Hafiz Hamzah

Ada beberapa hal dan perkara yang berkembang sekitar kes Kartika Sari yang perlu dijenguk semula dan dimenungkan. Awal malam tadi–seperti pandangan majoriti yang selalu didengar berkaitan kes ini–tetamu-tetamu di ruang tamu rumah saya mengecam Kartika. Antara kata mereka, “dah buat silap dan kena hukum, nak berlakon menangis pula.” Ada juga yang menertawakan si bapa, yang marah kerana Kartika ‘dipulangkan’ semula ke rumah keluarganya selepas baru saja dibawa pergi dengan van jabatan agama. “Patutnya dia legalah orang tak jadi sebat, ni nak marah-marah pula,” perli yang mungkin kedengaran.

Di kaca tv, ada satu lagi hal yang tambah memperlihatkan kekalutan perjalanan kes ini. Alasan rasmi yang disebut di dalam Buletin Utama TV3 ialah, Penjara Kajang–tempat sepatutnya hukuman sebat berbirat ini dijalankan–tidak mempunyai tukang rotan syariah. Hukuman rotan Kartika tidak sama dengan rotan pesalah sivil, dakwa mereka. Untuk makluman, sehari sebelum itu, alasan yang disogok oleh pihak bertanggungjawab ini ialah ‘bagi menghormati bulan Ramadhan’. Mana satu yang betul? Hal-hal begini boleh main acah-acah?

Tambah menyerikan lagi keadaan ialah kenyataan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein di buletin perdana yang sama; “I don’t know, I don’t know. This is new to us. We have not encounter such case before. Ini kita kena rujuk kepada pakar bidang-bidang berkenaan terlebih dulu.” Ini apa punya cerita?

Saya mempunyai pandangan-pandangan peribadi dan soalan-soalan yang bermain di dalam fikiran. Pertama, Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman ini berdasarkan undang-undang apa? Sebab, menurut kenyataan Hishamuddin, ini benda baru. Adakah ini bermaksud hukuman berkenaan belum termaktub di dalam perundangan Syariah Malaysia sebelum ini?

Kedua, susur galur keseluruhan kes ini hanya memperlihatkan satu perkara; sistem perundangan (mungkin di sini harus dirujuk terus kepada perundangan Syariah) yang diamalkan di Malaysia seperti diperlakukan tanpa konsisten, tanpa ada pertimbangan yang tetap dan saksama. Bayangkan ini; hukuman sudah dijatuhkan, tetapi selepas itu, bila tiba sepatutnya pelaksanaan hukuman dijalankan, semua yang terlibat seperti merasa berdosa. Dan, tolak-tarik tali pun bermula. Ini, sama saja dengan perlakuan memperlekeh dan menghina hukum Syariah itu sendiri agaknya. Tambah menarik, ia dilakukan oleh mereka-mereka yang selama ini kononnya berazam menegakkan hukum Islam ini. Sekarang, siapa yang menjilat ludah? Ini bagi saya hanya dilakukan oleh orang-orang tolol dan hanya yang bahalol akan percaya.

Kes Kartika ini bukanlah potret moral yang besar saya kira jika dibandingkan dengan caca-marba pengendalian kes itu sendiri, terus kepada proses pengadilan yang sepatutnya sudah siap direncanakan. Maka, bagi saya, keluarga Kartika tidak salah untuk merasa marah. Kerana, insiden Kartika ini bukanlah judul sebuah drama swasta tahap rendah seperti yang selalu disogokkan kepada khalayak penonton. Kartika juga sudah pastinya bukan persembahan sarkis yang mahu ditayang sebegitu rupa; ini mengambil kira liputan media yang cukup menjadikan kes ini sensasi. Soalan saya, adakah ini kes moral paling berat untuk diliput sebegitu besar dan secara tersasar dan juling?

Pendapat saya ini jangan disalah baca sebagai menyokong tindakan Kartika merengguk bir dibar. Itu tidak disangsikan. Tetapi, adakah dengan dia merengguk bir itu akan menjadikan Malaysia punah? Dan jika dia seharusnya dijadikan pengajaran kepada umum, tak adakah kes moral lain yang lebih getir? Membunuh misalnya… dan, yang paling keparat ialah rasuah. Apa ini tak menjadi masalah untuk jabatan agama Islam di Malaysia? Mengapa kita tak pernah melihat perhatian yang sebegini serius terhadap kes-kes moral lain?

Dengan itu, jika mahu mengatakan yang coretan pendek ini sebagai tanda sokongan kepada Kartika, maka jawapannya ya. Tetapi konteks sokongan itu juga sepatutnya sudah jelas; bagi wanita itu untuk berdepan dangan sistem perundangan Syariah tempatan yang nampaknya seperti tak siap. Katakanlah Malaysia belum ada satu prosedur Syariah yang jelas bagi ‘pesalah arak’, mengapa hukuman sebat dijatuhkan kepada Kartika? Adakah timbul kepentingan-kepentingan lain di sebalik kes ini? Mahu menunjukkan kuasa pihak-pihak tertentu mungkin? Ini kerana, kita juga telah difahamkan bahawa Kartika mengaku salah dan sudah membayar denda RM5,000 seperti dilaporkan media bukan?

Ini bukan tuduhan yang saya lemparkan. Ini ditunjukkan sendiri dengan cukup terang melalui perjalanan kes ini. Tetapi oleh siapa?; kita mungkin bertanya. Menungkan sendiri, semua cukup jelas untuk dibaca.

Hafiz Hamzah bukan orang yang sama menulis di Mastika. Dia akan mencari celah-celah antara muzik dan sajak dan menjadikan mereka kembar satu darah.

Hafiz Hamzah Kartika Sari Moral

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan

  1. banyak juga yang saya ingin lontarkan..bukannya Mahkamah Syariah tidak alert @ tidak concern dengan masalah moral yang lain, Rasuah ke, bunuh ke..malangnya, itulah bezanya…sebab dalam hal bunuh dan rasuah ada dalam undang2 civil…dan biasanya yang menangkap dan terlibat adalah penguatkuasa agama, baru la dibuat pertuduhan ke mahkamah syariah…macam kes bunuh, rasuah, semua org heret ke mahkamah civil..nak take part macam mane..??lagi 1, sedikit hukuman itu, sebenarnya membuka ruang kepada semua org2 islam berfikir, mungkin dilaksanakan hudud (dalamnya ada hukuman pembunuh, penzina dan pemaabuk)??

  2. Hafiz Hamzah balas:

    Syariah atau Civil, Hudud atau bukan, daripada penjelasan itu yang terlihat hanya satu perkara; kecenderungan untuk terus-menerus menunjukkan keberadaan kuasa (menjatuhkan hukum) itu terhadap HANYA kepada kes-kes halus sahaja. Jadi, untuk apa kita mempunyai banyak saluran kehakiman jika skala kes yang berani ditanggap hanya yang kecil-kecil? Kalau betul ini yang akan terjadi, apa bezanya perlaksanaan hukum hudud, misalnya, berbanding hukum civil yang dikritik teruk itu – dalam konteks perundangan di Malaysia?