gelombang_besar
Kulit Depan Cetakan Terbaru Gelombang Kebangkitan Asia

Hasmi bin Hashim

Malam sudah berakhir
Padamkan lampu di sudut sempitmu yang dikotori jelaga
Pagi yang agung untuk semua terbit di Timur
Biar cahayanya menerangi jalan kita yang bermakna
.

~ Rabindranath Tagore (“The Myriad-Minded Man”).

Gelombang Kebangkitan Asia, tidak lain adalah sebuah ikhtiar bagi merungkai secebis persoalan pasca merdeka—sebuah dongeng atau akidah politik betapa mengorbankan demokrasi adalah diizinkan. Untuk itu dan ini. Bagaimana kita pernah belajar bagaimana autoritarian juga muncul dengan paras yang muluk dan lembut. Misalnya, slogan “demokrasi terpimpin”, “nilai Asia” mahupun “acuan kita sendiri”.

Maknanya, Barat adalah “Bapak Setan” dan sumbu segala malapetaka ke atas batang tubuh Timur. Nuansa politik sebegini juga membayangkan prejudis dua hala Timur-Barat di era Perang Dingin yang tak kunjung usai, meskipun 1997-1998, tarikh di mana buku ini ditulis, adalah tahun-tahun terakhir menjelang alaf 21.

Sejak tahun akhir di universiti kira-kira 11 tahun lalu, saya sudah membaca buku ini, selain menerima khabar ia dibakar habis pada 2001 bagi mengelak pengaruhnya yang tidak cocok dengan pemerintah. Seperti yang disinggung Anwar Ibrahim di dalam kata pengantarnya, buku ini dianggap “tidak mungkin tertulis” kalau tanpa sikap berlapang dada Perdana Menteri ketika itu.

Dalam kata lain, orang pertama yang ‘dibimbangi’ bisa terhentak seraya terguris hatinya kesan gagasan pembaharuan di dalam Gelombang Kebangkitan Asia tidak lain adalah Dr Mahathir Mohammad sendiri.

Saya membayangkan, Anwar bisa bersabar dalam perbezaan pandangan dengan Dr Mahathir menyentuh hal-hal furuk dan rantingan seperti dua-tiga persoalan kaedah pentadbiran negara, prinsip menyentuh dasar membantu golongan terpinggir (affirmative action) sehinggalah ketegasan mengkritik Barat. Tetapi, itu semua bukan alasan untuk soal prinsip asas dikhianati seperti praktis demokrasi dan kebebasan; selain keadilan dan kebenaran.

Kesedaran yang barangkali sederhana ini merupakan nyawa yang cuba ditiupkan kepada, khususnya generasi muda, agar punya upaya keluar daripada lingkaran pemikiran lapuk yang melelahkan. Puisi Muhammad Iqbal dalam Zabur-e Ajam lalu dikutip:

“membakar semangat baru
untuk bangsa dan zaman ini;
memberi nyawa baru
pada jasad yang telah tua.”

Meskipun Anwar tidak menafikan bahawa wujudnya krisis nilai antara Timur-Barat, bahkan beberapa budaya dan pemikiran Barat yang—sukar, atau—tidak boleh dipertahan, arakian itu semua bukan justifikasi kepada amalan autokratik apatah lagi sikap kediktatoran bagi mana-mana pemerintah di Asia. Timur atau Asia perlu juga melihat ke dalam-dalam dirinya sendiri.

Kritik Anwar tentu sahaja tidak lepas daripada negara majoriti umat Islam yang hampir tidak wujud satu contoh negara demokrasi yang subur. Hanya dewasa ini, kita bisa menyebutkan contoh seperti Turki dan Indonesia—meskipun selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, negara ini juga dikatakan satu-satu negara Islam yang demokrasinya boleh dibanggakan. Tetapi, semakin hari semakin menguncup.

Ternyata selain daripada dalih pembangunan, nilai Asia mahupun Islam telah digunakan oleh pemimpin yang bengis untuk terus mengacip dan mengekang demokrasi. Di sinilah garis pemisah antara Anwar-dengan-Dr Mahathir.

Saya percaya, Dr Mahathir tahu itu. Tapi, beliau bolehlah dikatakan terlambat untuk mengubah arah pacuan politik dan kekuasaannya yang diwarisi daripada retorika ramai pemimpin Asia sebelum beliau. Sikap keras terhadap Barat tidak melambangkan ketegasan yang perlu, melainkan keangkuhan kepada sedikit pencapaian termasuk apabila Asia dikatakan muncul sebagai kuasa baru ekonomi.

Jendela gagasan baru yang dibuka Anwar ialah kenyataan bahawa di Asia, daripada kekayaan tradisinya, termasuk kekuatan ugama dan kepercayaan yang berakar kuat, adalah sebuah tamadun yang menjunjung kebebasan. Contoh yang dipetik daripada ucapan Pico della Mirandola tentang “Karamah Insaniah” adalah contoh penting. Dari sana, ternyata Barat bukan sahaja pernah mengambil ikhtibar daripada pesanan Islam, yang, diabaikan oleh Muslim sendiri. Ramai sejarahwan percaya, daripada konsep tersebutlah maka Barat dapat keluar daripada Zaman Gelap… menciptakan Zaman Kebangkitan dan Pencerahan mereka.

Mauduk daripada peristiwa itu, tentulah persoalan mengapa Asia dan Umat Islam tidak mahu segera menggariskan demokrasi daripada perspektif mereka sendiri (?); selain daripada hanya terus menuding Barat itu dan ini. Faham lapuk sebegini, termasuk di kalangan pemimpin Islam, perlu dikikis… juga ditambah keinsafan bahawa terlalu sedikit jumlah negara majoriti umat Islam yang mempunyai kebebasan dan demokrasi.

Adalah sesuatu yang sukar dimengertikan bagaimana masyarakat di Asia dan Umat Islam nampaknya sekalipun begitu ‘selesa’ dicengkam dan berada di bawah pemerintahan sama ada monarki, diktator mahupun autokratik atau kuku besi. Retorika mengongkong dan semakin tertutup diterima dengan begitu meluas sama ada di dalam karya sastera sehinggalah ke atas pentas politik pemerintahan.

Pemikiran sebegini juga terbias di dalam sistem dan kebijakan ekonomi—tentunya Malaysia sekali lagi contoh yang sangat sepadan. Dasar perlindungan demi menjamin kejayaan sesuatu projek pemerintah, akhirnya memakan korban kalangan rakyat. Lihat sahaja bagaimana kita terpaksa membayar kadar yang begitu mahal untuk barangan yang tidak secocok kualitinya. Dalam kata mudah, campurtangan pemerintah di dalam pasaran sesungguhnya merugikan rakyat yang berada di dalam pasaran itu sendiri.

Menyingkap sirah Rasullullah S.A.W., Nabi Muhammad pernah menunjukan sikap tidak mahu campur tangan di dalam pasaran apabila baginda, diriwayatkan oleh Ibn Majah ketika diminta para sahabat menentukan harga, jawab Nabi: “Hanya Tuhan yang menentukan harga.” Secara langsung, “sistem titah” atau “command economy” tidak menjadi amalan Nabi.

Peristiwa ini diangkat kembali di dalam bab “Akhlak dan Ekonomi”, sub judul “Jalan Tengah”. Ia boleh terduga sebagai persiapan Anwar untuk menolak idea lebih genting di dalam menentukan kebijakan ekonomi di dalam bab seterusnya. Di sana, dengan jelas Anwar segera mengutip pandangan “ekonomi pasar” yang diperkenalkan oleh J.M. Keynes. Meskipun tidak ada perincian pro-kontra sistem ekonomi yang pro pasar, Anwar hanya meninggalkan amanat betapa kesemua tindakan harus tetap dengan nilai kemanusiaan sebagai mengelak kegagalan ideologi dan tafsiran ekonomi ala Marxisme.

Perbedaan “kebangkitan” yang berpotensi muncul dari bumi Timur, dikatakan apabila ia berteraskan nilai moral dan akhlak secara mapan; di sinilah titik beda Timur-Barat. Barat, yang bangkit, adalah Barat yang telah mengorbankan begitu banyak nilai asas di dalam masyarakatnya. Dengan mempertaruhkan kekuatan akhlak, maka Asia dilihat mampu menjelma dan berdiri lebih ampuh daripada yang pernah kita lihat pencapaian yang ada di wilayah bukan Asia. Makna “manusia nahdah” yang diungkap Anwar tidak boleh terlepas daripada asas ini.

Kritik bekas Menteri Pelajaran (1986) juga tidak lepas daripada sikap bermalas-malasan terhadap ilmu. Anwar tidak berbicara secara tipikal tentang “dasar pendidikan”, tetapi menjurus kepada isu lebih besar dan dasar. Ada catatan pantas di mana beliau juga membezakan antara makna menghayati ilmu dengan seseorang yang hanya menyadap seribu satu maklumat.

Peringatan klasik ini semakin releven ketika dunia sedang mara ke arah era maklumat sementara “maklumat” bukan segala-galanya demi membantu menunjuk jalan mencapai keputusan tepat. Tak lain, hanya ilmu yang “penuh kelazatan” itu, akhirnya mampu mengekalkan kejernihan akal-budi manusia untuk membuat keputusan; memilih antara fitrah mahupun ketamakan nafsu serakah.

Buku ini barangkali dengan sengaja memakai kata nama “Asia”, tetapi ia akhirnya tetap secara senyap-senyap mendarat di bumi di mana ia dituliskan.



*Disediakan untuk bacaan bengkel penulisan di Universiti Terbuka Perak (UREKA), Taiping Perak pada Sabtu, 17 Oktober 2009 anjuran Perakexpress.com

Anwar Ibrahim Buku Gelombang Kebangkitan Asia Hasmi Hashim

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan