Binaan tamadun Greek purba di Athens, Greece. Bangunan kuil yang diabadikan untuk ‘dewa-dewa’ mereka. Satu era permulaan skala monumental ke atas senibina.
Binaan tamadun Greek purba di Athens, Greece. Bangunan kuil yang diabadikan untuk ‘dewa-dewa’ mereka. Satu era permulaan skala monumental ke atas senibina.

Hubungan manusia dengan ruang telah wujud sejak terciptanya manusia. Al-Quran menceritakan suasana dan kehidupan Nabi Adam A.S. di syurga sebelum baginda diturunkan ke dunia. Itu juga adalah definasi ruang. Ruang yang paling indah dan sempurna.

Manusia memerlukan ruang sebagai keperluan utama yang antaranya untuk berehat, makan, tidur dan menguruskan hidup. Ruang yang tertutup dan terkawal adalah perlindungan dari ancaman sama ada dari makhluk lain mahupun persekitaran seperti hujan, ribut, salji dan matahari. Tahap panas dan sejuk juga perlu dikawal untuk mendapatkan kadar keselesaan yang optima. Secara saintifiknya, dinamakan kawalan persekitaran (environmental control) di dalam sesebuah ruang tertutup mahupun terbuka. Senibina kontemporari sering bergantung kepada penyaman udara semata-mata. Penyaman udara bukan hanya penyejuk, malah berfungsi juga sebagai pemanas. Istilah ‘air conditioner’ bermaksud menstabilkan tahap suhu yang paling selesa dalam apa jua iklim. Tanpa bantuan penyaman udara, suhu selesa ini boleh juga dicapai. (akan dibincang di kesempatan yang lain).

Definasi ruang juga terlalu luas. Di sebuah padang pasir, sebatang pokok kurma sudah memadai sebagai ruang kepada seorang musafir untuk berehat. Oleh kerana itu, ruang adalah mulia dan perlu dihormati dan dihargai. Dari seasas-asasnya ruang seperti gua yang didiami manusia prasejarah hinggalah ke binaan megah tamadun Greek yang ‘menempatkan’ dewa-dewa mereka. Semua binaan mempunyai maruah yang tersendiri. Terpulang kepada kita untuk menilainya. Kita tidak akan melayan sebuah surau atau masjid sepertimana sebuah tandas atau ruang sampah. Persepsi individu terhadap sesebuah ruang amat berkait-rapat dengan pegangan individu itu.

Menanggalkan sepatu sebelum masuk ke rumah adalah satu amalan paling asas untuk menghormati sesebuah ruang. Satu hubungan pertama antara manusia dan ruang yang dalam konteks ini adalah ruang sebuah rumah. Selain menghormati ruang, tuan rumah juga perlu dihormati tanpa mengira darjat atau kedudukan si polan yang memasuki ruang tersebut. Amalan ini mudah difahami dan diterima hampir semua tamadun manusia. Amalan menjadi adat. Adat, sebahagian dari budaya. Budaya, intisari terpenting sesebuah tamadun.

Tamadun mempunyai ikon dan manifestasinya iaitu budaya, sastera, bahasa dan senibina. Maka dari itu kita telah sedia maklum akan kepentingan senibina di dalam pembentukan sesebuah tamadun. Hampir semua tamadun yang ada di muka bumi ini dikaitkan dengan gaya senibinanya. Ia adalah salah satu kaedah utama untuk kerja-kerja klasifikasi dan penetapan identiti. Apabila disebut sahaja tamadun-tamadun purba seperti Babylon, Mesir, Yunani dan Rom, secara tidak langsung terbayang pada kita akan gayarupa senibinanya. Malah tahap kemajuan sesebuah tamadun yang pada abad-abad seterusnya turut dikaitkan dengan ikon-ikon senibina seperti Eiffel Tower di Paris, Empire State Building di New York, Kremlin di Moscow dan Opera House di Sydney. Semuanya bersandarkan kepada kekuatan imej struktur binaan sebagai identiti.

Selain dari identiti, binaan tersebut adalah maruah, harga diri dan kebanggaan sesebuah bangsa atau negara. Tragedi 11 September 2001 yang meruntuhkan World Trade Center di New York sedikit sebanyak mencalar semangat patriotisme sebahagian rakyat Amerika Syarikat. Apakah binaan ikon yang ada pada New York jika tanpa Empire State Building, Chrysler Tower, Rockefeller Center dan Statue of Liberty setelah benar-benar kehilangan Menara Berkembar World Trade Center? Dan apakah pula maruah dan nilai komersil kota Paris tanpa binaan Eiffel Tower?

Rockefeller Center, sebuah pencakar langit Art-Deco setinggi 70 tingkat.
Rockefeller Center, sebuah pencakar langit Art Deco setinggi 70 tingkat.

Kerajaan Arab Saudi telah membina dua buah pencakar langit di Riyadh sekitar tahun 2001 iaitu Menara Al-Faisaliah dan Kingdom Tower. Berdiri sebagai struktur binaan tertinggi di Riyadh tanpa permintaan ruang pejabat yang mendesak, membuktikan kedua-dua menara tersebut bukan sekadar bangunan. Kedua-duanya adalah simbol kuasa keluarga diraja Arab yang mengekalkan monarkinya sehingga kini dan membuktikan kemampuan dari segi material.Lord Norman Foster, seorang arkitek ternama Britain yang bertanggungjawab terhadap projek Menara Al-Faisaliah menyifatkan binaan tersebut sebagai pintu gerbang kerjasama kejuruteraan era baru diantara kerajaan Arab Saudi dan Britain.

Kewujudan Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur mempunyai kepentingan yang tersendiri walaupun dari segi ‘kewarasan’nya masih boleh dipertikaikan. Selain dari menjana ekonomi secara makro dan pendedahan teknologi pembinaan pencakar langit di kalangan industri pembinaan, ia juga adalah simbol arah tuju pembangunan negara. Ia adalah bukti kemahuan dan kesungguhan Malaysia untuk merealisasikan impian. Inspirasi yang sama sewaktu pembinaan Menara Dayabumi di era kemerosotan ekonomi awal 1980an. Menara Dayabumi adalah simbol semangat ingin maju masyarakat Malaysia di era pasca-industri.

Maka, banyak juga yang tersirat pada sesebuah binaan selain daripada ketulan konkrit, batu-bata, keluli dan kaca. Begitu pentingnya peranan senibina samada dari segi fizikal atau spiritual. Namun masyarakat Malaysia secara umumnya masih lagi melihat sesuatu pada permukaan. Penghayatan senibina masih belum menjadi budaya popular di negara ini. Senibina boleh dihayati, dikaji dan dibincangkan secara terbuka (dengan percuma kerana tiada bayaran dikenakan untuk melihat bangunan, mungkin). Ilmu ini masih lagi berlegar di kalangan para ahli akademik dan pengamal senibina sahaja. Bilakah rekabentuk dan pembangunan sebuah bangunan akan diperdebatkan secara ilmiah di khalayak arus perdana? Masih belum ada sesuatu isu berkaitan senibina yang mencetus fenomena di negara ini.

   Bangunan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan yang dibina pada tahun 1930. Ia jelas menerapkan ciri-ciri hiasan ‘art deco’ pada tampak hadapannya.
Bangunan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan yang dibina pada tahun 1930. Ia jelas menerapkan ciri-ciri hiasan ‘art deco’ pada tampak hadapannya

Di Britain contohnya, banyak perdebatan diadakan di media setiap kali terdapat sebuah projek pembinaan sama ada kecil atau besar yang melibatkan orang awam. Pendapat orang awam, para profesional, ahli akademik dan ahli politik menjadi intisari terpenting di dalam sesebuah perancangan. Sewaktu Zaha Hadid (seorang arkitek ternama yang berasal dari Iraq tetapi menetap di Britain) memenangi sebuah pertandingan merekabentuk Cardiff Opera House sekitar awal 1990an, pelbagai pandangan diberikan terhadap skim tersebut. Ia menjadi sensasi kerana mendapat perhatian media arus perdana. Bagaimanapun, skim tersebut tidak direalisasikan. Sebaliknya, skim lain oleh seorang arkitek Britain diterimapakai untuk didirikan. Isu tersebut tidak penting, apa yang penting adalah betapa perancangan untuk membina sebuah dewan opera menjadi tajuk hangat di media.

Di Malaysia, masyarakat perlu didedahkan dengan pengetahuan tentang senibina secara umum. Ini akan menimbulkan minat mereka untuk melihat sesebuah bangunan pada perspektif yang berbeza. Senibina kita perlu difahami sebelum kita ingin menghayatinya. Sejak dua dekad ini, ahli akademik senibina dan para profesional sering membincangkan isu ke mana arah senibina Malaysia dan apakah identiti senibina Malaysia. Isu sebegini tidak akan menemui kesimpulan yang konkrit kerana identiti adalah sesuatu yang amat kompleks yang dibentuk oleh budaya, gaya hidup, agama dan politik.

Seorang profesor senibina di sebuah universiti di Britain pernah menyatakan bahawa senibina sepatutnya sesuatu yang spontan dan jujur. Kita harus memilih antara Jalan Petaling dan Bintang Walk, yang mana satukah lebih menampilkan ciri-ciri Malaysia. Jawapannya jelas ada pada setiap orang. Oleh itu identiti senibina Malaysia boleh dikenalpasti dan isu ini memerlukan pemahaman dan penglibatan semua pihak termasuk orang awam.

Masjid Negara, dibina pada tahun 1965 adalah salah satu khazanah senibina unggul di Malaysia yang jelas menggabungkan elemen Islam dan Melayu dengan pendekatan ‘bahasa’ era modenisme Mies Van De Rohe dan Le Corbusier.
Masjid Negara, dibina pada tahun 1965 adalah salah satu khazanah senibina unggul di Malaysia yang jelas menggabungkan elemen Islam dan Melayu dengan pendekatan ‘bahasa’ era modenisme Mies Van De Rohe dan Le Corbusier.

Untuk memahami senibina Malaysia memerlukan kita menoleh ke belakang, satu retrospektif terhadap senibina. Ia boleh dimulakan dengan melihat dan mengenal gaya senibina kita di era pasca-merdeka. Era ini sering dilupakan. Apabila menyebut tentang senibina Malaysia, kita akan melihat kepada senibina tradisional Melayu. Seolah-olah terdapat ‘ruang kosong’ di antara senibina tradisional dan kontemporari. Sebenarnya, gayarupa senibina di Malaysia ketika ini banyak ditentukan oleh perkembangan sekitar tahun 1950an, 60an dan 70an. Pengaruh era modenisme di Eropah sekitar tahun 1920an dan 30an jelas kelihatan di kebanyakan bangunan yang dibina terutamanya di Lembah Klang sekitar tahun 1950an.

Maka untuk mempunyai ‘mata’ yang boleh melihat hasil-hasil seni ini kita harus mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan umum mengenai sejarah senibina dan mengenali siapakah Walter Gropius, Mies Van De Rohe, Frank Lloyd Wright dan Le Corbusier.

Ismail Shariff, seorang lulusan dalam bidang senibina dan juga penulis lirik.

Apresiasi Ismail Shariff Kolum Senibina

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan

  1. Maka untuk mempunyai ‘mata’ yang boleh melihat hasil-hasil seni ini kita harus mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan umum mengenai sejarah senibina dan mengenali siapakah Walter Gropius, Mies Van De Rohe, Frank Lloyd Wright dan Le Corbusier …

    “Butakah” aku sekiranya tidak mempedulikan sejarah senibina dan mereka yang tersebut di atas?

  2. sama seperti khalayak yg ‘pandai’ mengulas filem, musik dan sastera…kenapa tak pandai mengulas senibina?…tak perlu bersekolah senibina…cuma perlu mengikuti serba sedikit

    ‘buta’ yang dimaksudkan tidak dapat menilai elemen elemen yang dipaparkan tanpa memahami atau mengenali pengaruh yang ada…mengulas sebuah hasil catan sudah tentu perlu serba sedikit kenal dengan rembrandt, van gogh, dali, picasso mahupun warhol…sama la tu

  3. Seni bina kini telah mejangka dan menjangkau ke peringkat digital dan pasca-digital (dan maksudnya bukan terhad pada perkakasan yg menoreh dan mengcungkil lakaran rekaan). Pemahaman seni bina bukan shj penting utk seni tapi utk mengenali zeitgeist zaman. Tambahan, hasil rekaan yg disebutkan mengambarkan pembikinan falsafah, iaitu ‘nyawa’ dan ‘darah-daging’ ontologi zaman, yg menghasilkan rekaan2 sebegitu.