[singlepic id=4 w=255 h=88 float=]Eid di Indonesia, dari permukaannya, barangkali tak jauh bezanya dengan Malaysia.

Di ambang Eid, kata-kata seperti “lebaran,” “mudik,” “silaturahmi,” dll mula rancak, bersahut-sahutan, atau mungkin juga bergentayangan. Kata-kata ini menjadi kata lazim, sama lazimnya antara ketupat dan Eid. Mungkin ini tandanya Eid sudah berbudaya dengan ciri-ciri tempatan, biarpun makna awalnya tetap saja harus kembali pada Islam. Sebab itu, Eid di Indonesia tak lagi dikenal dalam bahasa-bahasa Islam, yang khas Arab-nya.

Mithal saja ketupat, itu adalah khas bagi Eid di Indonesia. Seperti juga di Malaysia. Jadi, ketupat bukan khas dari Islam. Menariknya, dalam tradisi sini, ketupat adalah semiotika Eid yang turut mengusung tanda dan makna untuk sebuah kefithrahan, sesuai dengan semangat Eid itu sendiri. Ketupat, kalau menurut H.J. de Graaf dalam Malay Annal (1912), itu berasal dari kata kupat, ngaku lepat, mengaku salah.

Dalam pengalaman Eid di Indonesia, kata ini pertama kali digunakan sewaktu Kerajaan Demak pimpinan Raden Fatah pada abad ke-15. Dewasa ini, ketupat sudah menjadi bahagian budaya kita, menghiasi Eid, dan sudah melampaui tanda kesukuan, tanda kenegaraan, hatta tanda keagamaan sekalipun.

Jadi, Eid, di satu sisi, adalah sebuah budaya yang berkembang. Sebuah organisme. Sentiasa hidup, sama sepertinya frasa Jawa yang popular, “Gusti Allah ora sare.”

Ini bukan retorika. Tapi, ini adalah hakikat perjalanan sejarah. Sekurang-kurangnya dalam sejarah Indonesia, Eid telah diterima melangkaui Islam, bermakna juga melampaui agama-agama lain yang sedia ada. Memang, secara zahirnya masyarakat Indonesia meraikan Eid seperti di Malaysia. Namun, nuansanya jelas sama sekali berbeza. Sejarahnya, pendekatannya, pelaksanaannya, ada perbezaan-perbezaan yang agak menarik.

Pengalaman di Maluku—daerah rempah-ratus itu—barangkali adalah yang paling bitara. Sama sekali tak terfikirkan. Mungkin sama sekali tak pernah ada dalam sejarah di mana sebuah masyarakat yang begitu berlapang dada, serta sanggup menerima perbezaan yang paling genting—dengan seluruh rasa kebersamaan yang sangat tinggi.

Di Maluku, Eid adalah milik bersama; milik Muslim dan Kristian, yang sekian lama hidup bertetangga; aman, dan damai. Satu Eid di mana anak-anak gereja menyanyikan lagu-lagu Islami untuk tetangga agamanya.

Tentu ada persoalan baik untuk ditanyakan, apakah yang menjadi ikatan mereka ini, sampai hujungnya siap mengatasi sentimen keagamaan mereka? Mengapa agama—sebagai sesuatu unsur primordial yang paling klasik—tak mempertajam perbezaan mereka?

Jawapan yang agak bernas ialah kerana agama yang mereka fahami sudah berbaur dengan budaya tempatan, di mana sikretisme agama ini membentuk sebuah keeratan yang memukau. Sebuah pengalaman Islam yang larut dalam budaya tempatan. Mereka juga tak lagi memahami agama sebagai perbezaan, tapi sebagai kekayaan dari kepelbagaian.

Di Maluku, adanya Pela Gandong yang menjadi muafakat tradisi mereka, yang masing-masing menyedari bahawa, pada asalnya mereka adalah berleluhur. Darah Muslim, itu juga adalah darah Kristian. Sama warna. Tak hairan, kueh bruder (bahulu) bertukar tangan sesamanya sewaktu Eid. Semua ini lantaran mereka tak melihat agama sebagai pemisah kemasyarakatan mereka.

Tapi, apakah ini bererti agama telah dikurung menjadi milik peribadi?

Mungkin? Mungkin dalam saat-saat tertentu, agama sebenarnya lebih tenteram dalam batasan tersebut. Agama itu pertama-tamanya adalah sebuah keyakinan, bukan sebuah pemaksaan untuk diyakini. Kita boleh bertanggungjawab pada iman sendiri, sebaleknya kita tak boleh bertanggungjawab pada keimanan yang lain. Sebab itu, masyarakat Maluku, Muslim dan Kristian—dengan seluruh rasa kebesaran—amat betah bergotong-royong untuk membina masjid atau gereja.

Inilah barangkali tanda dari nilai-nilai kesepakatan yang tinggi yang dimiliki mereka, yang jelas melepasi garis keimanan peribadi.

Itu di Maluku. Namun, pengalaman yang hampir sama juga terdapat di wilayah-wilayah lain di Indonesia ini, yang masing-masing ada kekhasannya. Tak mustahil inilah makna terbaik yang terangkum dalam kata “lebaran.”

Kata “lebaran” ini, tentunya memuat jagad makna yang tersendiri, mendalam, yang mungkin indah untuk sebuah eksotikisme keagamaan. Kerana itu, makna “lebaran” itu termuat dalam kesimpulan atas nama kebersamaan, keramahan, kelapangan, dan segala-galanya yang bersifat keterbukaan.

Jadi, tak harus ada kelebaran dalam sebuah permusuhan, seperti tak harus ada kesempitan dalam sebuah perayaan.

Lebaran di Indonesia—sama seperti di Malaysia atau dunia Muslim yang lain—juga adalah hari kemaafan. Hari silaraturahmi. Padanya, tiada Eid tanpa kemaafan. Hari di mana, masa lalu menjadi bahagian dari ingatan untuk masa depan. Lebih tepat lagi, hari di mana untuk membina “sejarah masa depan.” Walaupun begitu, selalu juga kata “maaf zahir dan batin” akhirnya menjadi sebuah kebiasaan, yang kadang-kala kita sendiri keciciran penghayatannya.

Kata “hayat” ini adalah kata kunci pada fenomenologi: penghayatan. Maka, Eid juga sebenarnya sebuah fenomenologi agama—yang kembali pada ruang waktu, khususnya waktu lalu. Tatkala kata “hayat” digunakan, itu menunjukkan dalam agama terkandung dinamika kesedaran. Tapi, apakah itu kesedaran bagi lebaran?

Budaya mudik, itu barangkali antara tanda kesedaran tersebut. Tanda untuk waktu lalu, sama ada manis atau pahit. Manis, kerana keriaan pengalaman waktu kecil, yang sering-sering saja membuat kita tersenyum. Pahit, kerana itu sejarah yang tak mahu dikenang-kenang lagi. Tapi, pada sebahagian kita, kenangan waktu kecil adalah ruang untuk kita melepaskan kelelahan dari kesibukan waktu kini. Dan, saatnya yang tepat, adalah pada Eid.

Tak aneh, di Indonesia, seperti juga di Malaysia, mudik adalah suatu budaya yang amat bermakna. Sebuah ruang budaya untuk “masa lalu.” Dengan batas negaranya yang demikian luas, dengan seluruh halangan fizikal, dengan segenap kepayahan, tentu sekali mudik ini adalah ritual tahunan yang akbar. Dalam makna Islam, mudik ini juga dapat ditafsirkan—sesuainya dengan kepergian Ramadhan—sebagai kembali kita pada fithrah itu sendiri.

Memang, mungkin tak mudah untuk mengakui adanya kefithrahan dalam diri kita. Tapi, paling-paling pun setiap dari kita tetap saja akan menanyakan masa lalu, masa di mana kita bermula, masa di mana kita menganggapnya sebagai bawaan awal pada epistemologi kehidupan kita. Itulah, yang terlekat pada mudik ini. Meskipun Indonesia sarat dengan keragaman suku, keanekaan budaya, kerencaman faham, itu tak bermakna masa lalu mereka berbeza.

Masa lalu mereka terhimpun pada “pengalaman bersama.” Budaya Eid di Maluku, pasti ada perbezaan dengan Minang, dengan Jawa, atau dengan Sunda dan Bugis, dll. Namun, semangatnya, pengalamannya, tetap saja sama; mudik kepada kefithrahan! Dan, salah satu makna dari “pengalaman bersama” ini adalah kepayahan mereka untuk menambah kemungkinan-kemungkinan.

Fithrah, yang tersemi pada Eid itu, secara seninya, juga adalah antara usaha tersebut; membuka kemungkinan-kemungkinan baru. Membuka pilihan-pilihan. Semakin luas kemungkinan, semakin merdeka diri kita. Dan, menerusi kata merdeka inilah tentunya menuju makna akhir dari sebuah Ramadhan yang telah dijalani.

Inilah makna yang dapat ditarik dari kata-kata Imam Ali Abi Thalib sendiri dalam Nahjul Balaghah, “setiap hari yang tak dilalui dengan maksiat pada Allah adalah Eid.” Justeru, Eid yang kita sambut itu sebenarnya adalah hari nirnoda. Setiap hari tanpa noda, adalah Eid. Itulah kemerdekaan yang hakiki!

Namun, apakah kita mampu memikul beban kemerdekaan ini? Ternyata, dalam “pengalaman bersama” juga, kita selalu saja kalah. Kita hanya menang bila memberi sebuah tafsir lain atas kata, “noda” ini

Aqil Fithri adalah editor Ummahonline.com, juga zamil Cendikiawan Awam Asia 2009/2010, Nippon Foundation, Jepun. Ia dapat dihubungi menerusi aqilfithri@gmail.com

Aqil Fithri Eid Indonesia Kolum

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan

  1. Saya sangat menyukai ulasan tentang makna lebaran, terutama petikan terakhir dari Imam Ali. Meski, saya kadang khawatir banyak teman tiba-tiba menjauh kerana syiah telah memerangkap minda saya. He..he..