[singlepic id=6 w=255 h=88 float=left]Bacalah! Membaca akan membawa kita keluar dari kegelapan. Iklim pemikiran Melayu dewasa ini menjadi gelap tentang sikap bangsa Melayu dengan raja mereka. Kalau diturutkan tabiat tidak membaca di kalangan hulubalang-hulubalang taksub kaum, jelaga yang menutupi pemikiran Melayu akan bertambah tebal.

Kita bacalah apa yang disuratkan oleh pendita Melayu Tun Sri Lanang dalam Sulalatus Salatin, juga dikenal dengan nama Sejarah Melayu. Ketepikan sejenak debat di kalangan sarjana siapakah identiti sebenar pengarang  tarikh itu dan di mana ia dituliskan.

Lompat sahaja ke muka surat 193 dalam edisi yang disunting oleh A. Samad Ahmad dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka: “Sekali sepertua Sultan Mahmud Syah bermain dengan isteri Tun Biajid, anak Hang Tuah; pada tatkala itu Tun Biajid tiada di rumah, pergi ke Merba kerana Merba itu pegangannya. Pada suatu malam, Sultan Mahmud pergi ke rumah isteri Tun Biajid; setelah dini hari maka baginda pun kembali. Maka Tun Biajid pun baru datang dari Merba diiringkan oleh orang-orangnya hendak pulang ke rumahnya, maka bertemu dengan Sultan Mahmud Syah yang kembali dari rumah isterinya. Maka Tun Biajid pun tahu Sultan Mahmud bermain dengan isterinya itu; jikalau hendak dibunuh pada masa itu dapat, kerana tiada berapa orang yang mengiringkan …”Hei Sultan Mahmud, demikiankah perkerjaan tuan hamba akan hamba? Sayang tuan hamba tuan kepada hamba, jikalau tuan hamba bukannya tuan kepada hamba, jika tidak lembing ini kuterbang ke dada itu, ubah nama si Biajid anak laksama Hang Tuah.” Naskah Shellabear tertulis: “jika tiada lembing ini kutumbukkan di dada bukan hamba anak laki-laki.”

Mengapa sang empunya hikayat menulis kisah kebejatan moral raja ini? Dan bukan sekali. Dikisahkan juga pembunuhan Tun Ali Sandang yang diarahkan oleh sultan kerana seorang perempuan bernama Tun Dewi. Pada suatu malam Sultan Mahmud ingin ke rumah Tun Dewi, tetapi mendapati Tun Ali Sandang ada bersama Tun Dewi, sultan kembali ke istana tetapi menyuruh seorang pengiringnya Tun Isap membunuh Tun Ali Sandang. Siapakah Tun Dewi? Besar kemungkinan seorang Christine Keeler di Melaka, tatkala kota itu adalah salah sebuah kota dan pelabuhan yang terbesar di dunia di abad ke-15.

Tun Sri Lanang, yang menurut A. Samad Ahmad adalah pengarang Sulalatus Salatin, adalah perdana menteri Kerajaan Johor dengan gelaran Bendahara Paduka Raja di zaman Sultan Alauddin Riayyat Shah III, sultan Johor ke-6 (1597-1615). Beliau dititahkan menulis sejarah raja-raja Melayu oleh Raja Abdullah yang kemudiannya menjadi sultan Johor ke-7.  Titah tersebut berbunyi: “Beta minta diperbuat hikayat  pada Bendahara peri persetua dan peri pertuturan raja-raja Melayu dengan istiadatnya sekali; supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, diingatkan oleh mereka itu; syahadan beroleh faedahlah ia daripadanya.”

Apa yang dimaksudkan oleh Raja Abadullah dengan kata-kata “syahadan beroleh faedahlah ia daripadanya.”? Adakah raja-raja Melayu hari ini membaca Sulalatus Salatin? Apakah membacanya, atau dibacakan kepada mereka, menjadi sebahagian dari pendidikan mereka? Raja Abdullah menitahkan Tun Sri Lang,  sang bendahara, menulis sejarah leluhurnya “supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, diingatkan oleh mereka itu…”

Apa faedahnya kita, dengan “kita” saya maksudkan bangsa Malaysia tanpa mengira keturunan, membaca kembali  Sejarah Melayu , sebuah karya yang ditulis di abad ke-17? Bukankah memadai kita membaca Two Treatises on Civil Government oleh filasuf John Locke, tulisan yang merevolusikan pemikiran politik? Locke mesti dibaca, tanpa menghadham Locke kita tidak akan tahu idea asas politik moden. Politik Malaysia terus kekal separuh feudal, meskipun telah 50 tahun merdeka, meskipun telah memasuki abad ke-21, kerana ahli-ahli politik kita tidak membaca Locke. Wacana politik oleh intelektual dan kupasan politik dalam rencana pengarang dan komentar oleh wartawan veteran Malaysia terus jumud kerana mereka tidak mahu mendekati Locke. Saya tidak pernah tercium pemikiran Locke dari Rahim Kajai, A Samad Ismail dan A Kadir Jasin. Hampir satu dekad saya di dunia wartawan saya boleh membuat kesimpulan begini: semua yang bergelumang dalam dunia ini menghirup udara kejahilan tentang idea asas pemikiran politik dan mereka bangga dengan  kejahilan tersebut.

Tetapi Sulalatus Salatin juga perlu dibaca. Tanpa membaca teks besar ini kita tidak boleh memahami satu institusi penting yang telah diberikan keabsahan oleh perlembagaan, dan insitusi tersebut punya sifat, sejarah dan kebudayaannya.  Meskipun institusi raja-raja Melayu itu diikat oleh perlembagaan, bidang dan batas kuasanya ditentukan oleh perlembagaan, namun kita juga hidup dalam kebudayaan, adab serta kesopanan. Maka hubungan dengan institusi raja-raja Melayu ini bukan sekadar mengikut perlembagaan tetapi juga mengikut adab dan kesopanan.

Bagaimana dan apakah sumber kita hendak mengetahui adab dan kesopanan berhubung raja-raja Melayu? Dalam hal ini buah tangan peninggalan Tun Sri Lanang menampilkan sikap seorang pembesar Melayu kepada rajanya. Bendahara itu secara jelas menyatakan: “maka fakir karanglah hikayat ini…. supaya akan menyukakan duli hadrat baginda.” Tetapi apakah beliau mengorbankan integritinya sebagai seorang penulis dengan memenuhi hikayatnya dengan segala ampu dan pujian tentang kemuliaan raja?

Tun Sri Lanang bukan John Locke meskipun keduanya hidup di masa yang sama. Bendahara itu mendapat titah untuk menulis Sulalatus Salatin pada 1612 sementara risalah Locke yang bertajuk An Essay concerning The True Original, Extent, and End of Civil-Government diterbitkan 1689 diterbitkan secara sembunyi dan tanpa nama pengarangnya. Locke memecah tradisi dan pembuka lembaran baru dalam pemikiran politik dunia sementara Tun Sri Lanang adalah  putera setia zaman dan kebudayaannya. Dia pembesar dalam sistem feudal dan penerus tradisi tersebut.

Dari perspektif zaman kita sistem feudal yang bertunjangkan sistem kekuasaan raja tanpa batas adalah sistem yang banyak kecacatannya. Kita tidak dapat membayangkan untuk hidup kembali dalam sistem seperti itu. Mereka, yang kerana romantisme dan nostalagi ingin menyarankan kita kembali kepada sistem politik zaman tersebut harus diperiksa otaknya. Sistem tersebut amat terdedah kepada kezaliman dan penyalahgunaan kuasa.

Satu-satunya kuasa pengimbang untuk mengelakkan berlakunya kezaliman yang berpunca dari sultan adalah komitmen sultan itu sendiri kepada prinsip moral dan keadilan. Kalau akhlak dan rasa keadilan itu tersemat dalam hati sang raja maka keadilan akan berlaku dalam negeri. Kalau sang raja itu berkelakuan seperti yang diungkapkan “bersultan di mata, beraja di hati” maka negeri akan ditimpa bencana.

Tun Sri Lanang pun menceritakan kehebatan raja-raja Melayu yang berasal dari Bukit Siguntang Mahameru dan menyambung mitos sehingga ke Iskandar Agung. Sultan Johor yang bersemanyam di Batu Sawar mahu dingatkan dan mahu generasi selepasnya diberitahu tetang kehebatan dan luas kekuasaan moyang mereka di Melaka. Tetapi bendahara itu dengan integriti moralnya sebagai seorang penulis dan penyimpan khabar masa lalu menceritakan perilaku kezaliman sultan yang membawa kepada keruntuhan dan penyingkiran sultan dari Melaka oleh Portugis.

Khalid Jaafar, adalah Pengarah Institut Kajian Dasar (IKD).