Amartya Sen
3.

Berdasarkan sejarah, kapitalisme tidak muncul sehingga sistem undang–undang dan amalan ekonomi yang baru melindungi hak kepemilikan dan menjadikan ekonomi berasaskan pemilikan dapat dilaksanakan. Jual beli tidak dapat berlaku dengan berkesan sehinggalah moraliti perniagaan menjadikan kontrak itu mapan dan tidak mahal—sebagai contoh tidak perlu sentiasa menyaman pihak-pihak yang melanggar kontrak. Pelaburan dalam perniagaan yang produktif tidak dapat berkembang sehingga imbuhan tinggi daripada korupsi dikurangkan. Kapitalisme yang berteraskan keuntungan kerap bergantung kepada sokongan nilai-nilai lain yang telah terinstitusi.

Kepatuhan dan tanggungjawab undang–undang dan moral yang berkaitan soal jual-beli baru–baru ini semakin susah dikesan, ini adalah disebabkan oleh perkembangan pasaran sekunder yang pesat melibatkan derivatif dan instrumen kewangan yang lain. Pemiutang subprima yang menipu peminjam dalam mengambil risiko yang kurang bijak kini boleh melepaskan aset kewangan kepada pihak ketiga–yang jauh daripada transaksi asal. Kebertanggungjawaban telah melemah dan keperluan untuk pemantauan dan regulasi telah menjadi semakin kuat. Namun, peranan pemantauan kerajaan di Amerika Syarikat terutamanya, dalam tempoh yang sama, berkurangan mendadak, akibat bertambahnya kepercayaan terhadap sifat pengaturan kendiri (self – regulatory) pasaran ekonomi. Secara tepatnya, ketika keperluan terhadap pengawasan negara meningkat, yang terjadi ialah berkurangnya pemantauan yang diperlukan itu. Terdapat kesan daripada bencana yang bakal terjadi, yang terjadi pada tahun lepas, dan hal ini sememangnya penyumbang besar kepada krisis kewangan yang melanda dunia hari ini. Kekurangan regulasi terhadap aktiviti kewangan mempunyai implikasi bukan sahaja terhadap amalan tidak absah tetapi juga kecenderungan kepada spekulasi berlebihan seperti yang dikatakan oleh Adam Smith, di mana ia akan menguasai manusia di dalam kesungguhan mereka mencari keuntungan.

Smith menggelar penganjur-penganjur bagi risiko berlebihan dalam mencari keuntungan sebagai “pemboros dan pengecoh”—yang mana agak tepat dalam menggambarkan pengeluar-pengeluar subprima dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Ketika membincangkan undang-undang terhadap riba, sebagai contoh, Smith inginkan peraturan yang melindungi rakyat daripada “pemboros dan pengecoh” tersebut yang menganjurkan pinjaman-pinjaman yang tidak munasabah: Sebahagian besar daripada ibu negara ini dengan demikian seharusnya dilindungi daripada tangan-tangan itu yang berkemungkinan besar akan membuat untung dan mengambil peluang ke atas mereka, dan daripada terperangkap dengan tangan-tangan yang akan membazir dan memusnahkannya.[4]

Kepercayaan mutlak terhadap keupayaan ekonomi pasaran untuk melakukan pembetulan kendiri, yang sebahagian besar bertanggungjawab dalam membuang peraturan-peraturan yang telah mapan di Amerika Syarikat, cenderung untuk mengabaikan aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh pemboros dan pengecoh yang dalam sebilangan perkara akan mengejutkan Adam Smith sendiri.

Krisis ekonomi sekarang ini sebahagiannya adalah dihasilkan oleh salah jangkaan yang sangat besar akan kebijaksanaan proses pasaran itu, dan krisis tersebut sekarang ini diburukkan lagi dengan kebimbangan dan merosotnya kepercayaan dalam pasaran kewangan dan perniagaan secara umumnya—tindakbalas yang nyata dalam reaksi pasaran terhadap rancangan-rancangan stimulus, termasuk rancangan $787 bilion yang diluluskan pada bulan Februari oleh pentadbiran baru Obama. Sebenarnya, masalah-masalah ini telah pun dikenal pasti dalam kurun ke–18 oleh Smith, walaupun telah diabaikan oleh mereka yang berautoriti dalam tahun–tahun kebelakangan ini, terutama sekali di Amerika Syarikat, dan mereka yang sibuk memetik Adam Smith dalam menyokong pasaran tak terkendali.

4.

Ketika kebelakangan ini banyak yang memetik Adam Smith, meskipun tidak banyak yang membacanya, terdapat kebangkitan semula baru-baru ini terhadap idea John Maynard Keynes. Sudah tentu, kemerosotan kumulatif yang kita perhatikan sekarang, yang membawa kita lebih dekat terhadap kemelesetan, mempunyai ciri-ciri Keynesian yang jelas; pengurangan pendapatan sekumpulan orang telah membawa kepada pengurangan perbelanjaan oleh mereka, kesannya menyebabkan merosotnya pendapatan orang lain.

Bagaimanapun, Keynes boleh menjadi penyelamat kita hanya dalam kadar yang tertentu sahaja, dan terdapat satu keperluan untuk melihat melampuainya dalam memahami krisis sekarang. Seorang ahli ekonomi yang penting untuk sekarang ini tetapi kurang dikenali adalah saingan Keynes, Arthur Cecil Pigou, yang seperti Keynes, juga di Cambridge, dan Kings College, ketika zaman Keynes. Pigou lebih prihatin daripada Keynes dalam soal psikologi ekonomi dan cara–cara bagaimana ia boleh mempengaruhi kitaran perniagaan dan membuatkan kemerosotan ekonomi yang lebih teruk sehingga boleh membawa kita kepada kemelesetan (seperti dilihat sekarang). Pigou mengaitkan naik turun ekonomi sebahagiannya dengan “sebab-sebab psikologikal” yang mengandungi pelbagai corak fikiran individu-individu yang tindakan mereka mengawal industri, yang memunculkan kesilapan–kesilapan dari optimisme berlebihan atau pesimisme yang tidak wajar dalam ramalan perniagaan mereka.[5]

Adalah sukar untuk mengabaikan kenyataan pada hari ini, tambahan pula dengan kesan–kesan Keynesian yang mempercepatkan kemerosotan, kita masih lagi dapat merasakan “kesilapan–kesilapan…pesimisme yang tidak wajar.” Pigou memfokuskan terutamanya keperluan untuk mencairkan pasaran kredit apabila ekonomi berada dalam cengkaman pesimisme berlebihan: Oleh itu, jika semuanya adalah setara, berlakunya kegagalan perniagaan akan lebih atau kurang merebak, berdasarkan [sama ada] pinjaman jurubank–jurubank, berhadapan dengan krisis permintaan (atau tuntutan), adalah kurang atau lebih mudah diperoleh.[6]

Walaupun suntikan-suntikan besar kecairan tunai ke dalam ekonomi Amerika dan Eropah, sebahagian besarnya daripada kerajaan, bank–bank dan institusi kewangan itu hingga sekarang masih kekal tidak berkeinginan untuk menyahbeku pasaran kredit. Perniagaan lain juga terus gagal, sebahagiannya sebagai tindak balas terhadap pengurangan permintaan (proses “multiplier” Keynesian), tetapi juga sebagai tindak balas ketakutan berkurangnya permintaan pada masa akan datang, dalam iklim kemuraman umum (proses pesimisme berjangkit Pigovian ).

Satu daripada masalah–masalah yang harus diuruskan pentadbiran Obama, adalah krisis sebenar, yang muncul daripada salah urus kewangan dan kecerobohan-kecerobohan lainnya, yang telah berkali–kali diperbesarkan oleh satu kejatuhan psikologi. Langkah-langkah itu yang sedang dibincangkan sekarang di Washington dan di tempat lain untuk menjana semula pasaran kredit termasuk pembiayaan semula–dengan syarat-syarat yang ketat bahawa institusi kewangan yang diberi subsidi itu sebenarnya meminjam–pembelian aset toksik oleh kerajaan, insurans yang melawan kegagalan membayar balik pinjaman, dan pemiliknegaraan bank. (Cadangan akhir menakutkan banyak konservatif sama halnya seperti kawalan wang awam diberikan kepada bank-bank, membimbangkan ramai orang tentang soal akauntabiliti.) Hasil tindak balas pasaran yang lemah, langkah-langkah pentadbiran setakat ini mencadangkan, setiap dasar-dasar ini hendaklah dikaji sebahagiannya tentang impak ke atas psikologi syarikat–syarikat dan pengguna–pengguna terutamanya di Amerika.

5.

Perbezaan antara Pigou dan Keynes adalah relevan untuk satu lagi sebab. Ketika Keynes sangat–sangat menumpukan persoalan bagaimana untuk meningkatkan pendapatan agregat, dia agak kurang melibatkan diri dalam mengkaji masalah-masalah agihan kekayaan yang tidak setara dan kebajikan masyarakat. Berbanding Pigou yang bukan hanya menulis kajian klasik ekonomi kebajikan, tetapi dia juga merintis ukuran ketaksetaraan ekonomi sebagai satu penunjuk utama untuk taksiran ekonomi dan dasar.[7] Sejak penderitaan rakyat yang serba kekurangan dari segi ekonomi—dan dalam dunia—memerlukan perhatian paling segera, peranan kerjasama sokongan antara perniagaan dan kerajaan tidak boleh hanya dengan berkembangnya sebuah ekonomi. Terdapat keperluan yang kritikal dalam memberi perhatian khusus untuk kelompok lemah di dalam masyarakat bagi merancang satu reaksi untuk krisis semasa, dan pergi lebih jauh untuk menghasilkan perkembangan ekonomi umum. Keluarga–keluarga terancam dengan pengangguran, dengan kekurangan rawatan perubatan, dan dengan masalah sosial serta ekonomi yang memburuk. Keterbatasan bagi ekonomi Keynesian dalam mengenal pasti masalah–masalah mereka menuntut pengiktirafan lebih besar lagi.

Cara ketiga di mana perlu diberi penambahan pada idea Keynes oleh kerana pengabaiannya terhadap khidmat sosial—bahkan Otto von Bismarck pun ada banyak perkara dapat diperkatakan tentang subjek ini berbanding Keynes. Bahawa pasaran ekonomi boleh menjadi sangat buruk dalam menyediakan keperluan awam (seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan) telah dibincangkan oleh beberapa ahli-ahli ekonomi utama pada masa ini, termasuk Paul Samuelson dan Kenneth Arrow. (Pigou juga menyumbang kepada subjek ini dengan penekanannya pada “kesan-kesan luar” urus niaga pasaran, di mana keuntungan dan kerugian tidak terbatas hanya untuk pembeli atau penjual secara langsung.) Hal ini sudah tentu merupakan satu isu jangka panjang, tetapi ia adalah berbaloi untuk disebut seperkara lagi bahawa kesan suatu kemerosotan boleh menjadi lebih ganas lagi apabila penjagaan kesihatan khususnya tidak terjamin bagi semua.

Sebagai contoh, tanpa satu perkhidmatan kesihatan nasional (national health service), setiap kali berlaku kehilangan pekerjaan boleh menghasilkan satu penyisihan besar daripada penjagaan kesihatan yang penting, disebabkan kehilangan pendapatan atau insurans kesihatan swasta berkaitan pekerjaan. Amerika Syarikat kini mempunyai 7.6 peratus kadar pengangguran, yang mula menyebabkan kehilangan yang besar. Adalah berbaloi bertanya bagaimana negara-negara Eropah, termasuk Perancis, Itali, dan Sepanyol, yang hidup pada peringkat yang lebih tinggi penganggurannya selama berdekad–dekad, berjaya mengelak keruntuhan keseluruhan kualiti hidup mereka. Jawapan itu sebahagiannya adalah cara negara kebajikan Eropah beroperasi, dengan insurans pengangguran yang lebih kukuh daripada Amerika dan, malah apa yang lebih penting, dengan perkhidmatan perubatan asas diperuntukkan kepada semua oleh negera.

Kegagalan mekanisme pasaran untuk menyediakan penjagaan kesihatan kepada semua jelas, paling khususnya di Amerika Syarikat, begitu juga kemajuan kesihatan dan kelanjutan usia di China terhenti berikutan pemansuhan perlindungan kesihatan menyeluruh (universal health care) pada tahun 1979. Sebelum pembaharuan ekonomi tahun itu, setiap warganegara China telah dijamin penjagaan kesihatan yang disediakan oleh negera atau koperasi–koperasi, walaupun jika pada suatu peringkat asas. Apabila China membuang sistemnya yang tidak produktif yang melibatkan pertanian kolektif dan; masyarakat dan unit-unit perindustrian yang diuruskan oleh birokrasi, ia dengan itu membuatkan kadar pertumbuhan keluaran dalam negeri kasar meningkat lebih cepat berbanding mana–mana tempat di dunia. Tetapi pada masa yang sama, dipacu oleh kepercayaan barunya dalam pasaran ekonomi, China juga memansuhkan sistem penjagaan kesihatan menyeluruh; dan, selepas pembaharuan pada tahun 1979, insurans kesihatan perlu dibeli oleh individu (kecuali dalam beberapa kes-kes agak jarang di mana negera atau syarikat-syarikat besar menyediakannya untuk pekerja-pekerja dan tanggungan mereka). Dengan perubahan ini, prestasi China dalam soal kelanjutan usia menjadi perlahan.

Hal ini sudah satu masalah apabila pendapatan agregat China tumbuh sangat pantas, tetapi ia terikat untuk menjadi satu masalah yang lebih besar apabila ekonomi China itu menyahpecut dengan pesat, seperti yang berlaku sekarang. Kerajaan China kini berusaha keras untuk beransur–ansur memperkenalkan semula insurans kesihatan bagi semua, dan kerajaan AS di bawah Obama juga komited untuk membuat perlindungan kesihatan yang menyeluruh. Bagi kedua-dua negara, China dan AS, masih banyak lagi yang pembetulan yang perlu dilakukan, tetapi mereka harus menjadi elemen utama dalam menangani krisis ekonomi, serta dalam mencapai transformasi jangka panjang kedua-dua masyarakat.

6.

Kebangkitan semula Keynes mempunyai banyak sumbangan terhadap analisis ekonomi dan terhadap polisi, tetapi jaring jalanya itu harus ditebar dengan lebih luas. Walaupun Keynes selalunya dilihat sebagai figur yang “memberontak” di dalam ekonomi kontemporari, tetapi dia adalah orang yang menjadi guru kepada kapitalisme baru yang menumpukan pada usaha untuk menstabilkan turun-naik ekonomi pasar (dengan hanya memberi perhatian yang relatif kecil pada sebab-sebab psikologi di dalam naik-turun perniagaan). Walaupun Smith dan Pigou mempunyai reputasi untuk menjadi ahli ekonomi yang konservatif, terdapat pelbagai pandangan yang mendalam tentang institusi-institusi bukan pasar dan nilai-nilai bukan untung daripada mereka, berbanding dengan Keynes dan para pengikutnya.

Krisis bukan hanya menghadirkan cabaran yang harus dihadapi. Ia juga menyediakan satu peluang untuk menangani masalah-masalah jangka panjang ketika mana ramai orang bersedia untuk menilai semula konvensi-konvensi yang telah lama terbina. Itulah sebabnya kenapa krisis sekarang ini menjadikannya penting untuk berhadapan dengan isu-isu yang telah lama diabaikan seperti penjagaan alam semulajadi dan penjagaan kesihatan nasional, begitu juga dengan pengangkutan awam yang diabaikan di dalam beberapa dekad sebelum ini dan terus dipinggirkan–ketika saya menulis artikel ini–bahkan di dalam dasar-dasar awal yang diumumkan oleh pentadbiran Obama. Kemampuan ekonomi, sudah tentu adalah suatu isu, tetapi sebagai contoh sebuah negeri di India, Kerala menunjukkan bahawa adalah mungkin untuk mempunyai penjagaan kesihatan yang dijamin oleh negara untuk semua rakyat dengan kos yang sedikit. Semenjak China menghentikan insurans kesihatan menyeluruh pada tahun 1979, Kerala–yang terus menjalankannya– telah mendahului China di dalam soal purata jangka hayat dan di dalam petunjuk-petunjuk jangka hidup bayi, walaupun mengalami kadar pendapatan yang lebih rendah. Jadi terdapat peluang untuk negara-negara miskin juga.

Tetapi cabaran yang lebih besar dihadapi oleh Amerika Syarikat, yang telah pun mempunyai perbelanjaan per kapita yang tinggi di dalam soal kesihatan antara negara-negara lain di dunia, tetapi masih mempunyai pencapaian yang rendah di dalam soal kesihatan dan mempunyai lebih 40 juta rakyat yang tidak terjamin penjagaan kesihatannya. Sebahagian daripada masalahnya ialah sikap orang awam dan kefahaman mereka. Terdapat banyak persepsi yang tidak betul bagaimana perkhidmatan kesihatan kebangsaan perlu diperbetulkan melalui debat-debat umum. Sebagai contoh, andaian yang biasa dibuat bahawa tiada orang yang mempunyai pilihan untuk memilih doktor di dalam sistem perkhidmatan kesihatan di negara-negara Eropah, sedangkan itu tidak benar sama sekali.

Pun begitu, perlunya kefahaman yang lebih baik terdapat pilihan yang ada. Dalam diskusi-diskusi perubahan perkhidmatan kesihatan, terdapat penumpuan yang berlebihan terhadap sistem Kanada–suatu sistem perkhidmatan kesihatan yang menyukarkan orang untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan swasta–manakala di negara-negara Eropah Barat yang menyediakan perkhidmatan kepada semua tetapi membenarkan juga, sebagai tambahan kepada tanggungan negara, praktis swasta dan insurans kesihatan swasta, untuk mereka yang mempunyai wang dan mahu membelanjakannya dengan cara itu. Adalah tidak jelas kenapa orang kaya yang dapat dengan bebas membelanjakan wangnya pada kapal layar dan barang-barang mewah lainnya tidak harus dibenarkan untuk berbelanja pada MRIs atau pengimbas CT. Jika kita mengambil iktibar dari perbahasan Adam Smith di dalam soal kepelbagaian institusi dan meraikan pelbagai kehendak, terdapat banyak langkah-langkah praktikal yang boleh diambil yang dapat menghasilkan perubahan di dalam dunia yang kita diami sekarang ini.

Krisis ekonomi yang dihadapi sekarang ini tidak, pada hujah saya, menuntut kepada suatu “kapitalisme baru,” tetapi krisis itu menuntut kita untuk mendapat kefahaman baru terhadap idea-idea lama, seperti mana Smith dan, yang lebih dekat dengan masa kita, Pigou, yang selama ini banyak kita abaikan. Apa yang diperlukan juga adalah persepsi-persepsi yang jernih bagaimana berbezanya institusi-institusi itu sebenarnya berfungsi, dan bagaimana pelbagai organisasi-organisasi–daripada pasar sehinggalah institusi-institusi negara–dapat melampaui solusi-solusi jangka pendek dan menyumbang kepada wujudnya sebuah dunia ekonomi yang lebih baik

–February 25, 2009

[4]Smith, The Wealth of Nations, I, II.iv.15, p. 357.
[5]A.C. Pigou, Industrial Fluctuations (London: Macmillan, 1929), p. 73.
[6]Pigou, Industrial Fluctuations, p. 96.
[7]A.C. Pigou, The Economics of Welfare (London: Macmillan, 1920). Karya-karya semasa berkenaan dengan ketaksamaan ekonomi, termasuklah sumbangan besar A.B. Atkinson, banyak terinspirasi daripada inisiatif yang dirintis oleh Pigou: lihat Atkinson, Social Justice and Public Policy (MIT Press, 1983).

Diterjemah oleh Nor Aisah bte Yusop dan Ammar Gazali

Bahagian pertama: Kapitalisme Melampaui Krisis (I)