[singlepic id=3 w=255 h=88 float=left]Amin Ahmad

Pasca Mac 2008, mungkin tercatat dalam sejarah negara bahawa ia paling banyak menyaksikan Pilihan Raya kecil berlangsung, dan ia mendapat tumpuan khas para pengamat politik juga rakyat biasa. Ini mungkin berpunca daripada keputusan Pilihan Raya Umum tersebut dan keputusan siri Pilihan Raya Kecil (PRK) yang lain tidak memihak UMNO-BN, parti yang memerintah Malaysia sejak Merdeka (meski dengan nama gabungan yang berbeza).

Namun, suka atau tidak, wujud juga rasa tidak selesa di kalangan rakyat khususnya kerana siri ketegangan ikut sama dalam tiap PRK akibat wacana popular Politik Kepartian yang banyak mengambil tempat berbanding Politik Kenegaraan.

Kenapa Pilihan Raya?

Saya tidak tahu sejak bila manusia mula melantik pemimpin atau wakil bagi kelompok mereka. Namun, sejarah menggambarkan bahawa kota Athens adalah tempat pertama semangat pemilihan ini direalisasikan. Di Rom, perhimpunan awam digunakan untuk memilih tribunal mereka sendiri.

Pemilihan ketua di zaman kerasulan Muhammad s.a.w. juga terlihat wujud unsur pengolahan persetujuan ramai. Selepas kewafatan Baginda s.a.w., muncul peristiwa Bani Saadah di mana tidak ada hujah agama dimajukan sebagai landasan pemilihan khalifah. Namun, ada dakwaan yang kekal hingga ke hari ini bahawa Saidina Ali k.w. adalah khalifah yang sepatutnya menggantikan Rasulullah s.a.w. berasaskan khutbah Wida’. Saidina Ali k.w. kemudian ‘dijatuhkan’ melalui Majlis Tahkim yang penuh kontroversi.

Apa pun, dapatan kajian Prof. John Esposito adalah penting. Dalam bukunya “Who Speaks for Islam?” (sebuah pertanyaan penting tentang ‘dunia umat Islam’), dapatan menunjukkan jelas bahawa umat Islam mahu terlibat dalam memilih pemerintahan.

Evolusi pemilihan pemimpin atau wakil rakyat berkembang mengikut zaman. Jika dulu dunia dibentuk melalui empayar, kewujudan negara bangsa memberikan pengertian berbeza dalam hal pemilihan pemimpin. Kedaulatan negara dari kata ‘merdeka’ itu antara lain adalah tuntutan untuk memerintah sendiri.

Demokrasi

Di Malaysia, seringkali hujah “Malaysia adalah negara demokrasi” dinisbahkan dengan kewujudan Pilihan Raya. Sambil sistem Pilihan Raya diakui sebagai sistem terbaik dan aman dalam pemilihan wakil rakyat,

Pilihan Raya dan perkaitannya dengan Parlimen mungkin hanya muncul pada abad ke-13 di England dan ia berevolusi dari soal kadar kekerapannya sampailah kepada kerahsiaan undi. Evolusi idea berlaku dari masa ke masa kerana rakyat berinteraksi dengan perkembangan semasa. Dalam sistem Pilihan Raya moden juga terlihat banyak bentuk ia dilaksanakan – misalnya langsung (direct) dan tidak langsung (indirect, antaranya electoral college di Amerika kini).

Tanda dan Makna

Bagi saya, ada beberapa perkara yang perlu benar-benar difahami bersabit Pilihan Raya antaranya ialah:

a) Perwakilan

Ramai mereka yang terlibat dalam politik lupa bahawa mereka bertanding dalam Pilihan Raya atas semangat perwakilan, sama ada mereka menjadi ketua kemudiannya atau tidak. Semangat perwakilan ini untuk saya adalah tanda utama bahawa mereka harus bertindak secara telus, adil dan bertanggungjawab.

Telah menjadi persetujuan ramai bahawa kepimpinan adalah amanah. Kata amanah di sini adalah nilai yang mewakili semangat terhadnya tindakan ahli politik atau himpunan mereka yang membentuk kerajaan kemudiannya.

b) Penyertaan

Di zaman Athens yang sering disebut demokrasi Greek, wanita dan hamba dihalang mengundi. Dalam perkembangan gerakan sivil, hak mengundi kepada wanita diiktiraf sebagai satu kejayaan besar dalam sejarah manusia. Untuk saya, ia memaksudkan persamaan hak di bawah hukum (equality before the law). Penyertaan rakyat ini dekat dengan semangat perwakilan yang telah dinyatakan.

Penyertaan bermakna tentu saja punya kaitan langsung dengan kadar kebebasan yang dijamin kepada rakyat. Kebebasan di sini merujuk kepada semangat perwakilan bahawa i) tidak ada perwakilan yang mampu mewakili semua segmen masyarakat yang diwakilinya, ii) rakyat berhak mendapat maklumat yang tepat untuk membuat keputusan dan iii) rakyat berhak beroleh sistem yang bertindak bagi pihak rakyat apabila semangat perwakilan itu dicabul.

Di Malaysia, kini wujud desakan untuk memulihkan Pilihan Raya. Malaysian for Free and Fair Election (MAFREL), National Institute for Electoral Integrity (NIEI) dan Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) adalah tanda wujudnya desakan ini. Jika diperhatikan tuntutan BERSIH agar menggunakan dakwat kekal bagi menghalang pengundi berganda, dimansuhkan undi pos kecuali kes-kes yang diperakukan, semakan daftar pengundi dan perluasan akses kepada media, dibandingkan kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta cakap-cakap ramai terutama ahli politik dalam isu-isu berkaitan Pilihan Raya, ia haruslah dilihat dalam kerangka umum semangat perwakilan dan penyertaan yang tersebut. Juga, jangan disepikan isu e-undi yang mula diimplimentasi di kampus sebagai bahan perbincangan.

Tidak ketinggalan, muncul sebuah badan penyelidikan pendapat yang dikenali Merdeka Center untuk membolehkan penyertaan pengundi berlaku dalam bentuk kenyataan sikap dan pandangan mereka yang boleh diambil sebagai sasaran untuk dipenuhi oleh parti atau individu terlibat dalam proses Pilihan Raya

Dewasa ini ada juga isu yang menarik. Telah muncul kelompok yang menolak demokrasi sepenuhnya dan berhujahkan penegakan sistem khilafah. Saya benar-benar mahu menantikan hujah mereka dalam menggerakkan sistem kenegaraan yang baru. Jika tidak, saya mungkin menganggap agenda mereka cocok dengan bidalan melayu “hendak bersila sebelum duduk”.

Pilihan Raya, biar apa pun penghujahan, bukan tempat kita mengabsahkan diri menjadi hamba abdi kepada manusia lain, atau melantik perompak negara.

Amin Ahmad baru 2 kali mengundi di DUN Sena dan Parlimen Kangar, Perlis Indera Kayangan.

Amin Ahmad Kolum Pilihan Raya

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan