almadovar_major
Pedro Almodovar--CommonCreative: flickr.com/people/moeh

A. Sabri

Pedro Almodovar kembali dengan filem terbarunya, Los Abrazos Rotos (Broken Embraces) yang mana memperlihatkan kematangan pelakon jelita Spaniard, Penelope Cruz. Bagi Penelope, filem ini adalah kolaborasinya yang keempat bersama Almodovar selepas Live Flesh (1997), All About My Mother (1999) dan Volver (2006).

Filem ini juga mengingatkan saya, kembalinya ‘le maestro de le film espangnol’ mengarah filem genre noir selepas Live Flesh dan Bad Education (2004).

Rebiu filem ini menumpukan naratif dan teknik penceritaan, serta genre filem noir yang digemar oleh pengarah – yang berasal daripada Castille La Mancha – yang mengarahkan filem yang ke-17 ini.

Filem ‘Noir’

Secara umum, genre noir yang dimaksudkan oleh Almodovar dalam filem ini, adalah mengadaptasi beberapa stail filem pada tahun 50-an. Ia mengisahkan Magdalena Rivero (selepas ini baca: Lena lakonan Penelope) yang bertugas sebagai setiausaha kepada ahli perniagaan terkenal Ernesto Martel Sr (Jose Luis Gomez) sehingga mereka jatuh cinta.

Mereka tinggal bersama tanpa perkahwinan selama dua tahun. Bagi Lena, dia berasa terhutang budi kepada Ernesto Sr kerana membiayai perubatan bapanya yang menghadapi kanser perut.

Kehidupan bersama Ernesto, diulit dengan kemewahan dan kekayaan. Ia dapat dikesan sewaktu Lena sedang bersiap untuk menghadiri satu majlis, dia menghiasi diri dengan barang kemas, dan baju yang mahal membalut tubuh. Status hidupnya telah berubah.

Lena ingin mandiri, lalu dia mengambil keputusan untuk mencuba nasib menjadi sebagai pelakon dengan menghadiri ujibakat untuk berlakon dalam filem terbaru Mateo Blanco (Lluis Homar) yang bertajuk Chicas y Maletas (Girls and Suitcases).

Bermula dari situ, Lena jatuh cinta dengan Mateo.. Bagi Ernesto, dia mensyaki teman wanitanya itu, curang kepadanya. Maka bermulalah babak cemburu dan balas dendam untuk memisahkan Lena-Mateo. Maka, Ernesto memerintahkan anak lelakinyanya Ernesto Martel Jr (Ruben Ochadiano) – hasil perkahwinan pertamanya – menjadi pengintip.

Ernesto Jr merakamkan segala gerak geri dan tingkah laku Lena dengan menggunakan kamera video sepanjang penggambaran filem dan di luar set penggambaran filem tersebut – yang mana Ernesto Sr menjadi produsernya.

Satu babak yang menggambarkan genre ini ialah ketika langkahan Ernesto menaiki tangga menuju ke sebuah bilik berhampiran bilik Lena adalah adaptasi daripada beberapa filem noir thriller pada tahun 50-an.

“Babak Ernesto menaiki tangga dan menuju ke sebuah bilik berhampiran bilik Lena dan diikuti dengan babak Ernesto menolak Lena jatuh daripada tangga, sudah tentu dilihat sebagai “noir”, kata Almodovar dalam buku media sempena Festival Filem Cannes Mei lalu.

Flashback

Almodovar, seperti pengarah filem yang lain, menggunakan teknik flashback untuk; pertama, menunjukkan kesinambungan kronologi memori dan nostalgia secara kronologi, kesinambungan antara apa yang berlaku 14 tahun lalu dengan masa sekarang.

Sekurang-kurangnya, Almodovar menggunakan lima kali teknik-teknik ini yang melibatkan tiga tempoh masa yang berbeza iaitu pada tahun 1992, 1994 dan 2008, untuk menunjukkan kesinambungan babak dalam filem tersebut.

Kedua; teknik ini dapat menguatkan, mengenalpasti dan meringkaskan jalan cerita sekaligus serta dapat menyingkap perwatakan protagonis dan antagonis dalam sesuatu filem.

Syak wasangka dan cemburu menghantui Ernesto Sr dan memikirkan cara untuk memisahkan Lena – Mateo . Sekurang-kurang dua cara Ernesto Sr cuba memisahkan mereka, pertama, mengajak Lena berbulan madu di Ibiza selama tiga minggu tanpa pengetahuan Mateo.

Kedua mengupah penyiasat persendirian menjejaki mereka bersembunyi di Lanzarote – kawasan pantai hitam dari lahar gunung berapi – beserta merancang untuk membunuh Mateo dalam satu kemalangan, yang dapat disaksikan di akhir filem ini.

Pada hemat saya, Almodovar tidak merancang untuk menceritakan siapa dan plot untuk pembunuhnya (dengan anggapan penonton akan mengetahuinya di akhir cerita), tetapi menitikberatkan tragedi dan nostalgia yang menimpa seseorang wanita yang menjadi subjek penyiasatan dari kaca mata seorang lelaki – yang mengambil kesempatan di atas kecantikan dan kemandiriannya dengan membuat hubungan sulit dengan Mateo.

Kebenciaan terhadap Ernesto memuncak apabila tindakannya yang mengupah pakar gerak bibir (Lola Duenas), membaca gerak bibir Lena-Mateo daripada footage video tanpa audio yang dirakamkan oleh anaknya. Ia bertujuan untuk mengetahui apa yang diperkatakan antara Lena-Mateo.

Kematangan Penelope Cruz

Lakonan yang berkesan daripada Penelope membuatkan Ernesto Sr bertindak untuk mencederakan atau bertindak menyalahi peraturan dan norma bagi menghentikan kecurangannya.

Ernesto Sr – yang berumur lebih separuh abad – telah menolak Lena jatuh dari tangga, kerana merasakan perempuan cantik itu tidak menyintai dan tidak sehaluan dengannya. Atau dengan harapan kesakitan yang dialami Lena, akan mengukuhkan percintaan mereka. Bagaimanapun ia tidak berlaku apabila babak-babak seterusnya memaparkan pergaduhan besar Lena-Ernesto sehingga kecederaan parah menimpa Lena.

Tidak cukup dengan itu, Ernesto telah bertindak menayangkan filem Chicas y Maletas tanpa suntingan, dan tanpa pengetahuan Mateo dan Lena. Waktu itu mereka berbulan madu di Lanzarote. Ia bertujuan untuk menjatuhkan kredibiliti dan reputasi Mateo sebagai seorang pengarah.

Kemalangan tersebut meragut nyawa Lena, dan membuatkan dunia Mateo Blanco kelam. Dia sudah ‘mati’. “Mateo ha muerte, Judith,” kata Mateo, sewaktu terlantar di hospital. Seraya itu, beliau tidak mahu lagi kenali dengan Mateo walau beliau masih aktif menulis skrip filem dengan bantuan Diego (Tamar Novas) dan Judith Garcia (Blanca Portillo), maka dia menggunakan nama Harry Caine.

Penelope Cruz juga memperlihatkan kematangannya dalam filem-filem arahan Almodovar. Watak-watak yang diberikan dalam filem bermula dengan gadis sunti yang kesakitan melahirkan anak dalam sebuah bas melalui filem Live Flesh. Kemudian diikuti dengan memegang watak sebagai biarawati yang dijangkiti HIV positif yang sedang mengandung dalam filem All About My Mother.

Volver adalah kemuncak kematangan Penelope dengan memegang watak Raimunda, seorang anak, isteri, kakak dan ibu bagi seorang anak yang mandiri menyara keluarganya. Perwatakan dan gaya pelakon diadaptasi daripada Sophia Loren dan Anna Magnani. Melalui filem tersebut, Penelope dianugerahkan pelakon wanita terbaik antaranya bersama-sama dengan Blanca, Lole Duenas dan Carmen Maura di Cannes pada tahun tersebut.

Walaupun filem ini tidak memenangi apa-apa anugerah di Cannes pada tahun ini, tetapi ia wajib ditontoni oleh para Almodovarians. Dari situ, kita boleh mengenalpasti transisi perubahan dan kematangannya yang kini sudah melepasi suku abad.

Rujukan:

1) Brad Epps dan Despina Kakoudaki (editor), 2009, All About Almodovar: A Passion For Cinema, University of Minnesota Press

2) Maria Pramaggiore dan Tom Walies, (2008), Film: A Critical Introduction, Laurence King Publishing, London, edisi kedua.

3) Susan Hayward, (2009), Cinema Studies: The Key Concepts, Routledge, edisi ketiga.

4) Koleksi filem Pedro Almodovar dan Penelope Cruz

5) Buku media filem Broken Embraces dalam bentuk pdf

6) Majalah Total Film edisi September 2009.

*A.Sabri, 29, penulis dan penggemar filem Eropah dan Amerika Latin. Menulis karya-karya kreatif seperti cerpen, skrip drama pentas dan rebiu filem.

A. Sabri Filem/TV Los Abrazos Rotos Pedro Almodovar Penelope Cruz

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan