bab kedua – yang menggerak naratif satu lagi plot utama – iaitu pengenalan kepada identiti “Angkatan Jahanam” seramai lapan orang tentera Yahudi Amerika, yang diketuai oleh Leftenan Aldo Raine ‘The Apache’(Brad Pitt). Di sinilah, QT memperlihatkan kekuatan skripnya dan kreativitinya memperkenalkan kumpulan tersebut serta mendedahkan modus operandi, membalas dendam ke atas tentera Nazi.

Perhatikan dialog yang diucapkan oleh Lt Aldo Raine: We will be cruel to the Germans, and through our cruelty, they will know who we are. They will find the evidence of our cruelty in the disemboweled, dismembered and disfigured bodies of their brothers we leave behind us.

And the Germans will not be able to help themselves from imagining the cruelty their brothers endured at our hands, and our bootheels, and the edge of our knives […]

Every man under my command, owes me one hundred Nazi scalps. And I want my scalps. And all y’all will git me one hundred Nazi scalps, taken from the heads of one hundred dead Nazis …or you will die trying.

Babak seterusnya selepas itu, memperlihatkan bagaimana kumpulan tersebut membunuh dan melapah kulit kepala askar Nazi, dengan kejam dan brutal. Bagaimanapun babak ini telah dipotong sewaktu ditayangkan di panggung di Malaysia, tanpa sebarang alasan. Sedangkan, pada pandangan saya, babak ini perlu ditunjukkan kerana ia adalah satu daripada modus operandi utama kumpulan itu ke Perancis.

Shosanna Dreyfus dan Lt Aldo Raine

Berbalik kepada dua plot utama yang menggerakkan cerita ini, Shosanna dan Lt Aldo Raine tidak berkomunikasi atau tidak berpakat untuk membunuh lebih 300 tentera Nazi Jerman. Tetapi modus operandi membalas dendam masing-masing ‘bertemu’ sewaktu tayangan perdana filem‘Nation Pride’ di sinema milik Shosanna a.k.a Emmanuelle Mimieux.

Tawaran itu datang daripada Menteri Propaganda Jerman, Joseph Goebbels (Sylvester Groth) dalam satu pertemuan mereka di sebuah kafe di Paris. Perjumpaan tersebut diatur oleh Fredrick Zoller (Daniel Bruhl) yang menjadi pelakon utama dalam filem tersebut..

Maka, Shosanna tidak melepaskan peluang begitu sahaja, kerana pada asalnya filem tersebut akan ditayangkan di sebuah cinema lain – The Ritz – yang boleh memuatkan lebih 700 penonton. Lalu, Shosanna merencanakan plot membunuh bersama Marcel – projectonist – dengan mengunci pintu pawagam seterusnya membakarnya sinema miliknya.

Perbualan, tawaran, bujukan serta semangat untuk membunuh tentera Nazi yang meluap-luap, berlaku pada bab ketiga bertajuk “1944, Paris” – tiga tahun selepas pembunuhan ahli keluarganya

Manakala Lt Aldo Raine pula menggunakan khidmat pelakon Jerman, Bridget Von Hammersmark (Diane Kruger) untuk membolehkan mereka memasuki pawagam tersebut. Bridget yang juga seorang pengintip British bertemu dengan Kolonel Hans Landa pada hari tayang perdana filem tersebut.

Beberapa hari sebelum itu, dalam usaha mendapat maklumat dan menentukan modus operandi, berlakunya kejadian tembak menembak antara beberapa anggota “Angkatan Jahaman” dengan tentera Jerman yang mabuk. Dalam kejadian itu, kesemua anggota kumpulan itu mati, melainkan Bridget yang cedera ditembak di kaki. Ketika berjumpa dengan Hans Landa, Bridget berjalan terhencot-hencot.

Di sinilah, punca Hans Landa – yang datang selepas kejadian itu – dapat mengagak pelakon Jerman itu adalah ‘mata-mata’ hasil daripada kasut tumit tingginya yang tertinggal di bar tersebut sedangkan tubuh badannya tidak ada di situ. Kejadian tersebut dapat disaksikan pada bab empat: “Operation Kino”.

Babak kemuncak

Bila tiba hari tayangan, bermakna penonton dihidangkan dengan bab terakhir “Revenge of The Giant Face”. Lt Aldo Raine bersama dua lagi anggotanya, diperkenalkan oleh kepada Kolonel Hans Landa sebagai pembikin filem dari Itali yang bernama Antonio Margherriti dan rakannya, Enzo Gorlomi (Eli Roth) dan Dominick Decocco (Samm Levine) – sebagai jurukamera dan pembantunya.

Tayangan bermula dan kepimpinan tertinggi “The Third Reich” temasuk Adolf Hitler (Martin Wuttke) dan Joseph Goebbels menyaksikan tayangan filem ‘Nation Pride’. Sewaktu tayang berlangsung, Shosanna bersiap sedia dengan modus operandinya – membakar sinema tersebut.

Bagaimanapun, Shosanna dan Marcel tidak menggunakan bahan letupan, tetapi menggunakan lebih 350 filem nitrat yang ditanggalkan oleh ibu angkatnya. Filem nitrat lebih cepat terbakar daripada kertas. Filem-filem itu dilonggokkan di belakang layar sinema. Dan Marcel – menunggu arahan Shosanna untuk membakarnya.

Bridget juga dicekik sehingga mati kerana agakan Hans Landa adalah tali barut kepada “Angkatan Jahaman” adalah tepat. Lebih-lebih lagi beliau sudah menghidu Aldo sebagai ketua angkatan tersebut.

Lt Aldo Raine dan Utivich (B.J Novak) pula ditangkap, dan hanya dua rakannya sahaja yang berusaha untuk membunuh dan letupkan pawagam tersebut. Tiba-tiba di layar, gambar bertukar kepada wajah ‘giant’ Shosanna. Penonton terkejut. Shosanna berkata:

I have a message for Germany. I’m interrupting your Nazi propaganda horseshit to infrom you despicable German swine that you’re all going to die. And I want to look deep of the Jew who’s going to do it. My name is Shosanna Dreyfus, and this is the face of Jewish vengance! Marcel, BURN IT DOWN!”

Suasana menjadi kelam kabut. Api marak menjulang, tentera bertempiaran lari, asap berkepul di dalam pawagam. Hitler pula mengarahkan, filem itu dihentikan. Malangnya mereka ditembak dari atas oleh dua anggota angkatan itu. Hitler mati apabila tembak bertubi-tubi ke arah mukanya sehingga hancur. Dan seluruh pawagam terbakar dan meletup.

Sewaktu babak itu berlangsung, Shosanna pula ditembak oleh Fredrick kerana askar Nazi itu, yang cuba ‘mengganggunya’ sewaktu peralihan filem ke babak tersebut hampir muncul di layar. Bagaimanapun, antara yang terselamat adalah Lt Aldo Raine dan Utivich yang ditangkap oleh Hans Landa sebelum kebakaran bermula.

Akhirnya, Hans Landa menyedari kejatuhan kekuasaan Nazi, lalu beliau menyerah diri, tetapi dengan syarat antaranya diberi hak kerakyatan Amerika dan meminta sebuah pulau diberikan kepadanya. Bagaimanapun selicik dan sepintarnya, beliau ditipu oleh Lt Aldo Raine, lalu menggari tangan Hans Landa. Kemudian dahinya ditoreh dengan lambang swastika. Jerman dan Hans Landa kalah, “Angkatan Jahanam”, menang.

Rujukan:

1) Quentin Tarantino, (2009), Inglourious Basterds: A Screenplay, Weinstein Books, New York.

2) Richard Greene dan K. Silem Mohammad (editor), (2007), Quentin Tarantino and Philosophy, Open Court Publishing, Illinios, USA.

3) Koleksi filem Quentin Tarantino

4) Majalah Total Film edisi September 2009.

*A.Sabri, 29, penulis dan penggemar filem Eropah dan Amerika Latin. Menulis karya-karya kreatif seperti cerpen, skrip drama pentas dan rebiu filem.

A. Sabri Filem/TV Inglorius Basterds Quentin Tarantino

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan