budak_mahfouz

“Sudah tiba masanya kau jadi orang yang berguna”. Kata ibu. Ibu menyelukkan tangan ke dalam saku sambil berkata: ” Ambil duit ini dan pergi beli kacang ful. Jangan bermain di tengah jalan dan jauhkan diri dari kereta-kereta keldai

Aku ambil pinggan, memakai kasutku, lalu terus keluar sambil menyanyi . Aku nampak orang ramai bersesak-sesak di hadapan penjual kacang ful , maka aku pun menunggu peluang ke kaunter yang diperbuat dari marmar dan aku menjerit dengan suara nyaring

“Pakcik, satu duit kacang ful ”

Dia terus menyoalku..” Ful sahaja? Dengan minyak ? atau mentega?.

Aku tidak dapat menjawab , lalu pakcik itu berkata kasar,” Beri laluan pada orang lain!” Aku berundur, penuh dengan rasa malu, dan pulang ke rumah dengan kecewa.

” Kau pulang dengan pinggan kosong?!” jerit ibu padaku.” Budak nakal! Ful tumpah atau duit kau hilang,

“Ful sahaja? Dengan minyak? Atau mentega? Kenapa ibu tidak beritahu!.” bentakku.

“Bahlul, Apa yang kau makan setiap pagi?”

“Saya tak tahu ”

” Kau memang bahlul, cakap ful dengan minyak!”

Aku pergi semula ke penjual ful dan meminta: “Pakcik, satu duit ful dengan minyak”

Mukanya berkerut hilang kesabaran, dia bertanya,” Minyak rami? Minyak sayur? Minyak zaitun?.

Sekali lagi aku tidak dapat menjawab

” Beri laluan pada orang lain!”

Aku pulang dalam keadaan marah kepada ibu. Ibu menjerit berang.” Kau pulang sepertimana kau pergi, tiada kacang ful dengan minyak?”

“Minyak rami? Minyak sayur? Minyak zaitun? Kenapa ibu tidak beritahu.” Aku menjawab dengan marah.

“Kacang ful dengan minyak bermakna kacang ful dengan minyak rami.”

” Manalah saya tahu”

“Kau bahlul, dia itu pula buat orang hilang sabar, katakan kau mahu dengan minyak rami”

Aku keluar segera dan memanggil penjual ful itu walaupun masih jauh bermeter-meter daripada kedainya.” Pakcik, kacang ful dengan minyak rami”

Aku berhenti, tercungap-cungap, kepalaku betul-betul di hadapan kaunter marmar itu. Aku ulang dengan bangga.” Pakcik, ful dengan minyak rami”

“Letak duit di atas kaunter”. Kata lelaki itu, sambil memasukkan senduk ke dalam belanga.

Aku menyeluk poket tetapi tidak mendapati duit. Aku memeriksanya dengan risau. Aku membalikkan poket ke luar ke dalam tetapi masih tidak menjumpainya. Penjual itu mengosongkan kembali senduknya, lalu berkata dengan mengejek.” Kamu sudah menghilangkan duit itu, kau memang budak yang tidak boleh diharap”

Aku melihat ke bawah kaki dan sekitarku. “Saya tak hilangkan, Ia memang berada di dalam poketku sepanjang masa”.

“Beri laluan pada orang lain dan berdoalah pada Tuhan- Ya Fattah , Ya Alim. Aku kembali kepada ibu dengan pinggan kosong. Sekali lagi ibu menjerit ” Budak celaka! Kau ni bebal sangat ke? ”

“Duit”

“Apahal pulak?”

” Tiada dalam poketku”

“Kau beli gula-gula ?”

“Sumpah tidak”

“Macam mana boleh hilang?”

“Saya tak tahu”

“Kau bersumpah dengan Quran kau tidak membeli apa-apa?

“Saya bersumpah”

“Poket kau bocor?”

“Tidak”

“Mungkin kau sudah beri penjual itu pada kali pertama atau kali ke dua?”

“Mungkin”

“Kau tak pasti apa-apa pun?”

“Saya lapar”

Ibu mengeluh dan berkata

“Ya Allah! Aku bagi kau duit lain,tetapi aku ambil dari tabung kau, kali ni kalau kau pulang dengan pinggan kosong lagi, aku patahkan leher kau.”

Aku keluar berlari sambil bermimpikan sarapan enak.Di selekoh menuju ke tempat penjual ful , aku terlihat sekumpulan kanak-kanak dan aku dengar tepukan- tepukan gembira. Kakiku terasa berat dan hatiku seperti ditarik kepada mereka. Sekurang-kurangnya biarlah aku lihat sepintas lalu. Aku mencelah di antara mereka, dan tiba-tiba seorang tukang silap mata merenung tepat ke arahku. Kegembiraan meliputi diriku. Aku benar-benar lupa diriku. Aku leka memerhatikan permainannya bermain dengan telur, arnab, tali dan ular. Bila lelaki itu menghampiri kami untuk mengutip duit, aku berundur dan berbisik pada diriku,” Aku tiada duit”

Dia datang ke arahku dengan ganas, aku lepaskan diri dengan susah payah.. Aku berlari, belakangku hampir retak disebabkan pukulannya. Namun aku rasa amat gembira kerana sampai juga kepada penjual ful.

“Pak cik, kacang ful seduit dengan minyak rami”. Kataku

Penjual itu hanya memandangku tetapi tidak bergerak, aku meminta sekali lagi.

“Bagi aku pinggan” penjual itu meminta dengan marah.

“Pinggan! Mana pingganku? Terjatuh sewaktu aku berlari? Tukang silap mata itu curi?

“Budak! Otak kau memang bukan dalam kepalamu.”

Aku berpatah balik, mencari pingganku yang hilang di sepanjang jalan. Aku dapati tempat tukang silap mata tadi kosong, tetapi suara kanak-kanak di situ menunjukkan dia berada di kawasan berdekatan. Aku berjalan sekitar bulatan kanak-kanak yang mengelilingi tukang silap mata, dan dia mengugut” Bayar atau lebih baik kau pergi!”

“Pinggan” aku bersuara dengan lemah.

“Pinggan apa?, anak syaitan!”

“Pulangkan balik pingganku”

“Pergi, kalau tidak aku jadikan kau makanan ular!”

Dia memang pencuri pinggan.Tetapi aku menjauhkan diri dari tenungan matanya untuk mengelak dari sihirnya. Aku mengalah dan menangis. Setiap kali orang lalu-lalang bertanya mengapa aku menangis, aku menjawab “Tukang silap mata melarikan pingganku”

Dalam kesedihan aku ditarik oleh satu suara “beri laluan”

Aku menoleh ke belakang dan melihat kotak ‘peep show’, dan kelihatan puluhan kanak-kanak meluru ke arahnya. Mereka beratur di hadapan lubang ‘peep show’ di mana seorang lelaki mula menceritakan gambar-gambar dengan gaya menggoda.

“Di sini ada pemuda gagah berani dan perawan paling jelita, Zainat al- Banat.

Air mataku kering, aku memerhatikan kotak itu dengan penuh ghairah, Lupa habis pada tukang silap mata dan pinggan.Tidak mampu melawan godaan. Aku membayar duit dan aku berdiri di hadapan satu lubang bersebelahan seorang perempuan yang berdiri di hadapan lubang yang satu lagi. Gambar-gambar dari hikayat yang memukau bersilih ganti di hadapan mataku. Bila aku kembali ke duniaku, baru aku sedar duit dan pinggan telah hilang, dan tukang silap mata hilang tanpa kesan, aku tidak memikirkan apa yang hilang kerana tenggelam dengan gambar-gambar kuda, cinta dan perang. Aku lupa sebenarnya aku lapar. Juga lupa pada ketakutan dari ugutan di rumah. Aku lupa.

Aku berundur beberapa langkah untuk bersandar di dinding lama yang suatu masa dahulu dibina untuk Baitul Mal dan juga tempat Qadi, aku serahkan diriku untuk berkhayal sepenuhnya. Lama aku berkhayal tentang tentera-tentera berkuda, Zainat Al Banat dan hantu. Dalam khayalku aku berkata dengan suara yang boleh didengar dan aku menggerak-gerakkan tanganku dengan pelbagai isyarat. Aku berkata sambil menikam menggunakan lembing khayalan, “Nah, ambil ni ,wahai hantu, tepat menikam jantung kau.”

Satu suara yang lembut datang berkata: “Dan dia mengangkat Zainat al-Banat di atas kuda di belakangnya

Aku menoleh ke kanan dan melihat seorang budak perempuan yang bersamaku sebentar tadi di pertunjukan . Dia memakai baju yang kotor, kasut berwarna- warni dan sedang bermain-main dengan tocangnya yang panjang. Tangannya yang satu lagi memegang gula-gula putih merah yang dipanggil ” lalat perawan”, yang dihisapnya perlahan-lahan. Kami saling perpandangan. Aku jatuh hati dan berkata kepadanya.

“Mari kita duduk berehat”.

Dia kelihatan setuju dengan cadanganku, aku menarik tangannya dan kami masuk ke dalam pintu dinding lama lalu kami duduk di atas tangga yang tidak menghala ke mana. Tangga itu menghala ke atas sehingga ia berakhir pada lantai di mana langit biru dan menara-menara boleh dilihat. Kami duduk diam, bersebelahan. Aku memegang tangannya, kami duduk diam, tidak tahu apa mahu dikatakan. Aku menghadapi pengalaman yang aneh , baru dan samar. Aku mendekatkan mukaku ke mukanya, aku terhidu bau rambut aslinya yang bercampur dengan haruman habuk dan haruman nafas yang bercampur dengan bau gula-gula. Aku cium bibirnya. Aku menelan air liurku yang telah larut dengan rasa manis “nyamuk wanita”. Aku memeluknya, dia diam, aku mencium pipi dan bibirnya. Bibirnya tidak bergerak ketika menerima ciuman, kemudian kembali menghisap gula-gula. Akhirnya dia mahu bangun. Aku memegang tangannya, bimbang. “Duduk”, kataku.

“Saya mahu pergi” dia menjawab bersahaja.

“Ke mana?” aku balas, risau.

“Rumah bidan Umm Ali” dia menunjukkan jarinya ke sebuah rumah yang di tingkat bawahnya terdapat kedai menggosok pakaian.

“Mengapa?”

“Untuk memberitahunya supaya datang segera”

“Mengapa?”

“Mak mengerang kesakitan di rumah. Dia menyuruh saya mencari bidan Umm Ali dan menyuruhnya datang ke rumah segera.

“Awak akan kembali selepas itu?”

Dia mengangguk kepalanya dan terus pergi. Aku teringat ibuku bila dia menyebut emaknya.. Hatiku kecut. Aku bangun daripada tangga tua itu dan terus ke rumah. Aku menangis dengan suara kuat, cara yang teruji untuk melindungi diriku..Aku sangka ibu akan datang menemuiku tetapi dia tidak datang. Aku pergi ke dapur dan bilik tidur tetapi tidak nampak kelibatnya. Ke mana ibu pergi? Bila dia akan pulang? Aku bosan dengan rumah yang tiada orang. Akal mendapat satu fikiran yang bagus. Aku mengambil pinggan di dapur dan duit dari tabungku dan keluar segera ke penjual ful. Aku dapati dia sedang tidur di atas bangku di hadapan kedai, lengannya menutup muka. Mangkuk berisi ful tidak lagi kelihatan, botol-botol minyak telah disusun atas rak dan kaunter marmar itu telah pun dibasuh.

“Pak cik” bisikku, mendekatinya

Dia berdengkur, aku menyentuh bahunya Dia mengangkat lengannya segera dan memerhatiku dengan matanya yang merah.

“Pak cik”

“Apa yang kau mahu!” dia bertanya kasar, dia sedar dan mengenaliku sambil bertanya dengan marah.

” Seduit ful dengan minyak rami”

“Apa?”

“Sekarang saya ada duit dan pinggan”

“Kau gila!” dia menjerit ke mukaku. “Berambus dari sini , kalau tak aku pecahkan kepala kau!”

Bila aku tidak bergerak dia menolakku dengan kasar sehingga aku jatuh terlentang. Aku bangun kesakitan, menahan tangis yang meronta dibibirku. Sebelah tanganku memegang pinggan, sebelah lagi menggenggam duit.. Aku melontar pandangan marah ke arahnya. Aku rasa mahu pulang sahaja ke rumah, tetapi mimpi-mimpi tentang kepahlawanan mengubah perancanganku. Dengan cekal hati aku membuat keputusan segera. Aku melontar pinggan dengan segala kekuatan.. Pinggan itu mengenai kepalanya. Aku melarikan diri dengan cepatnya tanpa menoleh ke belakang. Aku yakin telah membunuhnya, seperti mana wira membunuh hantu. Aku tidak berhenti sehingga aku tiba berhampiran dinding tua. Aku menolah kebelakang, tercungap-cungap, tetapi tiada orang mengejarku.. Aku berhenti sebentar menarik nafas, kemudian aku bertanya kepada diri sendiri apa yang perlu dilakukan kerana pinggan kedua juga telah hilang. Sesuatu mengingatkan aku supaya tidak terus pulang ke rumah. Sebentar kemudian aku menyerah kepada gelombang ketakpedulian yang membawaku ke mana ia suka. Aku tidak peduli tentang pukulan, banyak atau sedikit apabila aku pulang, lebih baik aku tangguhkan hasrat untuk pulang. Ini dia duit di tanganku. Aku boleh berseronok dengannya sebelum dihukum.Aku mengambil keputusan untuk berpura-pura melupakan kesalahanku, tetapi di manakah tukang silap mata? Di manakah kotak peep-show? Aku mencari-cari keduanya tanpa hasil.

Aku diletihkan oleh pencarian yang sia-sia, aku pergi ke tangga lama untuk memenuhi janji. Aku duduk menunggu, mengkhayalkan pertemuan. Aku inginkan lagi ciuman yang penuh dengan haruman gula-gula. Aku merasakan budak perempuan itu telah memberikan padaku suatu perasaan seronok yang belum pernah aku alami sebelum ini. Dalam aku menunggu dan berangan-berangan, aku terdengar bisikan suara dari belakang. Aku menaiki anak tangga dengan berhati-hati, tiba di atas aku meniarap untuk melihat apa yang ada di belakang, tanpa ada orang melihatku. Aku lihat runtuhan yang dikelilingi tembok-tembok tinggi, kesan akhir peninggalan dari pejabat Baitul Mal dan kadi besar . Seorang lelaki dan seorang perempuan duduk pada tepat di bawah tangga. Bisikan itu datang dari mereka. Si lelaki kelihatan seperti seorang pengemis, manakala yang perempuan seperti seorang gipsi pengembala kambing. Suara batin yang curiga memberitahuku bahawa pertemuan mereka adalah sama seperti yang pernah aku alami.Gerak bibir mereka dan pandangan mata menunjukkan ini. Tetapi mereka menunjukkan kebolehan melakukan perkara-perkara yang luarbiasa. Mataku memerhatikan kedua mereka dengan pandangan tajam dengan rasa ingin tahu, hairan, seronok dan sedikit gelisah. Akhirnya mereka duduk rapat bersebelahan,tidak mempedulikan satu sama lain.. Tidak lama kemudian si lelaki berkata,

“Duit ”

“Kau tak pernah cukup” si perempuan menjawab dengan merungut.

Si lelaki meludah ke tanah sambil berkata:” Kau gila!”

” Kau pencuri”

Dia menampar kuat perempuan itu dengan belakang tangannya. Si perempuan menggenggam tanah lalu membalingnya ke muka lelaki itu.Dengan mukanya yang kotor dia menyerang perempuan itu dan mencekik lehernya, mereka bergumpal dengan dahsyatnya. Perempuan itu meronta sekuatnya untuk melepaskan lehernya dari cengkaman tangan lelaki itu. Suaranya hilang. Kedua matanya tersembul.Kedua kakinya menendang udara.Aku terpegun ngeri sehingga aku melihat darah mengalir dari hidung perempuan itu… Jeritan terkeluar dari mulutku. Sebelum lelaki itu mengangkat kepalanya, aku sudah merangkak ke belakang. Aku terjun dari tangga dan lari seperti orang gila mengikut kemahuan kakiku. Aku tidak berhenti berlari sehinggalah nafas aku putus. Nafasku tercungap-cungap dan aku tidak menyedari sekelilingku. Bila aku sedar akan diriku, aku mendapati aku berada di bawah kubah yang tinggi di tengah-tengah persimpangan jalan..Aku tidak pernah menjejak kakiku di tempat itu sebelum ini dan aku tidak tahu di mana tempat itu dari kawasan rumahku. Di kedua-dua sudutnya terdapat pengemis- pengemis buta., dan manusia menyeberang dari pelbagai arah tidak mempedulikan sesiapun. Dalam ketakutan, aku tahu aku sudah sesat jalan. Aku tahu masalah tidak terhingga akan menimpaku sebelum aku menemui jalan pulang. Perlukah aku bertanya setiap orang yang lalu lalang untuk menunjukkan jalan? Apa yang patut aku lakukan sekiranya nasib menentukan aku bertemu lelaki seperti penjual ful atau orang merempat di kawasan runtuh tadi ? Apakah akan berlaku keajaiban di mana aku melihat ibu datang menemuiku dan aku berlari ke arahnya dengan sepenuh hati?. Patutkah aku cuba mencari jalan dengan sendiri, berpusing-pusing sehingga aku menemui tanda yang di mana aku boleh mengenali jalanku?

Aku berkata kepada diriku supaya meneguhkan pendirian, segera tanpa ragu-ragu. Siang semakin berlalu, sedikit masa lagi kegelapan yang ghaib akan tiba.

Diterjemahkan oleh Muhammad Zihni Khalid dari antologi Tahta al-Mizalla.

Cerpen Naguib Mahfouz

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan