Institusi dilahirkan oleh idea. Idea dicetuskan oleh tokoh. Dan tokoh pula dibentuk idea, tradisi, perdebatan dan wacana. Tetapi betapa perkasa tradisi sekalipun, tokoh bukanlah sehelai kain putih – tabula rasa – yang akan diwarnai oleh warna-warni persekitaranannya. Tokoh tidak pasif, kalau tidak dia bukan tokoh. Dia memiliki akal aktif, akal yang membuat pilihan di antara yang ada. Bukan sahaja memilih tetapi juga mengkhayalkan sesuatu yang belum ada dan seterusnya mengadakan sesuatu yang masih tiada.

Ambil ruang digital. Sebelum ini tidak wujud, kemudian ia dikhayalkan dan dicipta oleh akal manusia. Ruang konvensional mempunyai tiga dimensi. Lebar, panjang dan tinggi (atau dalam). Tetapi ruang digital tidak menggunakan ukuran tersebut tetapi ia berkemampuan menyimpan lebih banyak dokumen dari ruang konvensional. Internet Archive kini telah menjadi perpustakaan terbesar di dunia, mengatasi Library of Congress. Sekarang perpustakaan internet itu mempunyai 3 petabytes dokumen (1 petabyte= sejuta gigabytes)) dan bertambah 100 terrabytes setiap bulan. Tetapi Google memproses 20 petabytes data setiap hari. Library of Congress menyimpan 130 juta benda, yang mana 29 juta adalah buku. Rak simpanan jika diatur panjangnya akan sampai 530 batu (850 km).

Perkara yang menakjubkan ini tidak boleh berlaku tanpa akal individu, kerana akal indvidu yang mencipta ilmu yang memungkinkan terciptanya teknologi yang membikin ruang digital. Kita sering menyebut teknologi, revolusi demi revolusinya yang mencipta pelbagai ketakjuban, tetapi selalu melupakan akal kreatif manusia yang mengkhayalkan segala itu.

Ada aliran intelektual yang cuba menolak peri utama individu, anti hero atau anti tokoh. Dalam sejarah peranan manusia-manusia besar cuba diperkecil. Sejarah, kata mereka, ditentukan oleh faktor-faktor objektif seperti iklim, tenaga sosial, gerak ekonomi dan sebagainya. Tentunya faktor-faktor objektif ini tidak boleh diketepikan sebagai unsur-unsur yang mengarahkan sejarah. Tetapi tokoh, apa lagi tokoh besar, meninggalkan jejak yang jelas.

Di muncung semenanjung Iberia yang mencecah selat yang menemukan Lautan Atlantik dengan Laut Mediterranean ada sebuah wilayah yang luasnya hanya 2.6 batu persegi. Di bibir lautnya tersergam gunung batu yang dinamakan The Rock of Gibraltar. Jabal Tariq, itulah nama Arabnya, mengambil sempena Tariq bin Ziyat, sang tokoh dari kaum Barbar yang merobah sejarah dunia. Setelah menyeberang selat, Tariq mengumpul tentera di pantai, kemudian membakar segala kapalnya, lantas memberi pidato bersejarah seperti yang dilaporkan oleh al-Maqqari: “Pendekarku, ke mana kalian mahu lari? Di belakangmu laut, di hadapanmu musuh. Pada kamu hanya ada harapan dari keberanian dan kecekalan. Di sini nasib kamu lebih malang dari anak yang di meja tuannya yang tamak haloba. Musuh di hadapan kamu, musuh dengan tentera yang besar dan jumlah manusia yang ramai. Pelindung kamu hanya pedang, dan nyawa yang kamu perlu rampas dari tangan musuh. Jangan kamu sangka aku membakar semangat kamu berdepan segala bahaya yang aku tidak mahu berkongsi. Aku akan berada di barisan hadapan di mana pelung untuk hidup adalah paling tipis.”

Al-Maqqari, yang menulis sejarah itu sembilan ratus tahun kemudian, tentunya tidak mendengar sendiri pidato tersebut. Maka pidato Tariq yang kita baca adalah fakta bercampur imaginasi, sebagaimana Thucydides menulis ucapan Perikles menghormati para perwira Athens yang terkorban mempertahankan demokrasi yang mahu dibunuh oleh Sparta. Perikles dan Tariq adalah manusia-manusia yang mencipta sejarah. Tanpa mereka sejarah akan menjadi lain.

Dalam sejarah mutakhir, mungkinkah Apartheid dihapuskan tanpa Mandela? Mungkinkah iklim dan arah politik Amerika berubah tanpa Obama? Ketepikan persoalan ideologi, samakah sejarah Asia tanpa Nehru, Mao Zedong, Sukarno dan Ho Chin Min? Mereka di dalam arus zaman, tetapi mereka juga penjana dan pemimpinnya.

Wacana meditatif ini dipancing oleh debat yang berlaku dalam Facebook yang dimulai dengan kiriman yang bersifat main-main. Saya menemui pautan dalam status seorang rakan laporan majalah Business Week tentang wabak kegemukan yang melanda Amerika sehingga belanja rawatan penyakit yang berkaitan kegemukan mencecah AS$147 bilion setahun, hampir 10 peratus dari perbelanjaan kesihatan negara kuasa besar tersebut.

Dengan memautkan rencana tersebut saya membuat ulasan dalam status: “Semua ahli politik Malaysia kena tiru Anwar Ibrahim.” Ada yang bertanya, tiru macam mana. Maka saya jawab dengan kuliah pendek: “Kegemukan ini penyakit ahli politik. Setiap kali lepas ceramah ada kenduri, penceramah akan dihidangkan dengan pelbagai hidangan enak-enak – pulut, kambing, nasi minyak, kueh-kueh manis, daging rusa, puyuh jantan, daging unta dara. Hujung minggu ada 10 kenduri kahwin, lagi nasi minyak. Kemudian malas senaman. Walhasil semua dipeluk kegemukan. Tetapi AI paling banyak ceramah dan hadir kenduri. Badan dia tetap slim.”

Kemudian datang ulasan dari Greg Lopez: “Saya harap saudara tidak mempromosi kultus peribadi. Malaysia memerlukan sistem dan institusi, bukannya personaliti-personaliti.” Maka berlaku jual beli hujah yang menyambung perbincangan beberapa minggu lalu berlaku dengan Netthi, mahasiswa dari Kepong, yang bercuti dari Princeton.

Institusi atau individu? Yang mana mahu didahulukan? Begitu ramai di kalangan elit canggih dan kosmopolitan Malaysia mendewakan Mandela, Aung San Suu Kyi dan sekarang Obama tetapi tatkala yang sama mereka teragak-agak, malu alah, dan curiga untuk menjadikan Anwar Ibrahim sebagai pemimpin. Apakah mereka tidak faham mengapa Mandela dipenjarakan begitu lama, dan Aung San Suu Kyi terus ditahan. Apartheid tidak akan bernyawa sehingga senja abad ke-20 sekiranya Mandela tidak merengkok dalam penjara selama 27 tahun.

Taktik yang digunakan oleh regim Umno-BN sama sahaja dengan yang digunakan oleh regim Apartheid dan junta tentera Mynmar. Kepala gerakan dipotong. Apabila kepala diasingkan, gerakan akan patah. Inilah yang berlaku dengan Reformasi 1998. Ramai kelas menengah tidak mahu terlibat kerana pada mereka ia adalah persoalan individu. Nah inilah kekeliruannya, maka termasuk dalam perangkap Tun Mahathir yang ketika itu Perdana Menteri. Segala institusi yang terlibat dalam keadilan telah dihancurkan oleh beliau. Hanya setelah hancurnya institusi tersebut beliau boleh melakukan apa yang beliau lakukan kepada Anwar. Kemudian beliau mengasing dan menumpukan segala brutalitinya kepada seorang individu agar orang lain tidak merasakannya.

Betapa benarnya apa yang dikatakan oleh Anwar ketika itu. “Jika saya seorang Timbalan Perdana Menteri boleh diperlakukan seperti ini apatah lagi rakyat biasa.” Ramai yang tidak mengendahkannya ketika itu. Sekarang kita tahu, sejak 2003 lebih 1,800 mati dalam jagaan polis. Masih ada yang mati, lebih ramai akan mati selepas Teoh Beng Hock.

Kepimpinan Umno-BN s

Pembinaan semula institusi dan sistem adalah satu kemestian. Wacananya perlu diperluaskan dan menggantikan wacana-wacana poyo yang dinaungi oleh universiti dan agensi pemerintah. Saya tidak boleh bayangkan bagaimana professor-professor dan pensyarah-pensyarah ini boleh tahan bersabar dengan wacana ampu-ampuan tersebut. Pastinya mereka tidak sedar sedang melakukan La Trahison des Clercs. Juga mereka yang melihat pembentukan sejarah dari jauh. Di beberapa tempat saya mendengar Anwar Ibrahim mengangkat kata-kata Edmund Burke: for evil to triumph it just take a good man to do nothing. Orang baik berpeluk tubuh, kebejatan akan bermaharaja lela.

Khalid Jaafar, adalah Pengarah Institut Kajian Dasar (IKD).