Semalam, saya bersua dengan A.S. Byatt. Dia berada di National Humanities Center, di sini di North Carolina. Saya rasa tempat itu berada di kawasan luar Durham, lebih kurang sepuluh minit dengan kereta dari kampus Universiti Duke. Sehari yang lepas beliau telah memberikan bacaan daripada novelnya tetapi saya tidak dapat hadir. Saya gembira kerana berpeluang menghadiri dialog beliau dengan seorang profesor dari jabatan saya, Toril Moi. Walaupun lewat lebih dari lima belas minit kerana kendala pada arah peta, tetapi saya lega kerana tidak terlepas banyak dari apa yang dibincangkan.

Dia di atas pentas, kelihatan tegap dan baik sekali untuk seorang yang berumur 72 tahun. Beliau berbicara di dalam telor yang selalu terdengar di dalam lingkungan-lingkungan dalaman Oxbridge. Sememangnya dia datang dari keluarga yang terhormat, kakaknya adalah Margaret Drabble. Pun begitu dia tidak bercakap apa-apa berkenaan keluarganya di dalam dialog dengan Toril itu. Apa yang banyak disentuhnya ialah tentang proses pembentukan kehidupan sastera dan intelektualnya yang menuntun beliau menjadi seorang penulis pada hari ini. Dan dia juga menyentuh tentang buku terbarunya, The Children’s Book–saya berjanji pada diri sendiri akan membaca buku ini.

Pertama kali saya bertemu A.S Byatt ialah ketika masih muda–tatkala belajar di Universiti Malaya di Kuala Lumpur–di perpustakaan British Council yang sudah tiada sekarang ini (sudah dipindahkan ke bangunan baru di tengah kesibukan lalu lintas namun mempunyai akses pengangkutan awam yang lebih baik). Saya tidak dapat mengingat bukunya yang mana pertama saya baca. Sebahagiannya, segan untuk saya nyatakan tidak habis saya baca, walaupun saya amat sukakannya di saat mula-mula saya membaca buku itu. Ini adalah kerana tuntutan masa, dan juga bergulirnya keutamaan yang wujud dari diri seorang anak muda, seorang mahasiswi yang ingin merasai hidup dan melihat dunia yang pelbagai warna. Mungkin kerana itulah saya menyukai karya-karya Byatt terutamanya The Matisse Stories, sebuah antalogi cerpen yang terinspirasi daripada Henri Matisse, seorang pelukis Impresionis. Koleksi cerita itu sangat bersifat psikologikal terutama sekali watak-watak protagonis perempuannya, Saya sedar sekarang bahawa saya dapat memahami cabaran yang dihadapi oleh watak-watak tersebut dengan lebih sebagai seorang perempuan dewasa, berbanding ketika masih mudah remaja.

Walaupun beliau juga menulis tentang manusia biasa, watak-wataknya yang cemerlang tetaplah mempunyai personaliti yang mengagumkan. Mengagumkan dari segi kecerdikan dan kepintaran, mempunyai tarikan fizikal dan karisma. Terutama sekali watak perempuan. Bagaimana sekali saya ingin menjadi seperi Frederica di dalam novel kuartetnya, (The Virgin in the Garden, Still Life, Babel Tower and A Whistling Woman), walau pun sudah tentulah Frederica bukannya tidak pernah menghadapi jerih susah. Dia hidup ketika zaman revolusionari wanita dan mahasiswa yang mengujakan sekali di England, hidupnya dirunut daripada zaman beliau masih kanak-kanak perempuan sehinggalah menjadi seorang perempuan pertengahan umur yang juga seorang selebriti. Dia dan kumpulannya terdiri daripada watak-watak yang cemerlang dan berbakat, walaupun sebahagiannya adalah watak pinggiran yang tidak berkembang dan layak dilupakan. Buku terakhir kuartet itu, The Whistling Woman, melabuhkan tirai cerita yang tidak diselesaikan daripada tiga buku-buku sebelumnya itu, dengan banyak kilas belakang, retrospektif, renungan-renungan senyap tentang teori-teori yang menjadi perdebatan hangat masa itu dan watak-watak utama yang berkembang menjadi lebih stabil setelah mereka mula berdamai dengan masa lalu, pelaburan intelektual mereka dan juga peristiwa-peristiwa yang berkelindan di dalam hidup mereka dengan cara yang tidak dijangkakan.

Sudah tentu, ingin sekali untuk saya dapat menulis sebuah cerita, walaupun ia adalah karya non-fiksi, yang padat dengan watak-watak dan personaliti yang akan diingati, walaupun jika personaliti itu bukannya manusia. Byatt sendiri mengatakan, ketika dialog itu, bahawa untuk menulis cerita-cerita yang besar, yang berkembang menjadi banyak jilid, memerlukan sejenis ‘urutan-plot’ yang dapat digerakkan dan ditarik-gerak bersama. Jika tidak, seseorang itu akan menghilangkan minat pembacanya. Beliau bercerita bagaimana dia cukup umur secara intelektualnya ketika era High Modernisme, tika mana ramai penulis berusaha keras menulis cerita tanpa urutan-plot. Beliau berbicara bagaimana dia pernah membaca semua buku tentang subjek itu walaupun hanya bertujuan untuk menulis sebuah cerpen tentang seseorang penyair atau penulis.

Tambahnya juga, di dalam kerjaya akademiknya, daripada ijazah pertama hinggalah ijazah pasca-sarjana, dia tumpukan kepada puisi. Namun, satu-satunya karyawan (pengarang esei) yang pernah ditulisnya ialah Smollett, kerana dia membenci kesusasteraan abad ke-18 dan Smollett satu-satunya literati yang dia tidak menganggap jijik. Bukan sahaja itu, beliau bahkan mencuba untuk mengingat apa sahaja yang dibacanya (sudah tentu tidak mengorbankan soal pemahaman) untuk dia merasakan cukup berjejak pada karya siapa sahaja penyair yang dikajinya. Saya teringat ibu saya memberitahu bagaimana dia perlu menghafal baris-baris dan stanza-stanza ketika dia belajar Sastera Inggeris untuk Sijil Tinggi Persekolahan. Shirley Lim, seorang penulis Asia Amerika (sebelumnya adalah rakyat Malaysia) menulis hal yang serupa di dalam memoirnya, Among the White Moon Faces. Saya pasti teman-teman sastera saya yang membaca akan turut merasa simpati.

Byatt sendiri mempunyai personaliti yang mengagumkan. Walaupun adanya sikap tahan diri Inggeris, seorang dapat menanggap keghairahannya ketika dia menjelaskan dirinya sebagai “pencipta benda-benda,” seorang yang berfikir menerusi objek-objek. Dia melihat novel sebagai sarana penggunaan struktur utama bahasa untuk menggambarkan kepelbagaian dan warna-warni dunia. Dia percaya bahawa, untuk memahami dengan mendalam bahasa ibunda seseorang, seseorang haruslah dan perlu belajar bahasa-bahasa lain. Baginya, akal adalah ibarat sebuah jaringan bahasa yang mempamerkan. Beliau melihat dirinya sebagai seorang penulis realis yang menggunakan realiti untuk menganyam cerita-cerita seperti mana penglipur lara zaman bahari, yang terbentuk di tengah pencapaian-pencapaian sejarah idea dunia Barat (terutama sekali di dalam konteks Anglo/Eropah).

Karya terbarunya, The Children’s Book, tumbuh daripada rasa terpesonanya pada kehidupan penulis-penulis buku cerita kanak-kanak dan kehidupan anak-anak mereka sendiri. Seorang daripada hadirin bertanya adakah dia mengambil inspirasi untuk watak protagonisnya daripada E Nesbitt, jawapnya tidak. Tetapi dia berminat dengan kejadian-kejadian psikologikal di dalam kehidupan para penulis tersebut yang mana karya mereka menjadi klasik di dalam sastera kanak-kanak dan kompleks Peter Pan yang terdapat pada diri mereka. Bayangkan hal tersebut, dan kemudian bayangkan kondisi skizofrenik dan delusi yang biasanya terdapat pada penulis kreatif dan wujud pada proses kreatif (walaupun ungkapan klise mungkin benar di sini; oleh kerana kamu tidak difahami orang tidak bermakna kamu seorang seniman atau penulis).

A.S. Byatt pernah mengajar sastera di Universiti College London tetapi telah melepaskan jawatannya. Bagaimanapun, dia tidak pernah mengajar penulisan kreatif, walaupun dia tidak mempunyai masalah dengan penulis yang mengajar penulisan kreatif. Tetapi yang pentingnya, sebelum seseorang menjadi kreatif, adalah penting untuk belajar menulis dengan baik. Seperti apa yang dikatakan dengan selamba,”seorang tidak dapat melanggar sebarang hukum sebelum dia mengetahuinya.”

Saya gembira saya dapat hadir semalam. Musim panas yang lalu, sebelum pulang ke Malaysia, saya membaca semula Possesion. Kemudian, saya memberinya kepada seorang teman untuk disimpan. Bagaimanapun, saya sudah mengambil kembali. Sekarang, buku itu menungguku, di rumah orang tuaku, untuk dibaca ketika saya kembali pada cuti musim dingin nanti. Di sini bersama saya, naskhah lama The Biographer’s Tale yang mana saya sudah membaca tetapi belum pun menamatkannya. Mungkin sekarang adalah waktu yang terbaik, dan tidak menghiraukan apa-apa yang melintang.

Adalah A.S. Byatt, seorang penulis yang saya dengan pasti dapat katakan telah mentakrifkan saya sebagai pembaca.

Clarissa Lee, sedang menyiapkan Ijazah Kedoktoran di Duke University.