Hakikatnya, kita masih belum lagi mengenali selok-belok rumit sejarah kita– tentang penerokaan lanskap kita, penciptaan bandar dan kota, pertembungan budaya-budaya kita, dan juga tangan-tangan yang bertanggungjawab mencanai dan membentuk perkara-perkara itu.

Terletak di tengah jantung “naratif moden” sejarah, Malaysia (Tanah Melayu) merangkumkan naratif besar abad lepas–sebuah naratif perubahan sejarah, budaya, masyarakat dan politik. Imigrasi adalah sebuah ekonomi transnasional moden, merupakan sebuah konsep geo-politik telah terjalin dalam pergerakan manusia menyeberangi segenap benua.

Anak-anak muda lelaki dan wanita India dari pelbagai pelabuhan–Madras, Mumbai dan Kelkata–menanti kapal stim yang akan membawa mereka ke pelbagai sudut dunia; Afrika Selatan, kepulauan Trinidad, Tanah Melayu yang mana mereka ini akan membentuk sebuah liku-liku selirat yang besar, apa yang kemudiannya sekarang ini dikenali sebagai diaspora bangsa India.

Mendarat saja di Semenanjung Tanah Melayu, mereka kemudiannya akan berkhidmat sebagai buruh (sebahagian daripada sistem perburuhan kontrak yang dikenali sebagai kangany) yang membersihkan tanah buat persediaan penanaman dan kemudiannya mengorek tanah untuk memasang landasan besi sebagai permulaan laluan keretapi, hanya dengan dijanjikan makanan, dan mungkin juga sebidang kecil tanah sebagai habuan di akhir perkhidmatan, atau mungkin pulang semula menaiki kapal stim.

Ketandusan, pemujaan pada kegelapan, dan sebuah bidalan Tamil lama mengingatkan–“jangan bermukim di tanah tanpa kuil”. Penerokaan estet-estet dan dorongan keimanan masing-masing membangkitkan usaha ke arah pembinaan kuil, pematuhan amalan agama dan mencipta kelompok yang bersatu atas kepercayaan. Dewa dan dewi–yang berbeza-beza mencerminkan sesuatu harapan, ketakutan dan keinginan sesebuah kelompok–memberi pedoman dan menjaga pahit-getir penyembah-penyembah mereka. Tersuratnya proses ini–sama ada diperingatkan dalam mimpi atau peristiwa yang membawa petanda, akan membuahkan kepada penegakan sebuah kuil, penciptaan sebuah mitos yang bersesuaian dan juga berhimpunnya sebuah jemaah.

Luahan rasa keimanan di kuil-kuil ini kekal pelbagai, berbilang bahasa dan demotik; mengandungi bentuk-bentuk dan ritual-ritual tradisi rakyat yang jauh daripada kepatuhan puritan–dan juga kasta–sesebuah agama hirarki.

Pemilihan dewa-dewi secara semulajadinya mencerminkan fenomena ini. Muneeswaran, tuhan orang-orang Tamil yang menghisap cerut, dengan belati di sebelah tangan bertindak menghalau kejahatan; Subramaniam, atau Murugan, adalah contoh tipikal kesedaran orang-orang Tamil yang mana trisula-Nya menyinarkan cahaya ke seluruh alam. Perawakan yang azali adalah Kali, ibunda dewa-dewi, dewi maut dan kemusnahan, yang menguasai zaman ini, zaman Kali (“Kali Yuga”) yang antara tanda-tandanya adalah kemurungan, persengketaan dan kekacauan yang berpanjangan.

Di zaman ini, “Kali Ma” yang menghancurkan kejahatan, kejahilan dan ilusi, seperti mana perlambangan-Nya dalam tradisi Hindu klasik, yang asal-muasilnya sang Dewi dapat disandarkan kepada perlambangan-Nya dalam pertempuran perang; atau secara metaforanya, di pinggir agama-agama utama. David Kinsley, seorang sejarawan Hinduisme, menulis dengan mendalam tentang Ibunda Dewi:

“Sang dewi Kali selalu digambarkan sebagai mempunyai susuk rupa yang teruk dan menggerunkan. Dia selalunya berkulit hitam atau gelap, selalunya dalam keadaan berbogel, dan mempunyai rambut yang panjang dan kusut. Dia diperhias dengan tangan terputus sebagai bengkung-Nya, kepala terputus menjadi rantai-Nya, subang daripada mayat kanak-kanak dan ular-ular sebagai gelang. Dia juga mempunyai taring yang panjang dan tajam, selalu dibayangkan mempunyai kuku panjang seolah-seolah mempunyai cakar, dan selalu dikatakan terdapat kesan darah di bibir-Nya. Tempat kunjungan kegemarannya menambahkan lagi tabie-Nya yang menakutkan. Dia biasa dipertontonkan sebagai seorang pejuang ganas yang mabuk dengan darah mangsa-mangsanya di medan pertempuran, ataupun di tanah pembakaran mayat, yang mana Dia duduk di atas mayat dikelilingi serigala dan makhluk-makhluk goblin”.

Secara falsafahnya, penyembahan Kali terletak di pusat sistem kepercayaan Hindu–transedennya roh melampaui jasad dan jisim. Menghadap, menyembah dan menyelami sang Dewi dalam diri-Nya yang gelap bertindak sebagai satu bentuk transedensi terhadap ketakutan dan segala yang maya.

Penyembahan Kali, yang selalunya dikaitkan dengan perlawanan terhadap kepayahan, biasanya mengisyaratkan suatu kebangkitan di dalam komuniti bekerja di Semenanjung Tanah Melayu. Di estet-estet, di kawasan setinggan tenaga kerja kasar, yang mana cahaya sangat sukar didapati dan keadaan hidup sangat menekan, menyebabkan daya tarik dewi gelap menjadi semulajadi.

Jelmaan-Nya selalu ada, maka kuil-kuil untuk memuja-Nya pun didirikan serta-merta. Syahdan 80 tahun yang lalu sebuah mimpi telah mengilhamkan seorang pekerja laluan keretapi untuk menanam trisula di rumahnya, memecahkan tanah dan kemudian menjemput dewi Kali untuk masuk bersemayam.

Diwariskan kepada anak perempuannya Muniamma Superaian, dan sekarang diuruskan oleh anak perempuannya pula Gowri Arumugam, kuil ini, Kuil Sri Padhpathira Kaliamman Alayam, yang terletak di Brickfields, menjadi saksi terhadap susur-galur keimanan ini.

Dekat di hati jemaah pelbagai bangsa yang semakin bertambah , sembahyang dan ibadah lazim–semua yang menjadi ciri-ciri keimanan yang hidup–masih lagi diamalkan di kuil ini, kemuncaknya sewaktu pertengahan tahun di mana imej dewi Kali “dibawa berjalan-jalan” sekitar kawasan tersebut saban tahun.

Bulan tersebut adalah bulan Amma (ibunda). Ibadah penyucian dan mandi yang mendahului perjalanan itu adalah simbol kepada pembaharuan dan penciptaan melalui pemusnahan–menurut jalan Kali–terhadap nafsu, penipuan-diri dan kebendaan.

Dalam suasana di mana keberadaan sebuah kuil lama yang sederhana menghadapi cabaran, acara berjalan dan ritual harian–yang asasi dan penuh takzim–diadakan di dalam kuil-kuil seperti ini kekal menjadi satu pengakuan terhadap ekpresi komunal yang telah mencipta kepelbagaian kita–sebuah kepelbagaian yang kini dicabar dengan formalisasi dan institusionalisasi hingga ke peringkat kepercayaan individu.

Eddin Khoo adalah seorang penyair, penulis, penterjemah dan jurnalis, dan juga Pengarah-Pengasas organisasi budaya, Pusaka. Dia telah beribadah di Kuil Sri Padapathira Kaliamman Alayam yang terletak di Jalan Ang Seng, Brickefields semenjak sedekad yang lepas.

Artikel ini telah terbit di akhbar harian The Sun. Diterjemah oleh W.M. Firdaus dan diterbitkan semula dengan kebenaran pengarang.