Amin Ahmad

Saya masih ingat ketika kami di Jalan Telawi, Bangsar. Waktu itu Restoran Darul Ehsan masih ada di sana dan ia tempat biasa bagi kami untuk minum dan makan. Mustaqeem masih editor majalah Siasah dan Pak Khalid punya kolum ‘Tapak Kanan’ di sana. Petang itu kami duduk di Restoran Darul Ehsan dan isu yang timbul ialah perang Amerika Syarikat dan Iraq.

Siapa suka perang? Soalan ini memang sepatutnya tidak perlu ditanya kerana naluri kemanusiaan sememangnya menolak perang. Waktu itu sentimen anti-Amerika cukup tinggi apatah lagi tuduhan Amerika bahawa Iraq mengusahakan senjara nuklear gagal dibuktikan, dan akhirnya Saddam Hussein mati di tali gantung akibat tuduhan lain.

Pak Khalid memang suka memainkan watak devil’s advocate dan bagi mereka yang biasa dengannya tentu faham. Petang itu Pak Khalid tanpa apologetik bertanya kami “sejak bila dunia ini tidak ada perang?”.

Kami diam. Pak Khalid meneruskan kata “zaman Nabi s.a.w. pun ada perang!”.

Pak Khalid membuat keputusan untuk menulis tentang perang bagi kolumnya di Siasah dan ceritanya tentang perang 6 hari.

Saya fikir telahan Pak Khalid mungkin ada benarnya. Jika tidak, masakan ada peraturan-peratusan tertentu berkaitan perang. Kemungkinan ini sangat mencabar untuk difikirkan dan tentu saja umum menolak perang semahu-mahunya.

Saya memiliki beberapa cakera padat (CD) filem perang dan yang terakhir ditonton ialah filem Enemy at the Gates, kisah Perang Stalingrad – Jerman dan sekutunya berperang dengan Tentera Merah Kesatuan Sosialis Soviet Rusia (USSR).

Kisah benar penembak tepat Rusia, Vassily Zaytsev, diadun dengan beberapa ‘babak tambahan’ – misalnya kisah cinta tiga segi Zaytsev, Tania dan Danilov serta babak Sacha, dwi ejen yang menghubungkan Major Erwin König, penembak tepat Jerman dan Zaytsev agar mereka dapat bertembung – ini mengajak saya berfikir tentang situasi perang yang cuba digambarkan. Saya tertarik dengan beberapa ungkapan di dalam filem ini antaranya: “Mereka semua tahu bahawa mereka sedang menuju kematian. Jadi, apabila mereka kembali setiap malam, ia adalah bonus. Setiap minuman dan rokok seperti keraian kecil. Kita harus menerimanya”.

Dan kata akhir sebelum Danilov mati ditembak Major König, penembak tepat Jerman: “We tried so hard to create a society that was equal, where there’d be nothing to envy your neighbour. But there’s always something to envy. A smile, a friendship, something you don’t have and want to appropriate. In this world, even a Soviet one, there will always be rich and poor. Rich in gifts, poor in gifts. Rich in love, poor in love”.

Perang ternyata ruang yang tidak sempit untuk mengajak manusia berfikir, malah mungkin saat manusia hanya ada pilihan untuk mati sebagai perwira atau pengecut, fikiran manusia itu lebih kaya disulam dengan perasaan cintakan keamanan – namun terpaksa memilih.

Ia langsung mengingatkan saya kepada Ludwig Wittgenstein, ahli falsafah yang terkenal menghasilkan karya Tractatus Logico-Philosophicus ketika menjadi askar dan tahanan Perang Dunia Pertama.

Ketika dalam tahanan di Cassino (tengah Itali), bantuan rakan-rakannya semasa menuntut di Cambridge, Bertrand Russell (filasuf British) dan Lord Maynard Keynes (pakar ekonomi yang terkenal membangunkan teori ekonomi Keynesian) telah membolehkan Wittgenstein mendapat bahan bacaan. Wittgenstein bagaimanapun dikatakan cenderung komunis.

Saya teringat satu kenyataan seorang panelis (saya tidak ingat namanya) jemputan satu rancangan televisyen untuk membincangkan krisis ekonomi yang sedang berlaku sekarang. Katanya, dari fakta sejarah, perang ternyata boleh membantu menyelesaikan masalah ekonomi sebagaimana dibuktikan dalam Perang Dunia Kedua. Hakikat ini ternyata suatu yang membahayakan dan untuk saya ia harus ditolak secara tegas.

Dokongan terhadap perang sebagai satu kaedah menyelesaikan masalah ekonomi – dengan menghidupkan kitaran perniagaan melalui Teori Tingkap Pecah (Broken Window Theory) ini mungkin berbunyi logik, namun para pendokong liberalisme klasik yang pro kepada keamanan melalui kebebasan dan keadilan telah menjawabnya melalui Falasi Tingkap Pecah (Broken Window Fallacy), idea asal Henry Hazlitt’s dalam bukunya Economics in One Lesson yang pertama kali diterbitkan pada 1946.

Teori yang sama sesuai untuk menjawab kenapa Perang bukanlah satu pilihan yang wajar.

Sejarah telah menunjukkan bahawa perang boleh berlaku apabila manusia mengabaikan prinsip luhur kebebasan dan keadilan. Perang boleh berlaku apabila manusia mula beranggapan bahawa kaum mereka punya kelebihan berbanding selainnya. Perang berlaku apabila manusia gagal memahami erti kemuliaan insan di sisi Tuhan (karamah insan).

Ketika negara menuju era ketamadunan, tentu sekali kita tidak pernah mengharapkan perang dan usaha mengelakkan perang dan kekerasan adalah satu impian yang perlu serius difikirkan. Mungkin kata-kata Vassily Zaytsev boleh diambil sebagai ingatan: “Tentu sedih mengimpikan sesuatu yang kita pasti tidak akan berlaku…”.

John Lennon mengungkapkan dengan lebih jelas: “berilah keamanan peluang! (Give Peace a Chance!)” atau sementara untuk kita yang tidak berupaya, Wittgenstein menyatakan pada baris akhir Tractatus Logico-Philosophicus: “apa yang kita tidak mampu katakan, kita mesti sampaikan dalam diam”.

Amin Ahmad, mendapat pendidikan di Universiti Putra Malaysia. Beliau adalah mantan Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPM dan pernah memegang beberapa jawatan lain di peringkat Kolej, Fakulti Pengajian dan Universiti. Pernah mewakili delegasi Malaysia dalam Program Pembangunan Kepimpinan Belia ASEAN. Alumni Kepimpinan Muda Nahdah Asia, sebuah projek kerjasama Institut Kajian Dasar dan Yayasan Aman Sasakawa (SPF) dan alumni Cato University.

Amin Ahmad KeADILan Kolum Perang

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Cancel Kirim Ulasan

  1. Ping balik: Perang! « Amin Ahmad